Beliau antara aktivis dan reformis yang bertanggungjawab dalam pembentukan Joseon serta berperanan dalam mengubah suasana politik pada akhir era Goryeo sehinggalah awal Joseon.

Beliau adalah Jeong Dojeon, seorang sarjana, ahli falsafah dan pernah dilabelkan sebagai seorang pengkhianat negara. Sisi sejarah memperlihatkan dirinya dalam pelbagai spektrum, antara negatif dan positif, namun begitu, Jeong Dojeon, atau nama penanya, Sambong kekal dikenang sebagai antara individu penting yang mengubah arus politik dalam Tamadun Korea.

Sejarah Awal

Jeong Dojeon merupakan anak sulung kepada Jeong Un-Gyeong (1305 M – 1366 M), dan ibunya hanya dikenali dengan nama keluarga Wu. Dilahirkan pada tahun 1342 di Yeongju, pada era Dinasti Goryeo dan zaman kanak-kanaknya telah dihabiskan di ibu kota Goryeo. Jeong Dojeon mempunyai dua adik lelaki, iaitu Do-Jon dan Do-Bok, serta seorang adik perempuan. Keluarga bapanya berasal daripada keturunan Jeong di Bonghwa, berhampiran dengan Yeongju, di Wilayah Gyeongsang, yang mana mereka telah berkhidmat di pejabat kerajaan tempatan sebagai pegawai kerajaan selama beberapa generasi.

Ada banyak bukti sejarah yang menunjukkan bahawa keluarganya, iaitu keturunan Jeong dari Bonghwa tidak dianggap sebagai gwonmun sejok (keturunan yang mempunyai pengaruh atau kuasa) dari segi status ekonomi dan sosial mereka pada sekitar tahun 1350-an.

Catatan sejarah menggambarkan Jeong Dojeon ini sebagai seorang yang datang daripada kelas pertengahan, yang dicirikan dengan memiliki sedikit tanah dan tiga orang hamba. Melihat kepada keadaan ekonominya, aspirasi serta visi Jeong Dojeon pada akhir era Dinasti Goryeo yang ingin membuat pembaharuan dalam pemilikan tanah telah menjadi sebab untuk mengangkat beliau seperti wira yang memberi kesedaran terhadap kesejahteraan rakyat bawahan.

Moyang Jeong Dojeon telah diberikan gelaran rasmi oleh pihak istana atas jasanya berkhidmat dalam komuniti di kampung mereka. Namun begitu, gelaran ini tidak memberikan apa-apa kesan dalam kenaikan status sosial keluarga Jeong, dan mereka harus menunggu sehingga keluarga tersebut dapat memberikan seorang calon yang berkelayakan serta mampu untuk menduduki peperiksaan perkhidmatan awam negara.

Keperluan untuk lulus dan berjaya di dalam peperiksaan demi mendapatkan kenaikan dalam status sosial inni berkait rapat dengan perubahan yang berlaku dalam pentadbiran iaitu golongan bangsawan atau aristokrat yang menjadi anggota dalam sistem pemerintahan dan pentadbiran pusat.

Pada awal pemerintahan Dinasti Goryeo, suatu kumpulan dalam kalangan birokrat yang setia telah dipilih bagi menganggotai pentadbiran negara dan pihak pemerintah berusaha untuk memastikan kesetiaan mereka terhadap negara. Salah satu cara untuk memastikan para pegawai ini kekal setia terhadap negara adalah melalui sistem perlindungan eumseo atau dikenali sebagai eum telah diwujudkan.

Sistem ini membenarkan anak cucu kepada pegawai kelas atasan (gred lima dan ke atas) untuk memulakan kerjaya mereka tanpa menghabiskan waktu bertahun-tahun untuk mempelajari ajaran klasik Confucian. Disebabkan inilah, maka ramai cucu serta anak-anak saudara para pegawai berjawatan tinggi diberi kelebihan untuk menjadi pegawai melalui sistem eum. Malah, jika mereka telah bersedia untuk mengambil peperiksaan perkhidmatan awam, mereka akan diberi keistimewaan tambahan, iaitu layak untuk memasuki Akademi Confucian tanpa perlu lulus dalam ujian kelayakan.

Melihat kepada struktur politik tidak rasmi seperti asal usul, hubungan perkahwinan dan sistem perlindungan sebagai antara sebab yang membenarkan kenaikan status sosial seseorang individu, maka, kehadiran keluarga Jeong dalam rangkaian pegawai dengan hak istimewa adalah sesuatu yang agak luar biasa.

Bapa Jeong Dojeon, Jeong Un-Gyeong telah memperoleh kelulusan tertinggi dalam peperiksaan perkhidmatan awam negara pada tahun 1330, yang membenarkan keluarga mereka berpindah ke ibu kota Goryeo, dan seterusnya memasuki politik Goryeo. Ini menjadikan keturunan Bonghwa Jeong sebagai satu-satunya  keturunan biasa yang mana ahli keluarganya mampu mencapai kedudukan tiga teratas dalam pentadbiran negara sewaktu pemerintahan Raja Gongmin berbanding keturunan lain yang lebih berpengaruh. Jeong Un-Gyeong telah memulakan kerjayanya sebagai pegawai bawahan dan terus berkhidmat dalam kerajaan selama hampir tiga dekad dan jawatan terakhirnya adalah sebagai Menteri Keadilan sebelum bersara akibat masalah kesihatan pada tahun 1363.

Jeong Dojeon berada pada usia remajanya apabila Putera Wang Gi (Raja Gongmin) diberikan takhta kerajaan oleh Maharaja  Toghon Temürthe (Shundi), iaitu maharaja terakhir Dinasti Yuan pada tahun 1351. Ketika ini, berlaku keadaan kucar kacir apabila Yuan mengalami perpecahan antara keluarga diraja dengan pentadbir elit, pentadbiran yang tidak berfungsi, bencana alam seperti banjir dan epidemik serta kebangkitan kuasa para panglima perang.

Pendidikan dan kerjaya

Sebelum memasuki dunia politik, Jeong Dojeon menyara hidup dengan mengajar kanak-kanak di kampung, dan tinggal bersama isteri serta anak lelakinya. Pada sekitar tahun 1357 hingga 1358, Jeong Dojeon telah mempelajari fahaman Confucianisme daripada Yi Saek di Kaeseong, iaitu ibu kota Goryeo. Antara rakan lain yang turut sama belajar bersamanya adalah Jeong Mongju, Park Sangchun dan Gwon Geun.

Beliau lulus dalam peperiksaan pada tahun 1360 dan telah memasuki Akademi Kebangsaan Confucian sebelum direkrut bagi memasuki pejabat kerajaan daerah untuk mengisi jawatan baharu. Apabila tempoh perjawatan rasminya di pejabat daerah berakhir, Jeong Dojeon kembali ke ibu kota dan berkhidmat dalam menguruskan arkib yang menghasilkan teks bagi ritual korban kebangsaan. Beliau kemudiannya dinaikkan pangkat ke pejabat yang menguruskan manual bagi acara-acara kebangsaan dan diraja.

Pada Januari, 1366, bapanya, Jeong Un-Gyeong meninggal dunia. Jeong Dojeon meletakkan jawatan dan kembali ke kampungnya di Yeongju. Setahun kemudian, ibunya pula meninggal dunia. Disebabkan inilah, Jeong Dojeon mengambil keputusan untuk mengadakan pengebumian serta upacara peringatan untuk ibu bapanya selama tiga tahun.

Pada tahun 1370, setelah selesai upacara peringatan tiga tahunnya, Jeong Dojeon kembali ke ibu kota untuk melawat Akademi Kebangsaan Confucian. Pada waktu itu, akademi ini telah mengalami penyusunan semula dari segi kurikulum yang menekankan aspek Neo-Confucian dalam urusan pentadbiran dan pembentukan polisi kerajaan.

Jeong Dojeon telah diberikan jawatan pengajar di akademi tersebut atas saranan mereka yang pernah sama-sama belajar bersamanya. Di bawah bimbingan Yi Saek, sebagai Menteri Utama di Akademi Kebangsaan Confucian ini, beliau telah diberi tugas untuk mengajar falsafah berdasarkan buku ‘Four Books and Five Classics’.

Disebabkan beliau memiliki pengetahuan yang luas dalam kesusasteraan China, Jeong Dojeon telah dinaikkan pangkat menjadi Penasihat Ritual di akademi pada tahun 1371. Apabila kerajaan Goryeo kembali memulihkan hubungan dengan kerajaan Ming, Jeong Dojeon telah dipilih sebagai salah seorang pegawai untuk berkhidmat di tempat suci diraja yang bertanggungjawab mengadakan acara serta latihan muzik yang sesuai sebagai sebuah dinasti di bawah kerajaan Ming.

Raja Gongmin sangat berpuas hati dengan tugas yang dijalankan oleh Jeong Dojeon dan terus meletakkan beliau dalam jawatan-jawatan yang berkaitan dengan institusi pendidikan serta ritual. Pada tahun 1374, Raja Gongmin telah dibunuh dan para pegawai kerajaan termasuklah Jeong Dojeon berhadapan dengan situasi politik yang baru membabitkan dominasi kerabat diraja serta kerjasama mereka dengan para jeneral tentera.

Perkenalan dengan Yi Seong Gye

Setelah kemangkatan Raja Gongmin, Yi In-Im, penyokong kuat yang meletakkan anak Gongmin sebagai raja, yang dikenali sebagai Raja U telah memulihkan kembali hubungan dengan bahagian utara Yuan.

Perubahan hierarki dalam hubungan diplomatik ini membawa kepada penentangan daripada para pegawai kerajaan yang menyokong reformasi Raja Gongmin, dan akhirnya sepuluh orang daripada mereka termasuklah Jeong Dojeon telah dibuang negeri. Malah, Jeong Dojeon juga diharamkan daripada memasuki ibu kota Goryeo selama enam tahun sehinggalah tahun 1380.

Pada tahun 1377, Jeong Dojeon diampunkan daripada perintah buangan serta dibenarkan untuk bebas bergerak dalam kadar terhad. Walau bagaimanapun, beliau masih tidak dibenarkan untuk memasuki ibu kota. Selepas empat tahun hidup dalam keadaan yang tidak menentu di beberapa buah tempat, Jeong Dojeon pulang ke kampungnya, dan membuka sebuah pusat pembelajaran persendirian yang mana golongan muda di kampung itu datang untuk belajar membaca dan menulis bahasa klasik Cina. Namun begitu, bukan mudah untuk beliau tetap tinggal di satu-satu tempat kerana adanya tentangan daripada orang tempatan yang berkuasa dan tempat pengajarannya telah dimusnahkan sebanyak dua kali.

Selepas dua kali berpindah randah, akhirnya pada tahun 1983, Jeong Dojeon melawat unit ketenteraan di bawah kuasa Yi Seong-Gye di sempadan wilayah timur laut. Pertemuannya dengan Ketua Panglima Wilayah Timur Laut itu adalah titik yang mengubah kehidupannya, dan permulaan kepada kejatuhan era Dinasti Goryeo. Jeong Mong Ju, iaitu pembantu ketenteraan kepada Yi Seong-Gye adalah orang yang bertanggungjawab merancang pertemuan mereka.

Kedudukan Yi Seong-Gye yang pernah berkhidmat sewaktu era Raja Gongmin serta terlibat dalam polisi ketenteraan Goryeo telah menjadikannya seorang yang begitu dihormati dan berpengaruh. Selepas pertemuan kali kedua mereka pada tahun 1384, Jeong Dojeon telah kembali ke jawatan dalam kerajaan, sebagai pegawai berpangkat tahap empat yang bertanggungjawab menulis untuk acara rasmi kerajaan.

Segala-galanya bermula pada tahun 1388 apabila unit ketenteraan Yi Seong-Gye berpaling tadah dalam kempen Semenanjung Liaodong, yang mana unit ini telah kembali ke ibu kota, dan melancarkan kudeta terhadap kerajaan Goryeo. Raja U telah digulingkan dan dibunuh setahun kemudian. Penggantinya, Chang, yang ketika itu berusia sembilan tahun hanya mampu mengekalkan takhta selama setahun sebelum menerima nasib yang sama seperti ayahandanya.

Pada tahun 1391, Jeong Dojeon telah dinaikkan pangkat sebagai Menteri Utama di Akademi Confucian dan serentak itu juga menjadi Menteri Biro Rundingan. Walau bagaimanapun, beliau telah dikecam, dan sekali lagi dipenjarakan. Beliau telah diberi keampunan oleh Raja Gongyang (raja terakhir Goryeo) dan kembali ke ibu kota sebelum membentuk pakatan bersama Yi Seong-Gye bagi menubuhkan sebuah dinasti baharu. Pada musim panas tahun 1392, Raja Gongyang akhirnya digulingkan dan era Dinasti Joseon bermula.

Peranan dalam politik Dinasti Joseon

Dua minggu selepas raja terakhir Goryeo, Gongyang digulingkan, pengasas dinasti baharu, iaitu Yi Seong-Gye telah mengeluarkan pengumuman rasminya kepada seluruh rakyat. Antara isi penting pengumuman berkenaan adalah penggunaan Kod Ming sebagai undang-undang utama bagi jenayah berat. Dalam hal ini, adalah penting bagi pihak pemerintah yang baharu ini untuk mengekalkan hubungan baik dengan Dinasti Ming untuk menjaga kesejahteraan kedua-duanya.

Jeong Dojeon merupakan antara utusan pertama yang terlibat untuk pergi ke Dinasti Ming, yang mana beliau telah membawa 60 ekor kuda sebagai hadiah buat Maharaja Hongwu pada Oktober, 1392.  Pada Disember, 1392, Maharaja Hongwu telah memperkenankan nama ‘Joseon’ digunakan sebagai nama dinasti baharu di bawah pimpinan Yi Seong-Gye. Menariknya, surat perkenan daripada Maharaja ini telah dibalas semula oleh pihak dinasti baharu dalam masa sebulan yang mana Jeong Dojeon merupakan antara orang bertanggungjawab dalam menyusun kandungannya.

Bermula daripada detik bersejarah kudeta 1388 hinggalah kepada kematiannya pada 1398, Jeong Dojeon telah memainkan peranan utama dalam membentuk pentadbiran  Joseon, yang mana beliau berkhidmat untuk pejabat-pejabat utama serta memegang jawatan penting. Jeong Dojeon merupakan orang kedua terpenting untuk membuat keputusan dalam Kementerian Kewangan, bertindak sebagai penasihat raja dalam hal pentadbiran dan terlibat sebagai utusan bersama bagi meraikan Sacred Occasion of the Birthday (untuk Maharaja dan Maharani China).

Karya falsafah Neo-Confucian dan sumbangan

Jeong Dojeon dikenali dengan nama penanya, Sambong yang bermaksud ‘Tiga Puncak’ dan namanya diambil sempena nama Puncak Dodamsambong di Danyang. Beliau banyak menghasilkan karya-karya puisi serta falsafah yang berkait rapat dengan fahaman Neo-Confucian dan dua karya puisi Jeong Dojeon, iaitu Geumnam japje (Pelbagai Esei Geumnam) dan Geumnam jabyeong (Lirik Geumnam) telah dihasilkannya ketika menjalani perintah dibuang negeri di kawasan pedalaman Naju di bahagian selatan.

Di tempat ini, beliau hidup bersama para petani dan rakyat biasa yang lain. Jeong Dojeon begitu menghargai kebaikan para petani yang hidup bersamanya sepanjang berada dalam tempoh buangan tersebut. Malah, beliau pernah menulis tentang kenangannya di Naju ini dalam satu bab bukunya yang bertajuk Sojaedonggi. Anekdot yang ditulis olehnya ini turut menggambarkan rasa kasihannya terhadap para petani yang tidak boleh mengambil peperiksaan awam atau menyertai politik bagi melindungi hak mereka.

Esei-esei serta karya puisi yang dihasilkan oleh Jeong Dojeon telah memainkan peranan penting dalam membangunkan struktur politik Dinasti Joseon. Sebagai pengikut kuat fahaman Neo-Confucian, asas yang digunakan oleh Jeong Dojeon dalam membentuk sistem politik dinasti baharu ini adalah sebuah kerajaan yang berdasarkan kuasa raja berdaulat, tetapi disokong oleh para pegawai elit daripada kasta yangban yang telah dididik dengan fahaman Neo-Confucian dan mengamalkannya dalam setiap undang-undang dan ritual kerajaan. Dalam hal ini, pembentukan golongan elit yangban untuk pentadbiran negara ini adalah ditentukan melalui gwageo, iaitu peperiksaan perkhidmatan awam negara.

Disebabkan Jeong Dojeon pernah hidup bersama petani dalam tempoh buangannya, beliau amat memahami akan derita serta kesusahan para petani untuk membayar cukai ladang serta lain-lain bayaran kepada tuan tanah. Dalam hal ini, Jeong Dojeon telah merangka satu lagi polisi pembaharuan berkaitan pemilikan tanah.

Berdasarkan fahaman Confucian, seorang pemerintah perlu mentadbir demi kepentingan dan kesejahteraan rakyatnya, dan Jeong Dojeon berpendapat bahawa ia adalah praktikal jika lebih banyak tanah diletakkan di bawah cukai pemerintah. Beliau telah mengubah banyak kawasan tanah sebagai tanah umum, dan mengagihkannya secara adil kepada para petani yang kemudiannya akan membayar sebahagian kecil cukai untuk tanah itu.

Pada tahun 1394, Jeong Dojeon telah mengeluarkan Joseon Gyeonggukjeon (The State Code of the Joseon Dynasty). Kod negeri ini menyenaraikan prinsip-prinsip asas pembentukan Dinasti Joseon, seperti definisi bagi ‘rakyat biasa di bawah pemerintahan yang baik’ serta ‘pentingnya kerjasama antara seorang penguasa yang baik dengan seorang menteri yang berbakat’.

Berdasarkan prinsip-prinsip ini, Jeong Dojeon berpendapat bahawa seorang raja yang baik hati harus melayani rakyat dengan baik sebagai balasan atas kesetiaan rakyat, dan seorang raja harus bekerjasama dengan para menterinya dalam apa jua keadaan. Malah, Jeong Dojeon turut menyatakan dalam kod ini bahawa rakyat biasa harus mempunyai peluang yang sama untuk menyertai politik, belajar di institusi akademik serta seorang raja perlu mengeluarkan perintah khas untuk memberi jawatan dalam kerajaan kepada sesiapa jua, tanpa mengira status sosial mereka.

Jeong Dojeon lebih mengutamakan bakat seseorang daripada status sosial atau jantina mereka. Beliau juga telah mengeluarkan kenyataan pembebasan untuk para hamba ‘yang dianiayai sehingga menjadi hamba dan ingin menjadi individu kelas menengah’. Oleh itu, bekas hamba ini juga boleh memenuhi syarat untuk mengambil peperiksaan perkhidmatan awam dan bekerja di istana apabila  mereka dinaikkan pangkat ke kelas menengah.

Perselisihan dengan Yi Bang Won

Jeong Dojeon dan pengikutnya meyakinkan Raja Taejo untuk melantik Yi Bangseok sebagai putera mahkota pada tahun 1392. Tidak seperti anak lelaki Raja Taejo yang lain, seperti Yi Bangwon yang mempunyai bapa mertua yang kaya, Yi Bangseok tidak berkahwin dengan wanita daripada keluarga yang berpengaruh. Namun begitu, pihak istana Dinasti Ming telah mengeluarkan kenyataan yang menyokong Yi Bangwon sebagai raja berikutnya dalam Dinasti Joseon.

Jeong Dojeon telah membantah keputusan daripada Ming dan percaya bahawa adalah tidak wajar untuk Dinasti Ming campur tangan dalam hal dalaman Joseon. Keadaan ini menimbulkan perselisihan antara Jeong Dojoen dan Yi Bangwon, yang akhirnya membawa kepada kematian Jang Dojeon pada tahun 1398. Yi Bangwon telah membunuh Jeong Dojeon dan para pengikutnya, serta dua putera Ratu Sindeok termasuklah putera mahkota dalam rampasan kuasa yang digelar sebagai First Strife of Princes. Raja Taejo akhirnya melepaskan takhtanya akibat marah dengan peristiwa dan Yi Bang Won akhirnya menaiki takhta sebagai Raja Taejong.

Kesimpulan

Walaupun Jeong Dojeon merupakan antara pengasas awal yang bertanggungjawab dalam pembentukan Dinasti Joseon, beliau juga telah dilihat dengan persepsi negatif oleh sesetengah sejarawan Joseon sehinggalah akhir abad ke-19. Tindakannya yang dikatakan berpaling tadah serta membelot daripada kerajaan Goryeo dilihat sebagai suatu pengkhianatan dan bukan sebagai sumbangan. Beliau dilabelkan sebagai seorang ahli politik yang tamak dan ingin mengambil alih kuasa raja.

Namun begitu, di sebalik konotasi negatif ini, rakyat Korea tidak dapat menafikan jasanya dalam mengubah arus politik dalam sejarah Tamadun Korea serta usahanya untuk memperkasakan peluang pendidikan yang sama rata buat seluruh rakyat.

RUJUKAN

Chong, K. (2018). Revitalization of Ancient Institutions : The 1394 Governance Code for the Joseon Dynasty of Korea by Jeong Do-jeon. Victoria University of Wellington.

Duncan, J. (1994). Confucianism in the Late Koryŏ and Early Chosŏn. Korean Studies, 18(1), 77–102.

Ro, Y.-C. (2010). Dao Companion to Korean Confucian Philosophy. (Y. Huang, Ed.) (11th ed.). Hong Kong: Springer.

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Anak Terengganu yang bercita-cita untuk menjadi food historian, dan memasang impian untuk mengeluarkan buku mengenai kesemua makanan warisan di Malaysia. Telah selesai viva untuk Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pemakanan dan bakal bergraduat pada akhir tahun nanti. Sukakan muzik, drama dan filem, tetapi nyata rasanya lebih kepada penulisan. Seorang ghostwriter, penyunting dan penterjemah sambilan. Bidang penulisan yang diminati; pemakanan, sains makanan, gastronomi, sejarah dan eksplorasi karya (drama dan filem).

Comments are closed.