1Tsar Russia merupakan gelaran yang digunakan oleh para pemerintah Kekaisaran Russia, sebuah kuasa politik yang wujud pada tahun 1547 hingga 1721 Masihi. Kekaisaran Russia terlebih dahulu didahului oleh Duci Agung Moscow, dan disusuli oleh Empayar Russia. Tsar pertama Russia ialah Ivan IV (atau lebih dikenali dalam bahasa Inggeris sebagai Ivan the Terrible, derivasi dari Ivan Grozny dalam bahasa Russia). Beliau merupakan Putera Agung Moscow terakhir dan pengasas Kekaisaran Russia.

SIAPAKAH TSAR?

Gelaran ‘tsar’ (juga dieja sebagai ‘czar’ atau ‘tzar’) tidaklah digunakan secara eksklusif oleh para pemerintah Russia. Akan tetapi, ia turut digunakan oleh monarki-monarki Slavia, seperti pemerintah Empayar Bulgaria. Gelaran ini diambil daripada perkataan Latin, iaitu ‘Caesar’. Perkataan tersebut merupakan gelaran diraja yang terus digunakan oleh Byzantine selepas perpecahan Empayar Rom.

Di Russia pada era pertengahan, gelaran tersebut diubah menjadi ‘tsar’ dan mengandungi konotasi keagamaan padanya. Walaupun gelaran ini digunakan untuk merujuk pemerintah tertinggi, ia juga secara spesifik merujuk kepada pemimpin sekular dalam dunia Kristian-Ortodoks, yakni sama seperti maharaja Byzantine.

Resepsi Tsar Russia di Moscow Kremlin


DUCI AGUNG MOSCOW

Duci Agung Moscow (atau Prinsipaliti Agung Moscow) merupakan kuasa politik yang kewujudannya mendahului Kekaisaran Russia. Moscow ditubuhkan sebagai sebuah bandar perdagangan kecil sekitar kurun ke-12 dan dimusnahkan semasa serangan Monggol ke atas Rus pada kurun berikutnya. Pada tahun 1263, Moscow yang masih merupakan sebuah bandar yang tidak signifikan diserahkan kepada Daniel I, iaitu putera bongsu Alexander Nevsky sesudah kemangkatannya.

Daniel dan keturunannya berusaha menyatukan wilayah-wilayah Russia. Penyatuan ini diselesaikan pada era Ivan III Vasilyevich (juga dikenali sebagai Ivan Agung). Menjelang kemangkatan Ivan pada tahun 1505, jawatan Putera Agung Moscow juga memegang peranan sebagai pemerintah tertinggi Russia.

Ivan III Vasilyevich

Ivan III digantikan oleh puteranya, Vasili III yang secara relatifnya tiada sebarang peristiwa menonjol yang berlaku di zaman pemerintahannya. Namun, signifikasi nama Vasili terletak pada statusnya sebagai ayahanda kepada Ivan IV, yang menggantikannya sebagai Putera Agung Moscow ketika berusia tiga tahun pada 1533. 

Ivan IV ini kelak ditabalkan sebagai Putera Agung Moscow yang terakhir, merangkap Tsar Russia yang pertama. Walaupun Ivan IV merupakan pengasas Kekaisaran Russia sekaligus pemerintah Russia pertama yang dimahkotakan secara rasmi sebagai Tsar Russia, konsep gelaran tersebut sendiri boleh dijejak akarnya semasa pemerintahan Ivan III.

Tatkala Ivan III menyelesaikan kempen penyatuan Russia, pemerintahan Byzantine berakhir apabila Konstantinopel tumbang ke tangan Turki Uthmaniyah pada tahun 1453 Masihi. Uthmaniyah kemudiannya menyerang wilayah Balkan, sekaligus menjadikan Putera Agung Moscow sebagai satu-satunya monarki Ortodoks yang masih wujud di dunia.

Lantaran itu, terdapat seruan-seruan yang meminta agar Moscow diperakui sebagai pengganti Konstantinopel sekaligus menjadi ‘Rom yang ketiga’. Tambahan pula, pada tahun 1472, Ivan III mengahwini anak saudara maharaja Byzantine yang terakhir, iaitu Zoe Palaiologina (kelak dikenali sebagai Sophia). Beliau kemudiannya membawa tradisi-tradisi istana Byzantine bersamanya ketika berpindah ke Moscow.

TSAR RUSSIA PERTAMA

Secara efektifnya, Ivan III merupakan Tsar Russia walau tanpa gelaran yang diberikan kepadanya. Hanya pada tahun 1547, barulah gelaran tersebut disandang secara rasmi oleh cucunya, iaitu Ivan IV. Pada tanggal 16 Januari 1547, Ivan IV dimahkotakan sebagai Tsar Russia yang pertama di Katedral Dormition, Moscow. Ivan IV disifatkan sebagai seorang yang kompleks, dan hal ini terbukti menerusi cara pemerintahannya.

Sebagai contoh, walaupun beliau seorang penganut Kristian yang taat dan banyak melakukan kebajikan kepada pihak biara, beliau tidak ragu-ragu untuk membvnuh paderi. Semasa era pemerintahannya, beliau cuba memperkuatkan kedudukannya dengan mengehadkan pengaruh yang dipegang oleh golongan bangsawan menerusi jalan reformasi. Namun kemudian, Ivan IV memilih untuk menggunakan kaedah yang lebih ganas dalam membendung pengaruh golongan bangsawan.

Ivan III Vasilyevich


Ivan IV juga sering mengalami ketidakstabilan mental, terutama pada tahun-tahun terakhir pemerintahannya. Dalam salah sebuah kejadian yang berlaku pada tahun 1581, putera mahkotanya, Ivan Ivanovich dibvnuh oleh beliau. Akibatnya, selepas kemangkatan Ivan IV pada tahun 1584, kedudukannya digantikan oleh putera lain, iaitu Feodor I. 

Feodor tidak pernah dijangka akan memegang takhta, justeru beliau tidak dipersiapkan dengan tugas tersebut. Malah, Feodor sebenarnya lebih berminat dalam urusan agama berbanding politik. Walaupun Feodor mewarisi kedudukan ayahandanya sebagai Tsar Russia, kuasa sebenar terletak di tangan seorang boyar yang berpengaruh, iaitu Boris Godunov.

Feodor mangkat pada tahun 1598 tanpa meninggalkan pewaris, justeru dinastinya, iaitu Dinasti Rurikid pun berakhir dan digantikan oleh Godunov. Kekaisaran Russia masih terus wujud, sehinggalah penubuhan Empayar Russia oleh Peter Agung pada tahun 1721.

Potret Tsar Peter I oleh Godfrey Kneller (1698)

TERJEMAHAN:

Wu Mingren. (10 Disember 2018). Ivan the Terrible: How Did He Become the First Tsar of Russia? Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/first-tsar-russia-0011132


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.