Dalam dunia ikan, kita mengenal pasti bahawa jerung adalah spesis ikan pemangsa yang menguasai lautan. Dalam rantaian makanan, jerung adalah haiwan pemangsa teratas yang memakan apa saja hidupan laut di hadapannya. Namun pernahkah kita tahu bahawa ada spesis ikan yang setanding ikan jerung dan pernah menguasai lautan di zaman dahulu kala?
Ya, spesis ikan yang setaraf jerung itu wujud. Ia adalah keluarga ikan placoderm. Tak pernah dengar? Baik, ikan placoderm adalah sejenis keluarga ikan purba yang hidup sekitar 430 juta tahun dulu. Nama placoderm itu sendiri dalam bahasa Yunani bermaksud ‘berkulit kepingan’.
Sebelum keluarga jerung menguasai lautan, keluarga placoderm adalah keluarga ikan pertama mempunyai rahang dan pertama menguasai lautan. Bahagian kepala ke dada ikan ini dilitupi dengan kepingan tulang. Ia seperti perisai kepala atau helmet maka keluarga ikan ini sesuai dipanggil sebagai ‘ikan berperisai’.
Manakala bahagian abdomen ke ekor pula bersisik, tidak dilitupi dengan kepingan tersebut. Selain mempunyai rahang, ikan placoderm juga adalah haiwan pertama mempunyai gigi. Selain gelaran ikan berperisai, ikan placoderm juga digelar sebagai ikan Devonian kerana ikan ini semakin tinggi kepelbagaian spesisnya bermula pada fasa awal Devonian iaitu 419 juta tahun lalu.
Bagi mengenali lebih dekat dengan keluarga ikan berperisai ini, saya senaraikan sebanyak 8 buah keluarga kecil atau Order dari placoderm ini:
1. Order Arthrodira
Arthrodira adalah keluarga kecil placoderm yang mempunyai kepelbagaian spesis paling banyak di dunia. Keluarga ini mampu menggerakkan kepala ikan berperisai dengan bebas walaupun ia berat dan berupaya membuka mulut seluasnya kerana fleksibiliti rahang bawahnya (kita bayangkan macam ular meluaskan mulutnya).
Walau bagaimanapun, ikan Arthrodira ini kekurangan gigi dan menggunakan hujung rahang yang tajam, dipanggil sebagai ‘kepingan gigi’ untuk membaham mangsa. Dunkleosteus adalah ikan placoderm terbesar dengan saiz tubuh sepanjang 9 meter (maksimum) dan berat satu tan. Ikan Rostolfeus juga tergolong dalam kumpulan ikan perisai ini. Tubuhnya seperti belut namun apa yang menarik tentangnya adalah kepingan kepalanya berbentuk tirus. Berkemungkinan besar mempunyai fungsi untuk mengesan mangsa.
2. Order Antiarchi
Antiarchi adalah keluarga kecil placoderm kedua terbesar selepas Arthrodira. Ikan ini tinggal di kawasan dasar laut. Bahagian kepala berperisai bentuk kotak dengan pasangan mata yang berhadapan (macam mata pemangsa) dan bahagian abdomen ke ekor tidak bersisik.
Ikan Antiarchi paling dominan adalah ikan Yunnanolepis dan Bothriolepis namun apa yang membezakan kedua-dua spesis ikan ini adalah ikan Yunnanolepis mempunyai sirip yang pendek dan ikan Bothriolepis mempunyai sirip yang panjang dan mempunyai sambungan seperti siku. Fungsi sirip pada kedua-dua spesis ini masih misteri namun apa yang mampu saintis hipotesiskan adalah sirip mereka berfungsi untuk mengorek dasar laut dan menguburkan diri bagi tujuan penyamaran .
3. Order Brindabellaspida
Brindabellaspida adalah keluarga kecil ikan muncung placoderm. Ikan ini mempunyai bentuk tubuh seperti jerung namun ia termasuk dalam keluarga placoderm kerana bahagian kepalanya yang berperisai. Ada tiga spesis ikan Brindabellaspida yang setakat ini ditemui para arkeologis: Weejasperaspis gavini, Murrindalaspis wallacei dan Brindabellaspis stensioi.
4. Order Phyllolepida
Phyllolepida adalah keluarga kecil placoderm bertubuh leper. Ikan ini adalah jenis pemangsa dasar laut yang mengamalkan cara menyerbu mangsa dari persembunyian. Ikan Phyllolepida juga adalah jenis ikan air tawar, berbeza dengan ikan placoderm lain yang hidup di kawasan air marin. Kepala ikan ini hanya terdiri dari sekeping kepingan tulang dan pasangan matanya bersebelahan dan teramat kecil, berkemungkinan keluarga ikan ini buta dan tidak bergantung kepada penglihatan visual untuk mencari mangsa.
5. Order Ptyctodontida
Ptyctodontida adalah keluarga kecil ikan placoderm yang mempunyai perisai kepala yang ringan, berkepala besar, bermata besar, dan mempunyai tubuh yang panjang. Perisai kepala keluarga ikan ini hanya meliputi sebahagian kepala saja, tidak seperti spesis keluarga placoderm lain. Keluarga kecil ini berkait rapat dengan keluarga kecil Brindabellaspida (rujuk penerangan order 3) dan mereka adalah ikan placoderm dasar laut yang memburu kerang. Mereka juga biasanya hidup berpasangan.
Ramai para paleontologis (pengkaji haiwan purba) beranggapan keluarga Ptyctodontida bukan ikan placoderm, sebaliknya adalah keluarga jerung atau moyang kepada keluarga jerung. Apabila dikaji balik, terdapat banyak perbezaan antara keluarga jerung dan Ptyctodontida, antaranya adalah kulit jerung adalah kasar dan mempunyai bentuk Shagreen manakala ikan Ptyctodontida tiada kulit sebegitu. Tambahan pula, gigi jerung adalah gigi sebenar manakala ikan Ptyctodontida hanya mempunyai kepingan gigi berbentuk paruh.
6. Order Renanida
Renanida adalah keluarga kecil placoderm yang bertubuh seperti ikan pari, tinggal di kawasan marin, dan pemangsa dasar laut. Keluarga kecil ikan ini amat berbeza dengan ikan placoderm lain kerana perisai tulangnya tidak bercantum antara satu sama lain. Dalam erti kata lain, perisainya tidak membentuk helmet seperti ikan Arthrodira.
7. Order Acanthothoraci
Seperti ikan Brindabellaspida, ikan Acanthothoraci juga keluarga kecil ikan placoderm bertubuh jerung namun ia mirip kepada spesis jerung kecil bernama chimaera. Ikan ini seperti chimaera bersisik dan mempunyai kepingan gigi berbentuk paruh. Ikan Acanthothoraci juga adalah pemburu kerang. Walaupun banyak persamaan dengan chimaera, tidak semestinya ikan Acanthothoraci adalah moyang chimaera kerana chimaera termasuk dalam keluarga jerung.
8. Order Petalichthyida
Ikan Petalichthyida adalah ikan placoderm kecil dan leper, tubuh yang memangjang serta mempunyai sirip yang mengembang dan dihiasi dengan perisai tulang. Ikan keluarga kecil ini yang dominan adalah ikan Lunaspis dan Wijdeaspis. Di China terdapat fosil spesis ikan placoderm ditemui dari keluarga yang sama iaitu ikan Quasipetalichthys haikouensis. Tidak pasti apakah diet ikan ini kerana tidak ditemui sebarang fosil yang lengkap dengan bahagian mulut.
Sekitar 400 juta tahun dan seterusnya, ikan placoderm mengalami ancaman kerana bersaing dengan keluarga ikan baru iaitu jerung. Persaingan ini melemahkan ikan placoderm kerana keluarga jerung pantas berenang dan badannya lagi fleksibel berbanding placoderm yang terbatas pergerakan kerana perisai kepalanya yang mengganggu, menyebabkan keluarga ikan ini diancam oleh mana-mana pemangsa baru.
Pada akhir fasa Devonian iaitu 358.9 juta tahun kemudian, seluruh keluarga ikan placoderm disahkan pupus. Jika ikan placoderm tidak bersaing dengan jerung dan bermigrasi ke kawasan lautan lebih dalam, mesti ikan placoderm antara ikan purba terpelik masih wujud di dunia ini.
RUJUKAN:
- Burrow, Carol & Turner, Susan (September 1998). “A review of placoderm scales, and their significance in placoderm phylogeny”. Journal of Vertebrate Paleontology. 19(2): 204–219.
- Janvier, P. Early VertebratesOxford, New York: Oxford University Press, 1998.
- Long, J.A. The Rise of Fishes: 500 Million Years of EvolutionBaltimore: The Johns Hopkins University Press, 1996.
- Meredith Smith, Moya; Clark, Brett; Goujet, Daniel; Johanson, Zerina (2017-08-17). “Evolutionary origins of teeth in jawed vertebrates: conflicting data from acanthothoracid dental plates (‘Placodermi’)”. Palaeontology. 60(6): 829–836.
- Sallan, Lauren & Coates, Michael (June 2010). “End-Devonian extinction and a bottleneck in the early evolution of modern jawed vertebrates”. Proceedings of the National Academy of Sciences. 107(22): 10131–10135.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih