Bruce Lee benar-benar faham erti sebuah seni. Orang ramai hanya nampak kemahiran pertahanan diri sebagai ilmu perlindungan. Bagi Bruce Lee, setiap buah pukulan itu ada irama dan makna tersendiri.

Sejak mula berlatih, Bruce Lee menyusun langkah yang menjadi sistem Jun Fan Gung Fu. Tetapi ada sesuatu yang berlaku pada tahun 1964, menyebabkan Bruce Lee bertukar arah.

Pertembungan Maut Yang Berlagenda

China yang dulu bukanlah seperti sekarang. Kalau tengok budaya China kini, mereka lebih suka jika orang luar ambil tahu tentang bangsa mereka. Lagilah rancak perkongsian budaya yang akan menguntungkan negara dari segi pelancongan.

Namun China yang dulu sangat menjaga rahsia budaya. Apabila Bruce Lee kelihatan suka mengajar orang Barat tentang selok-belok seni pertahanan diri, ramai orang China agak bengang (Bowman, et al., 2016).

Dalam kehangatan inilah berlaku satu peraduan antara Bruce Lee dengan seorang guru daripada Hong Kong.

Wong Jack-man menguasai ilmu pertahanan diri Taijiquan, Xingyiquan dan Shaolin. Berbekal tiga tanduk ilmu ini, Wong berdepan dengan Bruce Lee pada tahun 1964 di Chinatown, Amerika Syarikat.

Malang seribu malang, peraduan ini tidak dirakam sesiapa. Mereka bertukar adab dan adat seni sebelum mula menunjukkan kuasa masing-masing.

Namun Wong ada letakkan sedikit syarat seperti tidak tumbuk muka, tendang celah kangkang dan cucuk mata yang ditolak Bruce Lee (Borine, 2002).

Dua pemerhati berkongsi pengalaman menyaksikan peraduan mereka. Isteri Bruce Lee berkata perlawanan ini hanya tiga minit sahaja, dengan Bruce Lee membungkus Wong sambil ikat tepi.

Tetapi Bruce Lee berkata “aku pernah berlawan dengan Kucing Kung Fu di San Francisco. Beberapa minit kemudian, anak haram tu mula lari. Aku pun kejarlah dia sambil tumbuk di belakang kepalanya.

Tangan aku mula bengkak sebab tumbuk bahagian keras. Dari situ aku tahu (ilmu aku) tidak begitu praktikal.”

Wujudnya Jeet Kune Do

Pemerhati lain berkata perlawanan mereka berlangsung 25 minit. Tetapi apa yang berlaku sebenar-benarnya tidak penting untuk dihayati.

Apa yang penting adalah bagaimana ia mengubah fikrah perlawanan Bruce Lee. Beliau enggan berlawan dengan metodologi Jun Fan Gung Fu lagi (Rossen, 2015). Mulalah episod baru dalam sejarah Bruce Lee, yang mula memikirkan teknik baru.

Beliau enggan mengikuti seni pertahanan diri bersistematik. Bagi yang ingin melindungi diri, memanglah ia menguntungkan. Tetapi Bruce Lee tidak perlu melindungi diri. Naga pun tunduk padanya. Beliau sudah capai tahap untuk selidik dan tinggalkan dunia dengan teknik baru yang tidak pernah diajar sesiapa.

Hampir semua mahaguru memastikan anak-anak buah ikut gaya yang ditetapkan. Bruce Lee mahu anak-anak buahnya mahir dalam teknik dan buat gaya sendiri. Maka lahirlah Jeet Kune Do yang membebaskan pejuang berseni.

Ia tidak berstruktur, apatah lagi berorganisasi. Orang yang faham saja boleh buat. Jeet Kune Do hanyalah wadah untuk menguasai ilmu pertahanan diri sedia ada.

Bermakna Bruce Lee meminjam teknik-teknik terbaik daripada seni-seni lain. Daripada Kung Fu. Taekwondo. Taijiquan. Sebagainya. Mana-mana kelemahan yang ada dalam seni pertahanan diri sedia ada, beliau betulkan.

Bruce Lee ubah seni dalam muay thai seperti ditunjukkan dalam Way of the Dragon masa lawan dengan Chuck Norris. Pergerakan Bruce Lee dipinjam daripada Muhammad Ali.

Senang cakap, Bruce Lee meninggalkan legasi yang wajar dijadikan buku teks kepada semua peminat pertahanan diri. Dan beliau tidak ego mendabik dada kata ini ilmunya.

RUJUKAN:

Borine, N. (2002, Disember 16). King Dragon. 1st Books Library. Halaman 44.

Bowman, P., et al. (2016). Mythologies of Martial Arts. Rowman & Littlefield. Halaman 112.

Rossen, J. (2015, Ogos 10). Bruce Lee: The Time Bruce Lee Was Challenged to A Real Fight. Mental Floss.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Berbekalkan buku “Perang Salib Pertama: Kelahiran Templar”, Ahmad Faezal mempunyai suatu matlamat bagi Malaysia. Dalam kaca mata beliau, bangsa Melayu perlu bangkit membaham ilmu sepertimana mereka memakan nasi. Seorang pengikut setia bidang astronomi dan isu semasa, beliau mengimpikan bangsa Melayu dalam masa 100 tahun boleh melibatkan diri secara aktif dalam bidang-bidang sains terperinci. Beliau juga seorang penulis dan penterjemah upahan, yang sedia menerima klien.

Comments are closed.