Tianfang 天房 (Lihat segi empat merah sebelah kanan) secara harfiahnya bererti ‘Rumah Kudus’ atau ‘Rumah Tuhan’. Istilah paling dekat dengan maksud ini ialah Baitullāh بَيْتِااللّٰه . Istilah ini dijumpai seawal catatan zaman Dinasti Yuan, dalam naskah Xishi Ji 西使记 (Catatan Kembara Perutusan ke Barat) coretan Liu Yu 刘郁, demikian ayat asal dan terjermahan harfiahnya:
「报达之西,马行二十日,有天房,内有天使神人之祖葬处也。师名癖颜八儿」¹
(Melaporkan ketibaan di barat, perjalanan dengan kuda yang memakan masa 20 hari, adanya [tempat bernama] Rumah Tuhan. Di situ terdapat tempat pengebumian moyang orang suci duta Tuhan. Nama Guru ini ialah Pǐyánbā’er.)
Dalam ayat ini, kita dapat melihat istilah-istilah yang digunakan dalam catatan tersebut sungguh asas disebabkan zaman tersebut belum ditetapkan lagi terjermahan sesuai untuk istilah-istilah Islāmik. Kendatipun, ia hampir menyamai maksud yang sesuai, ditambah lagi dengan istilah Parsi. Contohnya:
• 天使神人 / Orang Suci Duta Tuhan
= Rasūlullāh رَسُول اللَّه
Menariknya, istilah Tianshi 天使 juga merujuk kepada Malaikat. Dari segi peranan, malaikat juga adalah pengutus risālah Allāh ﷻ.
• 祖葬处 / tempat pengebumian moyang
= bersama-sama dengan istilah sebelumnya, ia merujuk kepada Maqâm Rasūlullāh ﷺ.
• 癖颜八儿 / Pǐyánbā’er
(Lihat segi empat merah sebelah kiri)
= Ia adalah transliterasi Bahasa Cina untuk istilah Bahasa Parsi yakni Payâmbar پیامبر yang bererti Rasūl رَسُول . Maka dalam konteks ini, ia merujuk kepada Nabi Muḥammad ﷺ.
Manuskrip dalam gambar ini dipetik daripada naskah edisi Dinasti Qing. Terdapat teks syarahan berupa tulisan kecil selepas setiap teks utama. Nama Móhǎnmòdé 谟罕蓦德 turut disebut dalam syarahan (dalam ruangan ungu). Ejaan terkini namanya ialah Mùhǎnmòdé 穆罕默德. Menariknya, baginda disebut sebagai ‘Orang Suci’ (神人) selepas namanya dalam ayat tersebut.
Di samping itu, siapakah pula Liu Yu 刘郁? Beliau ialah pegawai Siasatan Pentadbiran (监察御史) di bawah kerajaan Dinasti Yuan pimpinan Möngke Khan. Pada 20 haribulan 1, tahun ke-9 Xianzong 宪宗 (Khamis 13 Februari 1259), beliau bersama-sama Chang De 常德 diutuskan baginda sebagai duta ke negeri Ilkhanat pimpinan Ilkhan Hülegü Khan di Parsi. Selesainya misi ini, Liu Yu menukilkan segala pemerhatian beliau dalam bukunya Xishi Ji 西使记 yang berjaya disiapkan pada bulan ke-3, tahun ke-4 Zhongtong 中统 (sekitar April 1263).
Jika sebelum ini, kerajaan Khalīfah dikenali sebagai Negara Dashi (大食国) sejak zaman Dinasti Tang (nama Dashi dipercayai berasal daripada nama Banu Ṭayyi طَيِّئ), maka nama Tianfang merupakan nama spesifik kepada kerajaan yang mana terletaknya Kaabah. Pada zaman Dinasti Ming pula, ejaan Tianfang 天房 beransur ansur bertukar kepada Tianfang 天方 yang bererti ‘Kubus Suci’ (Heavenly Square).
Beginilah Kaabah, yang dibina oleh Nabi ʾIbrāhīm dan Nabi Ismā‘īl sebagai Rumah Ibadah untuk menyembah Tuhan Yang Maha Esa. Al-Qur’ān dalam Surah Al-Baqarah, ayat ke-127 mencatatkan peristiwa ini untuk renungan kita semua:
وَإِذْ يَرْفَعُ إِبْرَٰهِـۧمُ ٱلْقَوَاعِدَ مِنَ ٱلْبَيْتِ وَإِسْمَـٰعِيلُ رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّآ ۖ إِنَّكَ أَنتَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْعَلِيمُ
Maksudnya: Dan (ingatlah) ketika Nabi ʾIbrāhīm bersama-sama Nabi Ismā‘īl meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullāh (Kaabah) itu, sambil keduanya berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui”;
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih