Masa yang sukar datang tanpa diduga. Perginya pula entah bila. Dalam sesebuah krisis, terutama yang melibatkan ekonomi, golongan paling terkesan tentulah rakyat bawahan. Mereka terdedah kepada kehilangan pendapatan. Lama-kelamaan, wang simpanan pun boleh kehabisan..

Bila sudah sampai begini, pilihan yang tinggal adalah gadaikan apa yang ada – termasuklah anak sendiri. Ini senario yang berlaku semasa The Great Depression (1929-1933), di mana keadaan terlalu mendesak sampaikan ada yang menjual anak pada harga serendah dua dollar.

Cerita yang sama tapi tak serupa berlaku di Pakistan pada 1980-an. Kerana kemiskinan, anak sekecil empat tahun digadaikan pada harga Rs 600, atau bersamaan 12 dollar.

Cuma, motif dalam senario kedua ini cukup berbeza. Wang yang diterima bukanlah diguna untuk meneruskan hidup, tetapi untuk membiayai majlis perkahwinan abangnya. Agak sadis, bukan?

Inilah nasib yang menimpa Iqbal Masih (1982-1995), anak jati kampung Mudrike, Pakistan. Ayahnya bernama Saif Masih, seorang buruh miskin. Tidak lama selepas kelahiran Iqbal, Saif meninggalkannya untuk hidup bersama isteri lain.

Jadi, Iqbal membesar bersama ibu kandungnya, Inayat, dan beberapa orang kakak. Untuk menampung kehidupan, Inayat bekerja sebagai tukang cuci rumah. Ketika beliau keluar bekerja, Iqbal akan dijaga oleh kakak-kakaknya. Mereka ini semua tidak mendapat pendidikan lantaran kemiskinan. Mereka hanya dididik untuk membantu keluarga apabila sampai usia kelak.

Ketika Iqbal berumur empat tahun, keluarganya membuat pinjaman wang dari seorang pemilik kilang karpet. Sebagai jaminan, Iqbal pun digadaikan. Beliau malah dituntut untuk bekerja di kilang tersebut sehinggalah hutang tadi dilunaskan.

Tahun pertamanya dianggap sebagai tempoh latihan. Sepanjang tempoh tersebut, Iqbal bekerja 15 jam sehari dan enam hari seminggu tanpa gaji. Kos makan dan peralatan yang digunakannya turut ditambah ke dalam jumlah pinjaman asal. Begitu juga jika Iqbal ada lakukan kesilapan, kos kerugian akan dibebankan padanya.

Ini tidak termasuk kadar bunga yang sudah ditetapkan pada awal perjanjian. Saat Iqbal berusia 10 tahun, jumlah pinjaman yang perlu dilunaskan keluarganya meningkat sehingga Rs 13,000 (sekitar 260 dollar).

Kiri: Iqbal Masih. Kanan: contoh suasana kerja buruh kanak-kanak di kilang karpet

Pekerjaan Iqbal bukan sekadar renyah, tetapi menyeksakan. Setiap hari, beliau perlu masuk kerja pada jam 4 pagi dan pulang pada jam tujuh malam. Bayarannya pula kurang dari 1 dollar sehari (selepas tamat tempoh latihan).

Sepanjang bekerja, Iqbal dan rakan-rakannya perlu duduk membongkok di atas bangku kayu; menenun karpet satu demi satu. Kesannya, kecil-kecil lagi tubuh mereka semua sudah bongkok. Pertumbuhan badan pun jadi terbantut akibat penyediaan makanan sewaktu rehat yang hanya ala kadar – cuma sedikit nasi dan kekacang.

Di kilang, mereka tidak dibenarkan berbual supaya tidak melakukan kesilapan – jika mereka ada buat silap sedikit sahaja, badan mereka akan teruk dibedal. Paling tidak pun, jari mereka akan dimakan peralatan tajam dan lukanya dibiarkan tanpa dirawat.

Sebagai buruh paksa, mereka tidak dibenarkan untuk cuti ataupun lari. Hatta ketika sakit sekalipun. Selagi hutang tidak dilunaskan, selagi itulah mereka hidup dalam kongkongan.

Pada usia 10 tahun, Iqbal cuba merancang bersama rakan-rakannya untuk melarikan diri. Rancangan mereka berjaya dan Iqbal sempat lari ke sebuah balai polis berhampiran. Namun apakan daya. Harapkan pegar, pegar makan padi.

Polis yang cuba diminta bantuan malah menghantar semula mereka ke kilang karpet berkenaan dengan harapan untuk mendapat habuan. Iya. Masing-masing memang mendapat habuan. Si polis dapat habuan wang. Iqbal dan rakan-rakan pula dapat habuan tangan. Teruk mereka dikerjakan.

Tapi, Iqbal tak putus harapan. Dua tahun kemudian, beliau cuba lagi melarikan diri. Kali ini, usahanya berjaya atas bantuan sebuah NGO tempatan, iaitu Bonded Labour Liberation Front (BLLF).

Organisasi bukan-kerajaan yang diasaskan oleh Ehsan Ulla Khan ini kemudian menyiapkan kertas kerja yang diperlukan dan mereka berhasil membebaskan kesemua kanak-kanak yang diperhambakan di kilang terbabit.

Sememangnya, kerajaan Pakistan sudah mengharamkan sebarang bentuk penghambaan kanak-kanak sejak tahun 1986 lagi. Cuma ketika itu, kesedaran tentang isu tersebut masih berada pada paras yang rendah.

Jadi, masih ada jutaan kanak-kanak dipaksa bekerja di pelbagai sektor seperti kilang batu-bata, kilang karpet, kilang perabot, kedai makan, dan ladang tanaman.

Bagi Iqbal, sejurus meraih kebebasan, beliau dihantar ke sekolah tajaan BLLF dan pada masa yang sama bekerjasama dengan ramai aktivis untuk menyebarkan kesedaran tentang isu buruh kanak-kanak.

Iqbal Masih ketika kunjungannya ke sebuah di Amerika Syarikat

Pada usia seawal 12 tahun, beliau dijemput untuk memberikan ucapan di serata dunia termasuklah Amerika Syarikat sampaikan beliau dianugerahi dengan Anugerah Hak Kemanusiaan Reebok 1994. Sepanjang aktivisme beliau dalam tempoh dua tahun, Iqbal berhasil menyelamatkan 3,000 orang kanak-kanak yang berkongsi nasib dengannya.

Cuma, usahanya itu membuatkan banyak kilang di Pakistan ditutup akibat menggunakan buruh kanak-kanak. Iqbal lantas menjadi sasaran pemilik-pemilik kilang tempatan. Pada 16 April 1995, ketika pulang ke Mudrike untuk bercuti bersama keluarganya, Iqbal ditembak mati.

Namun, hanya jasadnya sahaja yang mati. Namanya masih diabadikan hingga hari ini – baik dalam penamaan anugerah (Iqbal Masih Award for the Elimination of Child Labour), organisasi kemasyarakatan (Iqbal Masih Shaheed Children Foundation), mahupun institusi pendidikan (Instituto Comprensivo Iqbal Masih).

Di Sepanyol dan Amerika Selatan, tarikh kematian Iqbal malah dijadikan hari memerangi perhambaan kanak-kanak – suatu jenayah yang masih membelenggu 160 juta orang kanak-kanak di seluruh dunia.

RUJUKAN

Editors, TheFamousPeople. (n.d.) Iqbal Masih. The Famous People.

Rosenberg, Jennifer. (15 January 2020). Pakistani Martyr Iqbal Masih. ThoughtCo.

Tapalaga, Andrei. (15 April 2021). Saved 3,000 Children From Slavery. History of Yesterday.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.