BUJANG berani yang ditampilkan pada kali ini adalah pencetus kepada idea untuk membawa “pulai menoa” 21 penjejak Iban dan Sarawak Rangers yang telah gugur di medan pertempuran sewaktu darurat Malaya yang bermula 1948. Jika ramai pesara lebih memilih untuk duduk bersenang menghabiskan waktu persaraannya namun tidak bagi seorang pesara tentera ini kerana beliau tetap meneruskan perjuangannya memartabatkan dan memuliakan karier yang amat disayanginya. Selain bergiat aktif menulis kisah-kisah perjuangannya di blog peribadinya, beliau turut pernah menghasilkan satu buku yang menceritakan perjuangan penjejak Iban iaitu pasukan penjejak terbaik bertaraf dunia iaitu buku berjudul “The Iban Trackers and Sarawak Rangers, 1948-1963, My Adventure”.
Robert Madang Anak Langi, itulah nama sebenarnya sebelum memeluk agama Islam dengan menggunakan nama Robert Rizal bin Abdullah. Anak Sarawak berketurunan Iban yang berasal dari Rumah Lachau Ili, Lachau, Sri Aman dilahirkan pada tanggal 6hb Oktober 1948. Menariknya sepanjang karier beliau sebagai anggota tentera, beliau pernah menerima dua anugerah “Pisau Komando” yakni anugerah yang didedikasikan buat mana-mana anggota tentera yang berjaya membunuh komunis. Kali pertama beliau menerimanya adalah pada tahun 1973 ketika berusia 25 tahun manakala yang kedua adalah pada tahun 1989. Dari situ sahaja kita sudah mengetahui bahawa bujang berani kita ini sememangnya seorang yang gagah dan perkasa.
Sepanjang karier beliau sebagai seorang anggota tentera Renjer, beliau telah menabur bakti dan keringat bukan sahaja di Sarawak, negeri kelahirannya sebaliknya turut pernah berjuang nun di hutan-hutan belantara di bumi Semenanjung Malaysia. “Ops Pagar” di Ayer Kala, Perak (1976), Ops Cahaya Bena II iaitu satu kawasan utara sempadan Thailand/Malaysia (1977) adalah antara operasi-operasi ketenteraan yang beliau pernah sertai di bumi Malaya.
Beberapa tahun sebelum dihantar bertugas ke bumi Semenanjung Malaysia, Robert telah terlebih dahulu berkhidmat mempertahankan tanah kelahirannya daripada ancaman musuh komunis. Antara yang menghiasi kisah perjuangannya adalah pada tahun 1973 yang mana menyaksikan Robert yang masih lagi berpangkat Kapten pada masa itu telah terlibat di dalam tiga operasi ketenteraan melawan komunis di durjana. Pada masa itu beliau mengganggotai 3 Rejimen Renjer Diraja dengan mengetuai unit platun Kilat iaitu satu unit platun elit 3 RRD.
Sekitar Januari 1973, Kapten Robert dan unit platun Kilat telah dihantar ke kawasan Nonok (Asajaya sekarang). Pada masa itu bukanlah senang untuk sampai ke kawasan Nonok kerana dengan bentuk mukabuminya yang berpaya. Hampir seminggu beliau bersama unit platunnya menyelusuri kawasan berpaya di Nonok yang kadangkala menyaksikan mereka terpaksa meredah air paya atau mendirikan “hammock” diatas pokok untuk bermalam. Bayangkan kesulitan anggota keselamatan kita dulu-dulu atas nama perjuangan untuk mempertahankan negara kita.
Setelah bergelumang di dalam paya bagi menjejaki komunis akhirnya ketemu jua dan tatkala itulah setelah strategi diatur, Kapten Robert dan unit Platun Kilat membuat serangan mengejut ke atas tapak perkhemahan rehat segerombolan komunis. Komunis yang leka pada waktu itu lintang pukang cuba membalas serangan. Pada serangan itulah dua gerila komunis berjaya dibunuh dengan salah seorang daripadanya tumbang di muncung senapang Kapten Robert sendiri.
Menyahut panggilan ibu pertiwi yang mengkehendakkan unit Platun Kilat kembali beraksi berdepan dengan komunis menyaksikan tiga bulan kemudia mereka ke kawasan Balai Ringin, Serian. Sebagai unit elit maka adakalanya mereka harus mencari musuh berdasarkan kepada nota rahsia yang dijumpai. Hasil risikan pegawai polis Cawangan Khas akhirnya mereka berjaya menjejaki kawasan musuh yang mana tanpa berlengah Kapten Robert dan unit platun Kilat sekali lagi membuat serangan hendap.
Kawasan komunis bukan sahaja disimbahi dengan hujan peluru malah juga grenad. Hasil daripada tiga grenad yang dilontarkan sendiri oleh Kapten Robert itulah turut berjaya membunuh Lee Kuen iaitu pemimpin keempat tertinggi di dalam hirarki Kompeni 3 PARAKU. Ianya adalah satu kejayaan besar di dalam rentetan perjuangan anggota tentera di Sarawak pada masa itu.
Kawasan Nonok dahulu (Asajaya sekarang) merupakan satu kawasan yang dikategorikan sebagai kawasan hitam. Jadi tidaklah menghairankan sekiranya banyak operasi ketenteraan berlaku di situ. Sekitar Oktober 1973, Kapten Robert dan kompeninya sekali lagi dihantar ke sana. Tanggal 11 Oktober 1973 menjadi saksi bagaimana Kapten Robert yang baharu sahaja merayakan harijadi yang ke 25 tahun (lahir 6 Oktober) “melupakan” apa-apa sambutan formal harijadi sebaliknya nun bertingkah dengan musuh negara di Nonok.
Serangan mereka pada kali berlaku ketika hening subuh dan menyasarkan satu tapak perkhemahan komunis dengan kekuatan 54 orang anggota gerila komunis dari Kompeni Pertama PARAKU dibawah Bong Kee Chok. Tiada namanya kegentaran kerana diceritakan kekuatan mereka pada ketika itu hanyalah dianggotai oleh 15 orang anggota tentera. 15 melawan 54 sudah tentu ramai yang akan berkata ianya mustahil untuk dikalahkan. Namun semangat agi idup agi ngelaban anggota tentera kita nan 15 itu mengatasi segalanya.
Dengan strategi yang baik ditambah kesiapsiagaan akhirnya mereka berjaya membunuh tujuh orang komunis. Tiga daripada komunis yang terbunuh adalah hasil bidikan senapang Kapten Robert sendiri. Biarpun kejayaan besar ini mendapat pujian namun ada terselit cerita duka kerana salah seorang daripada rakan seperjuangan mereka iaitu Ahmad Adnan cedera parah.
Hasil daripada keberanian dan dedikasi ketika operasi di Nonok 11 Oktober 1973 itulah, Kapten Robert Rizal bin Abdullah telah dianugerahkan oleh DYMM Yang Dipertuan Agong dengan Pingat Gagah Berani iaitu pingat kedua tertinggi di dalam senarai pingat di Malaysia pada tanggal 27 Disember 1973. Kapten Robert menerimanya pada usia yang masih muda iaitu baharu 25 tahun umurnya.
Sepanjang karier ketenteraan beliau selain menerima PGB, sumbangan beliau turut sama diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia mahukan Kerajaan Sarawak sendiri seperti penganugerahan Kesatria Angkatan Tentera (KAT), Pingat Perkhidmatan Bakti (PPB), Pingat Perkhidmatan Am (PPA), Pingat Jasa Malaysia (PJM), Pegawai Bintang Sarawak (PBS) dan Pegawai Bintang Kenyalang (PBK).
Selepas bersara daripada dunia ketenteraan, bujang berani anak Iban dari Lachau, Sri Aman ini memilih untuk menetap di Taiping, Perak iaitu negeri kelahiran isterinya bersama-sama dengan dua cahayamata mereka.
Tabik hormat kepada pahlawan Sarawak, Leftenan Kolonel (B) Robert Rizal bin Abdullah, penerima Pingat Gagah Berani.
-HB-
#KamekSayangSarawakBah!
RUJUKAN:
- Operation Jelaku 6 – The Final Blow. Part 1 – The Search and Contact. http://pgbwarrior.blogspot.com/2008/10/operation-jelaku-6-final-blow.html
- Operation Jelaku 6 – The Final Blow. Part 1 – The Search and Contact. http://pgbwarrior.blogspot.com/search/label/Op%20Beruang%201
- https://army.mod.gov.my/index.php/ms/104/105/196
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih