Hari ini, dunia kembali digegarkan dengan berita yang ramai takut untuk dengar: India telah memulakan serangan ketenteraan terhadap Pakistan.
Serangan ini menyasarkan sekurang-kurangnya sembilan lokasi strategik di Pakistan, termasuk kawasan Muzaffarabad dan Punjab. Laporan daripada CNN dan BBC mengesahkan kemusnahan besar.
Sumber Pakistan pula melaporkan tiga pesawat India dan satu dron telah ditembak jatuh. Manakala India tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan rasmi buat masa ini.
India mendakwa serangan ini adalah untuk “memusnahkan infrastruktur p***gan*s.” Namun, angka korban awam mula meningkat. Sekurang-kurangnya lapan orang awam dilaporkan terbunuh setakat ini.
Ruang udara di Lahore, Karachi dan beberapa bandar utama India kini ditutup untuk penerbangan awam. Syarikat penerbangan besar mula membatalkan laluan. Dunia berdebar.
Bagi penganalisis geopolitik, ini bukan sekadar balas dendam biasa. Ini langkah berani yang membawa risiko perang besar.
Pakistan membalas dengan tegas. Perdana Menteri Muhammad Shehbaz Sharif menyatakan bahawa negara itu “punya hak penuh untuk bertindak balas.” Semua petanda menunjukkan bahawa konflik ini belum akan berhenti.
Ini bukan ketegangan biasa di sempadan. Ini dua kuasa nuklear yang kini sudah bertempur secara terbuka.
Sejarah lama menjelaskan kenapa kedua negara ini sentiasa berdarah. Sejak pemisahan India-Pakistan 1947, isu Kashmir menjadi bara yang tidak pernah padam.
Kashmir, wilayah majoriti Muslim yang diperintah Maharaja Hindu, jadi rebutan. Perang demi perang tercetus. Luka lama tidak pernah sembuh.
Dendam lama ini dipergunakan oleh politikus kedua-dua negara. India menggunakan nasionalisme Hindu. Pakistan membangkitkan solidariti Muslim Kashmir.
Krisis kali ini lebih parah. Beberapa minggu lalu, serangan berdarah di Pahalgam mengorbankan 26 pelancong India. India menyalahkan Pakistan.
Sebagai tindak balas, India membekukan visa rakyat Pakistan dan menggantung Perjanjian Air Indus. Ini bukan sahaja tindakan politik. Bagi Pakistan, ia ancaman kelangsungan hidup.
Dalam dunia nuklear, ancaman sekatan air boleh dibalas dengan senjata paling ekstrem.
Beberapa hari sebelum serangan ini, Pakistan melancarkan ujian misil Abdali, peluru berpandu jarak pendek yang mampu membawa hulu ledak nuklear. Dunia tahu ini bukan sekadar latihan. Ini isyarat.
Amaran dari Islamabad sudah dikeluarkan: “Kami masih punya gigi.”
Kini, bila India mula menyerang, dunia terpaksa menilai semula risiko sebenar.
Ada faktor lain yang menghangatkan bara ini. Amerika kini lebih rapat dengan India. China pula secara senyap menyokong Pakistan.
Asia Selatan kini jadi papan catur kuasa besar. Setiap gerakan kecil boleh membawa kepada pertempuran besar.
Rakyat Kashmir yang tersepit di tengah-tengah ini menjadi mangsa sebenar. Mereka yang sudah 70 tahun hidup dalam bayang-bayang senapang, kini sekali lagi menjadi modal politik.
Bukan soal agama semata. Ini soal sumber air, laluan perdagangan, dan dominasi geopolitik.
Setiap kali peluru dilepaskan, ada tangan-tangan ghaib yang menepuk tangan di belakang. Mereka tidak mahu damai. Damai merugikan industri senjata.
India dan Pakistan masing-masing ada ratusan kepala peledak nuklear. Namun realitinya, dalam ekosistem Asia Selatan hari ini, kebarangkalian penggunaan senjata nuklear adalah hampir mustahil.
Jika Pakistan menyerang, radiasi akan kembali menghancurkan sumber air yang menjadi nadi negaranya sendiri. Jika India menyerang, pencemaran besar-besaran akan melanda lautan yang menjadi laluan perdagangan utama mereka.
Radiasi dari satu serangan nuklear tidak kenal sempadan. Dalam beberapa jam, angin boleh membawa debu radioaktif melintasi sempadan Pakistan dan India, menyelubungi kawasan padat penduduk di Bangladesh, Nepal, dan bahagian barat daya China.
Dalam dunia hari ini, satu letupan bukan sahaja membunuh di medan perang, tetapi turut membunuh berjuta-juta yang tidak pernah pun mengangkat senjata.
Penggunaan nuklear bukan jalan keluar. Ia adalah jalan kehancuran bersama.
Jika konflik ini lepas dari kawalan, kesan bukan saja kepada Asia Selatan, tetapi seluruh dunia.
Harga minyak akan naik. Rantaian bekalan global akan terganggu. Bursa saham akan merudum. Ekonomi dunia akan sakit.
Malaysia dan negara ASEAN lain juga akan terpalit. Kita mungkin terasa dari segi perdagangan, keselamatan tenaga, bahkan kestabilan politik serantau.
Dunia hari ini terlalu rapuh. Satu percikan kecil di Kashmir boleh mencetuskan gelombang kehancuran sejagat.
Sampai bila dunia mahu hidup dalam ilusi bahawa semua ini “di bawah kawalan”?
Dalam dunia nuklear, satu kesilapan kecil sahaja sudah cukup untuk mengubah peta dunia.
Hari ini Kashmir. Esok mungkin tempat lain.
Kerana dalam permainan kuasa, yang selalu menjadi korban adalah rakyat biasa. Bukan jeneral. Bukan presiden. Bukan peniaga senjata.
Dunia harus sedar. Sebelum terlambat.

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Ilmu, inspirasi, makna, ketepatan, dan keindahan.

Comments are closed.