Musim baru Liga Perdana Inggeris (PL) bakal bermula tidak lama lagi. Dan ramai berharap pasukan pujaan masing-masing mengekalkan kecemerlangan atau menambahbaik kedudukan masing-masing. Tetapi impian sebegini kadang-kadang diganggu oleh kontroversi seperti insiden s3pakan kung fu Eric Cantona.

Insiden tersebut tercetus semasa perlawanan Crystal Palace melawan Manchester United di Selhurst Park pada 25 Januari 1995. Ketika itu, Red Devils yang dibimbing Sir Alex Ferguson sedang mengejar kejuaraan liga buat kali ketiga dengan Blackburn Rovers pimpinan ‘King’ Kenny Dalglish terus mengejar mereka.

Perlawanan itu dilihat sebagai satu lagi perlawanan biasa. Tetapi bagi Cantona dan pemain pertahanan Palace, Richard Shaw, ini merupakan pertembungan peribadi. Bukan sekali pemain pertahanan itu mengasari ayam tambatan United berdarah Perancis itu sehingga menimbulkan kemarahan pemain dan barisan kejurulatihan United.

Justeru tidak hairanlah semasa rehat separuh masa, Cantona sempat bertanya kepada pengadil perlawanan, Alan Wiley, “Tiada kad kuning?” Sementara Ferguson yang dikenali dengan ‘layanan pengering rambut’ menuturkan kata-kata ini, “Kenapa kau tak buat kerja kau?!” Dengan darah Cantona menggelegak semasa rehat, satu lagi insiden sudah pasti akan mendorongnya naik minyak.

Dan itu yang berlaku pada minit ke-60 apabila Shaw sekali lagi mengasari ‘King Eric’ semasa cuba merebut bola sepakan jauh penjaga gol Peter Schmeichel. Tidak tahan dengan terjahan pemain Palace itu, Cantona membalas dengan meny3pak pemain tersebut. Seperti dijangka, Wiley kemudiannya melayangkan kad merah terus kepada ayam tambatan Perancis itu.

Untuk mengelak situasi dari menjadi bertambah panas, penjaga kit Norman Davies cuba membawa Cantona segera masuk ke bilik persalinan. Tetapi semasa berjalan menuju ke terowong, ‘King Eric’ terus dikecam berbakul-bakul oleh peminat Palace. Salah seorang daripada mereka ialah Matthew Simmons.

Simmons dikatakan berlari sejauh 11 barisan tempat duduk dengan niat mengucapkan selamat tinggal kepada ikon United itu. Dia mendakwa dia hanya mengatakan, “Pergi jalanlah, Cantona – memang kau mandi awal hari ini!” Tetapi penyokong-penyokong Palace berhampiran mendengar ucapan ini, “Pergi berambuslah, anak pelacur Perancis.”

Sesiapa saja yang mendengar ucapan sebegini akan mengamuk. Naik darah dengan penghinaan yang dilemparkan Simmons, Cantona segera membuat s3pakan kung fu terhadapnya sebelum menumbuk penyokong bodoh itu. Davies dan Schmeichel segera mengeluarkan Cantona dan mengiringinya ke bilik persalinan sambil penyokong yang marah melempar objek terhadap mereka.

Sebaik tamat perlawanan yang berakhir dengan keputusan seri 1-1, Ferguson pada awalnya mahu saja menyeranah ‘King Eric’ habis-habisan. Tetapi respon pengurus legenda United itu bukan marah tetapi hanya tersengih tentang apa yang berlaku. Ferguson dan Cantona tidak sedar implikasi yang timbul akibat serangan tersebut.

Figure 1: Martin Edwards. Sumber: https://www.besoccer.com/new/ex-united-president-addresses-some-of-the-world-s-best-614876

Pengerusi United ketika itu, Martin Edwards menyifatkan kontroversi menyelubungi Cantona ketika itu sebagai satu mimpi ngeri. Keesokan harinya, Edwards bertanya kepada pentadbir FA, David Davies, “Kita tak bercakap tentang penggantungan seumur hidup, kan?”

Peguam yang kemudiannya menjadi ahli lembaga pengarah United, Maurice Watkins memberi amaran permohonan maaf atau hukuman keras terhadap Cantona boleh menjejaskan usaha pembelaan beliau semasa sesi perbicaraan disiplin FA. United sedar ini bukan sekadar isu pemain tetapi standard moral kelab sendiri.

Justeru, Manchester United harus menghantar mesej yang jelas. Selepas sehari bermesyuarat di sebalik seruan mahukan Cantona digantung seumur hidup, United memutuskan menggantung ‘King Eric’ selama empat bulan. Tetapi hukuman tersebut kemudiannya ditambah FA kepada lapan bulan (tambahan empat bulan), satu keputusan yang mengundang kemarahan Ferguson.

Cantona turut diheret ke mahkamah atas apa yang berlaku sebelum dikenakan hukuman khidmat komuniti 120 jam. Tetapi yang pasti, media yang menggila ketika itu hanya tahu memanaskan sentimen dan mengejar berita sensasi saja. Dalam kalangan mereka, ada yang melihat Simmons memang selayaknya menerima 4mukan kemarahan Cantona.

Tidak ramai tahu lelaki tersebut mempunyai rekod j3nayah lampau termasuk j3nayah pvkvl dan penyokong BNP serta National Front. Justeru dengan latar belakang sedemikian, tidak hairanlah semakin ramai yang sebenarnya bersimpati dengan Cantona atas apa yang berlaku.

Kolumnis, Richard Williams menulis untuk kolum edisi Ahad The Indenpendent, “Anda tidak perlu melihat jauh perihal Matthew Simmons dari Thornton Heath untuk menyimpulkan satu-satunya kesilapan Eric Cantona ialah berhenti memukulnya. Lebih banyak yang kita tahu pasal dia, nampaknya s3rangan Cantona lebih bersifat ekspresi pertimbangan moral yang bagus.”

Figure 2: United kempunan bergelar juara liga pada musim tersebut dan bungkam melihat pemain-pemain Rovers menjulang kejuaraan liga. Sumber: https://www.lancs.live/sport/football/football-news/blackburn-rovers-1995-title-winners-18245996

Yang pasti, bagi pemain dan penyokong Rovers, kehilangan Cantona seolah-olah memberi mereka harapan untuk menjuarai liga musim tersebut. Namun begitu, Ferguson dalam satu buku autobiografinya menyifatkan ia juga memberi tekanan kepada mereka untuk mendapatkan kejuaraan liga.

Siapa sangka, Red Devils dan Rovers terus bersaing sengit merebut kejuaraan liga. Tetapi pada akhirnya, walaupun Rovers tewas di tangan Liverpool 2-1, United gagal merebut kesempatan terhidang dan terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 1-1 dengan West Ham United. Sudahlah melihat Rovers bergelar juara liga, United juga kempunan Piala FA selepas tewas 1-0 dengan Everton.

Bagi Ferguson, kekalahan musim tersebut mendorongnya membuat inkues terhadap pasukan utamanya. Sesetengah dilihat semakin besar kepala dan mencabar kekuasaannya sebagai pengurus. Paul Ince misalnya tidak lagi mahu mengikut perancangan permainan dan berterusan mencabar kesabaran Ferguson.

Akibatnya, Ince kemudiannya dijual kepada Inter Milan pada akhir musim. Ini disusuli pemergian Mark Hughes secara percuma ke Chelsea dan Andrei Kanchelskis ke Everton berikutan tuntutan gaji yang dibuat ejennya tidak dilayan Ferguson. Masalahnya dengan pemergian pemain-pemain berkaliber ini, mampukah United bangkit semula?

Figure 3: Tanpa Cantona, Fergie’s Fledglings mungkin bergelut dengan tekanan sebagai pemain Manchester United. Sumber: https://www.mirror.co.uk/sport/football/news/alex-ferguson-lavishes-praise-fergies-2481966

Justeru pada musim 1995-1996, Ferguson membuat satu lagi perjudian dengan memberi peluang kepada generasi kelahiran akademi yang kita kenali sebagai Fergie’s Fledglings. Beliau berharap satu lagi pembelian dapat dibuat menerusi Darren Anderton tetapi minat mereka ditolak mentah-mentah oleh Tottenham Hotspur.

Dan bila Aston Villa berjaya mengalahkan United dengan keputusan 3-1, ia mengundang legenda Liverpool, Alan Hansen menuturkan kata-kata ini, “Anda tidak boleh memenangi apa-apa dengan budak-budak.” Penyokong-penyokong Red Devils mahukan Ferguson angkat kaki secepat mungkin dan menuduhnya tidak tahu apa yang dilakukan.

Dua perkara ini dilihat menjadi perkara utama yang mengancam kedudukan Ferguson, lebih dari mana-mana tempoh seorang pengurus di Old Trafford. Tetapi pengurus berdarah Scotland itu tahu apa yang dilakukannya itu bakal membawa hasil. Tetapi satu lagi masalah timbul apabila Edwards mengirim mesej berbunyi, “Eric nak keluar.”

Mesej itu dihantar selepas Edwards pulang dari lapangan terbang Manchester. Cantona semakin bosan dengan kedudukannya kerana penggantungannya itu melarangnya bermain bola sepak termasuk perlawanan latihan. Dengan situasi ini, ia sudah pasti menarik minat kelab-kelab besar termasuk majikan baru Ince, Inter.

Ferguson boleh saja melepaskan Cantona atas dasar simpati. Tetapi isterinya, Cathy menggesa beliau mempertimbangkan semula keputusan tersebut dan melihat itu bukan caranya menyerah kalah terutama terhadap pihak berkuasa sukan. Justeru, satu pertemuan diatur di sebuah restoran Paris milik seorang rakan Cantona selepas waktu operasi.

Dalam pertemuan tersebut, Ferguson menyakinkan Cantona bahawa agar tidak menyerah kalah dan memastikan legasinya bukan ditanda oleh insiden Selhurst Park tetapi satu lagi kemenangan liga. Bagi bekas bek kanan United Paul Parker, hubungan Cantona-Ferguson diibaratkan sama seperti hubungan Jurgen Klopp dengan para pemainnya.

Beliau berkata, “Saya tak pernah terfikir dia akan pergi disebabkan kecintaannya terhadap kelab. Lebih daripada itu ialah hubungannya dengan pengurus (Ferguson). Satu-satunya pengurus sekarang yang mempunyai hubungan sebegitu rupa dengan para pemain ialah Jurgen Klopp. Bos merupakan orang yang memberi perbezaan.”

250 hari selepas insiden kung fu itu, Cantona kembali semula di atas padang dan membantu Red Devils seri 2-2 dengan Liverpool. Disebabkan diperam terlalu lama akibat penggantungan, beliau memerlukan beberapa perlawanan untuk kembali menyinar sebagai ayam tambatan Manchester United.

Bagi Fergie’s Fledglings yang terdiri daripada David Beckham, Paul Scholes, Neville bersaudara (Gary dan Phil Neville) dan Nicky Butt, musim 1994-1995 dan 1995-1996 memberi peluang kepada mereka menyinar bersama Ryan Giggs. Ferguson melihat situasi mereka sebagai satu rancangan jangka masa panjang untuk kelab berkenaan.

Beberapa tahun lepas, beliau mendedahkan beberapa pemain muda sedang mengintai peluang beraksi bersama pasukan utama. Jika itu berlaku, ia bakal merealisasikan bukan saja impian kelab tetapi para penyokong yang dahagakan bakat-bakat tempatan beraksi bersama Red Devils.

Namun begitu, cabaran musim 1995-1996 berbeza sedikit. United ketika itu masih ketinggalan di belakang Newcastle United yang digelar sebagai The Entertainers terutama selepas tempoh perlawanan musim sejuk. Dengan ‘King Eric’ kembali di atas padang, mereka ada ramuan istimewa untuk merapatkan kedudukan dan merampas semula kejuaraan liga.

Dan seperti dijangka, Cantona membantu kelab meraih banyak kemenangan termasuk kemenangan penting 1-0 ke atas Magpies pada 4 Mac 1996. Tetapi detik sebenar beliau ialah menjaringkan gol kemenangan United ke atas Reds semasa final Piala FA musim tersebut. Pada akhir musim, Cantona mengumumkan persaraan pada usia 30 tahun.

Siapa sangka, detik s3pakan kung fu itu sebenarnya membuka ruang kepada kemunculan Fergie’s Fledglings dan kebangkitan semula ‘King Eric’ sebelum mengumumkan persaraan.

Jadi, apa yang berlaku kepada mangsanya, Simmons? Sejak insiden itu, kehidupannya dianggap tidak tenteram lebih-lebih lagi dikatakan sebagai punca kem4tian seorang penyokong Palace di Birmingham pada April 1994. Malah, Simmons juga kembali mencetuskan kontroversi apabila dip3njarakan selama seminggu selepas menyerang seorang peguam pada 1996.

RUJUKAN:

Richman, Darren. (2020). Eric Cantona: Remembering when Manchester United forward kung-fu k1cked a fan 25 years on. The Independent. https://www.independent.co.uk/sport/football/premier-league/eric-cantona-kung-fu-kick-manchester-united-crystal-palace-epl-remember-when-a9301031.html

Delaney, Miguel. (2020). How Eric Cantona’s kung-fu k1ck changed Manchester United forever. The Independent. https://www.independent.co.uk/sport/football/premier-league/manchester-united-news-eric-cantona-kung-fu-kick-1995-date-anniversary-a9299871.html

The Independent. (1996). Cantona fan is jailed for 4ttacking lawyer. https://www.independent.co.uk/news/cantona-fan-is-jailed-for-attacking-lawyer-1345432.html


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.