Kagutsuchi (atau Hi-no-Kagutsuchi) adalah dewa atau kami api dalam ajaran Shinto dan ia turut dikenali dengan nama Homusubi. Sebagai anak kepada Izanami dan Izanagi, dewa api ini bertanggungjawab melahirkan beberapa dewa lain, antaranya lapan dewa pahlawan dan lapan dewa gunung.

Dalam sebuah tamadun yang bangunan-bangunannya banyak dibina daripada kayu dan kertas, api dilihat sebagai unsur yang sangat menghancurkan dan hal ini menjadikan Kagutsuchi sebagai satu elemen penting dalam ritual Shinto, di samping ia banyak menerima persembahan korban keagamaan.

SALASILAH & ZURIAT KETURUNAN

Menurut karya kurun ke-8 Masehi yang berjudul Kojiki (‘Catatan Hal-Hal Silam’) dan Nihon Shoki (‘Hikayat Jepun’ yang turut dikenali sebagai Nihongi), Kagutsuchi-no-kami dilahirkan sebagai anak kepada Izanami, salah satu dewa pencipta Shinto. Namun semasa Kagutsuchi dilahirkan, haba apinya terlalu panas hingga ia mengakibatkan kematian Izanami. Keadaan ini membangkitkan kemarahan Izanagi yang langsung sahaja memenggal kepala Kagutsuchi dengan menggunakan pedang besarnya yang bernama Ame-no-o-habari-no-kami.

Darah yang terpecik ke batu-batuan di sekitar dan darah yang menitis dari pedang Izanagi kemudian melahirkan lapan dewa yang kesemuanya merupakan kami pemedang yang handal. Dua dewa yang paling utama di antara kelapan-lapan dewa tersebut ialah Takemikazuchi-no-kami dan Futsunushi-no-kami. Takemikazuchi dikenali sebagai dewa petir dan dewa pelindung seni bela diri, yang antara kisah masyhur seputarnya melibatkan beliau menewaskan Namazu, sang ikan keli gergasi yang hidup di bawah permukaan bumi dan sering mengakibatkan berlakunya gempa bumi hanya dengan membolak-balikkan ekornya.

Dua lagi dewa yang lahir daripada darah Kagutsuchi ialah Kuraokami-no-kami yang wataknya ada diperihalkan di dalam antologi puisi Manyoshu (disusun c. 759 M) sebagai seekor naga dan dewa hujan, serta Amatsumikaboshi si kami bintang Zuhrah yang turut dikenali dengan nama Amenokagasewo.

Selepas berlalunya peristiwa pemenggalan kepala Kagutsuchi, legenda dilanjutkan dengan kelahiran lapan dewa dari setiap anggota tubuh dewa api tersebut, bermula daripada kaki kiri hingga ke kemaluannya. Antaranya adalah dewa-dewa gunung yang mewakili pelbagai jenis gunung seperti gunung berhutan, gunung yang terdedah puncaknya, pergunungan yang jauh, gunung yang menyimpan besi, gunung yang berlurah-lembah, dan juga gunung berapi.

Legenda Kagutsuchi yang melibatkan penciptaan besi dan pedang mungkin merupakan penerangan secara mitologi tentang ketibaan teknologi besi dan barangan logam yang dibawa masuk oleh pendatang-pendatang dari tanah besar Asia pada awal Zaman Yayoi (c. 300 SM atau lebih awal sehingga 250 M), yang mungkin juga kebanyakan daripada mereka adalah pahlawan.

Dalam sebuah versi penceritaan atau mungkin jua bahagian yang ditokok tambah sebagaimana yang dicatatkan dalam karya kurun ke-10 M berjudul Engishiki, sebelum kematiannya Izanami sempat bersembunyi dan melahirkan tiga dewa lain; iaitu kami air bernama Mizuhame-no-mikoto, puteri tanah liat, si labu, dan rumpai laut. Keempat-empat mereka diperintahkan oleh Izanami untuk menjaga Kagutsuchi dan menenteramkannya pada masa-masa getir.

Dalam tradisi Jepun, peralatan memadam api yang lazim digunakan adalah air yang diisi ke dalam labu sayong, rumpai laut dan tanah liat. Bahkan sehingga ke hari ini di sebahagian wilayah Jepun, terdapat satu ritual yang diamalkan pada pertengahan musim sejuk di mana rumpai-rumpai laut diletakkan di hujung atap bagi membantu memadam api andai berlaku kebakaran.

API DALAM RITUAL-RITUAL SHINTO

Sejak sekian lama, masyarakat Jepun menyimpan rasa takut terhadap api dan kemusnahan yang diakibatkan olehnya, memandangkan bangunan-bangunan Jepun lazimnya dibina daripada dinding kayu dan kertas serta bumbungnya pula diperbuat daripada rumput yang mudah terbakar. Kurun demi kurun, banyak bangunan dan kuil penting di Jepun hangus dimamah api kebakaran dan pada Zaman Edo (1603-1858 M), ibu kota Edo (Tokyo moden) kerapkali dilanda kebakaran sehingga ia dikenali sebagai ‘bunga-bunga Edo’.

Oleh hal yang demikian, tidak hairan apabila upacara-upacara yang bertujuan untuk menenteramkan dan menghalau Kagutsuchi dijadikan sebagai unsur signifikan dalam ritual Shinto. Dalam ritual-ritual tersebut, Kagutsuchi kebiasaannya dipanggil sebagai Homusubi yang membawa maksud ‘dia yang menyalakan api kebakaran’.

Masyarakat Jepun purba malahan turut mendedikasikan sebuah upacara yang disambut dua kali setahun buat Kagutsuchi, iaitu upacara Ho-shizume-no-matsuri yang kerap diadakan oleh pihak istana memandangkan kompleks bangunan diraja lazim menjadi mangsa kebakaran.

Upacara tersebut diadakan bagi menenteramkan dewa dan memohon supaya ia menahan apinya selama enam bulan. Api Kagutsuchi yang bersifat menghancurkan dilihat kontra dengan api penyucian dalam ritual Shinto yang dikenali sebagai kiri-bi, yang secara tradisinya ia dinyalakan dengan menggeserkan dua keping kayu hinoki.

Adakalanya Kagutsuchi disamakan dengan Atago Gongen, iaitu satu lagi kami api yang dianggap sebagai avatar Jizo, seorang tokoh Buddha. Namun pada hakikatnya, Atago Gongen merupakan figura yang bersifat lebih positif dalam mitologi Jepun dan ia berperanan sebagai pemelihara api dan pelindung manusia dari dibakar oleh unsur tersebut.

TERJEMAHAN:

Mark Cartwright. (27 Jun 2017). Kagutsuchi. Ancient History Encyclopedia.
https://ancient.eu/Kagutsuchi/


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.