Dalam Money Heist Korea, kita dihidangkan dengan fantasi Korea Selatan dan Korea Utara diambang penyatuan dengan penubuhan Joint Economic Area (JEA). JEA pula adalah kawasan yang menunjukkan orang Korea dari kedua-dua selatan dan utara hidup bersama sebagai satu bangsa. Buktinya di dalam kilang percetakan wang, orang Selatan dan Utara telah bekerja bersama-sama walaupun berlainan ideologi.

Tahukah anda, JEA sebenarnya pernah wujud di dunia nyata? Sekali dengar memang tak logik sebab mustahil untuk kedua-dua Korea bersatu. Ditambah lagi ketegangan antara selatan dan utara sentiasa wujud ekoran sikap ego mereka. Biarpun begitu sifat mahu bersatu sebagai bangsa Korea tetap wujud di jiwa selatan dan utara. Buktinya kawasan seakan-akan JEA telah wujud di Mount Kumgang dan Kaesong Industrial Region.  

Jadi macam mana JEA versi dunia nyata ini boleh wujud?

Resort yang terletak di Mount Kumgang (AP Photo/Ng Han Guan, File)

Pada tahun 1998, Korea Utara telah memberikan kebenaran kepada Korea Selatan untuk membangunkan Mount Kumgang sebagai kawasan pelancongan. Bagi tujuan itu, Korea Selatan terus mengarahkan Hyundai Asan mengeluarkan modal sebanyak $400 juta untuk membangunkan kompleks seluas 530km2 untuk memajukan Mount Kumgang.

Sebagai balasan, Korea Utara akan memperolehi bayaran $1bilion daripada Hyundai Asan sebagai pemilik kawasan tersebut. Hasil daripada pembangunan ini, Hyundai Asan berjaya membina pelbagai infrastruktur seperti 10 hotel mewah, 10 restoran, padang golf, hospital dan bermacam-macam lagi.

Dengan fasiliti yang sangat maju dan mewah, Mount Kumgang telah menerima kira-kira 1.96 juta pelancong dari 1998 sehingga 2008. Secara tidak langsung, Korea Utara turut menerima laba daripada industri pelancongan dengan mencatat keuntungan sebanyak $487 juta dalam masa 10 tahun.

Walau bagaimanapun, Mount Kumgang yang membawa sinar penyatuan dua Korea akhirnya ditutup pada tahun 2008 angkara tindakan Korea Utara. Korea Selatan mendakwa bahawa Korea Utara telah menembak seorang pelancong sehingga mati. Bagi mempertahankan diri, Korea Utara mendakwa pelancong itu telah masuk ke kawasan tentera dan berkeras tidak mahu beredar. Pilihan yang Korea Utara ada hanya tembak sahaja atas alasan menceroboh.

Untuk memastikan keselamatan pelancong, Korea Selatan telah menutup seketika operasi di Mount Kumgang sehingga kes tembakan itu selesai. Tapi Korea Utara pula bertindak lebih ganas dengan merampas terus segala fasiliti di Mount Kumgang. Korea Utara mendakwa Korea Selatan sengaja mensabotaj ekonomi negara itu dengan menutup Mount Kumgang. Sejak itu Mount Kumgang dioperasikan sendiri oleh Korea Utara.

Kaesong Industrial Region dibangunkan oleh Korea Selatan adalah bertujuan untuk membantu saudara mereka di utara keluar daripada kemelesetan ekonomi. Bukan itu sahaja, Korea Selatan juga ada tujuan lain iaitu menggunakan buruh murah dari Korea Utara untuk tingkatkan penghasilan produk.

Kaesong Industrial Region (AP Photo/Lee Jin-man, File)

Sebagai permulaan, Korea Selatan telah meminta Hyundai dan Korea Land Corporation menjadi syarikat pertama yang beroperasi di Kaesong Industrial Region. Setelah kedua-duanya sukses, tambahan lagi 124 turut beroperasi di sana. Apa yang Korea Selatan dapat adalah memanfaatkan lebih 50,000 buruh Korea Utara untuk penghasilan produk tanpa perlu bergantung kepada buruh asing. Penetapan beberapa kelebihan seperti zon bebas cukai, penggunaan mata wang asing dan non-visa buat perjalan ke sana menjadi lebih mudah.

Bagi pihak Korea Utara pula, mereka memperoleh $100 juta daripada bayaran gaji yang dibuat oleh Korea Selatan. Secara keseluruhannya pula, Korea Utara berjaya mengaut keuntungan sebanyak $2bilion daripada kawasan itu sahaja.

Namun pada 2016, Korea Selatan telah menghentikan keseluruhan operasi syarikatnya di Kaesong Industrial Region sebagai tindak balas kepada pelancaran roket oleh Korea Utara. Seperti biasa, Korea Utara telah merampas kesemua fasiliti di Kaesong Industrial Region untuk mereka operasikan sendiri. Sejak itu Kaesong Industrial Region terus ditutup dan impian penyatuan dua Korea tampak kabur.

Apa-apapun, Kaesong Industrial Region ini boleh dikatakan memiliki fungsi yang sama seperti JEA di Money Heist Korea. Kebetulan pula pengarah Money Heist Korea kata dia bayangkan JEA terletak di antara Kaesong dan Paju.

RUJUKAN:

BBC News. (2016, Februari 10). What is the Kaesong Industrial Complex? Dipetik daripada https://www.bbc.com/news/business-22011178

Yvonne Su. (2014, November 7). The quiet mountain: Kumgang since 2008. NK News. Dipetik daripada https://www.nknews.org/2014/11/the-quiet-mountain-kumgang-since-2008/


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang marhaen dari UITM Puncak Perdana yang meminati sejarah, sastera, falsafah, sukan, muzik dan ekonomi. Mata pena lebih tajam daripada mata keris dan menulis sekadar untuk meluah rasa jiwa sahaja.

Leave A Reply