Jika anda perhatikan Jata Negara kita, terdapat satu cogan kata keramat yang berbunyi “Bersekutu Bertambah Mutu”. Ketahuilah, bahawa ayat ini bukan hiasan retorik semata. Sebaliknya, ia merupakan prinsip asas dan formula bagi kelangsungan sesebuah bangsa.
Malangnya, formula inilah yang telah diabaikan oleh para pemimpin Islam di Sepanyol (Al-Andalus) suatu masa dahulu, sehingga tamadun Islam agung yang dibina selama ratusan tahun akhirnya hancur berkecai.
Segala-galanya bermula selepas kejatuhan Khalifah Umayyah di Cordoba. Sebaik sahaja pusat kuasa itu runtuh, Al-Andalus tidak lagi menjadi sebuah empayar yang bersatu padu. Sebaliknya, Al-Andalus pecah berderai kepada lebih 30 buah kerajaan kecil yang dikenali sebagai Taifa. Zaman ini dikenali sebagai Muluk al-Tawa’if atau Zaman Raja-Raja Kecil.
Bayangkan, sebuah wilayah yang asalnya kuat di bawah satu payung, tiba-tiba mempunyai raja di setiap daerah.
Terdapat Raja Seville, Raja Granada, Raja Toledo dan pelbagai lagi. Masing-masing mahu mempunyai istana sendiri, tentera sendiri dan yang paling parah, keegoan sendiri.
Era ini mungkin kelihatan meriah dengan perkembangan ilmu dan seni, namun hakikatnya ia merupakan permulaan kepada tragedi perpecahan umat yang sangat memilukan hati.
Apa yang menyebabkan sejarah Al-Andalus berakhir dengan kehancuran kelak adalah dek ketamakan kuasa yang melampau. Disebabkan masing-masing mahu meluaskan jajahan yang hanya sekangkang kera, raja-raja Taifa ini sanggup berperang sesama sendiri. Di zaman ini, perang saudara menjadi rutin harian dan darah sesama Muslim mengalir tanpa nilai.
Lebih menyedihkan, terdapat raja Taifa yang sanggup bayar parias yang mahal (ufti atau wang perlindungan) kepada raja-raja Kristian di utara. Wang rakyat yang sepatutnya digunakan untuk membina pertahanan umat, habis diserahkan kepada musuh semata-mata untuk meminta bantuan tentera bagi menyerang kerajaan Taifa jiran yang juga beragama Islam.
Keadaan ini ibarat memberikan peluru kepada musuh supaya dia membantu menembak adik-beradik kita sendiri. Secara tidak sengaja juga, raja-raja Taifa ini sebenarnya sedang membiayai musuh untuk menguatkan tentera bagi menghancurkan mereka semua satu hari nanti.
Akibat keegoan pemimpin Islam yang berebut mahu jadi jaguh kampung di wilayah masing-masing, kekuatan tentera Islam di Sepanyol menjadi sangat lemah. Kerajaan Kristian di utara pula hanya perlu tunggu masa yang sesuai untuk petik satu demi satu kerajaan Taifa ini macam buah yang dah masak.
Kejatuhan Toledo pada tahun 1085M adalah amaran pertama yang sangat kuat, tapi sayangnya, raja-raja Taifa masih lagi mabuk dalam politik kuasa dan terus berbalah.
Satu demi satu wilayah jatuh ke tangan Kristian melalui gerakan Reconquista. Walaupun bantuan pernah datang dari Afrika Utara seperti Dinasti Al-Murabitun dan Al-Muwahhidun untuk selamatkan keadaan, namun ia hanyalah penawar sementara. Penyakit perpecahan sudah terlalu kronik.
Akhirnya, wilayah Islam yang luas itu hanya berbaki di sebuah kerajaan kecil di selatan iaitu Granada. Tragedi terakhir berlaku pada tahun 1492M. Ketika itu, raja-raja Kristian, Ferdinand dan Isabella, telah bersatu melalui perkahwinan mereka. Manakala umat Islam di Granada pula masih terjebak dalam krisis perebutan takhta antara bapa, anak, dan bapa saudara.
Akibat ketamakan kuasa yang tidak berkesudahan, Sultan Muhammad XII (Boabdil) terpaksa menyerahkan kunci kota Granada tanpa sebarang tentangan besar. Boabdil dikatakan menangis teresak-esak semasa melihat kotanya jatuh dari kejauhan, sehingga ibunya menegur dengan kata-kata yang sangat pedas:
“Janganlah kamu menangis seperti seorang wanita untuk sesuatu yang kamu tidak mampu pertahankan sebagai seorang lelaki!”
Demikianlah sejarah membuktikan bahawa sehebat mana pun ilmu sains, sastera dan seni bina di Cordoba atau Granada, semua itu tidak mampu menyelamatkan tamadun tersebut jika benteng perpaduan sudah pecah berderai.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami untuk mempopularkan ilmu dan kebenaran kepada masyarakat umum.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham bahawa tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih




