Pada minggu pertama bulan November tahun 1914, gabungan Triple Entente atau Sekutu yang berperang dengan Empayar Jerman, telah mengisytiharkan perang terhadap Empayar Uthmaniyah. Beberapa hari kemudian, pada 14 November, Sheikhul Islam (mufti besar) Uthmaniyah mengemukakan lima fatwa ringkas dalam satu perhimpunan umum di Istanbul. Upacara ini merupakan deklarasi melancarkan perang jihad Empayar Uthmaniyah menentang Rusia, Perancis dan Inggeris.

Seruan jihad ditujukan kepada umat Islam di seluruh dunia melalui mesej yang ringkas: Hukum fardhu kifayah dalam jihad sudah berubah menjadi fardhu ain kerana Khalifah perlu menghadapi ancaman musuh-musuh Empayar Uthmaniyah, maka jihad juga sudah menjadi kewajiban fardhu ain bagi semua umat Islam di seluruh dunia.

Pada zaman itu terdapat sindiran yang spesifik berkaitan penglibatan Jerman dengan deklarasi tersebut. Dalam pandangan ini, sebenarnya Jerman dianggap sebagai dalang yang menciptakan jihad secara praktikal sebagai alat perang dan si pelaku yang bukan berbangsa Eropah hanyalah menjadi kambing hitam.

Debat ilmiah pada hari ini banyak berkisar di sekitar agenda Islam dalam usaha melaksanakan konsep jihad politik semasa Perang Dunia Pertama. Tiga hujah boleh disimpulkan di sini:

Pertama, apabila Kuasa-kuasa Eropah menggunakan retorik Islam, misalnya dalam konteks penjajahan, mereka masih perlu bergantung kepada umat Islam untuk tujuan penyebaran dan pelaksanaan konsep tersebut.

Kedua, Empayar Uthmaniyah mempunyai agenda tersendiri dengan menggunakan pendekatan agama yang memiliki tanggapan bahawa dengan mencetuskan sentimen keagamaan, Uthmaniyah mungkin boleh mengurangkan bahang kebangkitan gerakan nasionalis anti-Uthmaniyah di kalangan bangsa Arab.

Ketiga, Empayar Uthmaniyah memang sejak dari dulu lagi sering menggunakan retorik keagamaan terutamanya konsep jihad sejak sebelum Perang Dunia Pertama seperti semasa Perang Crimea (1853-1856) dan Perang Itali-Turki (1911-1912).

Propaganda Jihad ‘Haji Wilhelm’

Walau bagaimanapun, tidak dinafikan bahawa Kaisar Wilhelm II memang obses terhadap Islam dari segi sejarah dan kebudayaan. Maharaja Jerman itu mula menunjukkan minat terhadap Islam ketika kunjungannya pada tahun 1889 ke Empayar Uthmaniyah, di mana dia tertarik dengan tarian Circassia di istana semasa bertemu dengan Sultan Abdulhamid II.

Kaisar Wilhelm II

Kunjungan seterusnya adalah ke Jerusalem (Baitulmaqdis) di bawah naungan Uthmaniyah yang membuat Wilhelm yang terpukau dengan keindahan senibina dan sejarah tanah suci itu hingga dia menyatakan, sekiranya dia tiba di sana sebagai seorang agnostik, “Aku pasti akan menjadi seorang Mohametan!” (istilah barat merujuk kepada umat Islam yang mengikuti ajaran Nabi Muhammad S.A.W.)

Semasa mengunjungi Masjid Umayyah di Damsyik, Wilhelm merasa kesal kerana jasad seorang pahlawan Islam yang amat dikaguminya itu berada dalam keadaan yang serba kekurangan. Maka, Wilhelm menyumbangkan batu marmar yang baru untuk menghiasi makam tersebut.

Namun sebenarnya Jenazah Salahuddin bukanlah ditempatkan di dalam kubur yang dihiasi marmar sumbangan Wilhelm itu, sebaliknya makam di situ mempunyai dua buah kubur iaitu satu kubur kosong yang dihiasi marmar dan satu lagi barulah kubur yang menempatkan jenazah Salahuddin yang diperbuat daripada kayu.

Tidak lama kemudian Kaiser Wilhelm II mendapat jolokan sebagai “Haji Wilhelm”. Khabar angin mengenai maharaja Empayar Jerman telah memeluk Islam tersebar meluas beberapa dekad selepas itu. Tetapi jangan lupa, dalam kegilaan Wilhelm menunjukkan obsesinya terhadap Islam, maharaja itu cukup sedar dan memahami bahawa kelompok “Mohametan” boleh dijadikan senjata rahsia Jerman dalam agenda melawan campur tangan Empayar British dan sekutu.

Barisan tentera Uthmaniyah dan Jerman.

Ratu British dan Maharaja Jerman bukanlah orang asing kerana hampir setiap empayar Kristian di Eropah adalah berasal dari kaum kerabat yang sama. Namun keluarga imperialis Eropah ini tetap berakhir di medan perang, dengan mengheret sekali Empayar Uthmaniyah selaku ‘orang asing’.

Oleh itu, langkah Jerman dimulakan dengan mengikat ‘pertunangan’ di antara dunia Islam dengan Berlin menggunakan besi dan keluli, ya, Kaiser Wilhelm II meluluskan dan membenarkan projek pembinaan landasan kereta api antara ibu kota Jerman dengan Baghdad di Iraq yang menjadi mimpi ngeri bagi British.

Namun, Revolusi Turki Muda pada tahun 1908, yang menggulingkan rakan sejawat Wilhelm, Sultan Abdulhamid II, menimbulkan masalah kepada politik Turki-Jerman. Mujurlah nasib masih menyebelahi Wilhelm kerana salah seorang pegawai terpenting dalam Turki Muda, Enver Pasha, ternyata merupakan seorang pegawai Uthmaniyah yang lebih pro-Jerman secara aktif berbanding Abdulhamid.

Entahlah, sama ada secara kebetulan atau memang terancang, tetapi Enver Pasha juga turut menggayakan trend misai dengan gaya tanduk lembu yang telah dipopularkan oleh Kaiser Wilhelm II sebelum itu.

Tentangan Politik Dalaman Jerman

Ramai ahli politik dan intelektual Jerman memiliki tanggapan bahawa jihad akan menjadi alat yang praktikal bagi Empayar Jerman dalam memerangi Sekutu. Mereka mengharapkan gelombang pemberontakan di wilayah-wilayah jajahan British dan pembelotan tentera Sekutu yang beragama Islam akan melemahkan kekuatan musuh lalu mendorong mereka menarik kembali tentera mereka dari medan tempur Eropah.

Oleh itu, promosi konsep jihad secara politik global adalah sangat diperlukan. Prinsip umat Islam yang bersedia mengetepikan perbezaan etnik dan adat kebudayaan mereka demi perpaduan dan menjaga kesucian agama Islam telah mendorong para pembuat keputusan Jerman untuk percaya bahawa satu seruan jihad yang diisytiharkan oleh Sultan Uthmaniyah merangkap Khalifah Islam boleh menyatukan umat Islam sejauh dari Afrika Utara dan Sub-Sahara ke India, Balkan dan Kaukasus. Bahkan, kesannya turut mempengaruhi Asia Tenggara terutamanya di Tanah Melayu dan Singapura.

Tentera Uthmaniyah mengaminkan doa selepas deklarasi Jihad.

Pendukung rancangan pemberontakan di wilayah jajahan British datang dari berbagai bidang, antaranya adalah pegawai dari Pejabat Luar Negeri, seperti Arthur Zimmermann dan Staf Umum seperti Rudolf Nadolny. Kaiser Wilhelm II sudah tentu akan menyokong idea tersebut. Jurnalis selaku figura awam, Ernst Jäckh, ilmuan Martin Hartmann dan bekas diplomat, Max von Oppenheim turut mendorong menggalakkan penyebaran idea jihad.

Dari semua orang yang terlibat, nama-nama ini bekerjasama di peringkat kerajaan dan badan bukan kerajaan yang berbeza untuk mencapai matlamat mereka. Organisasi propaganda Nachrichtenstelle für den Orient memainkan peranan penting kerana ia merupakan titik pusat bagi penyokong dari pelbagai bidang. Kerjasama dengan orang bukan Jerman, terutama dengan kuasa di rantau Afrika Utara, India dan Turki, sangat diperlukan.

Mereka menghasilkan teks dan menularkan konsep jihad di kalangan umat Islam yang lain. Meskipun begitu, Empayar Jerman tidak terbatas pada penerbitan bahan propaganda semata-mata. Para cendekiawan serta kakitangan tentera dan diplomatik berlegar-legar di negeri-negeri berpopulasi Muslim yang tinggi untuk menyebarkan propaganda.

Sementara itu antara nama-nama yang terkenal di kalangan mereka ini antaranya ialah Wilhelm Wassmuss, yang dihantar ke Afghanistan dan Mesopotamia, Curt Prüfer ditempatkan di Afrika Utara dan Levant, Paul Schwarz di Kaukasus dan Leo Frobenius menduduki posisi di Sudan.

Debat Jihad Di Jerman

Semasa entiti-entiti politik elit dan intelektual menyokong kerjasama ketenteraan dengan Empayar Uthmaniyah dan mempromosikan seruan jihad, majoriti rakyat Jerman kebanyakannya bersikap skeptik. Golongan mubaligh seperti Joseph Froberger bimbang sekiranya deklarasi jihad akan memperkuatkan Islam dan melemahkan usaha dakyah mereka.

Para pentadbir koloni Jerman mempersoalkan tindakan deklarasi itu terhadap umat Islam di jajahan Jerman Afrika Timur dan membuat spekulasi bahawa keputusan itu boleh menjadi senjata yang memakan diri sendiri. Bahkan dalam Jabatan Luar Negeri, pegawai seperti Friedrich Rosen juga tidak merestuinya.

Kunjungan Wilhelm ke Empayar Uthmaniyah.

Namun tentangan ini sekadar datang dari luar negara. Pada tahun 1915, perdebatan antara Carl Heinrich Becker dan Christiaan Snouck Hurgronje bermula di mana Hurgronje yang juga seorang Orientalis Belanda dan mantan pegawai kolonial, menerbitkan sebuah artikel berjudul “Heilige Oorlog Gemaakt in Duitsland (Perang Suci Buatan Jerman)”.

Dia mengkritik dasar politik luar negeri Jerman dan orientalis kerana menyokong dan mempromosikan jihad. Kemudian Hurgronje menuduh Jerman telah mencipta situasi yang telah mendorong Empayar Uthmaniyah untuk melancarkan jihad. Menurutnya, deklarasi jihad itu berpotensi untuk mengembalikan dunia ke Zaman Pertengahan semasa Islam sedang mendominasi dunia sebagai kuasa besar.

Selain itu, dia beranggapan bahawa kuasa-kuasa Eropah ada misi yang bertamadun, maka tidak sepatutnya mereka mendorong semangat fanatik keagamaan. Becker bertindak balas dengan menafikan keterlibatan Jerman, mempertahankan hubungan persahabatan Jerman-Uthmaniyah dan menyerang Hurgronje secara peribadi. Menurutnya, jihad pada waktu itu telah menjadi konsep yang telah pun mengalami proses sekularisasi.

Perdebatan itu terus berlanjutan selama beberapa bulan dan mengakibatkan kedua-dua rakan setugas itu terpaksa diasing kerana perbezaan pandangan mereka yang teguh.

Walau bagaimanapun, pengasingan umum antara penyokong jihad dan penentangnya tidak akan boleh mengenal pasti kerumitan topik ini sepenuhnya. Pelaku yang berlainan mempunyai perspektif dan niat yang sangat berbeza dalam memilih “pihak”. Malah para penyokong boleh jadi tidak bersetuju mengenai pelaksanaan jihad atau konsep jihad itu sendiri.  Terdapat dua contoh yang boleh menggambarkan pandangan yang berbeza.

Contoh pertama adalah buku risalah yang ditulis oleh Eugen Mittwoch pada tahun 1914. Mittwoch adalah seorang orientalis, yang mengajar di Universiti Berlin dan Berliner Seminar für Orientalische Sprachen (Sekolah Bahasa Oriental Berlin) semasa bekerja untuk Nachrichtenstelle für den Orient. Buku terbitannya, Deutschland, die Türkei und der Heilige Krieg  (Jerman, Turki dan Perang Suci) muncul dalam siri Kriegsschriften des Kaiser-Wilhelm Dank (Catatan Perang Kaiser Wilheln).

Bagi penulis itu, Jerman sedang melancarkan Perang Suci, kerana ini adalah perang di jalan kebenaran. Empayar Uthmaniyah juga berperang di jalan yang benar kerana mereka berjuang demi kelangsungannya sendiri. Maksudnya, Mittwoch menyatakan bahawa jihad Uthmaniyah bukanlah perang jihad dalam konteks agama, tetapi ianya adalah perang demi kedaulatan negara dan tanah air.

Kor Mehter (pancaragam) Tentera Uthmaniyah

Mittwoch cuba menunjukkan bahawa konsep jihad ketika itu sudah dipengaruhi unsur-unsur sekular, dan Uthmaniyah hanya mempraktikkan konsep keagamaan untuk menyatukan rakyatnya yang beragama Islam.

Contoh kedua adalah teks risalah dari tahun 1915 oleh Salih as-Sharif al-Tunisi yang merupakan ilmuan agama dari Afrika Utara. Teks ini adalah terjemahan versi Arab dari tahun 1914. Berjudul “Die Wahrheit über den Glaubenskrieg” (Hakikat Tentang Perang dan Agama), risalah ini bergantung kepada hujah agama.

Oleh kerana pencabulan dilakukan ke atas tanah-tanah orang Islam, iaitu Empayar Uthmaniyah, ia telah menjadi satu tindakan perang terhadap dunia Islam secara keseluruhan, oleh itu menjadi kewajiban fardhu ain secara peribadi bagi semua umat Islam untuk menyertai pertempuran atau sekurang-kurangnya menyokong jihad.

Para ulama telah menekankan bahawa jihad khusus ini bukanlah disasarkan terhadap keseluruhan orang bukan Islam secara membuta tuli, tetapi Islam hanya akan memerangi gabungan sekutu Rusia, Perancis dan Inggeris.

Kedua-dua teks ini memahami “Perang Suci” bukan hanya dalam pengertian sejarah secara harfiah, tetapi memandang ia sebagai perang menentang musuh yang zalim. Namun, Mittwoch lebih menumpukan kepada hal ehwal politik, sementara Salih al-Tunisi menganggap jihad sebagai istilah atau konsep agama secara eksklusif. Menariknya, risalah Salih al-Tunisi diterbitkan oleh “Persatuan Pengajian Islam Jerman”, yang memiliki agenda mempromosikan kerjasama antara Reich Jerman dan Kekhalifahan Uthmaniyah.

Para pemerintah Kuasa Tengah.

Kesimpulannya, sama ada ianya deklarasi jihad Uthmaniyah dan dunia Islam mahu pun  propaganda jihad Jerman, kedua-duanya tidak membawa banyak perubahan terhadap perkembangan Perang Dunia Pertama. Istanbul dan Berlin terlalu jauh bagi umat Islam di Afrika Barat Perancis, India Muslim di sub-benua India, Melayu Islam di Asia Tenggara, mahu pun rumpun jauh Turki sendiri, Uighur di Turkestan Timur (Xinjiang).

Tanggapan para pegawai Uthmaniyah dan Jerman bahawa deklarasi yang dikeluarkan Empayar Uthmaniyah mampu mengikat Umat Islam dengan Jerman secara global ternyata adalah salah faham, perbezaan budaya dan etnik antara mereka terlalu ketara.

Dasar luar negeri Jerman secara umumnya tidak memiliki pengetahuan secara menyeluruh. Para kedutaan/diplomat, utusan dan perwakilan dari Jerman sering gagal membiasakan diri dengan adat tradisi tempatan di wilayah asing (oriental) yang mereka ditugaskan.

Bahkan mereka sering mengambil tindakan dengan cara yang terlalu mendedahkan ambisi mereka kepada pihak musuh. Lebih teruk lagi, walaupun dibiayai menggunakan peruntukan kerajaan, inisiatif propaganda jihad Jerman sebenarnya berhadapan dengan masalah kewangan.

Memasuki era Republik Weimar, dasar luar negeri Jerman telah hilang kepentingannya di Timur Tengah dan lebih dari tiga puluh buah pejabat konsulat Jerman ditutup. Hanya menjelang kebangkitan Nazi Jerman sahaja barulah wilayah itu sekali lagi menjadi isu penting dan beberapa suara cuba memupuk kembali idea lama “Merevolusikan Timur”, konsep yang sama seperti “Asia Untuk orang Asia” yang dipromosikan Empayar Jepun.

Adolf Hitler dan Mufti Besar Baitulmaqdis, Amin al-Husaini.

Namun, dalam Perang Dunia Kedua,  Islam dan jihad tidak lagi memainkan peranan sepenting era Empayar Uthmaniyah, ini membuktikan bahawa hanya dengan menyatukan umat Islam sahaja barulah Islam akan kembali bangkit di pentas dunia.

Sayangnya, setelah umat Islam kehilangan Khalifah sebagai pusat dunia Islam, hari ini Islam semakin meninggalkan zaman kegemilangannya yang penuh bertamadun, yang membudayakan bidang ilmu hingga menjadi pusat ilmu dan sains global, yang menjadi kuasa besar dunia. Semua ini hilang kerana umat Islam sedang berpecah. Situasi umat Islam hari ini tidak ubah seperti umat Kristian di Eropah semasa dibelenggu Zaman Kegelapan Eropah yang penuh dengan kepercayaan tahyul dan menolak kemajuan sains.

Hari ini, sebilangan ahli sejarah moden berpegang kepada teori yang mendakwa apa yang menyebabkan idea fanatisme Islam bercambah hingga melahirkan begitu banyak organisasi fanatik dalam bentuk pertubuhan pengganas yang menunggang nama Islam hari ini sebenarnya berasal dari agenda perang ‘Haji Wilhelm’ dan orang kanannya yang didakwa pernah menghasut umat Islam agar menghalalkan darah kaum Yahudi sehingga kiamat, siapa lagi kalau bukan Max von Oppenheim.

RUJUKAN:

Habermas, Rebekka, Debates on Islam in Imperial Germany, in: David Motadel (ed.), Islam and the European Empires. Oxford. 2014.

Lüdke, Tilman, Jihad made in Germany. Ottoman and German propaganda and intelligence operations in the First World War, Münster 2005.

Bogan, Yagiz. Can, Murat. (2021). How the German Empire Provoked Ottoman Jihad in WWI. Kings and Generals.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

•MALAY• •MUSLIM• •TERENGGANU• •NATIONALIST• •CONSERVATIVE•

Comments are closed.