Tujuh laporan jenayah seksual terhadap kanak-kanak dilaporkan dalam seminggu. Terbaharu, seorang bapa dituduh dengan 600 pertuduhan merogol anak tirinya selama dua tahun menggemparkan negara termasuklah seorang bapa 36 tahun yang dituduh liwat anak yang berusia 15 tahun di Mahkamah Sesyen Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak. Ini pastilah sesuatu yang mengejutkan. Namun kalau ikutkan realitinya, jenayah seksual ini bukanlah sesuatu yang baharu kerana jenayah seksual ini seringkali terjadi hatta sejak dari dahulu lagi. Kita boleh ingat derita Sharlinie dan Dirang. Juga kisah Richard Huckle dan Nur Fitri pelajar genius Matematik Imperial College.
Jenayah
Sebelum kita masuk ke dalam jenayah seksual, baiklah kita fahami bagaimana sesuatu jenayah itu ditakrifkan kerana saya kira kita perlu faham bahawa apabila disebutkan jenayah, ini adalah berdasarkan beberapa pendekatan yang diambil menerusi beberapa lensa penentuan kerana jenayah tidak ada satu tafsiran khusus yang komprehensif. Hal ini bersesuaian dengan perkembangan bagaimana masyarakat memandang sesuatu perlakuan sebagai jenayah atau bagaimana pendirian sesebuah kerajaan mengenal pasti dan berpendirian paternalistik untuk menjenayahkan sesuatu yang bersifat personal misalnya. Beberapa pendekatan boleh dilihat untuk menentukan adakah sesebuah perlakuan itu satu jenayah ataupun tidak. Berikut adalah beberapa pendekatan/lensa yang boleh dilihat menetukan definisi jenayah:
1. Lensa perundangan. Pendekatan ini bermaksud apa-apa yang diperundangkan (dijadikan statut) adalah dikira sebagai jenayah. Maka, hal ini merujuk terus kepada undang-undang bertulis. Melanggar peruntukan-peruntukan tersebut akan dikira sebagai jenayah di sisi negara. Contohnya, perlakuan zina tidak dijenayahkan dalam Kanun Keseksaan. Maka tafsiran amnya, di negara ini, zina bukanlah satu jenayah kecuali mereka yang beragama Islam kerana Muslim Malaysia tertakluk kepada Undang-Undang Jenayah Syariah Neger-Negeri yang semuanya menjadikan zina satu kesalahan.
2. Lensa kecederaan sosial. Menerusi lensa ini pendekatan yang dilihat sebagai mencederakan sosial seperti kestabilan dan keamanan sosial yang membawa kepada keresahan awam. Dalam hal ini, walaupun tiada undang-undang bertulis, maka tetap dikira sebagai kesalahan/jenayah.
3. Lensa merentasi norma umum budaya. Ada beberapa perlakuan yang seiring dengan perkembangan zaman, perlakuan tersebut mula diterima merentasi budaya negara-negara bahawa perlakuan tersebut adalah satu jenayah. Contohnya, pemerdagangan orang, jenayah siber, keganasan (terrorism) dan korupsi.
4. Lensa pelabelan masyarakat. Dalam hal ini, masyarakat sendiri akan melabelkan sesuatu itu sebagai satu kesalahan ataupun jenayah. Keadaan ini berlaku terutamanya kehidupan dalam satu-satu komuniti yang mencapai satu standard penerimaan yang sama berkenaan sesuatu perlakuan yang tak boleh diterima. Seringkali pelabelan ini akan berasaskan adat resam, nilai-nilai adat komuniti, akhlak, tatasusila, budi bahasa, budi pekerti dan sebagainya. Contohnya, masyarakat Malaysia tidak menerima perlakuan homoseksual sebagai satu perkara yang berada dalam lingkungan tabii.
5. Lensa hak asasi. Boleh dikatakan, lensa ini bersifat luas pemakaiannya. Umumnya, pencabulan hak asasi adalah satu jenayah. Di Malaysia, tertakluk kepada pengecualian, hak asasi dijamin bawah Perlembagaan Persekutuan dalam Bahagian II Artikel 5-13; hak terhadap hidup, hak berpersatuan, hak berhimpun, kebebasan bersuara dan sebagainya.
6. Lensa strata sosial. Pendekatan ini mengambil kira kepelbagaian masyarakat yang menggunakan kedudukan, kuasa dan kekuasaan golongan sesuatu sebagai asas menentukan sesuatu itu sebagai satu jenayah atau kesalahan. Contohnya, orang kaya yang mempunyai harta, kuasa dan kedudukan akan mempengaruhi kerajaan supaya harta bendanya, kedudukannya dillindungi undang-undang daripada ancaman mush-musuhnya. Orang yang berharta akan memerlukan undang-undang perlindungan harta. Peruntukan undang-undang sebegini, tidak membawa apa-apa kebaikan kepada mereka yang miskin.
7. Lensa agama. Melalui lensa ini, apabila pendekatan menggubal undang-undang diambil, perlulah dilakukan dengan berhati-hati. Hal ini kerana kewujudan perbezaan antara kepercayaan dan agama. Misalnya, soal zina, agama Islam menjadikan ia satu kesalahan jenayah menurut Enakmen Jenayah Syariah Negeri-Negeri manakala agama lain mungkin hanya menjadikannya satu kesalahan moral. Contoh lain misalnya, Islam membolehkan lelaki berpoligami namun bagi bukan Muslim, menurut Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976, perkahwinan monogami sahaja yang dibenarkan undang-undang.
8. Lensa etika dan amalan. Lensa ini mengambil pendekatan dari ketertiban, keteraturan, atau tingkah laku sama ada dalam komuniti, organisasi ataupun dalam sesuatu bidang pekerjaan yang menggariskan etika dan amalan. Perlakuan yang bertentangan dengan etika dan amalan ini boleh disebutkan sebagai satu jenayah menurut lensa ini.
Melalui lensa-lensa ini, kita dapat mengerti bagaimanakan sesebuah perlakuan itu dianggap sebagai satu jenayah dan tidak memukul rata kesemua perlakuan tanpa menimbang tara sudut pandang pandangan tersebut. Ada beberapa perlakuan yang datang daripada sudut pandang yang berbeza menyebabkan kewujudan berbagai-bagai kelompok manusia yang memandang sesebuah perlakuan tersebut sebagai jenayah ataupun tidak. Di sinilah asas yang perlu difahami bagaimana ketidaksetujuan dalam kaedah mekanisme undang-undang itu dapat terjadi.
Namun apa-apa yang kita perlu fahami, secara asasnya, apabila sesuatu perlakuan itu diperundangkan dan diletakkan dalam statut sebagai sebuah kesalahan atau jenayah, secara bertulis, maka umumnya perlakuan itu dikira sebagai jenayah kerana peruntukan yang menyebut sesuatu kesalahan itu bersifat lebih jelas, objektif, seragam dan mempunyai nilai undang-undang berbanding takrifan atau pendapat daripada mana-mana kelompok masyarakat. Pokoknya selagi badan perundangan (Parlimen) belum menggubal (atau menyertakan) peruntukan berkaitan dengan sesuatu perlakuan sebagai jenayah, perlakuan tersebut bukanlah satu kesalahan jenayah secara amnya.
Jenayah seksual.
Memahami lensa-lensa pendekatan di atas, maka kita dapat fahami, bagaimana penerimaan terhadap jenis-jenis perlakuan seksual tertentu sehingga ia dijenayahkan. Di Malaysia, ada beberapa capah keadaan di mana jenayah seksual dikategorikan jika mengikut peruntukan Kanun Keseksaan. Saya akan ringkaskan beberapa sebagai input tambahan masyarakat awam. Antaranya:
1. Rogol (Seksyen 375). Berlaku apabila seorang lelaki bersetubuh dengan seorang wanita. Kemasukan zakar sahaja adalah mencukupi untuk membuktikan berlakunya rogol. Dan situasi ini berlaku dalam keadaan tiadanya kerelaan atau kemahuan wanita tersebut. Ya. Seks secara persetujuan bersama tidak dikira sebagai rogol (kecuali rogol statutori yang melibatkan kanak-kanak bawah 16 tahun). Rogol tidak berlaku dalam kalangan sesama jenis. Rogol juga tidak dikira berlaku antara sepasang suami isteri yang sah kecuali dalam tempoh perceraian. Antara suami isteri, keengganan isteri untuk melakukan seks tidak dikira rogol kerana peruntukan seksyen 375A terpakai yang memperuntukkan suami mengasari isteri untuk tujuan bersetubuh.
2. Kesalahan luar tabii (Seksyen 377, 377A, 377CA 377D dan 377E). Persetubuhan luar tabii meliputi persetubuhan dengan haiwan, liwat (konsensual dan tidak konsensual), jenayah seksual dengan kemasukan objek, melanggar kesopanan, dan kelucahan melampau melibatkan kanak-kanak. (Apabila berkenaan kanak-kanak juga turut melibatkan peruntukan dalam Akta Jenayah Seksual Kanak-Kanak 2017.)
3. Sumbang mahram. (Seksyen 376A). Sumbang mahram berlaku jika lelaki atau seorang perempuan melalukan persetubuhan dengan orang lain dalam keadaan hubungan mereka itu tidak dibenarkan di bawah undang-undang, agama, adat atau kebiasaan norma bagi lelaki dan perempuan tersebut berkahwin yang membawa hukuman tidak kurang 6 tahun dan tidak lebih 20 tahun serta dikenakan sebatan (seksyen 376B).
4. Mencabul kehormatan (Seksyen 354). Seksyen ini memperuntukkan sesiapa sahaja yang menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah kepada mana-aman orang dengan niat mencabul kehormatan orang tersebut. Hukuman penjara yang boleh sampai 10 tahun atau denda, ata usebat atau mana-mana dua.
5. Mengaibkan kehormatan (Seksyen 509). Mengaibkan kehormatan boleh terjadi dalam keadaan apa-apa yang disebutkan, dibuat bunyi atau isyarat, ditunjukkan benda, supaya hasil daripada perlakuan tersebut boleh dilihat oleh orang yang ditujukan dan menganggu kesantunan mereka. Hukuman penjara tempoh boleh sampai 5 tahun, atau denda atau kedua-duanya.
Punca Jenayah Seksual
Punca jenayah seksual ini boleh berlaku kerana pelbagai sebab. Adakalanya kerana pembalasan dendam seseorang, adakalanya kerana pengalaman buruk yang membentuk persepsi, peperangan dan penjajahan (contoh seperti Rape of Nanking), amalan masyarakat dan sebagainya. Jenayah seksual juga boleh berlaku dalam keadaan dunia teknologi moden yang budayanya sangat hypersexualised sehingga, membentuk perlakuan seksual sebagai satu norma lazim masyarakat yang membuka ruang kepada tindakan jenayah keganasan seksual. Boleh jadi jenayah seksual juga berlaku kerana kekuasaan atau dominasi patriarki yang menjadikan wanita sebagai objek seks (sexual objectification). Apa-apa pun, punca jenayah seksual ini boleh berpunca daripada aspek psikologi, sosioekonomi dan politik. Undang-undang juga boleh menjadi punca jenayah seksual daripada berlaku. Misalnya, ketiadaan, kelompongan dan kekaburan undang-undang sebagai agen menghukum perogol atau pedofil misalnya, juga boleh menyebabkan jenayah seksual sukar dibanteras kerana tidak ada pengawal seliaan yang efektif.
Undang-Undang Sebagai Mekanisme
Dalam kriminologi, undang-undang bergerak sebagai satu mekanisme untuk mengawal selia perlakuan manusia. Undang-undang jenayah adalah segala yang diperundangkan berdasarkan lensa-lensa yang disebutkan. Dalam konteks yang lebih besar, undang-undang sifatnya menghukum, mendidik, mengawal dan mencegah. Ramai sarjana menyetujui, dalam Teori Keadilan Jenayah, undang-undang jenayah khususnya berfungsi sebagai mekanisme mencapai keadilan secara retributif iaitu balasan yang setimpal dengan perlakuan jenayah seseorang.
Undang-undang juga bertindak sebagai agen perubahan sosial. Perubahan sosial menurut Anwarul Yaqin adalah:
“Perubahan dalam aktiviti masyarakat, hubungan, pola tindakan, kaedah pengajaran anak-anak dan sikap terhadap sesuatu perkara.”
Perubahan sosial ini boleh berlaku secara dua cara: (1) bukan perundangan dan (2) secara perundangan.
Kaedah secara bukan perundangan boleh berlaku atau dimulai dengan kudeta, tekanan masyarakat, hartal, boikot, pengaruh media, pendidikan penyebaran ideologi dan berbagai lagi. Puncak perubahan melalui bukan perundangan tentulah secara revolusi.
Secara perundangan pula, Malaysia sudah mempunyai peruntukan bahagian jenayah seksual dalam Kanun Keseksaan atau mana-mana undang-undang yang menyebut tentangnya. Begitu juga akta khusus yang digubal seperti Akta Kesalahan Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKJSTK) 2017.
Tetapi sungguhpun peruntukan-peruntukan sebegini wujud, data statistik kes-kes jenayah seksual masih lagi meruncing. Antara tahun 2006 sehingga 2015, sebanyak 29,698 kes rogol dilaporkan. Namun data ini hanyalah melibatkan mangsa rogol perempuan (75% adalah bawah umur). Dianggarkan purata lima kes rogol terhadap kanak-kanak dilaporkan setiap hari di negara ini menjadikan keseluruhan 13,272 kes dilaporkan sejak 2010 hingga Mei lalu. Kesalahan rogol merupakan statistik tertinggi selain cabul, sumbang mahram dan luar tabii. Kesalahan rogol merangkumi 59.7 peratus bagi tempoh berkenaan, kesalahan lain melibatkan penderaan seksual kanak-kanak termasuk cabul (6,014 kes atau 27.04 peratus), sumbang mahram (1,766 kes atau 8.07 peratus) dan luar tabii (1,152 kes atau 5.18 peratus).
Ini pastilah bukan data yang inklusif namun ia cukup untuk menggambarkan keadaan runcingnya masalah jenayah seksual di negara kita. Saya yakin, masih terdapat kes-kes yang belum dan tidak dilaporkan termasuklah mangsa terutamanya dalam kalangan kanak-kanak lelaki.
Disebabkan data dan statistik ini, ramai yang berpendapat, undang-undang adalah jawapan kepada permasalahan jenayah seksual ini. Katanya, kita perlu menggubal undang-undang yang baharu contohnya AKJTK 2017 walhal peruntukan Kanun Keseksaan seksyen 377E misalnya sudah cukup luas untuk digunakan membuat pertuduhan.
Itu belum lagi yang berkobar-kobar mengaitkan dengan sentimen hudud dan sebagainya. Saya sudah beberapa kali menerangkan pada ramai yang bertanya, undang-undang (baik sivil atau syariah) bukanlah satu jawapan mutlak kepada apa-apa pun permasalahan dalam dunia ini khususnya dalam isu jenayah seksual. (Dalam undang-undang syariah, isu jenayah seksual selain zina, jatuh di bawah takzir dengan jenis hukuman boleh sama dengan hudud atau ditetapkan kerajaan.)
Kita boleh ada beratus-ratus peruntukan undang-undang yang digubal. Peruntukan-peruntukan dalam Kanun Keseksaan sudah ada. Kemudian AKJSTK 2017 juga telah digubal. Mahkamah Khas untuk perbicaraan ini juga ada. Tapi hakikatnya, permasalahan tentang jenayah seksual ini tidaklah berpunca sepenuhnya daripada kelompongan undang-undang ini.
Saya fikir, masyarakat perlu faham, zina atau jenayah seksual tidak berlaku hanya kerana kelompongan undang-undang. Namun jenayah ini berlaku kerana tiada pendedahan awal dalam pendidikan kepada anak-anak dan remaja sedari awal (tak terkecuali kepada orang dewasa umumnya). Undang-undang hanya bertindak sebagai lapisan kedua kepada solusi permasalahan ini. Bagilah lambakan peruntukan pun, jika mangsa tidak tahu hak dan perlindungan yang diberikan mereka, tidak ada gunanya juga.
Kelompongan inilah yang menjadi asas kepada keruncingan masalah jenayah seksual. Anak-anak memilih sumber dan cara yang lain (i.e pornografi, interaksi media sosial dsb) untuk belajar tentang perkara-perkara seksual. Eksplorasi dengan sendiri ini adalah bahaya kerana bukan sahaja mesejnya sudah salah namun tiada agen kawal selia untuk memberitahu baik-buruk sesuatu perkara.
Penjenayah dewasa pula memilih untuk meneruskan kegiatan jenayah seksual seperti tidak ada kesedaran tentang tanggungjawab dan kesan-kesan tindakan mereka sebelum melakukan jenayah ini.
Jadi kelompongan yang kita hadapi sekarang pastilah bukanlah dari capah perundangan semata-mata. Kita tidak ada mekanisme perubahan sosial yang asas dan utama –yang bukan bersifat perundangan dan yang boleh bertahan lama. Maka, dalam hal ini, saya fikir, pastilah pendidikan seks itu penting untuk mengisi kekurangan dan kelompongan ini. Hal ini diakui oleh Mufti Wilayah Persekutuan sendiri ketika negara diributkan dengan isu taraf anak luar nikah beberapa minggu lepas.
“Sebenarnya, punca utama masalah ini adalah tersebarnya budaya zina yang tidak terkawal. Isu penamaan anak ini hanyalah simptom bagi masalah zina yang mengakar sebagai punca dalam masyarakat. Betapa lemahnya pendidikan seks yang berasaskan Islam dan betapa mudahnya akses kepada bahan-bahan lucah dan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang bukan ajnabi. Jika kita mengambil langkah jangka pendek seperti ini, ianya seperti mengambus masalah yang sebenar ke bawah tikar yang akhirnya akan terluah juga.”
Pendidikan membawa kepada pencerahan lalu membolehkan masyarakat menggunakan akal merasionalkan tindakan. Terutamanya dalam hal-hal yang dianggap tabu seperti perkara-perkara seksual ini. Masyarakat serta kerajaan pula perlu bertanggungjawab dalam menyediakan pendidikan seksual secara terkawal ini. Pendidikan akan meningkatkan keupayaan individu membuat pilihan yang berkualiti. Pilihan-pilihan ini, akan membolehkan mereka untuk memilih dengan pengetahuan asas sedia ada (informed choice) lalu membolehkan mereka untuk memilih pertimbangan keputusan yang lebih berkualiti (informed decision).
‘Informed choice’ dan ‘informed decision’ ini akan meningkatkan kesedaran masyarakat terutamanya generasi muda untuk lebih bertanggungjawab dengan pilihan masing-masing berbanding menyalahkan punca-punca yang lain. Ini akan banyak membantu dalam pembuktian actus reus (perbuatan) dan mens rea (niat/keadaan mental) semasa pertuduhan dibuat sekaligus meningkatkan kelancaran urusan keadilan di mahkamah jenayah.
Kita perlu akui zina atau jenayah seksual tidak berlaku kerana kelompongan undang-undang sahaja. Sebahagian besar faktornya adalah kerana individu sendiri yang tidak boleh mengawal diri (atau kekurangan pengetahuan dan kesedaran?). Pendidikan membolehkan mereka berupaya membina benteng moral sendiri.
Realiti bahawa manusia akan sentiasa ada sifat buruknya terutamanya sebagai sexual beings tidaklah dapat dinafikan. Setidak-tidaknya, dengan pendidikan dan pendedahan awal secara terancang, tindakan mereka selepas pilihan dibuat itu akan membolehkan mereka bersifat lebih bertanggungjawab dan urusan penghakiman akan lebih adil kerana pilihan dibuat dalam keadaan mereka tahu tentang kesan tindakan mereka. Kecuali dalam keadaan-keadaan tertentu, maka undang-undang akan memainkan peranan di sini.
Jadi tolonglah faham. Undang-undang ada banyak fungsi termasuklah mendidik. Namun untuk menampung kelompongan dalam pendidikan ini dan dibebankan kepada undang-undang dan pengurusan keadilan sahaja, hanyalah satu mekanisme yang sia-sia dan buang masa. ‘A problem-solution mismatch’. Undang-undang adalah tindakan penegasan. Usah lagi bergantung pada undang-undang semata-mata. Hatta undang-undang syariah pun belum tentu dapat menjamin masyarakat dan penjenayah ini untuk memahami tindakan mereka.
Perubahan sosial, akan menjadi lebih efektif, jika kedua-dua agen perubahan ini bergerak selari dan saling melengkapkan. Jangan ada yang tertinggal. Tidak ada yang datang dahulu dan lain datang kemudian. Undang-undang bukan jawapan mutlak kepada jenayah seksual.
Sampai bila kita nak dengar, dalam satu minggu, ada 7 kes jenayah seksual ini? Sampai bila kita nak dengar bapa, abang, pakcik yang sepatutnya melindungi meliwat anak dan kanak-kanak masa bulan puasa? Sampai bila nak harapkan undang-undang sahaja waima sivil atau syariah sekalipun tanpa pendedahan melalui pendidikan?
Bukankah pendidikan bemula daripada rumah?
Sumber:
Abdur Rahman I’doi, Shariah: The Islamic Law, A.S Nordeen, Kuala Lumpur, 1990.
Anwarul Yaqin, Law and Society in Malaysia, International Law Book Services, Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan, 1996.
Bayan Linnas Siri ke-106 : Isu Penamaan “Bin/Binti Abdullah” Kepada Anak Tidak Sah Taraf Oleh Mahkamah Rayuan, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, http://muftiwp.gov.my/index.php/ms-my/perkhidmatan/bayan-linnas/1714-bayan-linnas-siri-ke-106-isu-penamaan-bin-binti-abdullah-kepada-anak-tidak-sah-taraf-oleh-mahkamah-rayuan , Ogos, 2017.
Data dan Statistik: Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat dan Polis Diraja Malaysia.
Harits Asyraf Hasnan, ‘Purata lima kes rogol kanak-kanak sehari – KPWKM’, http://www.astroawani.com/berita-malaysia/purata-lima-kes-rogol-kanak-kanak-sehari-kpwkm-150626, Julai 27, 2017.
Haswira Nor Mohamad Hashim & Anida Mahmood, Law, Morality, Justice, Freedom and Equality, The Underlying Concepts, Mcgraw Hill (Malaysia) Sdn. Bhd., 2009.
Kanun Keseksaan Malaysia.
Prof. Dr. Anwarullah, The Criminal Law of Islam, A.S Nordeen, Kuala Lumpur, 1997.
Rafidah Mat Ruzki, ‘Bapa berdepan 600 dakwaan liwat, rogol anak’, Laman Portal BH Online, https://www.bharian.com.my/berita/kes/2017/08/310178/bapa-berdepan-600-dakwaan-liwat-rogol-anak, 8 Ogos 2017.
Shamsuddin Suhor, Jenayah dan Kanun Keseksaan, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 2016.
Tuan Buqhairah Tuan Muhamad Adnan, ‘Didakwa Liwat Anak Tiga Kali Sehari’, Laman Portal Sinar Harian Online, http://www.sinarharian.com.my/semasa/didakwa-liwat-anak-tiga-kali-sehari-1.716624, 10 Ogos 2017.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih