Plot pembunuhan bukan sesuatu asing bagi mana-mana pemimpin dalam lipatan sejarah manusia. Kebiasaannya, si pembunuh akan ditangkap sebelum dihukum mati. Tetapi bagi Genghis Khan, si pembunuh yang cuba membunuhnya bukan saja dilepaskan tetapi dijadikan sebagai komander tentera Mongol yang paling terkenal!
Tetapi itulah yang berlaku kepada Jebe atau nama sebenarnya Zurgudai. Lahir sekitar abad ke-12 Masihi, beliau berasal dari puak Besud yang menjadi sebahagian daripada puak Taichud. Puak ini menjadi sebahagian daripada puak-puak yang memerangi Genghis Khan dalam Perang 13 Pihak pada 1204 – kempen penyatuan puak Mongol di bawah kepimpinan baginda.
Terdapat dua versi bagaimana Jebe menjadi orang kepercayaan Genghis. Versi pertama menyatakan Jebe memanah leher Genghis semasa pertempuran berlangsung. Walaupun muncul sebagai pemenang pada akhirnya, baginda ingin tahu siapa yang memanahnya.
Selepas bertanya kepada beberapa orang tawanan perang, Jebe mengakui perbuatannya itu dan bersedia menerima hukuman mati. Pada masa sama, beliau juga turut menawarkan khidmatnya sebagai askar setia kepada Genghis sekiranya dilepaskan. Kagum dengan keberanian Jebe, baginda memberi pengampunan dan menukar nama asalnya Zurgudai kepada Jebe yang bermaksud panah dan senjata dalam Bahasa Mongol.
Bagaimanapun, berbeza pula dengan versi yang dibawa pentadbir Mongol bernama Rashid al-Din Hamadani. Selepas pertempuran tamat, Jebe melarikan diri sambil dikejar oleh orang-orang Genghis. Beliau sempat memanah kuda baginda sebelum berjaya ditangkap dan dipaksa merayu agar dilepaskan. Jebe berjanji sebagai ganti kuda Genghis yang terbunuh, baginda akan menunggang lebih banyak kuda berkualiti yang dibawa olehnya.
Disebabkan bakatnya dalam peperangan, bintang Jebe bersinar cemerlang dalam struktur ketenteraan Mongol. Bagaimanapun, hal ini turut mengundang khabar angin bahawa beliau kononnya mahu menggulingkan Genghis dan merampas takhta Mongol. Bagi mematikan khabar angin ini, Jebe menghadap baginda sambil membawa 100 ekor kuda putih yang berkualiti. Tindakan beliau menjamin kepercayaan sepenuhnya Genghis terhadapnya.
Antara kempen peperangan pertama yang diharungi Jebe sebagai komander tentera Mongol ialah kempen terhadap puak Naiman, sebuah puak Mongol yang berpengaruh. Walaupun puak tersebut berjaya ditewaskan, Genghis bimbang mereka akan kembali mengumpul kekuatan dan pengaruh untuk mencabarnya sekali lagi. Untuk itu, Jebe ditugaskan untuk memburu saki-baki ahli puak Naiman dan menghapuskan mereka.
Untuk beberapa tahun berikutnya, beliau sibuk di perbatasan memburu musuh-musuh rajanya. Bagaimanapun, khidmat Jebe dipanggil pada 1211 bagi membantu menentang Dinasti Jin. Salah satu peranan beliau ialah menakluk seberapa banyak kubu pertahanan dinasti itu dengan cara berpura-pura berundur. Ini bagi mengumpan tentera yang bertahan di kubu keluar dan sekaligus menjadi mangsa mudah tentera Mongol. Kempen tersebut berakhir dengan penaklukan ibu kota Jin, Zhongdu pada 1215.
Tiga tahun selepas itu, Jebe yang diberi tentera seramai 20,000 orang ditugaskan untuk menewaskan Kuchlug. Kuchlug merupakan ketua puak Naiman yang diburu beliau beberapa tahun sebelumnya. Walaupun berdepan pihak lawan seramai 30,000 orang, taktik mencetuskan pemberontakan dan kesungguhan Jebe menyaksikan Kuchlug terbunuh dan kotanya, Kara-Khitai ditawan.
Setahun selepas itu, beliau ditugaskan membantu Genghis mendapatkan Empayar Khawarezm. Antara peranannya ialah mengumpan 50,000 orang tentera berkuda elit milik pemerintah Khawarezm, Shah Mohammad II ke Lembah Ferghana dan sejauh mungkin daripada angkatan perang Mongol. Tindakan tersebut mengakibatkan empayar berpecah dua dengan Jebe kemudiannya bergabung dengan angkatan Mongol di Samarkhand.
Dari situ, Genghis mengarahkan beliau untuk memburu Shah Mohammad II bagi mengelak pemerintah Khawarezm mendapatkan bantuan. Walaupun baginda berjaya mengelak ditangkap angkatan Jebe, itu sudah cukup untuk menghalangnya mendapatkan bantuan. Ini menyebabkan angkatan perang Khawarezm musnah sedikit demi sedikit.
Pada satu ketika, Jebe juga berjaya mengalahkan angkatan perang Georgia yang sedang dalam perjalanan untuk menyertai kempen Salib kelima. Selain itu, beliau juga berjaya mengalahkan angkatan perang Kievan Rus di Sungai Kalka pada 31 Mei 1223. Pertempuran tersebut membuka jalan kepada penaklukan Mongol di Eropah Timur 15 tahun kemudian.
Ramai sejarawan percaya selepas pertempuran itu, Jebe kembali menemui Penciptanya. Beliau dikatakan mati semasa dalam perjalanan pulang ke Mongolia selepas mengetuai ekspedisi ketenteraan yang berjaya untuk Genghis.
RUJUKAN
Mingren, W. (2018, 9 Oktober). Jebe: Genghis Khan’s Would-be Assassin Becomes His Sharpshooting General. Ancient-Origins.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih