BARISAN PELAKON

Salleh Melan – Mahfuz
Fatimah Ahmad – Wan Kendali
Ahmad Sabri – Mahadi
Suraya Harun – Puteri Suriani
Ahmad Osman – Petaling
Umi Kalthum
Ahmad Nisfu
Yem
Siti Tanjong Perak
Aini Jasmin

RINGKASAN CERITA

Mengisahkan tentang dua orang pahlawan iaitu Mahfuz dan Mahadi yang terselamat ketika kapal mereka diserang oleh lanun. Mereka berdua terdampar di sebuah pantai dan kemudiannya bertemu dengan seorang penilik nasib. Penilik nasib itu memberitahu mereka bahawa Mahfuz akan menjadi seorang yang berkuasa di negeri tersebut. Mahadi pula akan mendapat zuriat yang terdiri daripada kalangan diraja dari zaman ke zaman walaupun dirinya hanya seorang rakyat biasa.

Mahfuz dan Mahadi kemudiannya berkahwin dengan pasangan masing-masing. Mahfuz berkahwin dengan Wan Kendali. Mahadi juga berkahwin dan mendapat seorang anak lelaki yang bernama Petaling. Isteri Mahfuz, Wan Kendali ialah seorang yang gilakan pangkat dan kuasa. Oleh kerana dia sangat percayakan tilikan si penilik nasib maka dia telah merancang untuk membunvh Sultan di negeri itu supaya Mahfuz dapat berkuasa.

Rancangan itu diketahui oleh Mahadi yang dapat mengesyakinya dari awal. Untuk memastikan rancangan keji itu tidak dihalang, Wan Kendali telah menggunakan tipu helah untuk membunvh Mahadi. Dia seterusnya membunvh Sultan dan Datuk Bendahara. Sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir, Mahadi telah berpesan kepada anaknya Petaling agar membawa puteri baginda Sultan, Puteri Suriani untuk mendapatkan perlindungan.

Setelah mendapat kuasa, kehidupan Mahfuz dan Wan Kendali masih tidak tenteram kerana roh Mahadi seringkali mengganggu kehidupan mereka. Wan Kendali yang telah berdosa kerana melakukan pembunvhan seringkali terganggu fikirannya. Tangannya sentiasa mengalirkan darah walaupun dicuci berkali-kali.

Mahfuz pergi bertanyakan kepada penilik nasib tentang hal itu dan beliau diberitahu bahawa tiada seorang lelaki pun yang mampu untuk membunvh Mahfuz dan Wan Kendali. Setelah membuat rancangan rapi, Petaling bersama-sama Puteri Suriani menyerang Mahfuz dan Wan Kendali. Ketika bertarung, Petaling mendapati bahawa dirinya sukar untuk membunvh Mahfuz. Namun akhirnya Mahfuz m*ti ditikam oleh Puteri Suriani.

Wan Kendali cuba melarikan diri. Namun dirinya diserang sekumpulan ular berbisa yang mengejar dan membelitnya. Akhirnya, Wan Kendali m*ti dalam keadaan yang sangat mengerikan dengan matanya terbeliak dan lidahnya terjelir panjang akibat terjatuh ke dalam gaung dan perutnya tertikam oleh batu.

KISAH DI SEBALIK TABIR

“Istana Berdarah merupakan filem Hussain Haniff yang teragung.”

Begitulah komen wartawan hiburan Bahyah Mahmood terhadap filem Istana Berdarah arahan Hussain Haniff. Menurut beliau lagi, Hussain  telah berjaya menghasilkan satu karya yang hebat serta gambaran yang sangat baik.

Filem Istana Berdarah merupakan filem yang ke-9 arahan Hussain Haniff. Di studio Cathay-Keris, Hussain mempunyai rakan-rakan sepasukan teknikal yang sekepala dengannya. Mereka inilah yang mampu melayan kerenah Hussain yang sangat cerewet serta panas baran itu dalam kerja-kerja pembikinan filem.

Menurut Yunos Alwi yang pernah menjadi pembantu jurukamera dalam kebanyakan filem-filem Hussain Haniff, hidup seharian individu yang bernama Hussain Haniff ini hanya tertumpu kepada filem, filem dan filem. Beliau sangat obses terhadap filem. Jika tidak terikat dengan jadual penggambaran, beliau gemar mengajak rakan-rakannya menonton filem-filem Hollywood serta Jepun.

Hussain Haniff dikhabarkan sangat menggilai Akira Kurosawa. Ini terbukti kerana terdapat banyak syot-syot filem Hussain seakan-akan menyerupai karya Akira Kurosawa. Hussain juga terdedah dengan pergerakan kamera dari filem-filem arahan Akira Kurosawa.

Selain menonton filem, Hussain mempelajari teknik-teknik membikin filem dengan membuat perbincangan dengan rakan-rakannya tentang filem-filem yang mereka tonton. Sikap Hussain Haniff yang gemar memberontak itu dizahirkan ke dalam filem-filemnya yang penuh dengan unsur-unsur darah, kek3jaman, sadisme dan sebagainya.

Toshiro Mifune di dalam satu babak filem Throne of Blood

Hamzah Hussin di dalam memoirnya menulis bahawa idea pembikinan Istana Berdarah terjadi selepas Hussain Haniff menonton Throne of Blood. Hussain mendapati bahawa filem itu sangat menepati citarasanya dan dia sangat suka akan visual kekejaman yang dipaparkan oleh Akira Kurosawa. Di dalam kepalanya tertanam bahawa darah itu adalah kekejaman.

Di dalam satu adegan, Fatimah Ahmad digambarkan sedang melakukan satu pembunvhan dan melihat bekas darah di tapak tangannya. Dia kemudiannya cuba membasuh bekas darah itu di kolam. Oleh kerana filem Istana Berdarah digambarkan dalam corak hitam putih, maka penggunaan cahaya dan bayang adalah sangat penting. Air yang mulanya jernih dan cerah kemudiannya bertukar menjadi gelap apabila Fatimah Ahmad mencelup tangannya yang berdarah itu.

Hussain tidak berpuas hati dengan gambar hitam putih. Dia mendesak agar adegan ini dicetak dalam corak berwarna. Hussain yang keras kemahuannya itu mengancam tidak akan menyunting filem itu dan tidak mahu namanya dikreditkan sebagai pengarah.

Setelah berbincang dengan pihak pengurusan studio Cathay-Keris, akhirnya permintaan Hussain itu diluluskan. Babak tersebut kemudiannya diwarnakan dengan teknik hand coloring di mana setiap bingkai diwarnakan dengan menggunakan berus yang sangat halus.

Filem ini telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan. Sebaik sahaja Hussain Haniff selesai dengan penggambaran filem ini, beliau dilaporkan sedang sibuk menyiapkan sebuah skrip filem yang berjudul Tun Perak.

Dalam masa yang sama juga, Hussain Haniff turut membikin dua buah filem bercorak social drama yang berlatarkan zaman moden yang berjudul Chinta Kaseh Sayang (1965) dan Jiran Sekampong (1966). Walau bagaimanapun, Hussain Haniff tidak sempat untuk menyelenggarakan filem Tun Perak kerana beliau meninggal dunia pada 4 April 1966 dalam usia 32 tahun.

10 FAKTA MENGENAI FILEM ISTANA BERDARAH

1. Filem arahan Hussain Haniff yang ke-9.

2. Memulakan tayangannya pada 3 Februari 1965 (Hari Raya Pertama) secara serentak di sembilan buah pawagam di Malaysia, Singapura dan Brunei. Pawagam-pawagam tersebut ialah Garrick (Singapura), Coliseum (Kuala Lumpur), Star (Pulau Pinang), Cathay (Melaka), Cathay (Alor Setar), Cathay (Kuala Terengganu), Rani dan Meena (Kota Bharu), Cathay (Sibu) dan Marina (Seria).

3. Merupakan adaptasi daripada karya agung William Shakespeare – “Macbeth”.

4. Inilah satu-satunya filem arahan Hussain Haniff yang dipercayai telah hilang atau pupus.

5. Watak Puteri Suriani pada awalnya diberi kepada Mona Zaiton, namun di saat akhir ia diserahkan kepada Suraya Harun.

6. Pegawai Penerangan Cathay-Keris, Hamzah Hussin telah menjemput sasterawan-sasterawan tempatan untuk menonton preview filem ini.

7. Wakil dari syarikat Cinerama, Howard G. Minsky yang menonton tayangan khas bersama Tom Hodge, Hussain Haniff, Fatimah Ahmad dan pelakon-pelakon lain telah menyatakan kekagumannya dengan kualiti filem ini.

8. Wartawan hiburan Bahyah Mahmood (BAM) juga berpendapat bahawa filem ini merupakan filem Hussain Haniff yang teragung.

9. Pengarah terkenal dari Jepun, Akira Kurosawa mengadaptasi karya “Macbeth” ini melalui filemnya, Throne of Blood pada tahun 1957. Filem ini menjadi salah satu filem kegemaran Hussain Haniff.

10. Hussain Haniff sanggup memanjat pokok dan membawa perahu unit penggambarannya ke tengah laut Selat Melaka untuk mengambil syot kapal karam yang tidak menampakkan daratan.

RUJUKAN:

  1. Mastika Filem. bil. 29 (November 1964)
  2. Istana Berdarah di-duga filem Hussain teragong. Berita Harian, 19 Disember 1964
  3. Pakar dari Hollywood kagum dengan ‘Istana Berdarah’. Berita Harian. 30 Januari 1965
  4. Jamil Sulong, Hamzah Hussin & Abdul Malik Mokhtar, 1990. Daftar Filem Melayu (1933-1993). Kuala Lumpur: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS).
  5. Hamzah Hussin, 2004. Memoir Hamzah Hussin: Dari Keris Film ke Studio Merdeka. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
  6. Nasir Jani, 2019. Pemberontak Filem. Ipoh-Shah Alam: Rabak Lit.

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang peminat sejarah filem tanah air. Suka menonton filem-filem Melayu hitam putih, terutama sekali arahan Hussain Haniff dan M. Amin.

Comments are closed.