Seorang aktivis anti-kolonial merangkap ahli politik Kenya, M. Jomo Kenyatta (1897-1978) pernah berkata, “Ketika orang-orang Eropah datang ke bumi ini (Afrika Timur), mereka memegang Bible dalam tangan mereka sementara kita memegang tanah. (Kemudian), mereka mengajarkan kita agar berdoa sambil memejamkan mata. Dan sebaik sahaja kita membuka mata, kita mendapati Bible sudah pun beralih ke tangan kita dan tanah pula dipegang oleh orang-orang berkulit putih itu.”
Kata-katanya ini merujuk kepada sejarah penyebaran Kristian di Kenya yang dilakukan oleh mubaligh-mubaligh Portugal pada akhir kurun ke-15 atau awal kurun ke-16, sebelum mengalami kepesatan pada kurun ke-19 hinggakan pada hari ini, negara tersebut didominasi oleh agama Kristian (lebih 80% daripada populasi keseluruhan).
Keadaan ini saling tidak tumpah seperti yang berlaku di Amerika Tengah, yang juga bermula pada Zaman Penjelajahan. Ketikamana Afrika di-Kristian-kan oleh mubaligh-mubaligh Portugal, kepercayaan-kepercayaan tradisi yang dianuti oleh masyarakat asli di Dunia Baru pula habis dilenyapkan hampir secara total oleh penjajah-penjajah Kristian Sepanyol.
Ketibaan Sepanyol ini bagaikan ‘bala dari timur’ buat tamadun-tamadun Mesoamerika seperti Inca dan Aztec. Dalam tempoh kurang 15 tahun, sejarah di sana menyaksikan ketumbangan dua buah tamadun agung. Tamadun Inca dengan raja terakhirnya, Atahualpa dirvntuhkan pada tahun 1533 oleh Francisco Pizarro manakala tamadun Aztec yang diperintah buat kali terakhir oleh Cuauhtemoc, mengucapkan selamat tinggal kepada mata pena sejarah pada tahun 1521 apabila ia dijar4h oleh Hernan Cortes.
Tamadun Maya yang sudah pun rvntuh lebih awal, iaitu pada kurun ke-9 Masehi atas sebab-sebab yang sehingga kini masih menjadi perbincangan ilmuwan turut terkesan dengan kehadiran penjajah Kristian Sepanyol ini. Walaupun tamadun mereka sudah mvsnah, kebudayaan Maya tidaklah lesap dari muka bumi ini. Legasi dan keturunan mereka masih terus hidup, sehinggalah berhadapan dengan ancaman maha dahsyat pada kurun ke-15 dan 16 apabila conquistador-conquistador Sepanyol mengunjungi petempatan-petempatan mereka dan menyebarkan onar.
Tidak cukup sekadar kehadiran mereka itu menularkan w4bak penyakit yang dibawa dari Eropah, penjajah-penjajah Kristian Sepanyol ini juga melampaui batasan apabila turut membak4r hangus lembaran-lembaran legenda dan sejarah Maya. Hal ini mengakibatkan banyak manuskrip Maya tidak dapat diwariskan kepada generasi mendatang, melainkan sebilangan kecil seperti Popol Vuh yang terselamat.
Kepercayaan-kepercayaan asli Maya juga terkesan apabila mereka dip4ksa untuk menganut agama Kristian secara beramai-ramai hinggakan rantau tersebut, iaitu Amerika Tengah, membentuk komuniti Katolik kedua terbesar di dunia. Pada hari ini, di Mexico sahaja terdapat kira-kira 100 juta penganut Katolik (lebih 83% daripada populasi keseluruhannya, sekitar 126 juta).
Walaupun begitu, sinar Islam tidak ketinggalan untuk menyuluhkan cahaya hidayahnya ke bumi itu. Menurut bancian National Institute of Statistics and Geography (INEGI) tahun 2010, terdapat seramai 3760 orang Muslim di Mexico. Enam tahun berikutnya, angka itu meningkat kepada lebih 4000 orang tidak termasuk imigran dari Turki mahupun Arab. Pada hari ini, dianggarkan terdapat lebih 5500 orang Muslim di Mexico, yang mana lebih 500 daripada angka itu bertumpu di Chiapas. Daripada keseluruhan 12 buah masjid yang ada di Mexico, separuh daripadanya turut bertumpu di negeri itu.
Persoalannya, apa yang membuatkan Chiapas begitu istimewa dalam penceritaan tentang sejarah Islam dalam kalangan masyarakat asli Maya? Sebelum itu, mari kita terlebih dahulu telusuri demografi ringkas Chiapas dan Mexico.
DEMOGRAFI RINGKAS MEXICO DAN NEGERI CHIAPAS
Mexico merupakan sebuah negara yang mempunyai populasi masyarakat asli paling besar di Amerika Latin. Menurut UN Human Rights Commission, 15% daripada populasi keseluruhan Mexico adalah orang asli dengan majoritinya mendiami wilayah selatan. Populasi masyarakat asli di negara berkenaan dicatatkan berjumlah 12.7 orang, dengan 62 bahasa berbeza dipertuturkan.
Dalam kalangan 31 buah negeri yang membentuk Mexico bersama sebuah Wilayah Persekutuan, negeri Chiapas adalah negeri yang mempunyai kepelbagaian budaya dan etnik terbesar di negara berkenaan. Menurut bancian INEGI tahun 2010, Chiapas mempunyai 1.1 juta orang penduduk asli. Angka tersebut mewakili 27.2% daripada jumlah populasi keseluruhan negeri itu.
Sambil itu, Chiapas pula adalah sebuah negeri yang paling kaya sumber alamnya. Walau bagaimanapun, menurut International Service for Peace (SIPAZ), separuh daripada populasi masyarakat asli di Chiapas tidak mempunyai sebarang pendapatan dan 42% yang lain pula hanya memperoleh kurang $5 sehari. 70% daripada mereka mengalami kekurangan nutrisi pada tahap yang amat membimbangkan.
Semenjak ketumbangan tamadun Maya, seterusnya penjajahan Kristian Sepanyol, sehinggalah diperintah oleh Kerajaan Mexico, nasib masyarakat asli Maya sama sekali tidak menentu dan tidak terbela. Bagi populasi asli di Chiapas sendiri, mereka sering diketepikan dalam sebarang keputusan yang dibuat oleh pihak kerajaan. Malahan, mereka ketinggalan daripada menikmati hak-hak asasi manusia dan perkhidmatan-perkhidmatan kerajaan seperti pendidikan dan rawatan. Ringkas kata; tanah mereka dirampas, hak sosial mereka diabaikan dan suara mereka disenyapkan.
CHIAPAS, PEMBER0NTAKAN ZAPATISTA DAN PENYEBARAN ISLAM
Keadaan yang begitu menekan seperti ini menjadi faktor penubuhan Zapatista Army of National Liberation (EZLN) pada tahun 1983. EZLN atau disebut secara ringkas sebagai Zapatistas merupakan sebuah organisasi bersenjata yang majoritinya dianggotai oleh masyarakat asli Chiapas, bersama beberapa orang kepimpinan politik bukan-asli yang memperjuangkan hak ‘pekerjaan, tanah, perumahan, makanan, kesihatan, pendidikan, kemerdekaan, kebebasan, dmeokrasi, keadilan dan keamanan’ bagi masyarakat asli di sana.
Komuniti asli terbesar yang membentuk EZLN adalah Tzeltal, Tzotzil, Chol, Tjolobal, Zoque, Kanjobal dan Meme. Kesemua suku kaum Maya ini mewakili 1/4 populasi Chiapas dan kebanyakan daripada mereka menjalani kehidupan yang sangat daif. Komuniti-komuniti asli daripada negeri-negeri Mexico yang lain turut mempamerkan sokongan terhadap pertubuhan ini. Pemimpin utama pergerakan tersebut adalah Subcommandant Marcos, yang turut bertindak sebagai jurucakap EZLN.
Walaupun Zapatistas aktif sehingga ke hari ini, impak paling besar yang diberikannya terhadap kerajaan Mexico adalah pada tahun 1994, ketika ia mengisytiharkan p3rang ke atas pihak kerajaan tepat pada tanggal 1 Januari. Pember0ntakan bersenjata ini berjaya mengambil-alih empat buah bandar di Chiapas, termasuklah bandar San Cristobal de las Casas yang bakal menjadi subjek lanjut artikel ini.
Setelah 11 hari k0nflik bersenjata ini berlangsung sehingga melibatkan kehilangan 300 nyawa, kerajaan Mexico dan EZLN pun mula mengadakan rundingan dan gencatan senjata. Pun begitu, rundingan demi rundingan gagal mencapai kata sepakat selama dua tahun sebelum pada akhirnya, bulan Februari 1996 menyaksikan termeterainya Perjanjian Keamanan San Andres.
Kepentingan-kepentingan yang bakal diberikan dan pengehadan yang dikenakan ke atas kumpulan Zapatistas disenaraikan secara rasmi dalam perjanjian tersebut. Perjanjian ini juga mengisytiharkan bahawa kerajaan Mexico akan memberikan layanan yang adil kepada masyarakat asli Chiapas serta mengembalikan hak politik, ekonomi dan sosial kepada mereka.
Peristiwa bersenjata ini menjadi pembuka mata baik kepada pihak kerajaan Mexico mahupun rakyat bukan-asli di negara berkenaan untuk menyedari betapa gawatnya keadaan hidup masyarakat asli di Chiapas. K0nflik tersebut tidak hanya membangkitkan kesedaran terhadap hak, kelayakan dan penerimaan terhadap orang-orang asli di Chiapas dalam kalangan rakyat tempatan, malahan juga pada peringkat antarabangsa.
Mungkin, faktor inilah yang menggamit kehadiran seorang pendakwah Islam dari Sepanyol, Muhammad Nafi (atau nama sebenarnya, Aureliano Perez) untuk terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam kancah politik di Chiapas. Dalam kesempatan itu, beliau yang merupakan pelajar kepada seorang mualaf Scotland yang bernama Shaikh Abdalqadir Sufi, pemimpin Murabitun World Government, mengambil peluang untuk mengunjungi kawasan-kawasan yang mempunyai populasi asli Maya yang ramai di Chiapas.
Dalam penglibatannya itu, beliau pernah menawarkan Islam kepada Subcommandant Marcos. Namun, pemimpin EZLN itu teragak-agak untuk menyahutnya. Keadaan ini membuatkan Muhammad Nafi atau turut dipanggil sebagai Emir Nafi, untuk menumpahkan dakwahnya kepada masyarakat asli Tzotzil, komuniti yang membentuk majoriti anggota Zapatistas. Lebih daripada itu, dengan populasi keseluruhannya yang berjumlah tidak lebih 300 000 orang, komuniti asli Tzotzil mewakili salah satu suku kaum Maya terbesar di Amerika Tengah.
Bagai pucuk dicita ulam mendatang, kebanyakan daripada mereka mempamerkan keterbukaan terhadap ajakannya itu lantas memeluk Islam dan ajarannya. Semenjak itu, seorang demi seorang daripada mereka menerangkan tentang ajaran Islam kepada lingkungan kawan dan keluarga masing-masing sehingga sejumlah besar daripada mereka memeluk Islam. Dengan demikian, Chiapas menjadi salah sebuah kawasan berpopulasi Muslim paling ramai di Mexico, dengan sebuah komuniti yang lebih bertumpu tertubuh di bandar San Cristobal de las Casas.
KOMUNITI MUSLIM DI BANDAR SAN CRISTOBAL
Catatan atau gambaran tentang kehidupan komuniti Muslim-Tzotzil di Mexico kebanyakannya dirakamkan sendiri oleh pelancong yang mengunjungi petempatan mereka. Misalnya, catatan tahun 2017 oleh Davide Alire Garcia dan Edgard Garrido yang bertandang ke San Cristobal, di mana tulisannya itu disiarkan di dalam Wider Image, Reuters.
Menurut mereka berdua, Muslim-Tzotzil di San Cristobal telah pun menyebatikan gaya hidup asli mereka dengan ajaran-ajaran Islam. Antara lain seperti pemakaian selendang tradisional Maya bagi kaum wanita dan penutup kepala atau kopiah bagi lelaki.
Dalam kunjungannya itu, jurnalis dan jurugambar tersebut berkesempatan menemui beberapa orang Muslim tempatan. Antaranya adalah Mohamed al-Amin, 55 tahun, yang menjemput mereka berdua agar bertandang ke rumahnya dan menghidangkan biskut serta teh untuk keduanya. Beliau juga sempat menunnjukkan tempat beliau mengerjakan solat lima waktu, di samping memperkenalkan mereka berdua dengan keluarganya.
Ketika ditanya tentang sebab utama beliau memeluk Islam, Mohamed al-Amin berkata, “Saya suka membersihkan diri dan menyalin pakaian. Dan ini (Islam) adalah agama yang bersih dan itulah yang menarik minat saya untuk menganutnya.”
Seorang jurugambar dari Itali yang berpeluang menjalani kehidupan selama setahun bersama komuniti Muslim-Tzotzil di Mexico juga ada berkongsikan pengalamannya di National Geographic.
Mungkin, bahagian yang paling menarik dalam perkongsian Giulia Iacolutti itu adalah pengalamannya menyaksikan sendiri penyembelihan dua ekor lembu semasa sebuah keraian dan bagaimana Muslim-Tzotzil di sana bersikap prihatin untuk turut berkongsikan daging tersebut dengan jiran-jiran Kristian mereka.
Menurut Iacolutti, keadaan Chiapas yang terpinggir dan miskin membuatkan daging sembelihan, atau daging halal sukar didapati. Mengulang tentang pengalamannya itu, beliau yang bukanlah seorang Muslimah memetik kata-kata Muslim tempatan.
“Salah satu ajaran Islam adalah kita (perlu) membantu orang yang lebih susah daripada kita. Bukan menjadi satu masalah sekiranya kamu tidak mempercayai Tuhan – kamu adalah jiran saya dan kerana itu, saya seharusnya berkongsi dengan kamu makanan saya.”
Islam di Mexico secara utamanya diamalkan oleh masyarakat asli lantaran agama ini menekankan aspek-aspek terindah yang terdapat dalam budaya dan tradisi mereka. Mereka tidak memandang Islam sebagai agama yang sekadar diamalkan di masjid.
Akan tetapi, sebagai sebuah gaya hidup yang seharusnya dijalani oleh manusia. Di San Cristobal, Muslim-Tzotzil turut mengusahakan perniagaan pizza dan pertukangan kayu. Malahan, kanak-kanak mereka turut mempelajari Bahasa Arab, al-Qur’an, dan solat lima waktu di sebuah madrasah yang terdapat di kawasan kejiranan.
Malahan, komuniti Ahmadiya yang membentuk sebuah kumpulan besar dalam komuniti Muslim di San Cristobal turut menjalinkan hubungan yang sangat rapat, baik dengan majlis perbandaran mahupun kerajaan negeri sebagai memenuhi citra agama Islam yang cintakan keamanan. Malahan, mereka turut memisahkan kumpulan mereka daripada gerakan penentang EZLN.
Kumpulan ini juga mengadakan kerjasama dengan organisasi Humanity First, terutama dalam membantu kaum wanita menghindari sejumlah penyakit seperti kanser servik dan kanser payudara. Semasa kejadian gempa bumi yang melanda Mexico pada tahun 2017, komuniti Muslim-Tzotzil terutama kumpulan Ahmadiya tidak ketinggalan daripada menghulurkan bantuan kepada mangsa bencana.
Sebagai penutup, Islam, bersama kepercayaan tradisional Maya, Katolikisme Rom yang disuntik pengaruh Sepanyol, serta pelbagai kepercayaan asli lain, wujud secara bersama dan harmoni di bandar San Cristobal secara khusus, dan Chapias atau malah di Mexico secara umum.
RUJUKAN
About Islam. (28 Januari 2016). Islam Gaining Foothold in Maya Lands. About Islam.
https://aboutislam.net/muslim-issues/n-america/islam-gaining-foothold-in-maya-lands/
David Alire Garcia. (26 Oktober 2017). Mexico’s indigenous Muslims in Maya heartland. Widerimage Reuters.
https://widerimage.reuters.com/story/mexicos-indigenous-muslims-in-maya-heartland
Edgard Garrido. (n.d.) Mexico’s vibrant Muslim community living in the Maya heartland. Independent.
https://www.independent.co.uk/news/world/americas/mexico-muslims-maya-heartland-chiapas-tzotzils-islam-catholic-converts-a8022711.html
Iker Reyer Godelmann. (30 Julai 2014). The Zapatista Movement: The Fight for Indigenous Rights in Mexico. International Affairs.
http://www.internationalaffairs.org.au/news-item/the-zapatista-movement-the-fight-for-indigenous-rights-in-mexico/
Nina Strochlic. (7 November 2017). See the Small Mexican Town Embracing Islam. National Geographic.
https://www.nationalgeographic.com/photography/proof/2017/10/muslims-mexico-indigenous-religion-islam/
QCR Staff. (31 Julai 2018). Islam on Lands of Ancient Maya: Closer Look at Muslim Community in Mexico. QCosta Rica.
https://qcostarica.com/islam-on-lands-of-ancient-maya-closer-look-at-muslim-community-in-mexico/
World Bulletin. (25 Mei 2016). The Mayan Muslims of Mexico. World Bulletin.
https://www.worldbulletin.net/art-culture/the-mayan-muslims-of-mexico-h173097.html
Yeni Safak. (17 Oktober 2019). Peaceful Muslim community in Mexico – over 5500 villagers embrace Islam. Yeni Safak.
https://www.yenisafak.com/en/world/peacefulmuslim-community-in-mexico-over-5500-villagers-embrace-islam-3502389
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih