Mengapa China makin aktif melabur di negara kita? Mengapa China ingin membina jaringan landasan keretapi dan pelabuhan di negara-negara seperti Pakistan, Sri Lanka, Myanmar dan termasuk Malaysia? Adakah ia berkaitan dengan tuntutan China terhadap Laut China Selatan (LCS)? Bolehkan ia dikaitkan dengan “klaim kedaulatan” China atas Taiwan? Adakah China ingin membina empayar? Semua persoalan ini dapat dirungkai dengan melihat pada sebuah masalah geopolitik China yang bernama “Rantai Pulau” (Island Chain).
Jika lihat pada peta, pulau-pulau di sebelah timur China – dari Jepun, Okinawa, Taiwan hingga ke Filipina – membentuk seutas “rantai” yang seolah-olah membelenggu pergerakan China di laut. Semasa zaman Perang Dingin (1948-1991), potensi strategik pulau-pulau ini telah dikenalpasti oleh John Foster Dulles, Menteri Luar (Secretary of State) Amerika pada 1950-an. Dulles telah memperkenalkan Strategi Rantai Pulau (Island Chain Strategy) untuk menjayakan strategi raya “pembendungan” (containment) yang bertujuan mengekang kemaraan kuasa China dan Soviet Russia.
Di bawah Strategi Rantai Pulau, pulau-pulau dari Jepun hingga ke Filipina dinamakan sebagai “Rantai Pulau Pertama” (First Island Chain) manakala pulau-pulau yang terdiri daripada Guam dan Northern Mariana dikenali sebagai “Rantai Pulau Kedua” (Second Island Chain). Amerika telah menubuhkan hubungan pakatan ketenteraan dengan Jepun, Korea Selatan, Taiwan (atau Republik China, ROC) dan Filipina untuk menjadikan mereka sebagai “unsinkable aircraft carriers” iaitu tapak pelancaran serangan terhadap China. Cuma, kesignifikan Strategik Rantai Pulau telah berkurang semenjak 1970-an dengan penjalinan hubungan diplomatik di antara Amerika dan China.
Meskipun Perang Dingin tamat pada 1990-an, Amerika tidak memberhentikan Strategi Rantai Pulau ini. China memahami apa isi hati Amerika. Dengan kehadiran Amerika di Rantai Pulau Pertama, jalan perdagangan laut utama China (yang mengangkut 90% dari sumber ekonomi China) terdedah kepada kuasa tentera laut Amerika. Amerika boleh menyekat aliran sumber ekonomi China pada bila-bila masa dan ia akan melemahkan China secara strategik. Dan untuk masa kini kuasa tentera laut China masih tidak dapat menandingi tentera laut Amerika.
Itu sebabnya China memandang serius terhadap LCS kerana China khuatiri sekiranya kawasan perairan tersebut dikuasai oleh Amerika dan sekutunya, ia akan mengancam keselamatan China secara terus. Begitu juga dengan Taiwan. China berharap, dengan menyatukan Taiwan dengan Tanah Besar China, ia dapat memecahkan Strategi Rantai Pulau Amerika. Jadi, tuntutan China ke atas LCS dan Taiwan bukan dibuat atas nasionalisme atau imperialisme, tetapi atas pertimbangan geopolitik dan keselamatan. Kalau mahu China mengurangkan keagresifannya dalam isu LCS, maka perlu membuat China rasa selamat.
Dasar “Pivot to Asia” yang diumumkan oleh Obama dan Clinton pada tahun 2011 telah menimbulkan rasa ketidakselamatan China. “Pivot” melibatkan pengukuhan hubungan ketenteraan dan ekonomi Amerika dan sekutu-sekutunya di Asia, termasuk Jepun, Korea Selatan, Filipina, Singapura, Taiwan (secara tidak rasmi), dan menarik rakan strategik baru, misalnya Indonesia dan Malaysia. Tetapi kedua-dua negara ini agak samar-samar dalam menyahut Pivot. Walaupun kehadiran Amerika dapat mengimbangi kuasa China, namun kecondongan ke arah Amerika akan menimbulkan reaksi balas daripada China.
Untuk membebaskan dirinya daripada dibelenggu Rantai Pulau ini, China telah memperkenalkan dasar One Belt One Road (OBOR) pada tahun 2013 sebagai jawapan balas kepada Pivot. Juga dikenali sebagai “Laluan Sutera Baru”, ia terdiri daripada Laluan Sutera Darat (Silk Road Economic Belt) dan Laluan Sutera Laut (21st Century Maritime Silk Road). Di darat, China telah dan sedang membina saluran-saluran paip minyak di Pakistan, Myanmar, Kazakhstan dan sebagainya untuk mengelak jalan laut di Asia Tenggara. Pada masa yang sama, China juga membina dan memiliki pelabuhan-pelabuhan strategik di negara-negara seperti Pakistan (Gwadar) dan Sri Lanka (Hambantota) sebagai pusat logistik.
Malaysia telah dikenalpasti sebagai satu hab Laluan Sutera yang ideal kerana kedudukan Semenanjung Malaysia sebagai penghujung benua Eurasia membolehkan China mengelak kawasan LCS. Pengangkutan kargo China yang tiba di pelabuhan Semenanjung Malaysia boleh disambung melalui jaringan keretapi di darat dan diangkut ke China melalui jaringan keretapi di Thailand dan Laos. China memerlukan Malaysia untuk melengkapi strateginya, dan ia telah membawa kepada pelaburan dalam projek-projek seperti Melaka Gateway dan ECRL.
Sama ada ia menjadi ancaman atau tidak kepada Malaysia bergantung kepada perspektif. Ada yang risau China akan menggunakan pemilikan ke atas pelabuhan-pelabuhan strategik untuk mengancam Malaysia. Namun sekiranya China telah pun mencapai matlamat keselamatannya melalui kerjasama yang disifatkan “win-win”, buat apa China nak mengancam lagi? Malah kerjasama sebegini dapat meredakan ketegangan di LCS kerana dengan adanya laluan alternatif kepadanya.
Sementara kita melihat ia sebagai ancaman, negara-negara jiran kita tengah meneguk peluang. Singapura, Indonesia dan Thailand hanya akan tersenyum lebar jika kita menolak pelaburan-pelaburan yang berkaitan dengan Laluan Sutera. Siapa yang bakal menerima kesan sekiranya potensi Melaka sebagai pusat pelabuhan serantau dimanfaatkan sepenuhnya, kalau bukan Singapura?
Jokowi yang bercita-cita menjadikan Indonesia sebagai “Poros Maritim Dunia” juga menantikan peluang untuk membangunkan Selat Lombok dan Selat Sunda sebagai laluan perdagangan utama serantau, namun ia kurang menarik minat China kerana faktor jarak. Pada masa yang sama, Thailand menawarkan alternatif kepada Melaka iaitu Segenting Kra. Cuma ia juga tidak begitu menarik perhatian China, kerana dari segi nilai logistik dan strategik ia tidak banyak berbeza pun dengan Melaka. Mereka akan dapat peluang yang diidamkan, sekiranya Malaysia tidak relevan dalam geostrategi China.
Mengakui China sebagai sebuah negara hegemon tidak bermakna kita akan sentiasa dibuli. Menerima pelaburan China juga tidak bermaksud menolak pelaburan dari negara lain. Malah untuk tahun 2015, FDI Jepun ke Malaysia adalah dua kali ganda FDI China ke Malaysia, maka tidak timbul soal kebergantungan ekonomi kepada China. Malaysia selamat selagi kita mengamalkan strategi “diversification” atau “hedging” yang menjalin hubungan dengan semua kuasa besar sebagai pengimbang kepada kuasa China, tidak kira Amerika, Jepun, India atau Rusia.
– Ayman Rashdan Wong –
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih