Tular di Whatsapp dan Facebook sebuah video oleh Prof Madya Dr Mat Rofa Ismail, seorang ahli dalam bidang Matematik di Universiti Putra Malaysia. Penulis pernah hadir ke majlis-majlis yang diadakan oleh beliau. Penulis juga sangat menghargai minat dan usaha beliau untuk mengorek kembali sejarah Kemelayuan buat tatapan masyarakat awam. Walaubagaimanapun, ada beberapa hal yang admin kira ulasan beliau kurang tepat. Kita fokuskan perbincangan entri ini terhadap video beliau yang berdurasi 5 minit 6 saat itu.
Isi pertama, Prof Mat Rofa berkata :-
“Tun Seri Lanang ialah pengkhianat. Tun Seri Lanang mengatakan orang Melayu berperang menggunakan lembing dan keris. Pembelot dan tali barut Portugis yang sama-sama berjuang untuk Portugis. Tun Seri Lanang bercakap bagi pihak Portugis”.
Jawapan :-
Sebelum melangkah jauh, mari kita kenal dulu siapa itu Tun Seri Lanang. Nama sebenar Tun Seri Lanang ialah Tun Muhammad bin Tun Ahmad yang hidup pada tahun 1565 hingga 1659. Beliau ialah Bendahara Kesultanan Johor pada tahun 1580 hingga 1615. Beliau juga ialah moyang kepada Sultan Johor dan Sultan Terengganu di kemudian hari.
Pada tahun 1613, Tun Seri Lanang dibawa ke Aceh. Tun Seri Lanang lebih dikenali sebagai salah seorang bijak pandai dan pengarang ulung bangsa Melayu melalui karyanya yang ditulis bermula tahun 1612 dan disiapkan pada 1614 iaitu Sulalatus Salatin (Salasilah Para Sultan) atau lebih dikenali sebagai “Sejarah Melayu”. Buku ini kini lebih 80 versi di seluruh dunia.
Tun Seri Lanang adalah bendahara Johor iaitu kerajaan yang menjadi pewaris Melaka setelah kejatuhan Melaka pada 1511. Beza gap antara kehidupan Tun Sri Lanang adalah puluhan tahun selepas kejatuhan Melaka. Mengatakan beliau sebagai pengkhinat kejatuhan Melaka, adalah sebuah kesilapan paling besar dalam sejarah.
Bagaimana pula Tun Seri Lanang boleh dikatakan sebagai pembelot, tali barut, tukang cakap Portugis sedangkan ketika Melaka jatuh pada 1511, Tun Seri Lanang belum pun lahir lagi. Dalam buku Sejarah Melayu, Tun Seri Lanang tidak mengatakan pun bahawa Melaka kalah kerana menggunakan senjata Keris dan lembing.
Sebaliknya, Tun Seri Lanang ada menulis bahawa Portugis terpaksa bersusah payah, menyerang dan berundur (lari ke Goa) beberapa kali sebelum berjaya menjatuhkan Melaka. Ini menunjukkan bahawa ketika itu Melaka kuat. Tun Seri Lanang menceritakan kejatuhan Melaka kepada Portugis hanya secara umum sahaja tanpa memberi perincian apatah lagi menyebut punca kekalahan adalah kerana senjata tradisional.
Mungkin Prof Mat Rofa tersalah tafsir dan silap faham tulisan Tun Seri Lanang. Bagaimana dikatakan buku Tun Seri Lanang ini ditulis dengan mengikut telunjuk Portugis sedangkan ketika itu Johor musuh Portugis dan sebahagian buku tersebut ditulis ketika Tun Seri Lanang hidup di Aceh yang juga musuh Portugis.
Adapun, nak ditanyakan apakah Prof Mat Rofa pernah membaca salinan awal yang pernah ditulis oleh Tun Seri Lanang kerana kebanyakan manuskrip Sulalatus Salatin yang wujud pada hari ini adalah ditulis pada waktu terkemudiannya. Salinan manuskrip Sulalatus Salatin yang tertua ditemui sehingga kini bertarikh 1798 yang telah disalin di Melaka dan kini tersimpan di St. Petersburg, Rusia. Tun Seri Lanang meninggal dunia pada pertengahan abad ke- 17 (1659). Jadi, ada tempoh selama 100 tahun yang kosong untuk kita membandingkan salinan asal Tun Seri Lanang dan salinan paling tua yang wujud pada masa kini. Jadi, adalah tidak adil terus menghukum Tun Seri Lanang dengan pelbagai tohmahan kalau salinan asal Tun Seri Lanang pun kita tidak pernah melihatnya.
Isi kedua, Prof Mat Rofa berkata :-
“Tun Seri Lanang ditangkap oleh tentera Aceh lalu dibawa ke Aceh. Tun Seri Lanang nak dibunuh, tetapi diampunkan setelah bertaubat”.
Jawapan :-
Tun Seri Lanang dibawa ke Aceh pada tahun 1613 ketika Kesultanan Johor kalah perang dengan Kesultanan Aceh. Ini adalah era Perang Tiga Segi antara Johor-Aceh-Portugis. Beliau dibawa ke Aceh bersama-sama Sultan Johor-Riau iaitu Alauddin Riayat Shah III, Raja Abdullah dan kerabat diraja Johor yang lain serta 23,000 rakyat Johor. Mereka yang ditawan itu dilayan baik oleh Sultan Aceh malah Raja Abdullah sendiri dikahwinkan dengan adinda sultan Aceh.
Pada akhir tahun 1613, Raja Abdullah dihantar pulang bersama-sama dengan 2,000 tentera Aceh dan diberikan sejumlah wang oleh Sultan Aceh untuk membina semula kota istana kesultanan Johor. Pada tahun 1614, Sultan Alauddin dibenarkan pulang setelah baginda berjanji untuk membantu Aceh melawan Portugis.
Sebahagian besar rakyat Johor memilih untuk menetap di Aceh dan ditempatkan oleh sultan Aceh di Samalanga termasuk Tun Seri Lanang yang dilantik sebagai ”Ulubalang” atau gabenor Samalanga pada tahun 1613 dan terus memerintah selama 40 tahun sehingga kematiannya pada tahun 1659 di Samalanga, Aceh. Beliau juga bertindak sebagai penasihat kepada Sultan dan diberi gelaran “Orang Kaya Dato’ Bendahara Seri Paduka Tun Seberang”. Beliau telah menjadikan Samalanga sebagai pusat pendidikan Islam di Kesultanan Aceh Darussalam.
Dalam Fasal 3 Kanun Syarak Aceh, seseorang itu mestilah memenuhi 22 kelayakan berikut untuk menjawat jawatan Hulubalang (Pemimpin Wilayah):-
1) Bukan bekas hamba sahaya
2)Telah berumur 40 tahun
3) Mengetahui selok belok hukum syarak
4) Berasal dari keturunan yang baik
5) Tidak mempunyai musuh di wilayah yang diperintah
6) Bersifat berani pada perkara yang benar
7) Berasa takut pada perkara yang salah
8) Berkemampuan menahan amarah
9) Mengetahui Kanun Syarak Kerajaan Aceh
10) Bersifat pemurah dan penyayang kepada fakir miskin
11) Mengerti melaksanakan fardu ain dan fardu kifayah
12) Mampu menjadi imam solat Jumaat di masjid
13) Mampu menjadi khatib Jumaat di masjid
14) Bijaksana
15) Mempunyai sifat malu dan tidak tamak
16) Penyabar dan rendah hati
17) Membebankan amar makruf dan nahi mungkar
18) Pemilihannya berdasarkan muafakat rakyat
19) Berkeupayaan memelihara kehormatan rakyat
20) Tidak bersifat zalim
21) Berpegang teguh dengan hukum syarak
22) Berpegang dengan Kanun Syarak Aceh
Mustahil untuk Tun Sri Lanang digelar sebagai pengkhianat kerana beliau berjaya menepati semua ciri-ciri yang digariskan dalam undang-undang Acheh. Kesultanan Aceh pula melayan kerabat dan pegawai diraja Johor dengan baik bahkan diberi kahwin, diberi gelaran kehormat dan dilantik jadi pemerintah di Aceh lagi. Sebenarnya, dalam Perang Tiga Segi ini, Aceh bukanlah nak hapuskan Kesultanan Johor terus. Tapi hanya hendakkan Kesultanan Johor tunduk akur kepada kekuasaan Aceh. Melaka telah lama menguasai ekonomi melalui perdagangan di Selat Melaka.
Apabila Melaka jatuh ke tangan Portugis, maka Johor ingin merampas kembali. Maka berlakulah perseteruan antara Johor-Portugis. Namun, Aceh yang ketika itu dalam fasa perluasan kuasa empayarnya juga ingin menjaga sumber ekonomi perdagangan mereka. Aceh tidak mahu Portugis atau Johor menyebabkan perdagangan di pelabuhan Aceh tergugat. Oleh itu, Aceh berpandangan perlu menundukkan Johor dahulu dan kemudian sama-sama menentang Portugis.
Isi ketiga, Prof Mat Rofa berkata :-
“Johor, Pahang, Riau-Lingga adalah pengkhianat. Bersama Portugis mempertahankan Melaka”
Jawapan :-
Sudah dinyatakan bahawa Johor, Pahang dan Riau-Lingga itu pewaris Melaka. Mereka nak pertahankan Melaka bukan bermakna mereka bekerjasama dengan Portugis, tetapi sebaliknya merekalah yang melawan Portugis untuk merampas kembali kota Melaka. Dan perseteruan Johor-Aceh juga telah dijelaskan. Ia perang tiga penjuru.
Maka tidak boleh dibuat kesimpulan dangkal hitam-putih (binary atau simplistik) terhadap perang yang melibatkan tiga pihak ini. Bahkan, Acheh sendiri pernah bekerjasama dengan Portugis atau Belanda, jadi menafsir geopolitik pada ketika itu dengan kaca mata hitam putih hari ini perlu dielakkan.
Isi keempat, Prof Mat Rofa berkata :-
“Melaka diambil alih oleh Belanda. Raja Haji dilantik menjadi komander besar alam Melayu untuk menentang Belanda namun tewas kerana pengkhianatan.”
Jawapan :-
Ini adalah kontradiksi dari Prof Mat Rofa. Tadi pada awalnya beliau mengatakan bahawa Johor adalah pengkhianat. Tapi kini beliau katakan Raja Haji Fisabilillah Marhum Ketapang adalah hero pula. Sedangkan Raja Haji ini ialah Yang Dipertuan Muda Kesultanan Johor-Riau-Lingga. Kan bercanggah tu. Kisah Raja Haji ini tidak boleh disamakan dengan kisah Tun Seri Lanang. Ini kerana Raja Haji hidup pada tahun 1727 hingga 1784 iaitu setelah 68 tahun Tun Seri Lanang meninggal dunia.
Pengkhianatan yang berlaku di zaman Raja Haji tak boleh dikaitkan dengan Tun Seri Lanang kerana ia bersalahan secara kronologi. Dan era Raja Haji, adalah era perseteruan antara Riau dengan Belanda. Ketika ini, Melaka telahpun dikuasai Belanda iaitu sejak tahun 1641. Maka ia sangat tiada kaitan dengan Tun Seri Lanang. Sejarah amat mementingkan kronologi, maka amat tidak boleh untuk campur adukkan plot sejarah tidak mengkut kronologi lalu membuat kesimpulan.
Isi kelima, Prof Mat Rofa berkata :-
“Bangsa Melayu yang paling mudah dimanipulasi oleh penjajah”.
Jawapan :-
Sejak Melaka ditawan oleh Portugis pada 1511 sehingga merdeka dari British pada tahun 1957, orang Melayu masih lagi kuat mendokong Adat Melayu. Orang Melayu di sini masih lagi tidak berjaya dimurtadkan tidak seperti yang terjadi di Fiipina.kita kekal dengan agama Islam bermazhab Ahlus Sunnah Wal Jamaah mengikut Imam Abu Hassan al-Asyaari pada Akidah, Imam asy-Syafie pada Fiqh dan Imam al-Ghazali pada Tasawwuf.
Bahkan orang Melayu di Malaysia masih lagi berjaya mengekalkan institusi Raja-Raja Melayu. Kita masih lagi berjaya mengekalkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Orang Melayu dulu tetap berjuang melawan musuh sama ada Portugis, Belanda, British, Siam, Jepun mahupun Komunis. Bahkan penjajahan alaf baru, bentuk baru iaitu ICERD pun orang Melayu bangkit melawan. Jadi, dimana buktinya orang Melayu mudah dimanipulasi?
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih