Baru-baru ini, Menteri Pendidikan YB Dr. Maszlee Malik dikecam hebat terutamanya daripada parti-parti politik yang dipimpin majoriti bukan Melayu/Bumiputra kerana berpendirian teguh dengan kuota matrikulasi 90% untuk Bumiputra dan 10% untuk Bukan Bumiputra. Dr. Maszlee menggunakan alasan bahawa peluang pekerjaan di Malaysia di sektor swasta tidak adil dengan mensyaratkan penggunaan bahasa Mandarin sebagai keperluan pekerjaan.
Kuota matrikulasi 90% untuk Bumiputra adalah sebahagian daripada hak istimewa orang-orang Melayu/Bumiputra yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan. Berpandukan fakta ini, Dr. Maszlee tidak seharusnya menyalahkan isu keperluan bahasa Mandarin, tetapi sebaliknya mengingatkan pemimpin-pemimpin parti politik tersebut bahawa hak istimewa orang-orang Melayu/Bumiputra dilindungi Perlembagaan dan sesiapa sahaja yang menyoalnya boleh dianggap menyoalkan keluhuran perlembagaan.
Malaysia adalah negara yang lahir dari negeri-negeri Tanah Melayu yang merdeka pada tahun 1957 dan kemudiannya menjadi Malaysia setelah penyatuan bersama Sabah dan Sarawak pada tahun 1963 (Singapura menyertai Persekutuan tetapi dikeluarkan pada tahun 1965). Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan memberi jaminan bahawa hak-hak istimewa bagi orang-orang Melayu di Malaysia, yang merupakan kaum bumiputera di negara ini, akan dilindungi sewajarnya.
ERA PENJAJAHAN
Penjajahan Barat bermula di Kepulauan Melayu khususnya Tanah Melayu (Malaysia pada hari ini) apabila Melaka jatuh ke tangan Portugis pada tahun 1511. Bagaimanapun, kebanyakan kawasan-kawasan di Kepulauan Melayu pada ketika itu masih lagi merdeka dan bangsa rumpun Melayu masih lagi bergerak secara bebas meneroka kawasan-kawasan di dalam wilayah Nusantara tanpa sebarang halangan sehinggalah datangnya pihak British.
Sewaktu zaman penjajahan, British menggalakkan perpindahan besar-besaran kaum Cina ke Tanah Melayu dari provinsi selatan negara China, rantau yang sememangnya terletak di luar Kepulauan Melayu, untuk bekerja sebagai kuli dan buruh kasar di lombong-lombong bijih timah yang kebanyakannya terletak di Selangor, Perak dan Negeri Sembilan. Pendatang-pendatang ini masuk ke Tanah Melayu dengan satu tujuan – peluang pekerjaan – tanpa niat untuk menetap selama-lamanya di Tanah Melayu.
Orang-orang India juga dibawa masuk ke Tanah Melayu dari jajahan takluk British di India dan Ceylon sebagai buruh dan kuli. Kebanyakan imigran ini adalah lelaki dewasa bujang yang memang tidak berniat untuk menetap di Tanah Melayu kerana mereka mempunyai keluarga yang menunggu di India dan Sri Lanka.
Imigrasi secara besar-besaran ini, tidak seperti penghijrahan orang-orang Melayu anak dagang, tidak dilakukan secara sukarela kerana mereka dibawa masuk oleh pemerintah British untuk mengusahakan lombong-lombong bijih timah dan perkebunan getah di Tanah Melayu. Imigran-imigran ini sudah tentunya mempunyai bahasa, adat, agama dan budaya yang berbeza dengan orang-orang Melayu di Tanah Melayu pada ketika itu.
Kedudukan orang-orang Cina dan India di zaman tersebut tidak ubah seperti pekerja-pekerja migran yang dibawa masuk dari Indonesia dan Bangladesh di Malaysia pada hari ini kerana mereka tidak dianggap rakyat Duli Yang Maha Mulia Paduka Sultan mahupun rakyat negeri-negeri Tanah Melayu.
KEMERDEKAAN
Setelah Jepun berundur dari Tanah Melayu pada tahun 1945, pihak British memperkenalkan gagasan Malayan Union, yang bakal meranapkan hak-hak istimewa orang Melayu. Gagasan ini dibantah dah digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu, gagasan yang menjamin hak-hak istimewa orang Melayu dengan mengawal pemberian kerakyatan kepada kaum pendatang bukan Melayu pada ketika itu.
Namun, demi mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, pemimpin-pemimpin Melayu telah berunding dengan pemimpin-pemimpin dari kaum Cina dan India dengan syarat hak istimewa orang-orang Melayu dipelihara, bahasa Melayu dijamin sebagai bahasa kebangsaan, Islam diiktiraf sebagai agama rasmi dan kedudukan raja-raja Melayu disanjung tinggi, yang mana semua perkara-perkara ini telahpun termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Berlandaskan kompromi ini, jutaan kaum imigran Cina dan India akhirnya berhasil mendapatkan kerakyatan Persekutuan Tanah Melayu menjelang kemerdekaan negara pada tahun 1957.
Nasib imigran-imigran pada tahun 1957 ini tidak sama seperti masyarakat imigran Cina tidak berkerakyatan yang terdapat di Brunei, masyarakat Rohingya di Myanmar serta masyarakat Haiti yang lahir di Republik Dominica pada hari ini. Walaupun telah berdekad lamanya tinggal dan ada yang lahir di negara-negara berkenaan, mereka masih dianggap bukan warganegara. Malah, masyarakat bukan bumiputra bebas menggunakan bahasa masing-masing di Malaysia tanpa perlu diasimilasikan secara paksa seperti yang terjadi di Thailand dan Indonesia.
Formulanya mudah sahaja. Hak-hak orang Melayu terjaga, kaum-kaum bukan Melayu boleh mendapatkan kerakyatan.
HORMATILAH PERLEMBAGAAN
Salah satu daripada Rukun Negara adalah ‘Keluhuran Perlembagaan’. Sejak setahun yang lalu, hak-hak istimewa orang Melayu, kedudukan raja-raja Melayu, bahasa Melayu dan Islam sebagai agama Persekutuan (semuanya termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan) satu persatu diganggu gugat dengan isu-isu seperti rancangan pengakuan Konvensyen ICERD dan Statut Rom serta penggunaan bahasa Mandarin terutamanya di Kementerian Kewangan.
Terbaru hak istimewa orang-orang Melayu dari segi pendidikan iaitu kuota matrikulasi pula dipersoalkan. Seharusnya, pemimpin-pemimpin yang mempersoalkan hak-hak ini perlu ingat sekiranya mereka mempersoalkannya, mereka sebenarnya mempersoalkan keluhuran Perlembagaan Persekutuan.
Sejak dari zaman kerajaan terdahulu, banyak seruan yang dibuat agar kita menghormati undang-undang dan perlembagaan. Kenapa sekarang golongan-golongan yang membuat seruan ini pula yang dilihat ingin mempersoalkan Perlembagaan? Adakah seruan ini hanya terpakai sekiranya ianya memberikan kelebihan buat golongan-golongan ini?
Seharusnya Dr. Maszlee tidak menggunakan isu bahasa Mandarin sebagai balasan kepada isu kuota matrikulasi. Orang-orang Melayu/Bumiputra seharusnya cuba menguasai bahasa Mandarin yang dianggap penting di dunia kini.
Sebaliknya, beliau seharusnya mengingatkan pihak yang mempersoalkan isu kuota ini bahawasanya mereka mempersoalkan hak-hak Bumiputra yang telah termaktub dalam Perlembagaan dan hak-hak inilah yang digunakan sebagai timbal balik agar masyarakat Bukan Bumiputra dapat menjadi rakyat Malaysia sehingga hari ini.
Sekiranya kita semua rakyat Malaysia yang baik dan patuh kepada negara, kenapa perlu kita mempersoalkan Rukun Negara yang ketiga dan keempat, ‘Keluhuran Perlembagaan’ dan ‘Kedaulatan Undang-undang’?
Mohd Hazmi Mohd Rusli (Ph. D) ialah profesor madya di Universiti Sains Islam Malaysia dan profesor pelawat di Sekolah Undang-undang, Far Eastern Federal University, Vladivostok, Rusia.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih