Baru-baru ini, seorang timbalan menteri dalam satu majlis menyalahkan sebuah parti politik kerana dikatakan merosakkan imej Hang Tuah sebagai seorang pahlawan yang menurut perintah membabi-buta sahaja dan mempergunakan imejnya untuk kepentingan mereka. Agak lucu, apakah parti itu juga bertanggungjawab atas kekalahan Manchester United di tangan Manchester City baru-baru ini? Apakah parti sama juga bertanggungjawab mengakibatkan Connor McGregor tewas kepada Khabib Nurmagomedov? Senang cerita, apa jenis malang yang menimpa, semuanya salah parti berkenaan.

Ketepikan seketika jenaka di sebalik semua itu. Tidak adil bagi timbalan menteri menyalahkan parti tersebut kerana dikatakan merosakkan imej Tuah. Sebaliknya, pak timbalan menteri yang harus merasa malu kerana melihat tokoh-tokoh bersejarah seperti Hang Tuah dari kaca mata moden. Hakikatnya, Tuah merupakan perwakilan kepada peradaban Melayu yang wujud pada ketika itu. Umum mungkin mengenalinya sebagai seorang pahlawan yang gagah bermain senjata tetapi tidak ramai sedar ia turut disulami dengan sikap taat setia bangsa Melayu dalam dirinya. Dan pak timbalan menteri juga lupa, dalam setiap pengembaraan atau kelicikannya sebagai pahlawan atau duta Kesultanan Melayu Melaka ketika itu, ia sebenarnya memperlihatkan kehebatan bangsa Melayu dalam membina tamadun mereka sehingga dikenali di timur dan barat.

Aneh sungguh tuduhannya yang melabel Tuah sebagai pak turut tapi mengakui mengagumi ketokohannya. Ah, pak timbalan menteri. Anda lupa di sebalik ketokohannya itu, tersirat pelbagai jenis pemikiran bangsa Melayu yang anda dan masyarakat hari ini harus tahu. Antara aspek yang boleh diketengahkan seperti keperwiraan, kesetiaan, keberanian dan kebaktian.

Keberanian

Jika dianalisis Hikayat Hang Tuah, satu karya epik Melayu asli, Tuah bukan sekadar hulubalang biasa tetapi sebagai simbol keperwiraan bangsa Melayu. Seseorang pahlawan perlu mempunyai ciri-ciri seperti berani, cekal, berkeyakinan dan mempunyai jiwa pendekar merupakan antara teras nilai keperwiraan bangsa Melayu.

Keperwiraan Hang Tuah adalah keperwiraan bangsa Melayu malah keagungan kerajaan Melayu Melaka sesungguhnya amat bergantung kepada keterlibatan Hang Tuah dalam politik Kesultanan Melayu Melaka. Pendek kata, kejayaan kerajaan Melayu Melaka pada zaman kegemilangannya telah membentuk dalam diri manusia cemerlang bernama Hang Tuah. Jadi, kejayaan Melayu dan kejayaan bangsa Melayu dilambangkan sebagai seorang perwira yang ‘mythical’, yakni manusia yang membela kesultanan dan keamanan bangsanya.

Terdapat banyak peristiwa yang menonjolkan keberanian Hang Tuah sebagai pahlawan. Misalnya, semasa hendak menjalankan misi mendapatkan Tun Teja dari Pahang untuk diperisterikan oleh Sultan Melaka, beliau secara senyap menggoyangkan jong Tun Ratna Diraja dan Tun Bira Sira kerana kedua-duanya keberatan membantunya membawa Tun Teja kembali ke Melaka. Selepas menyaksikan peristiwa yang dianggap pelik bin ajaib itu, barulah dua utusan Siam itu bersetuju membantu Tuah melaksanakan misi tersebut.

Selain itu, tak lama selepas Tun Teja berjaya dilarikan ke Melaka, angkatan Pahang diutus ke Melaka untuk membawa pulang Tun Teja kembali ke sana di bawah pimpinan Tun Jenal. Apabila berita tersebut dihidu Hang Tuah, beliau kemudian memanah tunggul perahu Tun Jenal sehingga patah. Ini ada dicatatkan dalam Hikayat Hang Tuah, “… dipanahnya, ditujunya kepala perahunya kenaikan laksamana itu, lalu patah. Maka dipanahnya pula, ditujunya temberang; kena, lalu putus.

Maka ditujunya pula kemudi, itu pun kena lalu patah.” Tindakan tersebut nyata mengejutkan angkatan Pahang di mana Bendahara Seri Buana Inderapura turut mengakui kehandalan Tuah. Ini menyebabkan angkatan tersebut membatalkan hasrat menuju ke Melaka dan kembali semula ke Pahang. Selain pengakuan kepada ketangkasannya di medan pertempuran, ia sebenarnya mendedahkan lagi sisi kebatinan tinggi yang dimiliki pahlawan Melayu melalui Hang Tuah.

Keperwiraan Hang Tuah bukan setakat menonjol di bumi Melaka malah turut terserlah di dunia luar seperti di India, China, Siam, Majapahit dan Turki. Hang Tuah memang diakui sebagai Laksamana yang sukar ditandingi dalam apa jua aspek sekalipun. Sesungguhnya keperwiraan Hang Tuah menjadi inspirasi kepada masyarakat Melayu. Justeru, keagungan Hang Tuah merupakan keagungan bangsa Melayu.

Kesetiaan

Hang Tuah diperlihatkan sebagai seorang watak yang amat setia kepada tuannya. Taat setia yang dipaparkan beliau bersifat mutlak. Tuah sanggup berkorban apa sahaja termasuk nyawanya sendiri sebagai pertaruhan seandainya diperlukan oleh raja dan negara. Prinsip hidupnya iaitu ‘pantang Melayu menderhaka kepada raja’ sebenarnya merupakan lambang kesetiaan masyarakat Melayu secara keseluruhan dalam sistem pemerintahan feudal. Raja (Sultan) dianggap sebagai tempat bergantung hidup dan tempat mendapatkan perlindungan oleh rakyat pada zaman feudal. Mereka percaya, raja merupakan titisan dewa-dewa dan wakil Tuhan di dunia. Justeru itu, segala titah perintah daripada raja mesti dijunjung dan kedaulatan raja mesti dipelihara.

Memandangkan peranannya sebagai hulubalang diraja dan Laksamana, maka kesetiaannya kepada Sultan Melaka memang terkenal, lebih-lebih lagi jika mereka datang dari darah raja-raja Bukit Siguntang. Tetapi, jika ada yang merasakan kesetiaan beliau itu bersifat membuta-tuli seperti mana sangkaan pak timbalan menteri, anda salah. Ada satu peristiwa yang direkodkan dalam Hikayat Hang Tuah. Pada satu ketika, Tuah diperintahkan membunuh Sang Jaya Nantaka. Tetapi beliau enggan melaksanakan perintah itu dan memohon maaf menerusi dialog ini,

“Setelah Tun Tuah mendengar titah raja demikian itu maka Tun Tuah pun menghunus keris panjangnya dan penduanya lalu meniarap sujud bersembahkan, “Ya Tuanku Syah Alam, patik tuanku melalui titah tuanku yang maha mulia itu derhakalah. Patik mohonkan ampun dan kurnia di bawah Duli Yang Dipertuan, yang nama patik mendatangkan tangan patik ke atas anak cucu raja di Bukit Siguntang itu mohonlah patik.” Peristiwa ini merupakan satu-satunya peristiwa di mana Hang Tuah tidak dapat menunaikan perintah raja.

Kesetiaan Hang Tuah kepada Sultan Melaka terus menebal walaupun pada satu ketika, beliau menjadi mangsa permainan fitnah sesetengah pembesar yang iri hati hubungannya dengan baginda. Selepas termakan fitnah Patih Kerma Wijaya, baginda menjatuhkan hukuman bunuh ke atas beliau. Apabila perintah bunuh itu disampaikan kepadanya oleh Bendahara, dialog ini diungkapkan dalam Hikayat Hang Tuah, “Setelah laksamana mendengar kata bendahara demikian itu, maka laksamana pun menghunus kerisnya dari pinggangnya lalu dipersembahkannya pada bendahara; demikian katanya, “Alhamdulillah! Si Tuah tiada bertuan dua tiga dan Si Tuah tiada mahu derhaka kepada tuannya. Segeralah datuk kerjakan titah yang maha mulia itu.”

Hang Tuah boleh saja berpaling tadah dan menawarkan khidmatnya kepada mana-mana kerajaan Melayu ketika itu atau pihak musuh yang memusuhi Melaka. Tetapi itu langsung tidak berlaku kerana beliau berpegang kepada prinsip ‘buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali-kali’. Pegangan tersebut merupakan lambang prinsip kesetiaan orang Melayu ketika itu. Sesiapa yang menderhaka bererti maut bakal diterima. Hang Tuah sendiri telah bersumpah bahawa beliau sama sekali tidak akan bertuan kepada orang lain selain daripada Raja Melaka. Hang Tuah tidak pernah belot sama ada di negara sendiri mahu pun di negara lain ketika berkhidmat sebagai diplomat. Hang Tuah merupakan lambang kesetiaan bangsa Melayu kepada pihak pemerintah tanpa mengira kesilapan rajanya. Sebagai rakyat, menjadi satu tanggungjawab mencurahkan ketaatsetiaan mutlak kepada raja. Ini sebenarnya mencerminkan kesetiaan rakyat keseluruhan ketika itu.

Walaupun sudah berjasa bukan sedikit kepada negara, tetapi para pendengki diketuai Patih Kerma Wijaya masih berusaha menyingkirkan Tuah dari Istana Melaka. Selepas Sultan Melaka sekali lagi termakan fitnah dan memerintahkan beliau dihukum mati, Bendahara segera menyuruhnya bersembunyi di Hulu Melaka. Dan ini juga membawa kepada peristiwa Hang Jebat mengamuk di istana kerana mahu menuntut bela kematian saudaranya sendiri. Melihat situasi yang semakin terdesak, Tuah yang menuntut dengan seorang ulama bernama Sheikh Mansur semasa di Hulu Melaka dibawa kembali untuk menghentikan penderhakaan Jebat.

Tanpa disedari ramai, Melaka bukan saja disegani kerana kebijaksanaan pentadbir dan sultannya tetapi juga digeruni kerana mempunyai pahlawan yang hebat dan berkarisma seperti Tuah. Hang Tuah merupakan tunggak utama kerajaan Melaka dalam menjadi sebuah negara yang berpengaruh dan stabil. Keberadaan Hang Tuah di Melaka membuatkan pihak musuh berfikir dua kali untuk menyerang Melaka. Beberapa pembesar sendiri melahirkan rasa cemburu terhadap Hang Tuah seperti peristiwa di atas kerana Hang Tuah berjaya menyelesaikan banyak isu di Melaka dan sangat disayangi sultan. Hal ini membuatkan beberapa pembesar berasa tersisih. Walau bagaimanapun, setelah Hang Tuah ‘dihukum bunuh,’ baharulah pembesar tersebut menghargai kepentingan dan keberadaan Hang Tuah di Melaka.

Atas sebab itulah, lihatlah sendiri coretan Hikayat Hang Tuah apabila dua insan yang menjadi bahan permainan fitnah itu dipertemukan semula, “Setelah laksamana melihat raja datang, maka laksamana pun segera meniarap sujud pada kaki raja. Maka raja pun memeluk mencium laksamana seraya dipegang tangan laksamana lalu dibawa baginda ke rumah bendahara.”

Sikap taat setia ini juga menyebabkan Hang Tuah tidak teragak-agak membunuh Hang Jebat walaupun rakannya itu merupakan rakan karibnya sejak dari kecil. Ini kerana apa yang dilakukan Jebat itu ialah bughah atau pemberontakan yang harus ditamatkan dengan segera. Tindakan tersebut penting demi memelihara dan mempertahan institusi kesultanan agar sentiasa teguh dan utuh. Kedaulatan raja mesti dipelihara dan keagungan bangsa Melayu mesti diutamakan. Hang Tuah adalah manusia sejarah dan legenda yang menjadi lambang kesetiaan bangsa Melayu khususnya di dalam institusi Kesultanan Kerajaan Melayu Melaka yang mengamalkan corak pemerintahan feudal.

Kebaktian

Dengan berbekalkan prinsip ‘takkan Melayu hilang di dunia,’ sejak kecil lagi dari umur 10 tahun hinggalah mencecah usia dewasa, bukan sedikit jasa Hang Tuah kepada raja dan negara. Jadi, tidak hairanlah apabila disebut Hang Tuah sebenarnya adalah lambang bagi kebesaran dan kekuasaan bangsa Melayu. Hang Tuah bukan sekadar sebagai insan penyelamat bangsanya, bahkan kebaktian yang dicurahkan selama ini mencerminkan kelebihan bangsa dan negaranya pada kaca mata dunia. Lihat catatan Hikayat Hang Tuah ini, “Memperlihatkan kelebihan Melaka ke atas Majapahit, Tanah Melayu atas Pulau Jawa, dan terutama kelebihan abdi Melayu Hang Tuah ke atas abdi Jawa Gajah Mada, kedua-duanya sebagai lambang negaranya.”

Sebagai rakyat, hasrat berbakti kepada tuannya begitu membuak-buak. Justeru, Hang Tuah menuruti apa sahaja yang dititahkan oleh raja sehingga sanggup bergadai nyawa demi berbakti kepada raja dan negara. Hang Tuah melaksanakan tanggungjawab yang diberikan oleh sultan dengan jayanya dan bersungguh-sungguh demi mempertahankan kedudukan serta kedaulatan negara bangsanya.

Satu perkara yang menunjukkan kesungguhannya berbakti pada raja dan negara ialah soal pengambilan Tun Teja sebagai isteri Sultan Mansur Shah. Selepas Tun Utama dan Tun Bija Sura gagal mendapatkan Tun Teja, Tuah mengulas dalam Hikayat Hang Tuah, “Maka Tun Tuah pun menyembah seraya berkata, Cih! Bukan orangnya yang dititahkan itu. Jika Si Tuah gerangan membawa titah tuannya, sehingga putih tulang, tiada putih mata!” Setelah Tun Utama dan Tun Bija Sura mendengar kata Tun Tuah itu maka Tun Utama dan Tun Bija Sura pun masam mukanya.”

Hang Tuah sedar peristiwa tersebut menyebabkan dirinya rasa terhina. Kerana kasihkan raja, maka giliran beliau pula mencuba nasib membawa Tun Teja ke Melaka. Hikayat Hang Tuah menyingkap motifnya, “Maka Laksamana pun fikir dalam hatinya, “Adapun aku ini dimurkai oleh Duli Yang Dipertuan Melaka. Jika demikian baiklah aku mencari satu kebaktian supaya aku boleh kembali ke Melaka; kerana Duli Yang Dipertuan Melaka dahulu terlalu amat berahi akan Tun Teja, malah keturunan gila. Jika demikian, baiklah Tun Teja itu kuperdayakan kubawa pulang ke Melaka untuk dipersembahkan pada baginda itu, supaya aku beroleh kembali.”

