Satu trend membimbangkan dalam sesetengah masyarakat kita pada hari ini ialah kecenderungan mereka mencaci sesetengah sahabat Nabi Muhammad s.a.w terutama dari kalangan Bani Umayyah, Muawiyah bin Abi Sufian dan Amru bin al-As r.a atau Abdullah bin Zubair r.a. Kelompok sebegini tanpa segan silu mencaci dan memperlekeh sesetengah sahabat Nabi yang mulia ini atas sebab ‘kesalahan’ mereka semasa peringkat akhir era Khulafa’ Ar-Rashidin dan permulaan dinasti Bani Umayyah. Kelompok ini lupa bahawa para sahabat ini manusia istimewa di sisi Allah s.w.t.

Antara kelebihan para sahabat Nabi s.a.w:

1.Kelompok pertama yang mendapat ajaran Islam secara langsung daripada Rasulullah s.a.w.

Mereka dididik secara terus oleh baginda, menjadikan mereka amat memahami perilaku dan setiap perkataan yang diucapkan baginda. Terlalu banyak hadis Nabi s.a.w di mana para sahabat bertanya kepada baginda tentang hal-hal berkenaan agama. Contoh hadis paling terkenal ialah hadis yang diriwayatkan oleh Umar bin al-Khattab r.a di mana pada satu hari, semasa beliau dan para sahabat berkumpul dengan baginda, seorang lelaki asing menghampiri Nabi dan bertanya perkara berkenaan rukun Islam, rukun iman dan ihsan. Selepas baginda menjawab semua soalan yang diutarakan lelaki tersebut, lelaki itu segera berlalu. Umar terdiam sehinggalah Rasulullah bertanya kepada beliau, “Wahai Umar, tahukah engkau siapa yang bertanya tadi? Beliau menjawab, “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.” Lalu baginda bersabda, ”Dialah Jibril yang mengajarkan kalian tentang agama kalian.” (Riwayat Muslim).

2. Mendapat kedudukan mulia di sisi Allah s.w.t.

Pengarang Tafsir Ibnu Kathir, Ibnu Kathir rahimahullah berpandangan, “Menurut keyakinan Ahli Sunnah Waljamaah, seluruh sahabat Nabi itu orang yang adil. Ini kerana Allah s.w.t memuji mereka dalam Al-Quran. Juga kerana banyak pujian baginda dalam hadis-hadis tentang akhlak dan perlakuan mereka. Juga kerana apa yang mereka korbankan sama ada nyawa atau harta demi membela Rasulullah s.a.w.” Dan lihat pula maksud firman Allah s.w.t dalam ayat 100, Surah At-Taubah, “Dan orang-orang yang terdahulu – yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang “Muhajirin” dan “Ansar”, dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia, serta Ia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar.”

3. Mendapat jaminan syurga.

Terlalu banyak hadis Rasulullah s.a.w yang menceritakan para sahabat baginda mendapat jaminan syurga. Dalam satu hadis, 10 orang sahabat baginda dijamin syurga. Mereka ialah Abu Bakar as-Siddiq r.a, Umar bin al-Khattab r.a, Uthman bin Affan r.a, Ali bin Abi Talib r.a, Talhah bin Ubaidillah r.a, Zubair bin Awwam r.a, Abdul Rahman bin Auf r.a, Saad bin Abi Waqqas r.a, Said bin Zaid r.a dan Abu Ubaidah bin al-Jarrah r.a. Dalam satu hadis yang lain, baginda menyatakan sesiapa yang terlibat dalam Perang Badar al-Kubra (313 veteran perang Badar) dijamin masuk syurga.

4. Bertanggungjawab meluaskan pengaruh dakwah Islam ke serata dunia.

Rekod sejarah menyatakan ramai sahabat Nabi s.a.w bergerak ke setiap pelosok dunia dengan satu tujuan, menyebarluaskan dakwah Islamiyyah. Dan ada di antara mereka ini sampai ke tempat jauh termasuk China. Buktinya, seorang sahabat Nabi bernama Saad bin Abi Waqqas dimakamkan di Canton (panggilan lama untuk Guangzhou). Menurut riwayat, beliau tiba di China sebagai wakil diplomatik Khalifah Uthman bin Affan r.a semasa pemerintahan Maharaja Gaozong dari Dinasti Tang. Baginda amat tertarik dengan dakwah yang dibawa Saad lalu sebagai tanda minat baginda kepada Islam, baginda meminta beliau membina sebuah masjid pertama di Canton iaitu Masjid Huaisheng.

Cukuplah kelebihan para sahabat Nabi ini yang saya nyatakan di sini. Kalau dibandingkan kita dengan mereka, apalah sangat kelebihan kita sehingga berani mencaci para sahabat yang mulia ini. Terlalu banyak sabda baginda berkenaan soal ini yang kita perlu teladani:

i) Daripada Abu Said al-Khudri r.a, Nabi s.a.w bersabda, “Janganlah kamu menghina sahabat-sahabatku. Jika kamu berinfaq dengan emas setinggi Gunung Uhud sekalipun, infaq kamu tidak dapat menandingi satu mud (infaq) mereka dan tidak akan menyamai setengah daripadanya.”

ii) Beberapa hari sebelum kewafatan baginda, Nabi s.a.w berwasiat, “Aku mewasiatkan kalian agar bertaqwa kepada Allah, mendengar dan taat kepada pemerintah sekalipun dia daripada kalangan orang Habsyi. Sungguh orang yang hidup selepas aku tiada akan melihat banyak perselisihan. Maka wajib bagi kalian mengikuti sunnahku dan sunnah Khulafa’ Ar-Rashidin iaitu mereka yang diberi petunjuk. Berpegang teguhlah dan gigitlah ia dengan gigi geraham. Serta jauhilah perkara yang diada-adakan kerana ia adalah bidaah dan bidaah itu sesat.” (Riwayat Abu Dawud, Hakim dan Ibnu Hibban)

Pasti ramai tertanya-tanya mengapa perbuatan mencela sahabat Nabi dilarang keras. Sebabnya:

a) Sebahagian daripada perbuatan ghibah (mengumpat dan mencaci orang lain). Perbuatan sebegini ditegah berdasarkan ayat 12, Surah al-Hujurat, “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.”

b) Mendapat laknat Allah dan Rasul-Nya.

Nabi s.a.w mengancam kelompok yang suka mencaci dan mencela sahabat baginda dengan laknat Allah s.w.t. Ini berdasarkan sabda baginda, “Barangsiapa yang mencela para sahabatku, maka dia akan mendapat laknat Allah.”

c) Boleh dianggap menghina Nabi s.a.w.

Hujah ini timbul berdasarkan pandangan guru Imam as-Syafie rahimahullah, Imam Malik bin Anas rahimahullah, “Mereka kaum yang kotor, ingin mencela Rasulullah s.a.w tetapi tidak berupaya melakukannya. Maka mereka menghina pula para sahabat baginda atas dasar orang yang kotor pasti memiliki sahabat yang kotor.”

d) Boleh jatuh hukum kufur atas sebab mengagungkan Ali r.a ke tahap Tuhan.

Ibnu Taimiyyah mengecam kelompok sebegini dan menyifatkan mereka yang berlaku sedemikian boleh termasuk dalam golongan kafir. Ini berdasarkan pandangan beliau, “Orang yang mencela para sahabat Nabi kemudian diikuti dengan sanjungan ke atas Ali yang bersifat melampau-lampau hingga ke tahap Tuhan atau dia seorang Nabi atau berpandangan Jibril salah menyampaikan wahyu, maka tidak diragui akan kekafirannya, bahkan tidak diragukan juga kekafiran orang yang tidak mengkafirkannya.”

e) Boleh jatuh kufur atas sebab mereka berpandangan ia mendekatkan diri dengan Tuhan.

Orang sebegini dianggap kufur, nifaq dan melampaui batas menurut Imam Thahawi. Dan menurut Imam Malik rahimahullah, “Barangsiapa yang bangun pada waktu pagi sedangkan hatinya menyimpan rasa benci kepada para sahabat bererti ia sudah terkena penangan petikan ayat 29, Surah Al-Fath mafhumnya, “Kerana Allah hendak menyakitkan hati-hati orang kafir dengan kekuatan orang mukmin.”

Maka dengan ini, saya akhiri dengan pesanan ini, anda kata anda mencintai Rasulullah. Buktikan cinta tersebut dengan menyayangi dan mengasihi mereka yang dikasihi baginda. Jika anda benci, mampukah anda bertahan dengan laknat Tuhan Penguasa Hari Pembalasan? Tepuk dada, tanya iman anda.

Sumber:

1. Lipman, Jonathan Neaman (1997). Familiar Strangers: A History of Muslims in Northwest China. University of Washington Press.

2. Sunnah.com.

3. Syamhudi, Abu Asma’ Kholid bin (2011). Jangan Mencela Sahabat Rasulullah. https://almanhaj.or.id/3085-jangan-mencela-sahabat-rasulullah.html

4. Terjemahan Al-Quran Bahasa Melayu. www.surah.my

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply