Hendak menjadi ulama tidaklah semudah mengucapkan “Kamu Kafir, Itu Haram, Ini Palsu”. Sedangkan hendak menjadi juruterbang atau doktor pun mempunyai disiplin dan syarat-syarat tertentu kerana melibatkan hidup-mati manusia, inikan pula ingin menjadi ulama yang melibatkan syurga-neraka DIRI SENDIRI & UMAT.

Ulama merupakan jamak (kata ganda) bagi Alim iaitu mufrad (kata tunggal) baginya. Ianya berkait rapat dengan perkataan Ilmu. Maka bolehlah dikatakan bahawa seorang Ulama itu adalah manusia yang memiliki Ilmu-Ilmu. Walaubagaimanapun, menurut istilah, perkataan ulama ini selalunya sering dikhususkan kepada seorang ilmuwan dalam hal ehwal agama Islam.

Mereka digelar dengan gelaran Alim (mengetahui) adalah kerana mereka mengetahui ilmu-ilmu yang terkandung dalam al-Quran dan Hadis.

Mereka dikatakan “mengetahui” akan ilmu-ilmu tersebut adalah kerana mereka “memahami” akannya. Ini kerana rasulullah bersabda, “Jika Allah inginkan kebaikan kepada hambanya, pasti Dia akan memahamkan seseorang itu akan urusan (ilmu) Agama”.

Seseorang itu hanya akan memahami agama apabila dalam dirinya memiliki hikmah (kebijaksanaan/wisdom). Sesungguhnya, terdapat 5 ayat dalam al-Quran yang menggandingkan perkataan Kitabullah dan “Hikmah”. Hikmah pula hanya akan akan tercipta apabila seseorang itu memiliki hati dan akal yang bersih. Sesungguhnya ilmu itu cahaya, mana mungkin ilmu boleh bersama dengan kegelapan dalam hati.

Hati dan akal yang suci pula hanya akan muncul apabila seseorang itu kuat mengamalkan Sunnah Rasulullah. Kerana inilah, kita sering mendengar riwayat-riwayat yang mengisahkan tentang kesolehan para ulama. Kesolehan dan ketakwaan ulama adalah kerana mereka memiliki “khasyah” iaitu rasa takut kepada Allah. Oleh itu, benarlah firman Allah dalam al-Quran yang bermaksud, “Sebenarnya yang takut kepada Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah ulama”.

Setelah seseorang memiliki kesemua ciri-ciri ini, barulah mereka layak digelar ulama dengan ilmu-ilmu yang dimiliki. Hanya mereka inilah yang layak mendapat pengiktirafan sebagai “Ulama Pewaris Nabi”. Seseorang yang tidak memiliki hal tersebut, tidak layak berbicara soal agama yang mendalam apatah lagi untuk digelar sebagai ulama.

Sesungguhnya Rasulullah pernah bersabda, “Barangsiapa menghuraikan Al-Quran dengan akal fikirannya sendiri dan merasa benar, maka sesungguhnya dia telah berbuat kesalahan” (HR. Ahmad).

Dari Ibnu Abbas Rasulullah Saw bersabda, ”Barangsiapa yg berkata mengenai Al-Quran tanpa ilmu maka dia menyediakan tempatnya sendiri di dalam neraka” (HR.Tirmidzi).

Seseorang yang ingin berkelayakan untuk menjadi ulama, perlulah menguasai beberapa disiplin ilmu asas. Bukan hanya semberono bercakap dan menjadi keyboard warrior lalu bergaduh di laman sosial sosial seolah-olah dialah sahaja yang teralim di dunia ini. Antara ilmu yang perlu dipelajari oleh seseorang ulama adalah:

Ilmu al-Quran :
1) Makhraj Huruf dan Tajwid
2) Fasohah
3) Tarannum
4) Qiraat
5) Maratib al-Tilawah (Tahkik, Tartil, Tadwir dan Tahdir)
6) Tafsir
7) Asbabul Nuzul
8) Tawarikh an-Nuzul
9) Auqat wa Mawathin an-Nuzul
10) Rasm al-Quran
11) Naskh wal Mansukh
12) Fawatih as-Suwar
13) ‘Irab
14) Bada’i
15) Wujh wa an-Nazha’ir
16) Makrifatil Muhkam wal Mutasyabihat
17) Gharibil Quran
18) Tanasubi ayatul Quran
19) Amsalul Quran
20) Jidalul Quran
21) Qasasul Quran
22) Aqsamul Quran
23) ‘Ijazul Quran
24) Adab Tilawatul Quran

Ilmu Hadis
1) Riwayah
2) Dirayah
3) Rijalul Hadis
4) Asbabul Wurud
5) Jarhi wat Ta’dil
6) Fannul Mubhamat
7) Tasyhif wat Tahrif
8) Ilal al-Hadis
9) Nasakh wal Mansukh
10) Gharibil Hadis
11) Talfiqil Hadis
12) Mustalah Ahlul Hadis
13) Mukhtalif

Oleh kerana al-Quran dan al-Hadis ini berasal dalam bahasa Arab yang tinggi mutunya, maka ilmu bahasa Arab juga perlu dikuasai agar makna yang hendak disampaikan oleh al-Quran dan al-Hadis benar-benar difahami. Antara ilmu yang perlu dipelajari bagi memahami bahasa Arab ialah seperti berikut :

Ilmu Bahasa Arab
1) Nahu
2) Saraf
3) Isytiqaq
4) Al-‘Arudh
5) Qawafi
6) Qardus Syi’ri
7) Insyaa
8) Mukhadarat
9) Khat
10) Badi’ (Balaghah)
11) Bayan (Balaghah)
12) Ma’ani (Balaghah)

Selain ilmu-ilmu tersebut, seseorang itu perlu mengetahui kesemua disiplin ilmu usul Fiqah, ilmu Qawaidul Fiqhiyyah serta penguasaan ilmu Mantiq, Maqulat Asyarah dan sebagainya. Seseorang itu juga perlu tahu membezakan antara hal-hal Usul dan Furu’. Dia juga perlu mengetahui fatwa-fatwa ulama silam mengenai sesuatu permasalahan sama ada sudah diijma’ atau masih lagi diperbahaskan.

Dia juga perlu tahu perbezaan antara pendapat peribadi seorang mujtahid (ikhtiyarat) dan keputusan muktamad ijtihad para ulama Mujtahidin. Sebagai fuqaha, seseorang itu perlu kenal pasti sesuatu fatwa itu samaada ianya Qaul Muktamad atau Qaul lemah. Beliau juga perlu tahu samaada fatwa itu merupakan Ijma’ (sepakat semua mazhab) atau Ittifaq (sepakat sebahagian kumpulan ulama) atau jumhur (pilihan majoriti ulama).

Sebagai contoh, sesuatu masalah itu mungkin telah dihukumkan dengan satu fatwa Ijma’ dari seluruh ulama Ahlus Sunnah Wal Jamaah samaada dari mazhab Hanafi, Maliki, Syafie, Hanbali dan mazhab-mazhab yang telah pupus. Atau mungkin masalah tersebut telah dihukumkan dengan suatu fatwa yang Ittifaq iaitu hanya sepakat oleh kumpulan fuqaha mazhab Syafie namun dalam mazhab Hanbali, mereka berittifaq dengan hukum yang lain dalam masalah yang sama. Jika fuqaha mazhab Hanafi dan mazhab Maliki bersependapat dengan padangan fuqaha mazhab Syafie, maka fatwa tersebut tergolong sebagai pandangan Jumhur Ulama.

Maka hal ini amatlah sulit untuk dikenal pasti kecuali bagi yang ahli pada bab ini. Adapun jika sesuatu masalah itu menjadi ikhtilaf dalam kalangan ulama sesama mazhab, maka perlulah seseorang itu bezakan turuq pandangan untuk memilih salah satu pandangan antara dua.

Walaubagaimanapun, kesemua ilmu yang disebut ini perlulah dibelajar secara talaqqi. Talaqqi perlu diadakan dengan menghadap guru dan menadah kitab dari kulit ke kulit dihadapannya. Talaqqi ialah pengajian yang berpegang kepada 5 Rukun ilmu. 5 rukun ilmu adalah:

1) Syeikh mursyid yang bersanad
2) Kitab yang muktabar
3) Manhaj yang benar
4) Murid yang beradab
5) suasana ilmiah

Pengajian Talaqqi ini perlu lah mempunyai Sanad. Sanad adalah rantaian salasilah guru kepada guru yang sampai kepada Rasulullah tanpa putus sebagai tanda autoriti dalam pengambilan ilmu.

Setiap satu disiplin ilmu ini perlu melalui 3 peringkat iaitu “mubtadi” (permulaan), “mutawasit” (pertengahan) & “muntahi” (tertinggi). Terdapat kitab-kitab khusus yang membincangkan disiplin ilmu berkenaan dalam setiap peringkat tersebut. Dalam satu peringkat, terdapat beberapa majlis Talaqqi yang perlu dilalui sebelum khatam dan mendapat Sanad. Bayangkanlah betapa lamanya perlu kita menuntut ilmu sebelum boleh berangan-angan untuk digelar sebagai Ulama.

Dalam Mukadimah Sahih Muslim, Imam Muslim meriwayatkan dari Imam Abdullah bin Al Mubarak, yang berkata, “Isnad itu sebahagian dari agama. Jika tidak kerana isnad, setiap orang akan berkata apa saja yang dikehendakinya (dalam urusan agama, tanpa ilmu mendalam tentangnya).”

Imam Ibnu Sirin berkata, “Ilmu itu adalah agama, maka perhatikanlah dari siapa kamu mengambil agamamu (ilmu agama tersebut).”

Ibn Abdil Bar meriwayatkan dari Imam Al-Auza’i bahwasanya dia berkata, “Tidaklah hilang ilmu (agama) melainkan dengan hilangnya sanad-sanad (ilmu agama tersebut).”

Imam Sufyan Ats-Tsauri berkata, “Sanad adalah senjata seorang mukmin. Bila dia tidak memiliki senjata, dengan apa dia akan berperang?”.

Letihkan membaca?
Maka lebih letih ulama-ulama menuntut ilmu sewaktu mereka bergelar PELAJAR suatu ketika dahulu. Bayangkanlah betapa lamanya perlu kita menuntut ilmu sebelum boleh berangan-angan untuk digelar sebagai Ulama. Oleh kerana artikel ini cenderung berkaitan ilmu-ilmu yang perlu dituntut bagi menjadi seorang ulama, maka sepatutnya artikel ini bertajuk “JOM PERGI MENGAJI”

Gambar : Al-Alim Al-Allamah Al-Arif Billah Al-Faqih wa Sufi Al-Muhaddith Professor Dr Syeikh Sayyid Muhammad bin Alawi al-Maliki al-Hassani al-Makki. Beliau merupakan guru yang tersangat alim dan memiliki ramai anak murid terutama yang berasal dari Malaysia, Indonesia & Fathani yang kini menjadi guru pondok di tanah air masing-masing.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

IBN JAWI merupakan penuntut bidang Engineering di sebuah universiti. Beliau juga giat dalam pengajian Turath Islami secara Talaqqi Sanad bagi mengimbangi aspek duniawi dan ukhrawi. Beliau yang meminati topik Falsafah, Sejarah dan Politik merangka usaha kebangkitan ummah melalui Kalam & Qalam. Walaupun memiliki aliran pemikiran tersendiri, namun beliau terbuka untuk bertukar pandangan dengan mana-mana aliran pemikiran agar dapat memahami cara berfikir kelompok berlainan.

Leave A Reply