Isu Jawi masih menjadi perdebatan dan perbincangan hangat di Malaysia semenjak dua menjak ini. Namun begitu, ada satu perkara yang menarik minat saya iaitu melibatkan Permaisuri Agong. Tindakan terbaru yang dilakukan oleh Tuanku Permaisuri amat penting dan bersejarah serta harus disambut baik. Baginda telah menulis di laman Twitter Baginda mengenai pandangan Baginda mengenai isu Jawi ini dan telah bertindak untuk mula menulis ciapan Baginda di dalam tulisan Jawi. Peranan Baginda ini sangat penting di dalam penginstitusian Jawi di dalam negara kita. Apa maksud saya?

Ini disebabkan selama ini Jawi hanya berada di dalam Institusi Agama Islam dan hanya berlegar di dalam institusi itu sahaja. Jawi hanya menerpa ke institusi lain di dalam bentuk pakej Agama Islam seperti subjek Pendidikan Islam di dalam institusi pendidikan.

Sebelum itu mari kita mengenali maksud institusi. Institusi ini menurut Samuel P. Huntington adalah suatu perangai yang mapan, bernilai dan mempunyai corak berulang. Contoh-contoh institusi adalah institusi keluarga, institusi kesihatan, institusi politik dan lain-lain. Menurut bapa sosiologi, Emile Durkheim, institusi berfungsi sebagai agen penstabil apabila mengekalkan nilai dalamannya.

Di manakah letak duduk institusi di dalam sosial fabrik masyarakat? Ia terletak di puncak struktur sosial. Dari dasar, ia dimulai dengan status sosial → peranan sosial → kumpulan sosial → organisasi dan hubungan sosial → institusi sosial. Di sini institusi mengawal-selia sistem sosial yang berada di bawahnya.

Organisasi-organisasi yang berada di bawahnya akan bergerak di dalam ruang lingkup yang telah ditetapkan oleh institusi masing-masing. Begitu juga organisasi-organisasi seperti JAKIM, NGO-NGO dan persatuan-persatuan akan mengikut institusi agama. Oleh itu seperti yang diterangkan di atas, organisasi-organisasi ini boleh bergerak merentas institusi lain namun ia harus mengikut lunas-lunas institusinya sendiri dan juga lunas-lunas institusi yang direntasnya.

Walaupun tindakan menulis Jawi di media sosial telah berlaku beberapa kali sebelum ini di dalam usaha memartabatkan dan melestarikan tulisan Jawi namun ia muncul dan hilang begitu sahaja. Kesannya mungkin tidak terlihat atau terlalu kecil untuk dikesan. Jadi adakah tindakan Tuanku Permaisuri terkini akan memberikan kesan yang lebih besar dalam jangka masa yang panjang?

Ya, tindakan yang Baginda lakukan itu saya jangkakan akan memberikan impak yang besar. Tindakan Tuanku Permaisuri itu telah membawa keluar Jawi daripada Institusi Agama dan muncul di tengah-tengah masyarakat. Amalan tulisan Jawi ini tidak dikenali di luar lingkungan institusi agama namun begitu sesuatu amalan luar itu boleh diinstitusikan masuk ke dalam sesuatu institusi.

Proses ini dinamakan Penginstitusian. Ini kerana institusi ini bergerak berdasarkan tiga teras iaitu regulatif, normatif, dan budaya-kognitif. Regulatif diukur melalui undang-undang, protokol dan SOP di mana jalannya adalah melalui pewartaan undang-undang. Manakala, normatif ditunjukan melalui peranan kerja dan  jangkaan kerja tersebut. Budaya-kognitif pula berdasarkan kepercayaan bersama dan nilai yang disepakati.

Jalan regulatif inilah yang telah dilakukan oleh Menteri Pendidikan tahun 70-an, Khir Johari, di mana beliau telah menggunakan jalan ini untuk mengeluarkan tulisan Jawi daripada institusi pendidikan secara menyeluruh dengan hanya meninggalkan sedikit sahaja di dalam bentuk Pendidikan Islam. Malah beliau telah mengeluarkan tulisan Jawi daripada institusi Bahasa Melayu dengan menukar secara rasmi kepada tulisan rumi. Tindakan beliau telah menyaksikan era Bahasa Melayu Klasik terkubur sepenuhnya. Saya memandang peristiwa ini sebagai sejarah hitam negara.

Berbalik kepada Tuanku Permaisuri, Baginda merupakan salah seorang anggota di dalam sebuah institusi yang digelar institusi diraja. Apabila Tuanku Permaisuri mengambil langkah sedemikian, Tuanku Permaisuri telah membawa masuk tulisan Jawi ke dalam institusi Baginda. Secara tidak langsung jika diteruskan, Tuanku Permaisuri boleh menjadikan amalan tulisan Jawi diinstitusikan ke dalam institusi Baginda.

Selain itu, semenjak pertabalan Baginda sebagai Permaisuri Agong, Baginda yang begitu merendah diri dan mesra rakyat telah menjadikan diri Baginda sebagai ‘public figure’ yang berpengaruh di mana Baginda telah membentuk pengaruh sosial yang tersendiri.

Lebih-lebih lagi apabila Baginda telah menjadikan medan twitter sebagai landasan untuk Baginda berinteraksi dengan rakyat jelata. Oleh itu, sosok Baginda sebagai ‘public figure’ akan menjadikan tulisan Jawi sebagai sesuatu yang ‘trendy’ atau ranggi.

Lalu, tulisan Jawi boleh diinstitusikan melalui jalan normatif. Jalan normatif ini adalah jalan kebiasaan atau ‘normal’ atau kebanyakan di mana apabila majoriti menggunakannya, maka ia akan menimbulkan suatu ‘desakan’ yang akhirnya akan diinstitusikan tanpa perlu melalui jalan undang-undang. Seraya itu, apabila masyarakat mula menerima Jawi sebagai suatu yang ‘normal’, ia dengan sendirinya akan menyerap masuk ke dalam institusi-institusi lain yang terlibat secara langsung atau tidak langsung.

Jalan budaya-kognitif pula adalah pemahaman masyarakat sosial mengenai Jawi. Setakat ini Jawi telah disudutkan kepada tulisan agama semata. Malah ini terbukti dengan banyaknya penghasilan buku agama melalui tulisan Jawi dan diketuai oleh organisasi-organisasi institusi agama seperti majlis agama islam negeri.

Di luar konteks institusi agama pula, Jawi dianggap sebagai bahan sejarah yang tiada nilai ekoran penerapan falsafah kedisinikinian di dalam masyarakat kita secara berleluasa. Di sini, penukaran ini memerlukan daya-usaha ilmu untuk membuktikan Jawi ini bukan sekadar produk agama tetapi lebih daripada itu.

Setakat ini, saya melihat hanya sebuah organisasi yang berusaha memperluaskan Jawi sebagai suatu peradaban atau tamadun melalui jalan ilmu iaitu Akademi Jawi Malaysia – Klasika Media yang diusahakan oleh saudara Teja. Maka jika anggota organisasi mempunyai kepercayaan Jawi yang sejagat, organisasi itu sendiri akan menerapkan tulisan Jawi di dalam institusi masing-masing tanpa perlu melalui jalan normatif mahupun regulatif. Pandangan alam anggota organisasi terhadap Jawi perlu dibentuk-lenturkan supaya adil di dalam menilai. Semangat kedisinikinian perlu dibuang, dan perlu diganti dengan semangat yang bersikap kekal, tekal dan mapan.

Sehubungan perlu ada sokongan pelbagai pihak di setiap institusi dan lapangan. Sebagai contohnya baru-baru ini, UPSI telah cuba menjadi organisasi pertama di dalam institusi pendidikan menerapkan tulisan Jawi di dalam organisasinya ketika kemelut Jawi ini berlaku.

Organisasi-organisasi lain di dalam institusi lain wajar memberikan sokongan dan juga mendukung sekali usaha yang telah dimulai oleh Tuanku Permaisuri daripada institusi diraja dan UPSI daripada institusi pendidikan. Apabila ada desakan sebegini melalui jalan regulatif, normatif dan budaya-kognitif mengikut lunas masing-masing, usaha menjadikan tulisan Jawi kembali sebagai tulisan rasmi Bahasa Melayu pasti akan menampakkan sinarnya.

Semoga dengan dukungan Permaisuri kali ini, ia akan memanjangkan jangka hayat usaha melestarikan Jawi di dalam peradaban Malaysia dan semoga kesan akhirnya adalah berjaya dipatah-balikkan ke zaman pra 1970. Seterusnya menuju masa depan bersama Jawi. InsyaAllah.

RUJUKAN:

Mohd Salleh, I (2019) Lecture 6: Social Institutions and Behaviour, lecture notes, Society, Behaviour and Health MQB7004, University Malaya, delivered 16 October 2019.

Bernama,2019. UPSI to revive use of Jawi next year. Accessed on 29 December 2019. Taken from: http://www.bernama.com/en/general/news.php?id=1802507


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Dilahirkan di Kuala Lumpur dan mendapat pendidikan di dalam bidang perubatan di RCSI, Ireland, dan PMC(RUMC), Pulau Pinang. Kini, sedang melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana (Master) dalam bidang Kesihatan Awam. Seorang yang meminati hal-ehwal sejarah, falsafah, geopolitik dan bahasa. Cenderung kepada Gagasan Islamisasi Ilmu oleh Syed Muhammad Naquib Al-Attas. Mempunyai pengalaman dalam menerjemah buku dan sedang mempelajari bahasa Rusia dan Mandarin. Bercita-cita untuk menjadi seorang polymath dan polyglot.

Comments are closed.