Marilah kita menghayati beberapa ayat al-Quran yang menerangkan & membawa maksud erti sebenar kedamaian yang dibawa di dalam Islam. Selamat membaca & mengamalkan di dalam kehidupan ini.
(يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ ۚ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ)
[Surat Al-Baqarah 208]
Terjemahan:
“Hai orang-orang beriman, masuklah kamu ke dalam kedamaian secara menyeluruh & janganlah kamu ikuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya, syaitan itu musuh yang nyata bagimu”.
• Imam Ibnu Katsir menjelaskan :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا :
1) Ayat ini dimulakan dengan ‘sighat amar’ (ayat perintah) yang memerintahkan orang beriman untuk mewujudkan kedamaian.
Secara langsung, kita dapat memahami, Allah swt melarang keras tentang segala hal yang bertentangan dengan kedamaian seperti peperangan & pertikaian.
السِّلْمِ كَافَّةً :
2) Kata ‘as-silm’ dalam ayat ini merujuk kepada agama Islam & disandarkan dengan perkataan ‘kaffah’ iaitu menyeluruh.
Jadinya, iman seseorang tidak akan menyeluruh atau sempurna jika menyebarkan permusuhan atau peperangan.
وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ ۚ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِين :
3) Dan ayat ini ditutup/diakhiri dengan larangan mengikuti langkah syaitan.
Salah satu langkah syaitan untuk memecah-belahkan manusia dengan jalan ‘khilaf’ iaitu jalan perselisihan.
Dengan itu, kita dapat mengetahui khilaf ini ternyata sangat berkait rapat dengan perdamaian & keimanan seseorang.
• Kesimpulan ayat al-Hujurat 9 & 10.
Jika kita melihat, ayat ini bermula dengan perintah untuk membangunkan kedamaian secara menyeluruh & berterusan, bukan secara ‘tahi-tahi ayam’. Ianya sebagai kesempurnaan seseorang Muslim untuk mencapai darjat keimanan yang sempurna & mantap.
Dan ayat ini diakhiri dengan larangan tegas dari Allah untuk mengikuti langkah atau hasutan & bisikan syaitan yang dilaknat.
Tambahan : Dalam ayat ini juga, kita dapat melihat ada dua sisi yang berlawanan, iaitu :
1) Petunjuk (huda).
2) Kesesatan (dhalal).
KEDAMAIAN DI DALAM HADIS.
•Kita boleh merujuk pada sumber kedua umat Islam iaitu hadis.
• Hadis pertama :
“Seorang muslim adalah seseorang yang orang muslim lainnya selamat dari ganguan lisan dan tangannya”.
Diriwayatkan oleh Bukhari dalam kitab Shahihnya hadits no.10.
Hadis ini merupakan jawapan atas pertanyaan Abu Musa ke atas baginda, iaitu pertanyaannya :
“Apakah yang diutamakan di dalam Islam?”.
• Hadis kedua:
Abdullah bin Umar bertanya kepada Rasulullah s.a.w dengan soalan : “Apakah kebaikan yang dianjurkan di dalam Islam?”.
Rasulullah saw menjawab :
“Engkau memberi makan, membacakan salam kepada orang yang engkau ketahui atau tidak”.
(HR. Bukhari, dalam kitab al-Iman, bab Ath`imu ath-Tha`am min al-Islam, hadis No. 11 dan 27).
• Ini menjelaskan bahawasanya, dengan hanya memberi makan & mendoakan kesejahteraan/kedamaian/keselamatan, kepada sesiapa sahaja yang anda kenal atau tidak kenal, merupakan salah satu jalan menuju kedamaian !
• Islam juga menganjurkan dengan menyebarkan kedamaian ( as-salam ) & berhubung/berkomunikasi sesama makhluk dengan cara yang baik atau sopan ( al-lin fil al-qaul ).
• Kita dapat merujuk beberapa juga ayat al-Quran yang mempromosikan kedamaian seperti :
1) Surah al Baqarah : 208.
2) Surah an-Nisa : 94.
3) Surah al-Anfal : 61.
4) Surah an-Nisa : 90.
Pembaca boleh membuka al-Quran sekarang & membaca serta memahami ayat Quran yang dinyatakan di atas. Jangan malas nak mencari, takkan semua nak kena suap ?
• Seluruh ayat di atas dengan jelas lagi menjelaskan tentang pentingnya menyebarkan kedamaian & menghindari peperangan dengan kemahiran atau kecekapan yang kita ada untuk menghentikan apa pun bentuk pertelingkahan yang berlaku.
• Baiklah, mari kita membaca serba sedikit kedamaian yang berjaya dibawa oleh Rasulullah saw :
PERTAMA :
• Pada zaman Rasulullah saw, iaitu ketika fasa kelahiran awal Islam di Mekah, baginda tidak bertindak balas dengan kekerasan terhadap kafir Quraish yang mengkasari orang Islam, kerana pada ketika itu ayat al-Quran tentang peperangan/melawan kembali belum diturunkan oleh Allah swt.
• Rasulullah mengajarkan kepada orang Islam pada ketika itu dengan meneguhkan kesabaran dalam menghadapi penindasan & kekerasan dari kafir Quraish juga salah satu bentuk perdamaian.
Ini menunjukkan, Rasulullah saw menyelesaikan masalah yang terjadi pada ketika itu dengan kesabaran.
KEDUA.
• Rasulullah juga menerapkan konsep kedamaian di dalam Islam dengan mempersaudarakan antara golongan Muhajirin & Ansar. Dengan persaudaraan ini, secara langsung juga mereka dapat melahirkan rasa kedamaian di hati melalui perhubungan sosial.
Bahkan konsep ini juga boleh diterapkan dengan bersaudara atau mencipta kedamaian dengan non-muslim.
Nota kaki :
1) Golongan Muhajirin : Orang Islam Mekah yang berhijrah dari Mekah & menetap di Madinah.
2) Golongan Ansar : Penduduk asal Madinah yang terdiri dari kaum Aus & kaum Khazraj.
PEACE BUILDING.
• Kita rujuk lagi ayat seterusnya iaitu surah al-Hujurat ayat 9 sehingga ayat 10 yang merupakan asas membina & membangunkan kembali perdamaian.
(وَإِنْ طَائِفَتَانِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ اقْتَتَلُوا فَأَصْلِحُوا بَيْنَهُمَا ۖ فَإِنْ بَغَتْ إِحْدَاهُمَا عَلَى الْأُخْرَىٰ فَقَاتِلُوا الَّتِي تَبْغِي حَتَّىٰ تَفِيءَ إِلَىٰ أَمْرِ اللَّهِ ۚ فَإِنْ فَاءَتْ فَأَصْلِحُوا بَيْنَهُمَا بِالْعَدْلِ وَأَقْسِطُوا ۖ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ)
[Surat Al-Hujurat : 9 ]
Terjemahan :
“Dan apabila ada dua golongan orang mukmin berperang, maka damaikanlah antara keduanya. Jika salah satu dari keduanya berbuat zalim terhadap (golongan) yang lain, maka perangilah (golongan) yang berbuat zalim itu sehingga golongan itu, kembali kepada perintah Allah. Jika golongan itu telah kembali (kepada perintah Allah), maka damaikanlah antara keduanya dengan adil, dan berlakulah adil. Sungguh, Allah mencintai orang-orang yang berlaku adil”.
(إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ)
[Surat Al-Hujurat 10]
Terjemahan :
“Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara, karena itu damaikanlah antara kedua saudaramu (yang berselisih) dan bertakwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat”.
• Ada dua sebab turunnya ayat ini :
1) Pertama – Kisah Abdullah bin Ubai menghina Rasullullah ketika beliau melihat baginda menaiki keldainya. Abdullah bin Ubai mengutuk baginda dengan perkataan yang kesat, lalu perkataan ini didengari oleh sahabat baginda iaitu, Basyir bin Nu’man. Terjadi pergaduhan di antara Abdullah bin Ubai dengan anak buahnya menghadapi Basyir dengan menggunakan pelepah kurma, selipar & tangan kosong. Hampir sahaja Basyir mengeluarkan pedangnya utk membunuh Abdullah. Tetapi Rasulullah menghalangnya.
2) Kedua : Tentang kisah seorang lelaki Ansar bernama Imran & berkahwin dengan Ummu Zaid. Pada suatu hari, Ummu Zaid ingin menziarahi keluarganya tetapi Imran melarangnya & Ummu Zaid dikurung di dalam rumah. Ummu Zaid dengan senyap-senyap mengirim seorang utusan kepada keluarganya untuk membebaskannya. Keluarga Ummu Zaid datang & berjaya menyelamatkannya. Si Imran yang tidak suka dengan hal ini terus mengirim keluarganya untuk mengambil kembali Ummu Zaid. Saudara-saudara Imran datang ke rumah Ummu Zaid & meminta Ummu Zaid dikembalikan kepada Imran. Tetapi keluarga Ummu Zaid menolak permintaan ini & akhirnya terjadi pergaduhan.
• Tujuan turunnya ayat ini adalah untuk menyeru manusia supaya membangunkan perdamaian & mengakhiri pertengkaran. Dalam ayat ini juga diselitkan strategi atau kaedah penyelesaian untuk menyelesaikan masalah dengan mengungkapkan kebenaran, menegakkan keadilan & mendamaikan pihak yang sedang bergaduh atau bertikai.
• Dalam ayat ini disebutkan tentang perkataan ishlah (perdamaian) sebelum perkataan adil & qisth ( sebenarnya kedua perkataan ini sama maksud iaitu adil ).
• Kaedah atau cara menyelesaikan masalah dalam ayat ini menjelaskan tentang bagaimana proses untuk menyelesaikan sesebuah pertikaian di antara kedua belah pihak. Jika ianya sebuah proses untuk menuju kedamaian ianya mestilah diproses dengan keadilan yang sama rata.
Jika ianya difahami sebagai sebuah hubungan, maka hasil keputusan yang telah ditentukan mestilah diterima di antara kedua belah pihak dengan hati yang redha.
Maka dari kesemua ini, dalam konsep masyarakat Islam untuk menuju ke arah kedamaian, kita haruslah menguatkan hubungan persaudaraan sesama Islam yang didasarkan atas nilai-nilai cinta, perdamaian, tolong menolong & persatuan.
Pesanan : Bersatu, bukan berpecah belah masyarakat oii !!
• Apabila terjadinya dua benda ini, iaitu khilaf atau peperangan. Percayalah, ianya dapat menguburkan impian utama kita untuk membangunkan aroma kedamaian.
Cubalah sedaya upaya untuk mengelak & menghindari di antara kedua benda yang dibenci oleh Allah swt ini.
• Dalam peperangan, Islam melarang kita untuk menyeksa atau membunuh tawanan. Kenapa wahai saudara ?
Kerana tujuan perang yang diajarkan oleh Rasulullah saw adalah bertujuan memerangi mereka sahaja, bukan membinasakan.
Dalam kata lain, kita berusaha mengajak mereka untuk menuju ke jalan yang lurus dan bersatu di bawah panji islam, kalimah syahadah.
Pesanan lagi : Allahu, pengganas bukannya beragama Islam. Mereka tiada agama. Nampak tak perbezaan kedamaian yang dibawa oleh agama Islam ? Berbeza jauh dengan kelompok pengganas.
• Kita akan layak disebut sebagai muslim sejati jika kita mampu mencipta dan membawa kedamaian & menghubungkan persaudaraan & mengajak ke arah kedamaian.
Telah disebutkan di dalam sejarah, agama Islam disebarkan dengan kedamaian bukan dengan mata pedang atau kekerasan.
• Ingat dan ingat. Perdamaian di sini juga membawa maksud membangunkan hubungan yang harmoni di antara pihak-pihak yang berkonflik & membangunkan kembali persaudaraan yang tergores suatu tika dahulu.
Akhir kalam, al-Quran adalah bukti yang menunjukkan Islam dapat membangunkan khazanah perdamaian yang hebat !
Sumber rujukan :
1) Al-Quran.
2) Al-Quran bukan Kitab Teror, Dr.H. Imam Taufiq, M.Ag, 2016.
3) Tafsir Ibnu Katsir.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih