Bagi mereka yang meminati penulisan fiksyen dan fantasi, siri karya J.R.R. Tolkien iaitu The Lord of the Ring dan juga The Hobbit semestinya pernah menjadi pilihan sebagai bahan bacaan.

Dengan jualan bukunya yang melebihi 150 juta naskah diseluruh dunia, karya penulisannya ini boleh diletakkan sebagai antara karya yang paling banyak dijual. Dengan penghasilan dan penerimaan baik filem trilogi adaptasi oleh Peter Jackson pada tahun 2001 sehingga 2003, karya Tolkien ini sekali lagi menerima lonjakan yang lebih meluas terutamanya bagi pembaca-pembaca genre fantasi tinggi kasual di seluruh pelosok dunia.

Fantasi Tinggi

Karya fiksyen dan genre fantasi bukanlah sesuatu perkara yang asing, malah kebanyakan karya-karya fiksyen akan sedikit sebanyak melibatkan elemen-elemen berunsur fantasi sebagai alat bagi menggerakkan penceritaan mereka. Di sinilah pengkelasan terhadap genre fantasi ini memainkan peranan dalam penulisan seseorang dalam merangka pembentukan dunia di dalam karya mereka.

Bagi Tolkien yang menghabiskan zaman kanak-kanak dan remajanya dengan menenggelamkan dirinya di dalam karya-karya dan penulisan Inggeris zaman pertengahan dan klasikal seperti Beowulf sedikit sebanyak menjadi inspirasi terhadap rangka karyanya. Tolkien juga menerima pengaruh dan mengguna pakai elemen-elemen dari mitos Norse cerita-cerita rakyat Eropah sebagai sumber rujukan. Tolkien yang merupakan seorang pengamal agama Kristian turut merujuk kepada beberapa elemen-elemen cerita yang diinspirasikan daripada kitab Bible.

Bagi mereka yang meminati karya-karya Tolkien, umumnya mengetahui bahawa keterlibatannya sebagai seorang askar untuk United Kingdom di dalam perang dunia pertama telah memainkan peranan dalam pembentukan sebuah dunia fantasi yang dikenali sebagai ‘Middle-Earth’ sebagai medium untuk dia menceritakan pengalamannya terlibat dalam beberapa siri pertempuran. Di sebalik kekejaman dan hiruk-pikuk suasana perang tersebut Tolkien turut menjadikan dunia fantasi ini mekanisme untuk dia melarikan dari realiti perang bagi bertujuan untuk menenangkan pemikirannya.

Tolkien dan Kecintaannya Terhadap Bahasa

Walaubagaimanapun, minatnya terhadap kompleksiti bahasa-bahasa Eropahlah  yang memainkan peranan yang paling utama kepada Tolkien untuk menciptakan ‘Middle-Earth’. Ketika mencecah umur 13 tahun, dia dikatakan telah pun mahir dalam menggunakan bahasa Latin dan Greek. Minatnya terhadap bahasa ditonjolkan lagi dengan kemampuannya dalam penciptaan bahasa.

Sepanjang hidupnya, Tolkien bukan sahaja berjaya mencipta satu, tetapi dia berjaya mewujudkan beberapa bahasa dan dialek kepada bahasa-bahasa tersebut.

Kumpulan bahasa yang terawal dibinanya diberikan nama sebagai Quenya dan Sindarin yang merupakan bahasa ciptaannya yang paling lengkap di mana reka bentuk bahasa ini dihasilkan dengan sistem tulisan, terma-terma khusus untuk setiap perkataan, tatabahasa dalam penulisan dan penuturan serta struktur dalam membentuk ayat bagi menyampaikan mesej yang di ingin disampaikan. Tolkien menitik beratkan dasar binaan bahasa ini kepada estetika dan kemerduan sesuatu perkataan dalam pengucapan di dalam struktur ayat. Sepanjang hidupnya, dia turut menghasilkan beberapa kumpulan bahasa yang lain seperti Entish dan juga Dwarvish.

Inskripsi yang tertulis pada cincin milik Sauron yang menggunakan abjad Tengwar, sistem tulisan Quenya dan Sindarin
Sumber: http://tolkiengateway.net/wiki/File:One_Ring_inscription.png

Dengan adanya bahasa-bahasa yang diciptakannya ini, Tolkien berkeinginan untuk menghasilkan satu dunia di mana bahasa yang telah dia ciptakan ini dipertuturkan. Ini kerana Tolkien melihat kepada kewujudan sesebuah mitologi tidak dapat dipisahkan dengan bahasanya.

Di sinilah mula terbentuknya dunia ‘Middle-Earth’ sebagai sebuah dunia imaginasinya di mana penduduk-penduduknya bertutur bahasa yang dia ciptakan. Di dalam dunia inilah, Tolkien meletakkan kaum-kaum dengan memadankan ciri-ciri bahasa yang dihasilkan kepada ciri-ciri kaum-kaum tertentu.

Walaupun selepas buku ‘The Lord of the Ring’ yang terakhir telah diterbitkan, Tolkien tetap menghabiskan masanya untuk mengukuhkan lagi tatabahasa dan struktur bahasa-bahasa ciptaannya. Sehingga kini masih ada kumpulan peminat karyanya yang fasih bertutur di dalam bahasa ciptaan ini terutamanya bagi bahasa Quenya dan Sindarin.

Bagi mereka yang berkeinginan untuk mempelajari bahasa ini, bolehlah ia dilakukan pada bila-bila masa kerana pada ketika ini terdapat beberapa medium seperti buku, laman sesawang atau saluran Youtube yang menjalankan kursus berstruktur bagi memudahkan lagi proses ini.

The Hobbit dan The Lord of the Ring

Secara kasarnya, sejarah penciptaan karya Tolkien secara kronologi bermula apabila dia menciptakan beberapa jenis bahasa, kemudiannya dia merasakan dia memerlukan dunia yang menggunakan bahasa yang diciptanya. Di dalam dunia itu, Tolkien mewujudkan mitologi-mitologi dan legenda-legenda serta kebudayaan penduduknya. Kemudiannya di sinilah Tolkien meletakkan beberapa buah-buah caturnya untuk menghasilkan sebuah penceritaan.

Namun binaan dunia fantasi oleh Tolkien adalah tersangat luas melangkaui apa yang tertulis di dalam helaian-helaian The Hobbit dan juga The Lord of the Ring. Untuk setiap elemen atau karakter yang dihasilkan oleh Tolkien di dalam ‘Middle-Earth’ ini, hampir setiap satunya lengkap dengan latar belakang, sejarah, legenda, mitos dan kebudayaan. Sebelum memulakan penulisan The Hobbit, Tolkien telah pun menghasilkan keratan-keratan, penulisan pendek, puisi-puisi atau cerpen yang di mana dia menegaskan penulisannya sebagai sebuah penceritaan bertunjang iaitu berkongsi satu dunia yang sama. Dia tidak pernah bertujuan untuk menerbitkan sebarang karya ‘Middle-Earth’nya dan menganggap ianya sebagai penghasilan untuk dirinya sahaja.

Setelah hampir 2 tahun melengkapkan penulisan kasar untuk The Hobbit, bukunya itu sampai kepada tangan sahabatnya Susan Dagnall yang secara kebetulan bekerja di sebuah syarikat penerbitan. Dagnall-lah yang memainkan peranan memujuk Tolkien untuk melengkapkan penulisan The Hobbit dan kemudian diterbitkan pada tahun 1937. Dalam tempoh masa yang pendek, The Hobbit menjadi satu fenomena yang terkenal dan seterusnya menjadi bacaan wajib bagi kanak-kanak di England.

Pada awalnya, Tolkien bertujuan untuk The Hobbit untuk menjadi karya ‘one-off’ kerana bimbang masyarakat tidak akan menerima penulisannya, tambahan pula The Hobbit hanyalah menyentuh permukaan kepada dunia ‘Middle-Earth’ yang wujud di dalam pemikirannya memandang penulisannya untuk The Hobbit adalah mensasarkan kepada demografik kanak-kanak.

Tolkien juga tidak berminat dengan penceritaan bersifat lurus (linear) dan dia lebih berminat untuk menghabiskan masanya mengembangkan lagi mitologi ‘Middle-Earth’. Tambahan pula dia yang sibuk berkhidmat sebagai profesor untuk bahasa dan kesusasteraan Inggeris dan juga sebagai pemeriksa kepada kertas peperiksaan untuk beberapa buah universiti yang lain.

Tetapi, dengan kejayaan The Hobbit, penerbitnya menggesa Tolkien untuk menghasilkan kesinambungan kepada karyanya. Dia mengambil keputusan untuk memberikan kepada penerbitnya kumpulan karya puisi dan cerita pendek yang membentuk mitologi ‘Middle-Earth’ namun ditolak oleh penerbitnya kerana dikatakan terlalu rumit dan sukar untuk difahami umum dan menginginkan sebuah karya yang menyerupai The Hobbit yang mudah menarik minat orang ramai.

Dengan itu terhasillah karyanya yang paling dikenali ramai iaitu The Lord of the Ring yang mengambil masa selama 12 tahun untuk disiapkan oleh Tolkien ketika dia sudah pun berumur 45 tahun dan diterbitkan secara berperingkat dari tahun 1937 sehingga 1949.

Legasi J.R.R. Tolkien

Beberapa tahun setelah penerbitan buku terakhir dalam trilogi The Lord of the Ring, penerbitnya sekali meminta Tolkien untuk menghasilkan karya yang seterusnya bagi menyambung penceritaan kisah-kisah ‘Middle-Earth’ yang mendapat permintaan yang tinggi pada ketika itu. Namun Tolkien menjawab di dalam surat kepada sahabatnya:

“Aku ada memulakan sebuah kisah yang mengambil masa 100 tahun selepas Perang Besar, namun ternyata ianya terasa asing dan tertekan. Memandangkan ianya mengisahkan tentang manusia, aku terpaksa menulis mengenai sifat buruk manusia itu sendiri, iaitu mudah berpuas hati dengan kebaikan walaupun sedikit. Jadi, masyarakat Gondor yang hidup di dalam keamanan, keadilan dan kemakmuran akan menjadi manusia yang lemah dan tamak… – … Aku boleh sahaja menulis sebuah kisah yang mengujakan perihal penemuan dan penggulingan – tetapi ia hanya kosong, tidak berbaloi untuk ditulis”

―petikan surat J.R.R. Tolkien, Letter kepada Colin Bailey

Walaupun begitu segala karya-karya seperti puisi-puisi dan cerita pendek pernah dihasilkan oleh Tolkien sepanjang hidupnya telah pun dikumpulkan oleh anaknya Christopher Tolkien dan kemudiannya diterbitkan dalam beberapa jilid berlainan seperti ‘The Silmarillion’ yang merupakan kumpulan kisah mitologi dan lagenda ‘Middle-Earth’ dan juga ‘The People of Middle-Earth’ kisah mengenai karakter-karakter yang mendiami ‘Middle-Earth’ termasuklah 13 muka surat rangka awal kesinambungan The Lord of the Ring yang diabaikan oleh Tolkien.

Menjawab persoalan adakah benar Tolkien merupakan bapa kepada penceritaan fiksyen moden bagi genre fantasi tinggi, ianya bergantung kepada setiap individu. Tetapi secara majoritinya bersetujunya bahawa dengan penulisan The Hobbit dan juga The Lord of The Rings, Tolkien berjaya menghidupkan semula penulisan bagi genre fantasi yang di lihat perlahan pada ketika itu.

Tidak dinafikan terdapat ramai penulis-penulis yang lain yang turut menghasilkan karya fantasi sezaman dengannya malah lebih awal, namun tiada yang mampu menandingi populariti karya-karya yang dihasilkan beliau. Malah penulis moden yang lainnya seperti G.R.R. Martin dan siri The Song of Ice and Fire, J. K. Rowling dan siri Harry Potter dan C.S. Lewis dan siri The Chronicles of Narnia dimana mereka mengakui mengambil inspirasi dari Tolkien.

Artikel dikirimkan oleh Hanif Masridin untuk The Patriots. 

RUJUKAN:

  1. How J.R.R. Tolkien Created Fantastic Worlds With Language – https://www.babbel.com/en/magazine/tolkien-and-languages
  2. R.R. Tolkien Biography: Father of Modern Fantasy – https://biographics.org/j-r-r-tolkien-biography-father-of-modern-fantasy/
  3. The New Shadow – http://tolkiengateway.net/wiki/The_New_Shadow

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Moving forward as one.

Comments are closed.