Ketika debu konflik antara India dan Pakistan masih belum reda, dunia dikejutkan dengan satu pengumuman dari Mumbai: syarikat produksi Nicky Vicky Bhagnani Films dan The Content Engineer bakal menghasilkan sebuah filem aksi patriotik berjudul “Operasi Sindoor”.
Filem ini diinspirasikan daripada operasi sebenar oleh Angkatan Tentera India, namun diumumkan hanya beberapa hari selepas insiden serangan rentas sempadan yang mengorbankan puluhan nyawa.
Di tengah api yang masih menyala, India memilih untuk membina naratif. Bukan di meja rundingan, tetapi di layar perak. Ini bukan sesuatu yang baharu dalam dunia geopolitik moden.
Filem menjadi senjata lunak, alat propaganda yang mampu mencorak persepsi jutaan manusia dengan satu skrip, satu lagu tema, dan satu watak utama yang menang pada akhirnya.
Ramai membandingkan langkah ini dengan sejarah Hollywood. Amerika pernah melakukan perkara sama dalam konflik Vietnam.
Peperangan sebenar menyaksikan tentera AS berundur, tetapi filem seperti “Rambo” dan “Platoon” mencipta memori alternatif, di mana keberanian dan kehebatan askar Amerika diangkat sebagai legenda.
Dalam filem, mereka tidak kalah. Mereka bangkit. Mereka hero.
Netizen juga pantas mengingatkan semula bagaimana filem “Black Hawk Down” memadam peranan penting Malaysia dalam operasi menyelamat di Mogadishu.
Dalam sejarah sebenar, tentera Malaysia memainkan peranan penting menyelamatkan askar AS yang terkepung. Namun dalam filem, tidak kelihatan walau satu pun watak beruniform hijau dari Asia Tenggara.
“Operasi Sindoor” berisiko menjadi naratif sehala yang hanya menonjolkan satu sisi kebenaran. Jika filem ini mengangkat operasi tentera India sebagai kejayaan mutlak, ia boleh mengaburi realiti medan sebenar yang jauh lebih kompleks.
Dalam keadaan di mana gencatan senjata baru sahaja dimeterai dan retak kembali hanya selepas beberapa jam, filem sebegini boleh membakar sentimen dan menyukarkan usaha damai.
Tetapi dari sudut lain, inilah realiti dunia moden. Perang bukan lagi sekadar di medan tempur. Ia berlaku di media sosial, di ruang digital, dan kini di panggung wayang. Siapa menguasai cerita, dia menguasai memori. Dan siapa menguasai memori, dia membentuk masa depan.
Pakistan setakat ini tidak memberikan sebarang respon rasmi terhadap pengumuman filem ini. Namun sejarah menunjukkan bahawa setiap kali satu pihak melancarkan naratif visual, pihak lain akan menjawab sama ada dengan fakta atau filem juga.
Dalam dunia dua kuasa nuklear yang sensitif, kadang-kadang skrip fiksyen pun boleh memarakkan kembali api yang pada mulanya kian padam.
Jadi, bila filem ini mula ditayangkan kelak, soalan yang lebih penting mungkin bukan siapa pelakonnya, tetapi siapa yang sedang menulis cerita sebenar di sebalik layar.
Dan kita, sebagai penonton, perlu lebih bijak membaca antara babak dan realiti.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.