Bagi peminat permainan first person shooter (FPS), pasti nama terawal yang muncul dalam kepala ialah Call of Duty. Dan bagi peminat Call of Duty, nama-nama ini pasti tidak asing setiap kali anda bermain. Nama-nama seperti John Price (Billy Murray (EastEnders)), John ‘Soap’ Mactavish (Kevin McKidd (Grey’s Anatomy)), Jonathan Irons (Kevin Spacey (House of Cards, Se7en)) dan Alex Mason (Sam Worthington (Clash of the Titans, Hacksaw Ridge)) sinonim dengan peminat siri Modern Warfare, Black Ops dan Advanced Warfare. Walaupun permainan punya latar masa dan tempat berbeza, terdapat banyak persamaan yang dikongsi yang menjadikan Call of Duty sebagai permainan video terbesar di dunia.

1. Ikatan persaudaraan sesama anggota tentera.

Letaklah tentera dalam mana-mana latar masa atau tempat Call of Duty dan anda akan dapati persaudaraan antara mereka amat erat. Ini kerana askar-askar ini saling melindungi antara satu sama lain dalam situasi genting seperti terperangkap kala pihak musuh menggunakan mesingan (Burn’em Out: Call of Duty World At War) atau dikejar pihak musuh untuk melepaskan diri (Game Over: Call of Duty 4: Modern Warfare). Dan mereka juga memahami kesukaran dialami di medan perang atau di tempat asing, menjadikan askar-askar ini satu unit yang padu dan sukar ditewaskan. Dan ini satu ciri, selain menambah rasa hormat saya kepada anggota tentera, ia sebenarnya menambah elemen emosi sehingga membuatkan pemain kadang-kadang emosi akan penderitaan yang dialami mereka. Bagi peminat, saya meneka saat paling emosi untuk siri ini ialah apabila Soap mati akibat pendarahan banyak semasa misi Blood Brothers dan Price tidak dapat menerima hakikat kematian protege merangkap orang kanannya itu.

2. Kuasa sentiasa jadi rebutan.

Mengejar kuasa satu tema yang tidak asing dalam setiap siri Call of Duty. Lihat saja senarai siri permainan dari Call of Duty berlatar belakangkan Perang Dunia Kedua sehinggalah Infinite Warfare berlatar belakangkan masa depan dan perang di angkasaraya, satu tema yang sentiasa muncul ialah elemen merebut kuasa. Bagi peminat geopolitik dan realpolitik, kuasa sentiasa menjadi agenda utama antagonis atau kuasa besar dalam siri ini. Ini kerana bagi mereka, bila mereka ada kuasa, mereka mampu melakukan apa saja untuk mengesahkan kedudukan mereka sebagai pemimpin atau meneruskan agenda berikutnya. Dan ini bukan perkara asing bukan saja dalam dunia permainan video tetapi juga di dunia sebenar di mana ada sesetengah pemimpin mengamalkan taktik kotor untuk mengukuhkan kuasa di tampuk pemerintahan atau melancarkan rampasan kuasa. Dan mereka tidak teragak-agak memanipulasi mana-mana insiden atau menuduh kumpulan pengganas untuk menjustifikasi tindakan mereka.

Figure 1: Jonathan Irons memanipulasi insiden serangan reaktor nuklear untuk mengukuhkan kuasa Atlas sebagai kuasa baru tentera dunia.

Terlalu banyak contoh dalam permainan ini dilihat sama dengan apa yang berlaku di dunia sebenar. Berikutan kematian Presiden Yaser al-Fulani di Timur Tengah di tangan Khaled al-Assad dalam misi The Coup, pihak Barat terutama Amerika Syarikat masuk campur atas alasan menstabilkan semula rantau tersebut. Ini yang berlaku di Iraq dan Afghanistan pada hari ini. Begitu juga tindakan Vladimir Makarov, antagonis utama Modern Warfare 3 merampas kuasa daripada Presiden Rusia, Boris Vorshevsky atas alasan Vorshevsky lemah dan mendapatkan akses senjata nuklear. Taktik ini digunakan di sesetengah negara atas alasan yang sama. Dan anda kata, ini cuma permainan budak-budak?

3. Perang bukan solusi.

Satu perkara menarik bila berbicara tentang permainan ini ialah ada yang mengatakan permainan ini menggalakkan peperangan. Hakikatnya, pada saya ia sama sekali langsung tidak menggalakkan sentimen perang dalam kalangan pemain seperti kami. Bila mana kami bermain permainan ini, tanpa mengira latar masa atau tempat, kami menyaksikan kekejaman perang di depan mata tanpa mengira pihak mana, sekutu atau musuh. Dan bila mendengar bilangan yang terkorban angkara perang, ia sebenarnya satu isyarat kepada kami untuk mengambil iktibar agar ia tidak berulang kembali pada masa akan datang.

Figure 2: Imej peperangan yang dahsyat jadi pilihan Treyarch untuk mempromosi Call of Duty: World at War.

Bagi yang selalu bermain Call of Duty: World at War, pada akhir permainan, Treyarch, pengeluar siri Black Ops, menyiarkan video serangan bom atom ke atas Hiroshima dan Nagasaki, ucapan Jeneral Douglas MacArthur selepas Jepun menandatangani dokumen penyerahan kalah mereka dan bilangan manusia terbunuh semasa Perang Dunia Kedua. Melihat statistik yang ditunjukkan itu saja sudah cukup menginsafkan dan mengingatkan kepada kita bahawa perang, walau secantik mana ia dikhabarkan kepada orang ramai sebagai satu propaganda, ia satu senario yang dahsyat yang memperlihatkan kemusnahan manusiawi dari segi moral. Walaupun ada mengatakan senario yang ditunjukkan dalam Call of Duty 1, Call of Duty 2, Call of Duty 3 dan World at War tidak realistik, perlancaran versi baru senario Perang Dunia Kedua, Call of Duty: WWII pada tahun ini oleh Sledgehammer bakal mengubah segalanya

4. Pilihan atau strategi yang diambil.

Setiap kali kita bermain siri permainan Call of Duty, ada sesetengah masa di mana dalam misi-misi atau tahap kesukaran yang dipilih, pilihan atau strategi yang dipilih kadang-kadang memakan diri. Banyak cara kita boleh gagal dalam permainan tersebut sama ada dibunuh, terkena bom tangan, duduk berhampiran tong minyak atau kenderaan atau menyebabkan sekutu mati terbunuh. Dan itu sebenarnya mendorong saya merenung tentang kehidupan di dunia fana’ ini terutama bagi yang bertugas di perbatasan. Tidak seperti dalam permainan di mana kita boleh bermula semula dari checkpoint sebelumnya, dalam kehidupan sebenar, tidak ada butang reset. Apa saja pilihan yang diambil, kita terpaksa menerima cabaran yang dilontarkan kepada kita untuk terus hidup atau kekal bersaing. Dan sekiranya kita salah membuat pilihan, kita sendiri menanggung akibatnya untuk jangka masa lama.

Figure 3: Inovasi dari segi taktik dan strategi Advanced Warfare kembali menaikkan semula nama jenama Call of Duty.

Begitu juga dengan strategi. Sudah menjadi kelaziman bila kita melihat halangan atau bilangan musuh yang menanti, kita sudah ada pelan strategi sendiri. Tetapi bila kita menghadapi senario luar biasa, mahu tak mahu, kita perlu ada pelan tambahan untuk tangani situasi tersebut. Dan ini sesuatu yang biasa dipaparkan dalam siri permainan Call of Duty di mana watak-watak terlibat terpaksa berinovasi demi memastikan matlamat mereka tercapai. Ia bukan sesuatu yang asing bahkan ia sesuatu yang harus diaplikasikan dalam kehidupan seharian.

Ini kerana hidup sentiasa menawarkan cabaran yang berbeza, kadang-kadang dalam cara yang membuatkan kita tergelincir. Inovasi bukan saja membantu kita mencapai matlamat ditetapkan malah membantu kita melihat dunia dari sudut berbeza. Contoh inovasi dalam siri ini ialah Down the Rabbit Hole di mana Task Force 141 dan pasukan Delta meletupkan siling bilik kebal untuk menyelamatkan Presiden Vorshevsky.

Sebagai penutup, siri permainan Call of Duty bukan sekadar permainan video semata-mata. Ia sebenarnya satu perjalanan penuh emosi yang membuatkan kita merenung tentang erti kehidupan dan pilihan yang kita ambil semasa melaluinya. Mungkin ada yang kata Call of Duty tidak sehebat permainan video FPS lain seperti Battlefield dan Medal of Honor tetapi bagi saya, ia satu permainan hebat di hati saya. Dan saya tutup dengan kata-kata ini, “It doesn’t take the most powerful nations on Earth to create the next global conflict. All it takes is the will of a single men.” (Vladimir Makarov)


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply