Kita semua tahu selepas tahun 1943, situasi Perang Dunia Kedua (WWII) tidak lagi memihak kepada Nazi Jerman. Satu-persatu wilayah yang dikawal jatuh ke tangan pihak Bersekutu sama ada Amerika Syarikat, Great Britain atau Rusia. Dan bila pihak Bersekutu berjaya mendarat di Normandy pada 6 Jun 1944, realiti kekalahan sudah tidak boleh disangkal lagi. Ini memaksa semua pegawai Nazi mula mencari jalan keluar sama ada berunding secara rahsia dengan pihak Bersekutu atau melarikan diri. Dan ini jalan yang diambil mana-mana pegawai yang dikatakan terlibat dengan jenayah perang semasa WWII. Persoalannya bagaimana mereka berjaya melarikan diri?

HUBUNGAN JERMAN-ARGENTINA

Mari kita mulakan dengan ini. Sebelum WWII tercetus lagi, Argentina mempunyai hubungan baik dengan rejim Nazi Jerman dan ramai imigran Jerman, di mana angka mencecah ratusan ribu, memilih untuk menetap di negara tersebut. Dan semasa perang meletus, Argentina bersikap neutral dan tidak menyebelahi mana-mana pihak yang berperang. Selepas perang berakhir, presiden Argentina, Juan Peron mengeluarkan arahan rahsia kepada diplomat dan pegawai perisikan untuk menyediakan jalan tikus atau laluan melarikan diri di pelabuhan-pelabuhan di Sepanyol dan Itali untuk membawa keluar pegawai dan ahli-ahli Nazi.

Dan motif Peron di sebalik operasi ini mudah saja. Seperti mana ramai pemimpin Amerika Selatan yang condong ke arah fasisme, beliau turut mempunyai kecenderungan yang sama. Ini tercetus semasa beliau berkhidmat sebagai atase tentera di Itali semasa peringkat awal WWII. Dan Peron melihat ini sebagai satu peluang untuk meningkatkan kemajuan Argentina dengan merekrut mereka yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing seperti ekonomi, tenaga dan ketenteraan. Beliau tidak menganggap ia satu kesalahan pun kerana Amerika Syarikat dan Rusia turut melakukan perkara sama seperti Operasi Klip Kertas (Operation Paperclip/Amerika Syarikat) dan Russian Alsos (Rusia).

JALAN TIKUS

Bagi menjayakan rancangan ini, Peron menghantar mesej rahsia melalui Kardinal Argentina, Antonia Caggiano kepada rakan sejawatnya di Perancis tentang kesediaan mereka menerima ahli-ahli Nazi dan rakan kolaborasi mereka dari Perancis yang berhadapan dengan dakwaan jenayah perang pada tahun 1946. Pada musim bunga tahun tersebut, dua individu pertama yang berjaya melarikan diri ke Argentina dengan bantuan Caggiano ialah Charles Lescat, anggota kumpulan Action Francaise dan Pierre Daye, seorang wartawan Belgium yang mempunyai hubungan rapat dengan rejim Francisco Franco di Sepanyol. Mereka melarikan diri dengan membawa pasport yang dicop oleh Pertubuhan Palang Merah Antarabangsa dan visa pelancong Argentina.

Dengan ancaman kewujudan rejim-rejim pro-komunis dan kemahuan melihat agama Kristian mazhab Roman Katolik bangkit semula, tanpa disedari pihak gereja membantu pengganas dan penjenayah perang ini melarikan diri. Namun, ada juga sedia menolong dengan rela hati dan tahu identiti individu yang melarikan diri. Contoh paling mudah, Bishop Alois Hudal. Bishop ini bersimpati dengan perjuangan Nazi dan dilabel oleh cendekiawan sebagai bijak mengambil kesempatan serta bersikap talam dua muka. Pada bulan Disember 1944, Hudal ditugaskan oleh Setiausaha Negara Vatican untuk melawat tawanan perang berbahasa Jerman yang ditahan di Itali. Menerusi tugas inilah, beliau berjaya membantu beberapa penjenayah perang Nazi yang kejam melarikan diri ke Amerika Selatan. Antara pegawai yang melarikan diri dengan bantuan Hudal ialah Franz Stangl, pegawai pemerintah kem tahanan Treblinka, Gustav Wagner, pegawai pemerintah kem tahanan Sobibor, Alois Brunner, individu bertanggungjawab menghantar orang Slovakia ke kem-kem tahanan Jerman dan Adolf Eichmann, individu bertanggungjawab untuk penghantaran besar-besaran orang Yahudi ke kem-kem tahanan dan geto dikawal Jerman di Eropah Timur.

Bagaimana mereka dapat berbuat demikian? Sesetengah tawanan yang ditahan tiada pengenalan diri dan mereka ini menggunakan identiti palsu untuk mengaburi identiti sebenar mereka. Ada juga yang bersembunyi di Itali dan meminta bantuan secara rahsia dari Hudal untuk melarikan diri. Bagi Hudal, beliau tidak merasa malu dengan tindakannya. Dalam memoirnya, beliau berkata, “Aku bersyukur kepada Tuhan bahawa Dia membenarkan aku melawat dan menenangkan ramai mangsa (tawanan perang) dalam penjara dan kem tahanan mereka dan membantu mereka melarikan diri dengan dokumen-dokumen pengenalan palsu.” Menurut Uki Goni, penulis buku The Real Odessa menceritakan Hudal menyediakan identiti palsu yang dikeluarkan oleh Vatican yang kemudian digunakan untuk mendapat pasport palsu dari Pertubuhan Palang Merah Antarabangsa.

Adolf Eichmann berjaya melarikan diri ke Argentina selepas mendapat bantuan Bishop Alois Hudal.

Kisah Eichmann jauh lebih menarik. Dalam buku sama, Goni turut mendedahkan Hudal turut membekalkan visa Argentina kepada Eichmann melalui rahib-rahib Franciscan di Genoa, Itali. Dan beliau turut menandatangani surat permohonan pasport palsu pada Pertubuhan Palang Merah Antarabangsa. Melalui identiti barunya sebagai Ricardo Klement, Eichmann berjaya menaiki kapal stim menuju ke Argentina pada tahun 1950. Pasukan perundangan Jerman mendedahkan kepada Daily Mail pada tahun 2012 seramai 800 ahli SS menggunakan kaedah ini untuk memasuki Argentina saja. Selain Argentina yang menerima kehadiran 5,000 orang, negara-negara Amerika Selatan turut melakukan perkara sama. Brazil menerima antara 1500-2000 penjenayah perang Nazi sementara Chile menerima antara 500-1000 orang.

Antara ahli Nazi yang berjaya melarikan diri dari tanah besar Eropah:

1. Pencipta bilik gas bergerak, Kolonel Walter Rauff yang membunuh 100,000 orang melalui ciptaan tersebut meninggal dunia di Chile pada tahun 1984.

2. Eduard Roschmann, digelar Penyembelih Riga mati di Paraguay pada tahun 1977.

3. Gustav Wagner, seorang pegawai SS yang dikenali sebagai ‘Beast’ mati di Brazil pada tahun 1980 selepas Mahkamah Agung Brazil enggan mengekstradisi Wagner ke Jerman atas alasan maklumat tidak tepat dalam kertas kerjanya.

4. Dr. Josef Mengele, digelar ‘Malaikat Maut’ kerana melakukan pelbagai eksperimen kejam di kem tahanan Auschwitz. Mulanya melarikan diri ke Argentina pada tahun 1949 sebelum berpindah ke Paraguay pada tahun 1959. Setahun kemudian, dia kemudian melarikan diri ke Brazil dan mati lemas di bawah identiti palsunya pada tahun 1979. Pengesahan identiti pada mayat yang dikebumikan pada tahun 1985 milik Mengele.

5. Komander SS, Erich Priebke yang melarikan diri ke Argentina pada tahun 1949. Diekstradisi ke Itali pada tahun 1994 dan mati dalam penjara pada tahun 2013.

6. Aribert Heim yang dikenali sebagai Doktor Kematian yang menghilangkan diri pada tahun 1962 dan disyaki melarikan diri ke Mesir dan mati di sana pada tahun 1992.

7. Franz Stangl, komander kem tahanan Sobibor dan Treblinka melarikan diri ke Brazil pada tahun 1951 sebelum ditahan dan diekstradisi ke Jerman Barat pada tahun 1967. Mati dalam penjara pada tahun 1971.

8. Andrija Artukovic, Menteri Dalam Negeri Croatia melarikan diri ke Amerika Syarikat selepas perang berakhir sebelum diekstradisi ke Yugoslavia pada tahun 1986 dan mati dalam tahanan dua tahun kemudian.

BARAT BERSUBAHAT JUGA

Jika anda merasakan pihak Barat tidak terlibat sama sekali dengan jalan tikus ini, jawapan anda salah. Gerald Steinacher, seorang pengkaji di Universiti Harvard mendedahkan Britain dan Kanada menerima secara tidak sengaja 8,000 bekas ahli Waffen-SS ke dalam negara masing-masing pada tahun 1947. Antara punca ia berlaku ialah kebanyakan dokumen pengenalan yang digunakan oleh mereka diberi secara salah oleh pihak-pihak terlibat. Selain salah memberi dokumen pengenalan, sesetengah penjenayah ini turut mencuri identiti orang lain untuk melarikan diri.

Ada pula yang direkrut oleh Agensi Perisikan Pusat (CIA) seperti Klaus Barbie. Barbie ialah ketua Gestapo di Lyon dan bertanggungjawab membunuh ramai orang Yahudi dan pejuang partisan Perancis. Selepas perang, dia direkrut sebagai ejen untuk menangani ancaman anti-komunis terutama di Amerika Selatan. Dia diseludup masuk ke Bolivia untuk meneruskan kerja perisikan dan menyeksa musuh-musuh politik rejim negara tersebut. Penyembelih Lyon ini akhirnya diekstradisi pada tahun 1983 dan dihukum penjara seumur hidup atas jenayah kemanusiaan. Begitu juga dengan Eichmann. Selepas diculik oleh ejen-ejen Mossad di Bueinos Aires, dia dibicarakan atas jenayah kemanusiaan dan dihukum mati oleh mahkamah Israel pada tahun 1962.

Selepas melarikan diri dari Eropah, Klaus Barbie menjadi aset CIA dalam menangani ancaman anti-Komunis.[/caption]

ASIA BARAT

Pasca-WWII, CIA melalui pengarahnya, Allen Dulles secara rahsia membentuk jalan tikus untuk membantu pegawai dan ahli Nazi melarikan diri ke Timur Tengah. Pada tahun 1947, seorang pemimpin Nazi yang berpangkalan di Switzerland, Francois Genoud diarahkan membina semula rangkaian perisikan di Timur Tengah untuk Reich Ketiga yang baru saja dikalahkan. Jika anda penginap Hotel Windsor, Kaherah pada awal tahun 1950-an, antara individu yang selalu dilihat di situ ialah Genoud, Mufti Besar Baitulmaqdis, Haj Amin al-Huseini dan Jeneral SS, Karl Wolff. Turut menyertai mereka ialah Leftenan Kolonel Otto Skorzeny dari Waffen-SS yang dihantar oleh Jeneral Reinhard Gehlen.

Skorzeny dihantar seorang lagi aset CIA merangkap rakan senegara, Jeneral Reinhard Gehlen sebagai penasihat kepada Mohammad Naguib, presiden pertama Mesir.

Skorzeny dihantar untuk menjadi penasihat presiden pertama Mesir, Mohammad Naguib. Menerusi kenalannya dari SS dan Wehrmacht, Skorzeny merekrut mereka untuk melatih tentera Mesir. Antara individu terlibat ialah Penyembelih Warsaw, Jeneral SS, Oskar Dirlewanger, Jeneral SS, William Farmbacher, bekas ketua unit keselamatan Hitler dan ketua Gestapo di Poland, Leopold Gleim dan bekas ketua Gestapo di Dusseldorf. Eichmann dan Alois Brunner, arkitek Final Solution turut menyertai Skorzeny dalam usaha ini. Brunner kekal di Kaherah sehingga 1962 sebelum berpindah pula ke Syria. Setibanya di Damsyik, Brunner menjadi penasihat kepada pasukan polis rahsia Syria dan memperkenalkan taktik soal siasat dan penyeksaan Nazi kepada mereka.

Skorzeny turut melatih taktik komando 400 komando untuk satu unit komando asing Arab. Unit ini terdiri daripada 400 bekas ahli Nazi dan veteran Gestapo dan dilatih di sebuah pusat latihan di Bilbeis. Apabila Gamal Abdel Nasser naik sebagai presiden, beliau melantik Gleim sebagai komander Kader Keselamatan Negara dan Damling sebagai penasihat Aktiviti Khas. Antara tugas Damling ialah menyelia pasukan polis rahsia dan kem-kem tahanan di Abu-Sabal dan El-Kanater. Sementara Bernhardt Bender, bekas ketua divisyen keselamatan Wehrmacht di Ukraine semasa WWII, dilantik sebagai ketua Polis Keselamatan Mesir. Pasukan ini bertanggungjawab menjaga penjara-penjara Mesir.

Dan seperti Rusia, Amerika dan negara-negara Amerika Selatan, Nasser turut tidak ketinggalan merekrut saintis-saintis Nazi untuk membantu meningkatkan kemajuan negaranya. Apabila usaha ini diketahui dunia luar dan mendapat kecaman ramai, Mesir mendapat sokongan Amerika Syarikat melalui kenyataan Timbalan Setiausaha Negara, Averell Harriman yang menyifatkan sekiranya Mesir menghentikan usaha tersebut, sudah pasti Rusia akan mengambil kesempatan merekrut mereka pula. Orang bertanggungjawab merekrut semua anggota Nazi, SS dan Waffen-SS ini disediakan oleh Jeneral Heinrich Muller. Selepas mengambil alih pemerintahan Libya, Kolonel Muammar Gaddafi turut meminta bantuan Nasser untuk memastikan pasukan penasihatnya dapat membantu meningkatkan keupayaan keselamatan Libya. Dan ironinya di sebalik semua ini, wang yang digunakan Skorzeny untuk merekrut mereka ialah wang dari Agensi itu sendiri.

SUMBER

1. Wertz Jr, William F. (2005). Larouchepub.com. THE NAZI RAT-LINES: Time to Rid America Of the ‘Dulles Complex. http://www.larouchepub.com/eiw/public/2005/eirv32n31-20050805/eirv32n31-20050805_054-the_nazi_rat_lines_time_to_rid_a.pdf

2. Alberge, Dalya. (2011). The Guardian. Red Cross and Vatican helped thousands of Nazis to escape. https://www.theguardian.com/world/2011/may/25/nazis-escaped-on-red-cross-documents
3. Winston, George. (2015). War History Online. German Submarine Used By Escaping Nazi’s Washes up on the Coast of Argentina. https://www.warhistoryonline.com/war-articles/nazi-submarine-washes-up-on-the-coast-of-argentina.html/2
4. Klein, Christopher. (2015). History.com. How South America Became a Nazi Haven. http://www.history.com/news/how-south-america-became-a-nazi-haven
5. New Straits Times. (2017). Nazi war criminal Alois Brunner died in Syria basement in 2001: report. https://www.nst.com.my/news/2017/01/203658/nazi-war-criminal-alois-brunner-died-syria-basement-2001-report


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply