Islam di Libya merupakan contoh terbaik betapa gerakan menjatuhkan negara menggunakan nama “demokrasi” tidak akan terhenti, lebih-lebih lagi terhadap negara Islam yang maju dan makmur.

Ini kerana, sepanjang di bawah pemerintahan rejim Muammar Qaddafi, Libya – menurut penganalisis politik Garikai Chengu – merupakan negara Islam yang mempunyai taraf kehidupan paling baik di Asia Barat.

Namun selepas Qaddafi dijatuhkan pada 2011, keadaan Libya, memetik wawancara Presiden Putin pada Januari 2013 bersama Russia Today: –

Hanya dipenuhi dengan peperangan di antara warlords, dan masing-masing berebutkan hasil (kerana Libya sudah kehilangan pemimpin yang boleh menyatukan rakyat)

Tumbangnya Muammar Qaddafi menjadikan Libya – yang dahulunya merupakan negara Islam paling makmur di Asia Barat – berubah menjadi negara gagal (failed state) yang penuh dengan warlords, penyeludup manusia dan pengganas.

Bagaimanakah proses rumit ini boleh berlaku?

Muammar Qaddafi di Libya mempunyai nasib yang sama seperti Sultan Abdul Hamid II di Uthmaniyah

SEJARAH KEHADIRAN ISLAM
Sejarah Islam ke Afrika termasuk Libya boleh dijejaki seawal kurun ke 642 Masihi, iaitu 22 tahun selepas peristiwa Hijrah.

Proses pengislaman dari Arab ke Afrika itu berjaya menusuk kalbu warga Libya kuno iaitu Cyrenaica terlebih dahulu, dan selepas beberapa tahun kemudian, Islam berkembang pula ke kawasan lain di Libya iaitu Tripolitania (yang kini bernama Tripoli).

ISLAM SEWAKTU UTHMANIYAH

Kemudian, sepanjang era peralihan beberapa kuasa khalifah sehinggalah Uthmaniyah, Libya – pada tahun 1551 – diletakkan di bawah kuasa dan pengaruh Empayar itu.

Walaupun begitu, Uthmaniyah terpaksa bersaing dengan Empayar Fatimiyah Mesir yang menguasai sebahagian kecil Cyrenaica.

Wilayah Islam kuno di Libya, Tripolitania di bahagian barat laut Libya, manakala Cyrenaica di bahagian timur

Sepanjang di bawah pemerintahan Uthmaniyah, ketiga-tiga wilayah Fezzan, Tripolitania dan Cyrenaica dalam negara Libya telah mendapat layanan yang baik dan selayaknya, memandangkan mereka merupakan antara wilayah terawal mendapat hidayah Islam.

Membuktikan kenyataan ini ialah apabila Uthmaniyah – menurut penulis James Siebens dan Benjamin Case – telah memberikan kuasa autonomi kepada penguasa di Fezzan, Tripolitania dan Cyrenaica.

SENUSSI BROTHERHOOD

Apabila kurun ke-19 menjengah dunia, pola peradaban mula berubah.

Empayar Uthmaniyah telah dijatuhkan melalui gerakan rakyat, dan kuasa-kuasa kolonial barat mula berebutkan hasil empayar itu, terutama negara-negara jajahan mereka (vessel states). Ini termasuklah Libya, yang dirampas oleh kuasa Itali.

Namun, rakyat peribumi Libya yang sedar akhirnya bangkit menentang.

Mereka menubuhkan kumpulan bergelar Senussi Brotherhood, dan berjuang dalam penentangan menuntut pembebasan Libya daripada pengaruh kuasa asing Itali.

Akhirnya pada 1951 (kurang 6 tahun daripada kemerdekaan Malaysia), Libya memperoleh kemerdekaan apabila Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melalui veto mereka bersetuju agar Libya dimerdekakan.

KEMUNCULAN MUAMMAR QADDAFI

Selepas Libya merdeka, negara itu diperintah oleh Raja Sayyid Muhammad Idris bin Muhammad al-Mahdi as-Sennusi (Raja Idris).

Sepanjang tempoh singkat pemerintahan Raja Idris, Libya huru-hara kerana faktor geopolitik dan perbezaan etnik.

Akhirnya, pada 1969, Raja Idris digulingkan melalui kudeta tentera yang tidak berdarah (bloodless military coup) yang dinamakan Free Officers’ Movement.

Operasi itu diketuai oleh seorang pegawai tentera bernama Muammar Qaddafi, seorang Arab berketurunan Badwi, yang pada dekad-dekad mendatang akan membawa Libya ke tahap yang membanggakan.

Namun Qaddafi juga menjadi saksi pertembungan cerita sejarah yang penuh dramatik dan juga padat dengan karma.

Raja Idris di Libya (berserban dan bertongkat)

LIBYA DI BAWAH MUAMMAR QADDAFI

Sepanjang 40 tahun tempoh pemerintahan Qaddafi, memetik Global Research dalam rencana berjudul “Libya: From Africa’s Richest State Under Gaddafi, to Failed State After NATO Intervention”: –

Qaddafi memperkenalkan polisi ekonomi yang berkesan bagi membangunkan Libya.

Proses pendemokrasian ekonomi ini melibatkan pengagihan hasil minyak yang dimiliknegarakan (membasmi polisi penswastaan minyak).

Hasil minyak yang banyak itu digunakan (oleh Qaddafi) untuk menjamin kelangsungan program pembangunan sosial bagi seluruh warga Libya.

Ini termasuklah pendidikan percuma, perubatan percuma, pinjaman kerajaan bebas faedah serta bekalan elektrik percuma.

ANTARA POLISI QADDAFI

Umum mengetahui bahawa polisi dalam dan luar negara oleh Qaddafi mengutamakan prinsip dan teori nasionalisma bangsa Arab, disamping mengancam pengaruh kuasa barat – yang menurut laporan oleh THINK: International And Human Security, memberi tumpuan kepada perkara berikut: –

  1. Mengadaptasi sistem satu parti di Mesir dengan membasmi kewujudan parti lain, dalam sistem yang dinamakan “Arab Socialist Union“.
  2. Kerajaan bertanggungjawab secara mutlak ke atas kesatuan pekerja dan pedagang (trade union), pendidikan, pertanian, perumahan, media, pengangkutan awam dan kesihatan.
  3. Proses di atas menuntut kepada pemansuhan dasar penswastaan, dan memiliknegarakan sumber bumi Libya terutama petroleum.
  4. Memansuhkan bank-bank swasta
  5. Menghalau keluar kaum Yahudi dari Libya
  6. Dasar luar Libya juga memansuhkan sebarang hubungan dengan Amerika Syarikat
  7. Qaddafi berusaha menyatukan seluruh negara Arab dalam satu kesatuan Pan-Arab

SEKATAN PBB 1992

Ibarat rantaian kesan (chain reaction), tindakan Qaddafi itu telah membawa kepada beberapa tekanan dalaman dan luar oleh beberapa pihak yang berpengaruh.

Antaranya pada 1992, Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenakan sekatan ke atas Libya dan itu sedikit sebanyak memusnahkan keadaan Libya, khususnya kepercayaan rakyat terhadap Qaddafi.

ARAB SPRING

Tekanan ke atas Libya tidak sekadar terhenti di situ.

Akhirnya pada 2011, berlakulah gelombang di seluruh tanah Arab, yang menggunakan kuasa rakyat atas nama demokrasi demi menumbangkan seluruh benua itu.

Gelombang itu dinamakan sebagai Arab Spring – dan menurut wartawan penyiasat Ron Nixon dalam The New York Times – ianya merupakan satu langkah kejuruteraan sosial yang memanipulasikan rakyat khususnya belia, menggunakan agensi seperti berikut: –

  1. International Republican Institute
  2. National Democratic Institute
  3. Freedom House
  4. National Endowment For Democracy (dikelolakan oleh George Soros)
Revolusi rakyat bernama Arab Spring yang menumbangkan rejim menggunakan topeng demokrasi dan hak rakyat
Gerakan reformasi termasuk Arab Spring yang menggunakan unsur jari serta warna kuning – menurut pemerhati – adalah satu bentuk kejuruteraan sosial yang digelar “color revolution” yang berperanan bagi menumbangkan negara seluruh dunia

DARI ARAB SPRING KE PERANG SAUDARA

Gelombang Arab Spring itu turut membadai Libya, apabila pada 15 Februari 2011, sekumpulan pemuda yang terpengaruh telah melakukan demonstrasi di Benghazi dan Bediya.

Demonstrasi yang pada asalnya bersifat aman, kemudian dicemari dengan adegan keganasan oleh kumpulan anti-Qaddafi terutama NFSL (National Front for the Salvation of Libya), dan mereka turut dipengaruhi oleh elemen pengganas Al-Qaeda.

Keadaan itu disedari oleh kerajaan Qaddafi, dan mereka melancarkan operasi membenteras gerombolan rakyat yang mengganas itu.

Hal itu mewujudkan perang saudara yang berskala besar, apabila pemuda dan pemberontak yang mengganas berjaya mengawal beberapa bandar besar, dan pihak tentera pula melancarkan serangan bagi membebaskan bandar-bandar itu.

Foto yang memaparkan peperangan Libya 2011 di antara kerajaan Qaddafi dengan pemberontak di kalangan rakyat

Akhirnya, NATO (Pakatan Atlantik Utara) di bawah PBB melancarkan “Operation Unified Protector” bagi mengawal keadaan.

Kesannya, Qaddafi dan rejimnya ditumbangkan melalui proses “demokrasi” yang kejam oleh rakyat, dan NATO terpaksa meninggalkan Libya sebagai negara gagal tanpa pemerintah yang berkesan.

LIBYA MASA KINI: ISLAM YANG MEREMPAT

Meskipun ramai yang melabelkan Qaddafi sebagai diktator, namun hakikatnya Libya di bawah rejim beliau hidup dengan makmur.

Ironinya, semenjak kejatuhan rejim Qaddafi pada 2011, Libya sentiasa dibelenggu oleh kemusnahan dan kehancuran sedangkan sebelumnya, rakyat masih hidup aman.

Ini kerana, kerajaan baru yang dibentuk oleh PBB, Government of National Accord, gagal membangunkan Libya seperti mana yang diusahakan oleh Qaddafi.

Kesannya, warga Libya masa kini, yang 97% merupakan warga Muslim, hidup dalam keadaan serba parah, merempat di bumi sendiri tanpa pembelaan.

Keadaan yang parah itu dirumuskan oleh Alessandra Bajec dalam rencana berjudul “Libya Since 2011 NATO War: A Failed Quasi-State” terbitan Telesur TV, seperti berikut: –

Semenjak kejatuhan Qaddafi…negara di Afrika Utara itu (Libya) berubah menjadi musnah dan huru-hara…

Kini Libya tidak mempunyai sebarang kerajaan (yang kukuh) atau kuasa pusat untuk mengawal negara itu.

Ini menghancurkan peluang keamanan; hasil minyak terabai, senjata keluar masuk dengan mudah dan peperangan saudara melarat…

Antara foto yang memaparkan kemusnahan Libya selepas kejatuhan rejim Qaddafi

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Comments are closed.