Pada ulang tahun pertama Perang Nagorno-Karabakh 2020, selalunya perang mulut tercetus antara Azerbaijan dengan Armenia. Tetapi yang anehnya, ia membabitkan Baku dan negara jirannya di Caucasus, Iran.

Tehran menuduh Baku menawarkan wilayahnya sebagai pusat pengumpulan maklumat perisikan untuk rejim Israel dan merekrut tentera upahan dari Syria semasa perang selama 44 hari itu. Sementara Azerbaijan pula menuduh Iran menceroboh selatan negara itu untuk tempoh seketika dan mengatur penyeludupan dadah ke Eropah dengan kerjasama Yerevan.

Perang mulut dua negara ini kemudiannya disusuli dengan pertunjukan aset ketenteraan kedua-dua negara di sempadan masing-masing. Pada pertengahan September, Azerbaijan mengadakan latihan ketenteraan bersama Turki dan Pakistan. Dua minggu kemudian, Iran pula mengadakan simulasi perang di kawasan sempadan Iran-Azerbaijan. Beberapa hari selepas itu, giliran Baku melakukan perkara sama bersama Turki di Georgia.

Tetapi apabila semua itu berakhir, kedua-dua negara tiba-tiba berbaik semula yang diterjemah dalam bentuk pertemuan di ibu kota Turkmenistan, Ashgabat penghujung November lalu. Pertemuan Ebrahim Raisi-Ilham Aliyev itu disusuli dengan pemeteraian perjanjian pertukaran gas jangka panjang Iran-Azerbaijan-Turkmenistan. Bagi penyokong Raisi, ia merupakan tamparan hebat kepada tekanan sekatan ekonomi Amerika Syarikat pada 2018 selepas Presiden Donald Trump menarik diri daripada perjanjian nuklear 2015.

Rajah 1: Pertemuan Aliyev dan Raisi di Ashgabat, Turkmenistan buka jalan kepada perjanjian pertukaran gas jangka panjang Iran-Turkmenistan-Azerbaijan. Sumber: Azertag.az

Menerusi perjanjian tersebut, satu hingga dua bilion meter3 gas akan dihantar dari Turkmenistan ke pos sempadan Sarakhs sebelum jumlah sama dihantar ke wilayah autonomi Nakhchivan, Azerbaijan di pintu sempadan Astara. Bagaimanapun, seorang pakar tenaga yang enggan dikenali melihat terdapat beberapa isu yang perlu dijawab oleh pentadbiran Raisi.

Pertama, kontrak perjanjian ini bersifat jangka panjang dan ia tidak semestinya perjanjian yang baik kepada Tehran. Kedua, berapa peratus jumlah gas Turkmenistan yang diterima Iran. Mengikut beberapa agensi berita, ia berlegar antara lima hingga 25%. Tetapi pakar tersebut percaya peratusan agihan untuk Iran kurang daripada 5%.

Anggapannya itu dibuat atas dua faktor. Pertama, Iran yang terlebih dahulu mengatur perjanjian dengan Turkmenistan dan bukan sebaliknya. Kedua, disebabkan sekatan ekonomi AS, Tehran hanya boleh berurusan dengan pasaran global dengan harga jauh lebih rendah daripada harga pasaran. Beliau percaya perjanjian ini dibuat untuk mengukuhkan kedudukan Raisi secara domestik walaupun terpaksa memeterai perjanjian dengan negara yang dahulunya dilabel mereka sebagai tali barut Israel.

Tetapi ada juga berpandangan ia dibuat sebagai mendapatkan pengaruh sebelum rundingan nuklear di Vienna disambung. Ini diakui oleh seorang diplomat yang pernah bekerja di kementerian luar Iran dari 2005 hingga 2013. Sementara delegasi Iran sibuk berunding dengan kuasa-kuasa dunia yang membentuk perjanjian nuklear 2015, diplomat-diplomat di Tehran sibuk membina hubungan politik dengan negara-negara jiran dan kuasa serantau. Polisi ini dijangka berkuatkuasa sekurang-kurangnya untuk tempoh empat tahun.

Tambah si diplomat lagi, disebabkan terlalu fokus kepada rundingan nuklear, Iran dilihat terlalu pasif di rantau Caucasus. Dan itu menjejaskan keupayaan kementerian luar menggubal polisi rantau Caucasus yang dinamik. Tetapi satu perkara yang kekal konsisten diperjuangkan mereka sejak 1990-an ialah menghalang pembukaan koridor pengangkutan Zangezur yang menghubungkan Azerbaijan dengan Nakhchivan.

Rajah 2: Koridor pengangkutan Zangezur. Sumber: Middle East Eye

Tehran mempunyai sebab kukuh membantah pembukaan koridor Zangezur. Sekiranya koridor berukuran 21 km panjang itu dibuka, ia akan memutuskan akses mereka ke Caucasus dari Armenia. Tetapi pengaruh Iran yang lemah tidak akan dapat mengatasi kata putus yang dimiliki oleh Turki dan Rusia. Sekiranya kedua-dua negara merasakan ia perlu dibuka, maka Yerevan dan Tehran perlu akur.

Bagi seorang bekas diplomat Iran yang berkhidmat semasa Perang Nagorno-Karabakh Pertama (1988-1994), beliau merasakan bantahan Tehran akan ditolak. Pertama, Azerbaijan mendapat sokongan politik dan ketenteraan daripada Israel dan Turki. Kedua, Armenia hanya mengikut apa yang diperintahkan oleh Moscow.

Sekiranya Rusia mahukan tentera Armenia dikeluarkan dari Zangezur dengan kawalan keselamatan diserahkan kepada pasukan pengaman mereka, Yerevan terpaksa akur. Senario ini hampir sama di Karabakh pada akhir perang di mana pasukan pengaman Rusia bertanggungjawab mengawal keselamatan wilayah itu.

Malah, bekas diplomat itu mengakui semasa perang Nagorno-Karabakh pertama, pengaruh Iran di Caucasus lemah. Tetapi sekurang-kurangnya pada ketika itu, mereka menjadi tuan rumah rundingan damai antara kedua-dua negara. Tetapi hari ini, fokus Tehran ialah meluaskan pengaruhnya di Syria, Lubnan, Yaman dan Iraq sehingga terlupa rantau Caucasus.

Akibatnya, mengikut hemat si bekas diplomat, Tehran tidak dapat menutup kelemahannya sendiri dalam kalangan negara jiran Caucasus. Dan ia diambil kesempatan sepenuhnya oleh Azerbaijan menerusi perjanjian pertukaran gas yang dimeterai baru-baru ini.

RUJUKAN

Middle East Eye. (2021, 26 Disember). The promise of wealth brings Iran and Azerbaijan together after Armenia tensions.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply