Jenaka dan masyarakat tidak dapat dipisahkan ibarat irama dan lagu. Manakan tidak, bagi sang penonton, jenaka menghiburkan hati yang gelisah dan mengalihkan seketika isu seharian yang membelenggu diri. Bagi pengkarya pula, jenaka yang dibikin punya mesej tersendiri agar ianya dapat dihayati oleh penonton yang melihatnya walaupun ia bersifat ringan dan kelakar.

Namun pada zaman ini, jenaka yang bersifat mendidik seperti zaman Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dilihat semakin lama semakin terhakis. Tidak seperti jenaka beliau yang halus, sopan dan tajam mesejnya walaupun mengundang hilai tawa penonton, jenaka hari ini bersifat kasar, biadap dan seksis. Jenaka hari ini terlalu mementingkan nilai komersial berbanding nilai estetika, budaya dan agama yang sentiasa dititikberatkan oleh pengkarya sepanjang zaman. Pada kapitalis, jenaka sebegini yang mengundang aliran wang masuk dalam akaun walaupun jenaka tersebut bersifat picisan, tidak membina dan mengundang kontroversi.

Dan angkara kelancangan lidah kala berjenaka, entah berapa ramai manusia terhiris dengan jenaka yang disifatkan sebagai biadap, kasar dan bersifat merendah-rendahkan orang lain. Bukan sekali diingatkan, bahkan berkali-kali diingatkan agar tidak melanggar batas moral dan budaya masyarakat tetapi tetap juga dicuba sampai terkena batang hidung sendiri. Bila itu berlaku, bak kata pepatah Melayu, sudah terhantuk, baru terngadah. Masa itulah, baru nak memohon maaf dan menyatakan kekesalan atas apa yang berlaku. Tetapi semasa mengungkapkan lawak bersifat merendahkan itu, ada terdetik mahu undur perahu sebelum ianya berlaku? Tidak kerana pada mereka, lawak sebegitu ialah makanan pada mereka.

Terlalu banyak kontroversi membabitkan jenaka berlaku di serata dunia. Voltaire dengan cerita satira Mahomet yang mengundang kemarahan ramai orang dari masyarakat Islam sehingga Maharaja Napoleon. Charlie Hebdo dengan kartun yang bersifat menghina agama walaupun ianya adalah satira semata-mata. Kontroversi jenaka trio pengacara The Grand Tour dalam rancangan lama mereka, Top Gear mengundang bantahan dari kerajaan asing sehingga aktivis organisasi bukan kerajaan. Di Malaysia sendiri, kita dikejutkan dengan sikap Najip Ali yang memperlekeh Perdana Menteri dalam satu rancangan di Singapura dan lawak kurang sensitif Sukan Tak Sentral pada ayah bekas raja pecut negara, Watson Nyambek. Apa persamaan semua ini? Bila mana manusia mengetepikan soal moral dan budaya dalam berjenaka, maka yang lahir ialah satu karya yang bersifat kotor dan memualkan dengan tujuan mengajak penonton atau pendengar bergelak ketawa tanpa memikirkan kesan jangka panjang kepada masyarakat. Ini bukan jenaka, ia satu jenayah kepada minda manusia!

Tidak salah mahu berlawak atau bergurau kerana itu lumrah manusia. Hatta, Nabi Muhammad s.a.w sendiri juga suka bergurau dengan para sahabat baginda. Tetapi jenaka baginda bersifat benar, bersih, sopan dan tidak merendahkan orang lain. Pada satu ketika, baginda ditanya seorang wanita tua apakah beliau layak masuk syurga dalam keadaannya itu. Lalu baginda menyatakan hanya orang muda yang masuk syurga. Mendengar jawapan Nabi itu, wanita tersebut menitiskan air mata. Tetapi baginda menenangkan beliau dengan menyatakan pada hari akhirat, manusia akan kembali muda daripada usia sebelumnya setelah masuk syurga. Jika anda perasan, ada tak lawak baginda yang bersifat bohong atau kasar? Tiada sama sekali. Jika seorang manusia mulia bergelar kekasih Allah boleh berjenaka tanpa perlu bergantung kepada elemen seksis atau pembohongan, maka tiada alasan bagi kita terutama bagi pengkarya untuk berbuat demikian.

Kita mahu lawak atau jenaka yang dipersembahkan bersifat ilmiah dan menghiburkan. Namun, kita tidak punya mentaliti untuk belajar secara mendalam jenaka dalam konteks budaya dan moral. Kerana bagi kita, persetankan kedua-duanya kerana yang penting pada akhirnya ialah hiburan. Ya, kita terhibur tetapi apakah akal kita juga terhibur? Apakah akal kita punya keinginan untuk mempelajari asal-usul peribahasa, ketinggian aspek budaya dan nilai patriotisme? Apakah hati kita yang telah disiram dengan air hidayah Tuhan redha dengan lawak-lawak yang memperolokkan hukum Tuhan? Belajarlah memahami, belajarlah akan batas-batas moral dan budaya kita. Anda anggap ia bersifat enteng tetapi itulah yang mengangkat manusia ke tahap paling tinggi. Itulah penanda aras di mana kita berada. Tanpa kedua-duanya, apa jaminan manusia yang paling maju sekalipun akan melakukan tindakan di luar fikiran seperti membuat jenaka perkauman?

Jenaka itu hiburan yang tak dapat lari dari masyarakat. Tidak salah berjenaka tetapi sedarlah akan batas-batas yang telah digariskan. Jangan kerana terlalu mengejar rating dan wang, maka apakah berbaloi mempersetankan batas-batas moral dan budaya? Apalah nilai sesebuah rating dan harta fizikal sekiranya ia menjadi benih yang menyumbang kepada kemunduran masyarakat dan kemerosotan negara. Jadilah benih yang menumbuhkan pulau bukan benih yang membawa petaka dan nestapa!


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply