Jenama ini telah berdiri lebih 100 tahun lamanya. Namun, mungkin anda juga tidak menyangka bahawa nama jenama ini sebenarnya diambil daripada watak dongeng popular, iaitu Snow White.
Nivea yang dibangunkan oleh Dr. Oscar Troplowitz pada tahun 1890 selepas dia membeli Makmal Paul C. Beiersdorf yang berpangkalan di Hamburg. Penasihat saintifik Troplowitz, pakar dermatologi terkemuka Profesor Paul Gerson Unna, memberitahunya tentang agen pengemulsi inovatif yang dipanggil Eucerit (bermaksud lilin yang cantik).
Mereka berdua membangunkan krim berasaskan minyak dan air yang stabil pertama di dunia yang akhirnya dihasilkan secara besar-besaran pada tahun 1911 dan memanggilnya sebagai Nivea.
Perkataan NIVEA berasal daripada perkataan Latin “nix, nivis” yang bermaksud salji. Jadi NIVEA bermaksud “snow white” (putih salji). Sebagai tambahan kepada Eucerit, yang digunakan untuk mengikat minyak dengan air, krim putih pertama Nivea ini juga mengandungi gliserin dan sedikit asid sitrik, wangi dengan minyak mawar.
Pada tahun 1930-an, syarikat ini menghasilkan pelbagai produk seperti krim pencukur, syampu, pembersih muka, dan toner. Semasa Perang Dunia II, tanda dagangan “NIVEA” telah dirampas di banyak negara. Selepas perang, Beiersdorf membeli semula hak tersebut.
Hari ini Nivea diketuai oleh Vincent Warnery, yang mempunyai visinya yang tersendiri dalam mengekalkan jenama Nivea sebagai antara produk kecantikan terkemuka.
Paling utama, Warnery mahu memberi penekanan kepada kesaksamaan jantina dalam kumpulan syarikatnya. Bagi Warnery, setiap pekerjanya, tidak kira lelaki atau wanita, mempunyai peranan yang besar dalam menaikkan jenama mereka.
“Kami mempunyai tanggungjawab sebagai sebuah syarikat untuk secara khusus mempromosikan kepelbagaian dan keterangkuman, dan dengan berbuat demikian, ia turut mempengaruhi dan membawa perubahan positif dalam masyarakat kita,” kata Vincent Warnery.




No comments yet