Dengan membawa pulang Tun Teja, sudah pasti beliau bukan saja akan menyebabkan Sultan merasa sukacita tetapi juga mengharumkan lagi nama Melaka sebagai sebuah kerajaan yang tidak boleh dipandang remeh. Itu sebab selepas Tuah berjaya mempersembahkan Tun Teja kepada baginda, Sultan Melaka mengurniakan gelaran Laksamana kepada beliau sebagai membalas jasanya kepada raja dan negara. Motif bakti Hang Tuah bukan didorong oleh sikap prejudis yang mempunyai kepentingan tertentu tetapi keikhlasan Hang Tuah yang semata-mata ingin menegakkan keutuhan bangsa Melayu dan menjaga institusi diraja agar tidak dapat dicabar.

Keberanian

Keberanian Hang Tuah bukan sedikit direkodkan dalam catatan sejarah. Pada usia 10 tahun, beliau berjaya membunuh orang yang mengamuk yang mencetuskan keributan di kampungnya. Dan semasa menjalankan urusan meminang Puteri Raden Galuh Emas Ayu dari Majapahit, pemerintah Majapahit iaitu Seri Betara dan Patih Gajah Mada mahu menggagalkan usaha Tuah dan Patih Kerma Wijaya. Untuk membunuh Sultan Melaka, Hang Tuah dan rombongan Melaka yang ada di Majapahit ketika itu, baginda mengarahkan 40 orang pahlawannya mengamuk dengan tujuan membunuh mereka. Tetapi rancangan tersebut tidak berhasil dan Puteri Raden Galuh Emas Ayu berjaya diperisterikan Sultan Melaka.

Dalam Hikayat Hang Tuah banyak peristiwa yang mendedahkan keberanian Hang Tuah khususnya dan juga para sahabatnya. Peristiwa-peristiwa tersebut seperti yang berlaku di Majapahit, di Inderapura, di Siam (bertembung dengan pendekar Jepun), peristiwa bertembung dengan angkatan Portugis dan banyak lagi peristiwa lain.

Prinsip Pantang Derhaka

Gambaran masyarakat dalam Hikayat Hang Tuah memaparkan tentang masyarakat yang memiliki struktur organisasi, iaitu raja mempunyai kedudukan paling atas. Malah raja memiliki kuasa pentadbiran sepenuhnya. Segala perintah raja tidak dapat disangkal dan kata-kata raja itu dianggap sebahagian daripada undang-undang. Rakyat pula dikehendaki memberi hormat dan ketaatan yang tidak berbelah bahagi kepada raja. Ini bersesuaian dengan masyarakat Melayu yang tertanam nilai-nilai hidup seperti konsep ‘pantang anak Melayu menderhaka kepada raja’.

Jika ada seseorang membuat sesuatu yang bercanggah dengan kehendak raja maka orang berkenaan dianggap sebagai orang yang menderhaka. Tanpa adanya penderhakaan dalam sesebuah negeri atau kerajaan, maka sudah tentu raja akan dapat memerintah dengan aman dan stabil. Keadaan politik akan menjadi stabil dan hasilnya rakyat keseluruhan dapat hidup dalam aman dan damai serta para pedagang pula akan datang beramai-ramai ke dalam negeri untuk menjalankan perniagaan.

Prinsip taat setia dan ‘pantang anak Melayu derhaka’ ini dilihat dalam Hikayat Hang Tuah lebih menjurus kepada konsep kedaulatan raja. Apatah lagi keturunan raja Melaka yang dipercayai berasal dari Bukit Siguntang Mahabiru iaitu raja keinderaan yang turun dari kayangan bernama Sang Sapurba yang lahir bersama-sama makhota. Ini bermakna raja-raja Melayu terutama Melaka bukan keturunan rakyat biasa tetapi tergolong dalam tinggi darjatnya.

Bagi Hang Tuah, hanya keturunan raja dari Bukit Siguntang sahaja yang dia akui sebagai ketua atau rajanya. Ketaatan Hang Tuah begitu ketara sehingga di hadapan raja-raja lain pun beliau sanggup berkata sedemikian. Contoh, semasa dalam buangan di Pahang, Tuah cuba dipujuk menawarkan khidmatnya kepada Raja Pahang. Tetapi beliau enggan berbuat demikian kerana tidak mahu bertuan sesiapa melainkan anak cucu raja dari Bukit Siguntang.

Jelas, masyarakat Melayu ketika itu amat patuh dan memandang tinggi terhadap kedudukan raja terutamanya yang berketurunan dari Bukit Siguntang. Keturunan dari Bukit Siguntang dipercayai mempunyai daulat. Jika kata-kata atau perintahnya tidak diikuti, maka akibatnya seseorang itu akan ditimpa bencana dan akan mendatangkan sial kepada seluruh masyarakatnya. Oleh itu, sebagai mengelakkan terkena daulat maka semua golongan rakyat hendaklah setia dan jangan menderhaka. Mengikut kepercayaan masyarakat zaman dahulu, jika raja berlaku zalim sekalipun, rakyat tidak harus memberontak tetapi akan suatu kuasa lain yang akan

menghancurkan negeri tersebut. Oleh sebab itu, jika pihak raja dan rakyat berpegang teguh kepada kata sepakat. Bila itu berlaku, maka hayat kerajaan itu berpanjangan dan rakyat akan hidup dalam keadaan aman dan harmoni.

Itulah yang belaku terhadap Hang Jebat yang dianggap menderhaka kepada Raja Melaka. Hang Jebat bertindak demikian disebabkan hendak menegakkan keadilan kerana Hang Tuah dibunuh oleh raja tanpa usul periksa. Kezaliman membuka jalan kepada penderhakaan. Terdapat sebilangan masyarakat dahulu yang berpandangan, raja memerintahmestilah adil dan rakyat taat setia; apabila raja menjadi zalim, rakyat boleh membuangkan ketaatannya. Sebilangannya membenarkan tindakan Hang Jebat berdasarkan catatan Mohd Yusof Ibrahim.

Namun perlu diingat, raja bertindak zalim kerana merasakan itu hak mutlaknya sebagai pemerintah. Fikiran serupa itu pula dipersetujui oleh masyarakat feudal pada zaman itu. Raja Melaka sendiri telah mengisytiharkan Hang Jebat sudah menderhaka. Baginda menitahkan agar Hang Jebat ditangkap dan dihukum serta merta. Namun, tiada seorang pun yang berani dan berjaya melaksanakan titah itu. Hang Jebat gagal dan dikecewakan oleh Hang Tuah, rakan karib dan yang dibelanya sendiri.

Akibat perasaan yang amat kecewa, Hang Jebat bertindak liar lalu melepaskan geramnya kepada rakyat Melaka yang dianggapnya menyokong perbuatan raja yang zalim itu. Hal itu membawa kepada peristiwa pembunuhan Hang Jebat dan ramai rakyat Melaka terbunuh akibat amukan tersebut.

Niat seperti itu belum pernah wujud dalam masyarakat feudal pada masa itu dan dianggap sebagai perbuatan yang melampaui batas. Kemunculan semula Hang Tuah memberikan satu kejutan yang tidak terhingga kepada Hang Jebat. Beliau terperanjat kerana tidak menyangka sama sekali bahawa Hang Tuah masih hidup. Pada hematnya, Hang Tuah telah dibunuh Bendahara atas titah sultan. Jika beliau mengetahui Hang Tuah masih hidup, sudah pasti Jebat tidak akan menderhaka kepada raja. Lihat kalam Jebat dalam Hikayat Hang Tuah, “Hai orang kaya Laksamana, keranamulah maka aku berbuat pekerjaan ini. Pada bicaraku, engkau tiada dalam dunia ini lagi. Jika aku tahu akan engkau ada hidup, demi Allah dan Rasul-Nya, tiada aku berbuat pekerjaan ini.”

Perbuatan yang dilakukan oleh Hang Jebat pada sama itu dianggap oleh masyarakat feudal sebagai penderhaka. Sebenarnya, cara Hang Jebat itu telah mendahului zamannya. Taraf pemikiran Hang Jebat tidak sesuai dengan masyarakat pada masa itu. Sebaliknya amat bersesuaian dengan taraf pemikiran masyarakat pada hari ini yang semakin lama semakin maju.

Oleh itu, setiap tindak-tanduk yang menyalahi undang-undang, adat dan budaya pada masa itu dianggap salah. Perbuatan yang menyalahi batas-batas kesusilaan masyarakat pada zamannya, perlu diberi hukuman setimpal dengan kesalahan tersebut. Justeru itu, masih wujud persoalan sama ada perbuatan Hang Jebat itu dianggap mengikut lunas-lunas yang betul. Hal ini disebabkan perbuatan membela sahabatnya adalah di jalan yang benar tetapi kesalahan yang besar ialah membunuh ramai orang dengan cara melulu sedangkan mereka tidak berdosa.

Namun demikian, masyarakat pada zaman sekarang menerima kenyataan bahawa perjuangan Hang Jebat di tempat yang sewajarnya dan selaras dengan aspirasi rakyat. Walaupun perbuatan membunuh itu keterlaluan tetapi dari aspek psikologi seseorang yang sudah kecewa maka perjuangan itu perlu diteruskan.

Di sini nampak ketegasan pendirian Hang Jebat yang tidak mengenal sama ada seseorang itu rakyat biasa atau golongan raja. Segala tindakan Hang Jebat itu tidak akan berlaku jika rakyat, kerajaan dan raja mengamalkan konsep sistem kemasyarakatan, kemanusiaan dan nilai-nilai murni yang dibanggakan oleh semua golongan bagi membentuk sebuah masyarakat yang jitu dan bermaruah.

Hang Tuah berpegang kepada prinsip ‘anak Melayu pantang derhaka’ manakala Hang Jebat pula berpegang kepada prinsip ‘raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah.’ Perbezaan prinsip antara Hang Tuah dengan Hang Jebat ini telah memberi satu gambaran bahawa masyarakat lebih menerima konsep yang dipegang oleh Hang Tuah. Hang Tuah tetap dianggap pembela dan penyelamat maruah raja dengan menghapuskan penderhaka dalam masyarakat ketika itu.

Hal ini jelas terbukti apabila dikhabarkan oleh bendahara bahawa Hang Tuah masih hidup, sultan Melaka sangat gembira. Malah tindakan Bendahara yang tidak menjalani perintah raja tidak dianggap pula difikirkan sebagai ‘ingkar kepada titah raja.’ Apabila dilihat pada masa itu, tindakan Bendahara itu ‘dimaafkan’ oleh raja kerana telah menyelamatkan Hang Tuah. Hang Tuah amat diperlukan untuk ‘menghilangkan’ Hang Jebat. Inilah pemikiran masyarakat Melayu pada zaman itu.

Untuk itu, konsep pantang derhaka perlu difahami dan ditanam kepada semua lapisan rakyat di seluruh negara terutamanya apabila kedatangan agama Islam. Konsep kesetiaan dan hormat-menghormati antara satu sama lain hendaklah dipupuk. Amalan-amalan seperti seperti tidak menderhaka kepada orang tua, guru, ketua dan seumpamanya hendaklah disemai sejak kecil lagi.

SUMBER

Mohamad, Nor Azilah, Haniffa, Mohamed Ali dan Mohamad, Wayu Nor Asikin. (2017). Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS). Universiti Utara Malaysia (UUM). Kolej Universiti Bestari (KUB). Jurnal Sultan Alauddin Sulaiman Shah. HANG TUAH LAMBANG PERADABAN BANGSA MELAYU

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.