Pada hari ini, ia hanya wujud sebagai sisa tinggalan sejarah. Namun pada suatu ketika dahulu, Istana Weiyang merupakan kompleks istana paling besar di dunia. Bekas-bekas runtuhan yang dapat kita saksikan pada hari ini menyimpan ribuan saksi kepada kemegahan dan kegemilangan binaan dari zaman Dinasti Han yang pernah memenuhi ruang kawasan di situ.
Istana Weiyang merupakan sebuah kompleks istana diraja yang dibina di zaman Cina purba. Walaupun kompleks ini dibangunkan oleh Dinasti Han, ia turut digunakan oleh beberapa buah dinasti Cina yang lain.
Namun seiring peredaran masa, Istana Weiyang semakin hilang pengaruhnya sebelum akhirnya, ia ditinggalkan oleh maharaja Cina dan seluruh penghuni istana. Istana Weiyang kemudiannya dibakar serta diruntuhkan dan apa yang masih kekal ada sehingga ke hari ini hanyalah secebis tinggalan sejarah.
KEBAHAGIAN BERPANJANGAN YANG BELUM PUN MENCAPAI KADAR SEPARUH
Nama kompleks istana purba ini, iaitu ‘Weiyang’ boleh diterjemahkan secara harfiah sebagai ‘hampir mencapai kadar separuh’ atau ‘belum lagi mencapai separuh’ walaupun ia juga boleh ditafsirkan sebagai ‘abadi’.
Kompleks ini merupakan salah sebuah dari dua buah kompleks istana utama di zaman Dinasti Han, di samping Istana Changle. ‘Changle’ pula boleh diterjemahkan sebagai ‘kebahagiaan berpanjangan’. Oleh kerana itu, terdapat pendapat yang mencadangkan bahawa kombinasi nama kedua-dua istana ini boleh membawa pengertian ‘kebahagian berpanjangan yang belum pun mencapai kadar separuh’.
Istana Weiyang terletak di kota Chang’an (kini Xi’an), Wilayah Shaanxi yang berlokasi di tengah-tengah negara Cina. Dari timur hingga ke barat, kompleks ini meliputi keluasan yang mencecah 2.15km (1.34 batu) sementara keluasan dari utara hingga ke selatannya pula adalah sekitar 2.25 (1.4 batu).
Hal ini bermaksud bahawa luas keseluruhan kawasan ini dianggarkan 4.8km persegi. Sebagai perbandingan. Kota Larangan di Beijing yang masyhur itu berkeluasan sekitar 0.72 km persegi. Dalam erti kata lain, sebanyak 7 buah Kota Larangan diperlukan untuk menyamai saiz Istana Weiyang!
PEMBINAAN KEDIAMAN ISTANA MAHARAJA
Pada tahun 202SM, Dinasti Han mula diasaskan dan dua tahun kemudian, tokoh pengasasnya iaitu Maharaja Gaozu (Liu Bang) mengarahkan agar sebuah kompleks diraja dibina. Tugas pembinaan ini diselia oleh pegawai canselornya, iaitu Xiao He.
Kompleks diraja ini dibangunkan untuk menjadi istana utama maharaja. Sebelum itu, istana maharaja terletak di Istana Changle yang dibina di atas runtuhan istana Dinasti Qin, iaitu Istana Xingle. Setelah maharaja memindahkan pusat pemerintahannya ke Istana Weiyang, Istana Changle diubah menjadi kediaman buat maharani balu.
Walaupun pemerintahan Dinasti Han berakhir pada tahun 220M, Istana Weiyang terus digunakan oleh sejumlah dinasti lain. Misalnya, Dinasti Jin Barat yang beribukotakan Chang’an pada tempoh antara 312 hingga 316M memanfaatkan binaan kompleks istana ini.
Semasa zaman Dinasti Utara dan Selatan yang menyusulinya pula, Chang’an masih teus berfungsi sebagai ibu kota bagi beberapa buah negara berbeza di mana hal ini bermaksud bahawa Istana Weiyang turut digunakan di zaman itu. Chang’an kekal menjadi ibu kota Empayar Cina ketika zaman kepenguasaan Dinasti Tang walaupun pada zaman inilah signifikasi Istana Weiyang mula merudum. Hal ini berlaku kerana maharaja-maharaja Tang mula membina istana-istana peribadi.
KERUNTUHAN ISTANA WEIYANG
Keruntuhan Istana Weiyang turut dikatakan berlaku di zaman Dinasti Tang. Didakwa kononnya ia dimusnahkan oleh pihak pemberontak semasa mereka dalam perjalanan menuju ke ibu kota Tang. Sejarah sememangnya sedia maklum bahawa para pemberontak berjaya menawan ibu kota Tang semasa berlakunya Pemberontakan An Lushan (abad ke-8M) dan Pemberontakan Huang Chao (abad ke-9M). Rentetan kejadian ini, hanya tinggal secebis kecil sahaja kesan sejarah dari Istana Weiyang, istana besar itu.
Kawasan yang suatu ketika dahulu menempatkan binaan Istana Weiyang itu kini menjadi tapak arkeologi. Kerja-kerja ekskavasi yang dijalankan di sana telah berjaya menemukan beberapa buah maklumat. Misalnya, kajian arkeologi mendapati bahawa kompleks ini dikelilingi oleh sebuah tembok bersegi tepat yang bersaiz besar dan ianya diakses menerusi sejumlah gerbang. Tambahan lagi, dua buah gerbang di setiap sudut tembok sesebuah perkarangan memiliki menara-menara pengawal.
Maklumat arkeologi berkenaan Istana Weiyang ini turut disokong oleh sumber-sumber bertulis. Misalnya, di kala ahli arkeologi berjaya menghadirkan maklumat tentang rekabentuk balairung utama istana, bahan-bahan yang digunakan bagi membina tapak balairung berkenaan hanya boleh diperoleh menerusi teks-teks sejarah.
Pada tahun 2014, Istana Weiyang pada akhirnya disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO sebagai sebahagian dari sekelompok tapak yang dinamakan sebagai ‘Laluan Sutera: Rangkaian Laluan Koridor Chang’an-Tianshan’.
DAN DITERJEMAHKAN DARI:
Wu Mingren. (19 Mei 2018). Ancient Weiyang Palace: Exemplifying Han Dynasty Splendor. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/ancient-weiyang-palace-exemplifying-han-dynasty-splendor-0010069
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih