Pada tahun 1933, Adolf Hitler melantik rakan baiknya, Joseph Goebbels sebagai Menteri Propaganda Jerman. Dan seperti yang diketahui sejarawan, Goebbels bertanggungjawab sepenuhnya merencana propaganda yang mempromosikan agenda Nazi. Dikenali sebagai seorang penulis, ahli falsafah dan fasih berucap di khalayak, beliau berjaya menguasai aspek media Jerman dari berita sampailah maklumat berkaitan kerajaan. Goebbels juga bijak memanipulasi penggunaan filem dan radio untuk mempromosikan agenda Nazi kepada masyarakat. Namun di sebalik semua ini, ada beberapa fakta yang anda tidak tahu tentang lelaki ini.

1. KECACATAN KAKI

Paul Joseph Goebbels lahir pada 29 Oktober 1897 di Rheydt, Jerman, sebuah bandar perindustrian berhampiran Rhineland. Semasa kecil, beliau mempunyai kecacatan pada kaki kanan selepas terkena penyakit osteomyelitis, sejenis penyakit yang menyebabkan bengkak pada bahagian tulang sum-sum. Akibatnya, kaki kanannya itu lebih pendek dan lebih tebal berbanding kaki kirinya. Goebbels cuba menyelesaikan masalah itu dengan pembedahan tetapi gagal. Ini memaksa beliau memakai pendakap besi dan kasut yang dibuat khas. Dan keadaan ini memaksa beliau berjalan dalam keadaan tempang. Kecacatan ini menyebabkan Goebbels diberi pengecualian dari berkhidmat semasa Perang Dunia Pertama (WWI).

2. PADERI

Goebbels dibesarkan dalam keluarga yang berpegang teguh dengan ajaran Roman Katolik dan menerima pendidikan di Christian-Gymnasium School. Pada usia awal inilah, beliau mula memperlihatkan kebijaksanaannya dan ibu bapanya berharap agar Goebbels menjadi paderi apabila mencecah usia dewasa. Dan ia sebenarnya pernah dipertimbangkan secara serius oleh beliau. Namun, pada akhirnya, Goebbels mengambil keputusan untuk tidak meneruskan cita-cita tersebut. Sebaliknya, beliau menerima biasiswa dari Alberts Magnus Society, di mana beliau mengambil jurusan kesusasteraan, falsafah dan sejarah di beberapa universiti. Goebbels mendapat ijazah Doktor Falsafah (Ph.D.) dalam filologi Jerman dari Universiti Heidelberg.

3. HIPOKRIT BERKENAAN ORANG YAHUDI.


Figure 1: Imej Goebbels sekeluarga yang dianggap contoh keluarga Aryan sejati tidaklah sesuci seperti yang disangkakan.

Di sebalik kegilaan beliau mempromosikan agenda anti-Semitik dan kehebatan bangsa Aryan kepada rakyat Jerman, Goebbels turut mempunyai rahsia berkenaan hubungannya dengan orang Yahudi. Idolanya dalam bidang kesusasteraan semasa menuntut di Universiti Heidelberg ialah Friedrich Gundolf, seorang cendekiawan Jerman berketurunan Yahudi. Sementara orang yang bertanggungjawab menyelia tesis beliau ialah Profesor Madya Max Freiherr von Waldberg yang juga berketurunan Yahudi. Sebelum berkahwin dengan Magda, Goebbels turut mempunyai hubungan cinta dengan seorang gadis berdarah campuran Yahudi bernama Else Janke. Bapa sebenar isterinya juga seorang ahli perniagaan Yahudi bernama Richard Friedlander berdasarkan penemuan kad kediaman Friedlander yang menyatakan Magda ialah anak kandungnya.

4. PROPAGANDA

Pada separuh pertama dekad 1920-an, Goebbels menyertai Parti Nazi. Antara sebab penyertaan beliau pada ketika itu ialah parti mempromosikan agenda sama yang diperjuangkannya semasa di Heidelberg iaitu kelebihan bangsa Jerman dan anti-Semitik. Goebbels turut berpeluang mengenali pemimpin organisasi tersebut iaitu Hitler. Jerman pada ketika itu dilanda inflasi yang merosakkan ekonomi Jerman. Sementara moral rakyatnya berada di tahap terendah selepas Jerman kalah dalam WWI.

Kedua-dua Goebbels dan Hitler percaya imej dan perkataan berpotensi sebagai alat untuk mengeksploitasi rasa ketidakpuasan hati mereka. Dan antara sebab Fuhrer percaya kepada Goebbels ialah kemampuannya menggunakan teknik pemasaran dalam mempromosikan agenda parti. Beliau menggunakan slogan-slogan yang menarik perhatian pengundi, seperti yang digunakan ahli-ahli politik hari ini, contohnya slogan ‘Make America Great Again’ oleh Ronald Reagan dan Donald Trump. Goebbels turut mereka semula rekaan poster propaganda dengan memasukkan warna merah terang dan rupa taip besar untuk tajuk utama bagi menarik perhatian pembaca membaca propaganda mereka.


Figure 2: Contoh propaganda yang dikeluarkan jentera propaganda Goebbels.

5. MENTERI PROPAGANDA

Selepas mengambil alih jawatan sebagai Menteri Propaganda Jerman, antara tugas Goebbels ialah menunjukkan sisi positif Jerman kepada dunia luar, mematikan ancaman terhadap parti dan Hitler serta memarakkan lagi api kebencian terhadap mana-mana individu yang mencemarkan ketulenan bangsa Aryan termasuk orang Yahudi. Pada bulan 1933, atas arahan Fuhrer, beliau mengeluarkan arahan memboikot mana-mana perniagaan yang dimiliki orang Yahudi. Pada bulan berikutnya, Goebbels merupakan penggerak utama kepada peristiwa pembakaran buku-buku yang dianggap tidak Jerman di sebuah teater opera di Berlin. Antara buku yang dibakar ialah karya-karya Albert Einstein, Thomas Mann, Arnold Zweig, Sigmund Freud dan Helen Keller. Antara contoh peristiwa pembakaran buku ini boleh dilihat dalam satu babak filem Indiana Jones and The Last Crusade arahan Steven Spielberg.

Pada bulan September tahun yang sama, Goebbels menubuhkan Dewan Kebudayaan Reich di mana beliau bertindak sebagai pengarah organisasi tersebut. Tujuan penubuhannya ialah untuk mengawal setiap aspek kesenian di Jerman. Dan antara peranan pertama organisasi ialah memaksa mana-mana organisasi atau produksi untuk tidak mengambil mana-mana karyawan seni berketurunan Yahudi. Goebbels turut mengarahkan semua bentuk seni moden dirampas dan digantikan dengan karya-karya seni yang bersifat sentimental dan mempunyai rupa tersendiri. Bagi beliau, mana-mana karya seni moden ini dianggap tidak bermoral. Pada bulan berikutnya, satu rang undang-undang kewartawanan diluluskan di mana ia memberi kuasa kepada kerajaan untuk menyingkirkan mana-mana editor berketurunan Yahudi dan menolak fahaman Nazi dari mana-mana akhbar atau majalah Jerman.

Majalah Life mengulas keberkesanan Goebbels dalam menguruskan kementeriannya seperti sebuah jentera yang lancar. Beliau membahagikan kementeriannya kepada tujuh unit iaitu pentadbiran dan undang-undang, isu membabitkan perhimpunan awam bangsa, kesihatan dan orang muda, radio, media asing, filem, seni dan perlindungan dari propaganda asing. Dan Goebbels juga tidak teragak-agak memalukan pekerja atau pegawainya di khalayak ramai jika merasakan mereka gagal dalam tugasan mereka.

6. PROPAGANDA PERANG DUNIA KEDUA

Apabila Perang Dunia Kedua (WWII) meletus, Goebbels ditugaskan membentuk propaganda yang menyakinkan orang ramai sebab Jerman perlu kembali berperang. Antara projek pertama yang dijalankan ialah penerbitan filem propaganda The Eternal Jew (1940) yang dikatakan memaparkan sejarah orang Yahudi tapi secara tersirat memperlihatkan mereka sebagai parasit yang merosakkan sebuah dunia yang sempurna. Goebbels turut menerbitkan Jud Suss (1940), sebuah filem biografi tentang kehidupan perunding kewangan yang berkhidmat di bawah Duke Karl Alexander of Wuttenberg (1684-1737) iaitu Josef Suss Oppenheimer (1698-1738). Kisah itu sepatutnya memaparkan tragedi kemanusiaan tetapi di bawah Goebbels, ia diubah kepada memaparkan sikap mementingkan diri dan tamak orang Yahudi.


Figure 3: Poster filem The Eternal Jew (1940) yang diterbitkan oleh Kementerian Propaganda Jerman.
Sumber: https://www.ushmm.org/confront-antisemitism/teaching-about-antisemitism/educational-modules-based-on-audio-podcasts/propaganda-and-media/image-analysis-act

Apabila situasi perang tidak lagi memihak kepada Nazi Jerman, Goebbels cuba menaikkan semula moral rakyat dengan pelbagai propaganda. Pada tahun 1942, Kementerian Propaganda menganjurkan sebuah pameran bertajuk ‘Syurga Soviet’ di Berlin dengan tujuan meningkatkan lagi moral dan kemahuan rakyat melawan Rusia. Ini dilakukan mendedahkan penipuan dan kekejaman yang dilakukan kelompok Bolshevik. Namun pameran tersebut dirosakkan oleh sekumpulan penentang Jerman dipimpin Herbert Baum (1912-1942) di mana semua bahan pameran dibakar. Apabila perkara tersebut diketahui Goebbels, beliau enggan membenarkan berita tersebut diketahui oleh media. Begitu juga apabila tentera Soviet berjaya merampas semula bandar Stalingrad pada Januari 1943 dan menawan perancang Operasi Barbarossa, Field Marshall Friedrich Paulus, berita kekalahan ini diolah semula bagi menunjukkan bahawa tentera Jerman menjadi korban berikutan gagal mendapat bekalan diperlukan. Atas sebab itu, pada 18 Februari 1943, dalam satu perhimpunan di Istana Sukan Berlin, Goebbels memberi ucapan berapi untuk menyatakan perang bahawa satu usaha bersama dan rakyat perlu sama-sama menyumbang kepada usaha peperangan Jerman.

Namun, Goebbels juga seorang yang realistik. Beliau sedar situasi tidak lagi memihak kepada Jerman dan cuba menyatakan perkara tersebut kepada Hitler dengan harapan Fuhrer mahu berdamai dengan pihak Bersekutu. Namun ini mencetuskan dilema dalam dirinya iaitu beliau mahu terus yakin dengan Hitler tetapi pada masa sama, tidak mahu Hitler merasakan beliau mahu meninggalkannya. Pada hari-hari terakhir peperangan, tatkala pemimpin-pemimpin Nazi lain melarikan diri, beberapa pemimpin yang masih kekal bersama Hitler termasuk Goebbels sekeluarga. Beliau pasti membincangkan prospek ditahan pihak Bersekutu dengan Magda dan enggan dibicarakan atas alasan dunia tidak akan memahami tindakannya. Atas sebab itu, Goebbels mula membakar mana-mana dokumen yang mengaitkan dirinya dengan jenayah-jenayah yang dilakukan kerajaan Nazi Jerman.

7. ORANG NOMBOR DUA.

Selepas berjaya menjadi orang nombor dua dalam kerajaan selepas Hitler, agak sukar bagi Goebbels meninggalkan semuanya walaupun itu bermakna dapat menjamin keselamatan diri dan keluarganya. Apabila Hitler mengumumkan pada 22 April bahawa beliau akan kekal di Jerman sampai akhir dan membunuh diri, Goebbels mengambil keputusan sama dan memindahkan keluarganya ke bunker Fuhrernya. Sehari selepas itu, Goebbels berucap di khalayak dan meminta mereka untuk terus berjuang hingga ke titisan darah terakhir.

8. WASIAT HITLER

Berdasarkan wasiat dan arahan terakhirnya pada minggu pertama Operasi Barbarossa pada tahun 1941, Hitler telah menamakan Menteri Udara, Hermann Goring sebagai penggantinya. Namun tindakan Goring yang mahu mengambil alih tempat Hitler atas alasan beliau tidak berkemampuan meneruskan tugasnya sebagai Fuhrer dan Kanselor Jerman menimbulkan kemarahan Hitler. Akibatnya, Goring diarah meletak jawatan dan namanya dalam wasiat dan arahan terakhir Hitler turut dipadamkan. Ini ditambah dengan tindakan Himmler yang cuba merampas kuasa dan berunding dengan pihak Bersekutu di belakangnya menambah lagi amarah Fuhrer tersebut. Berdasarkan wasiat yang ditulis pada 29 April, Hitler menamakan Laksamana Karl Donitz sebagai Presiden Jerman, Goebbels sebagai Kanselor dan Martin Bormann sebagai Menteri Parti. Tak lama selepas itu, Hitler dikatakan membunuh diri dan beliau menggalas tugas seperti mana diarahkan dalam wasiat tersebut. Bagaimanapun, tugasnya hanya digalas selama sehari di mana beliau menghantar surat memohon perlaksanaan gencatan senjata.

9. KEMATIAN

Pada 1 Mei 1945, Goebbels meminta pertolongan doktor gigi Schutzstaffen (SS), Helmut Kunz memberi morfin mencukupi kepada keenam-enam anaknya untuk tidak sedarkan diri. Dari situ, doktor peribadi Hitler, Ludwig Stumpfegger dan Magda memecahkan kapsul sianida dalam mulut mereka, sekaligus membunuh mereka. Keterangan bagaimana Goebbels dan isterinya membunuh diri berbeza-beza. Sesetengah pihak menceritakan mereka keluar dari bunker, berjalan ke taman dan membunuh diri di situ. Ada pula menyatakan Goebbels menembak Magda sebelum menembak dirinya. Satu lagi keterangan menyatakan kedua-duanya mengambil pil sianida sebelum ditembak tak lama selepas itu.

Menurut pengiring SS untuk Goebbels, Gunther Schwagermann, kedua-duanya melangkah keluar dari bunker dan menuju ke taman. Schwagermann yang berada di tangga bunker mendengar bunyi tembakan dan sebaik keluar, melihat tubuh mereka yang tidak bernyawa. Schwagermann kemudian mengarahkan beberapa anggota SS menembak kedua-dua mayat beberapa kali seperti yang diarahkan Goebbels. Mayat mereka bersama anak-anaknya dibakar tetapi tidak hangus sepenuhnya. Selepas pihak Soviet memasuki Berlin, mereka mengambil mayat Goebbels sekeluarga bersama mayat Hitler, isterinya, Eva Braun, Jeneral Hans Krebs dan anjing Hitler, Blondie. Kesemua mayat dan bangkai ini dikebumikan, digali dan ditanam semula beberapa kali sebelum ia dihancurkan dan dibakar oleh sepasukan unit Jawatankuasa Keselamatan Negara (KGB) sebelum ditabur di anak sungai Biederitz atas arahan pengarah mereka, Yuri Andropov.

SUMBER:

1. Apocalypse: The Second World War. (2009). Episod: The Great Landing. https://www.youtube.com/watch?v=KKDR3wZkkuQ

2. Godbey, Holly. (2016). War History Online. 10 Facts – Joseph Goebbels, Hitler’s Minister Of Propaganda. https://www.warhistoryonline.com/world-war-ii/10-facts-didnt-know-joseph-goebbels-nazi-propagandist.html

3. The Jewish Chronicle. (2016). Magda Goebbels’ biological father may have been Jewish. https://www.thejc.com/news/world/magda-goebbels-biological-father-may-have-been-jewish-1.62905
4. History.com. Joseph Goebbels. http://www.history.com/topics/world-war-ii/joseph-goebbels


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply