Setiap kali saya mendengar single Super Junior bertajuk Sorry Sorry, saya menyangka ia hanyalah satu lagi single K-Pop biasa sebagai halwa telinga para pendengar di luar sana. Namun, siapa sangka single yang dilancarkan pada tahun 2009 itu bukan saja menaikkan nama Super Junior sebagai antara kumpulan legenda K-Pop. Bahkan, ia sebenarnya memberi impak kepada pendengar di luar Korea melebihi lagu Gangnam Style yang dibawa Psy pada tahun 2012.

Mungkin ada yang membangkang kenyataan ini tetapi realitinya sudah ramai mendengar K-Pop sebelum tahun 2012 yang menyaksikan fenomena tular Gangnam Style. Di Amerika Syarikat sahaja, satu kaji selidik yang dibuat oleh Korea Creative Content Agency USA pada tahun 2014 mendedahkan 39.5% responden sudah mendengar lagu-lagu K-Pop sebelum tahun 2009 lagi berbanding 26.8% yang hanya mula mendengar pada tahun 2012 atau 2013. Ya, Psy menjadikan K-Pop satu fenomena tular tetapi ia tidak akan berlaku tanpa batu asas yang disediakan kumpulan-kumpulan K-Pop pada tahun 2009.

Pada tahun 2009, artis-artis K-Pop mula menghasilkan lagu-lagu yang memikat hati pendengar seperti Gee (Girl’s Generation) dan Abracadabra (Brown Eyed Girls). Wonder Girls juga tidak ketinggalan menyumbang lagu siulan ramai pada tahun itu iaitu Nobody dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Korea. Sebut pasal versi Bahasa Inggeris Nobody ini, ia mencipta sejarah sebagai lagu Korea pertama yang disenaraikan dalam carta single Billboard’s Top 100. Lagu ini dilancarkan sehari sebelum mereka menyertai Jonas Brothers mengadakan konsert jelajah di Amerika Syarikat. Selain Wonder Girls, artis legenda BoA turut menempa nama apabila album BoAnya yang dipasarkan ke pasaran Amerika tersenarai dalam carta album Billboard 200.

Tahun 2009 dianggap tahun penting yang amat membantu proses globalisasi muzik Korea. Pada tahun itu, platform laman media sosial dan YouTube sudah mula membenarkan kandungan K-Pop seperti muzik video dan koreografi tarian diakses oleh pengguna. Ini yang mempercepatkan lagi penyebaran maklumat dan kegilaan terhadap tarian dan muzik K-Pop. Dan antara kumpulan yang bertanggungjawab mencetuskan kegilaan ini ialah Super Junior menerusi single mereka Sorry Sorry. Pada awalnya, ia dilancarkan sebagai single digital sebelum disusuli oleh album menggunakan tajuk sama dan muzik video yang dilancarkan pada 12 Mac 2009. Lagu ini bukan saja mengangkat nama Super Junior sebagai artis pujaan K-Pop ketika itu bahkan merevolusikan K-Pop itu sendiri.

Dari awal sampai akhir, lagu ini hanya membicarakan satu subjek secara visual iaitu gerak tari yang menarik hasil koreografi Nick Bass dan Trent Dickens. Sorry Sorry turut mengandungi korus lagu yang berulang dan susunan vokal Super Junior yang sesuai dengan rangkap lagu itu, satu formula pop yang dibuat dengan sempurna dan menjadi kegilaan ramai. Selepas ia dilancarkan, album Sorry Sorry menduduki tangga pertama carta muzik penting Korea dan ia turut menduduki carta lagu mingguan Korea. Bukan sedikit carta lagu di mana ia menduduki nombor satu dari Taiwan hingga ke Thailand di mana di Taiwan, Sorry Sorry menjuarai carta sebanyak 36 minggu berturut-turut. Dan lagu ini mendorong ramai artis dari artis amatur kepada penghibur industri menari atau menyanyikan semula Sorry Sorry versi mereka.

Contoh versi tarian Sorry Sorry banduan penjara Filipina: https://www.youtube.com/watch?v=_43TO_OPj-8

Sorry Sorry turut menandakan kematangan artis yang bernaung di bawah syarikat SM Entertainment selepas membuat kemunculan pertama pada tahun 2005. Penampilan mereka dalam Sorry Sorry menunjukkan penampilan yang bersifat sofistikated dan lari dari imej kei (imej fesyen jalanan Jepun) serta menerima aspek astetik yang menjadi inspirasi kepada dekad K-Pop seterusnya. Koreografi tarian Super Junior juga turut menonjolkan kekuatan ahli kumpulannya yang ramai sekaligus membuka peluang kepada artis berkumpulan lelaki yang ramai seperti SEVENTEEN dan The Boyz. Super Junior turut memecah tradisi dengan sebagai artis lelaki berkumpulan yang menari kerana aspek ini selalunya didominasi oleh artis wanita berkumpulan. Selepas Sorry Sorry, kumpulan seperti 2PM dan SHINee juga mula melakukan perkara sama.

Selain itu, Super Junior juga turut membuka peluang kepada artis-artis bukan Korea berkecimpung dalam dunia muzik Korea. Mereka merupakan kumpulan pertama yang mempunyai anggota bukan berasal dari Korea Selatan bernama Hankyung atau Han Geng. Walaupun berdepan dengan pelbagai kesukaran termasuk isu undang-undang dengan SM Entertainment, Han Geng membuka peluang kepada artis bukan Korea menyertai industri muzik Korea hari ini.

Super Junior turut mengikut jejak langkah BoA dengan membuka jalan kepada pengembangan K-Pop di China. Antara cara yang digunakan mereka ialah membentuk sub-unit spesifik seperti Super Junior-M yang aktif menghasilkan lagu dan mempromosikan lagu mereka di China. Kumpulan ini dianggotai anggota asal Super Junior dan turut disertai oleh dua artis China iaitu Zhou Mi dan Henry. Terima kasih kepada single seperti Sorry Sorry, Bonamana dan Mr. Simple, Super Junior mendominasi pasaran Asia dan mula mengintai pasaran Barat.

Pada tahun 2015, Super Junior merupakan artis Korea pertama yang memenangi anugerah Teen Choice Award untuk kategori Choice International Artist dengan kumpulan peminat mereka ELF memenangi anugerah kumpulan peminat popular. Selain itu pada tahun 2018, Super Junior juga mula berkolaborasi dengan dua karyawan Latin iaitu Leslie Grace dan Play-N-Skillz untuk lagu Lo Siento dan Otra Vez. Percubaan yang dianggap berani bagi kumpulan yang sudah bertapak selama 13 tahun dalam industri muzik Korea tetapi berbaloi kerana menjadi artis Korea pertama memasuki carta lagu Latin Billboard sebanyak dua kali.

Disebabkan oleh pelbagai isu seperti khidmat negara (kerahan tentera) dan isu undang-undang, komposisi anggota Super Junior juga berubah sepanjang sedekad selepas Sorry Sorry. Ketika ini, kumpulan ini dianggotai oleh Leeteuk (nama sebenar Park Jeong-su), Kim Heechul, Yesung (Kim Jong-woon), Shindong (Shin Dong-hee), Eunhyuk (Lee Hyuk-jae), Lee Donghae, Choi Siwon, and Kim Ryeowook. Bila Cho Kyunhyun menamatkan tugas khidmat negaranya pada Mei tahun ini, Super Junior akan mempunyai komposisi anggota tetap yang aktif buat kali pertama dalam tempoh sedekad.

Hari ini, lagu Sorry Sorry merupakan lagu wajib bukan saja bagi peminat K-Pop tetapi juga bagi mana-mana artis berkumpulan yang hendak menceburi industri muzik K-Pop. Cakaplah siapa yang diminta menyanyi dan menari lagu ini dari EXO dan SEVENTEEN hingga BTS dan TWICE di mana mereka menyanyi bersama Leeteuk dalam pelbagai rancangan hiburan pelbagai Korea. Malah, lagu ini turut menjadi pilihan ramai peserta rancangan pertandingan nyanyian seperti Produce 101.

Boleh rujuk video persembahan Leeteuk bersama BTS, GFRIEND dan TWICE: https://www.youtube.com/watch?v=9oVZDspxn2g

Video persembahan peserta Produce 101 Musim Kedua menyanyikan lagu Sorry Sorry: https://www.youtube.com/watch?v=Gg6b6VUIW80

SUMBER

Hodoyan-Gastelum, Alexis. (2019). MTV. 10 YEARS AGO, SUPER JUNIOR’S ‘SORRY, SORRY’ CHANGED K-POP FOREVER. http://www.mtv.com/news/3116871/super-junior-sorry-sorry-10-years-k-pop/


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.