Orang Korea ada pepatah berbunyi “ikan paus sama ikan paus berkelahi, udang patah belakang” (고래 싸움에 새우등 터진다 / gorae ssaum-e saeu-deung teojinda). Bunyinya lebih kurang sama dengan pepatah “gajah sama gajah beradu, pelanduk mati di tengah-tengah”.
Bukan nak kata orang Melayu dan Korea tu sama, cuma keadaan geopolitik yang sama (dikelilingi kuasa-kuasa besar) membentuk pemikiran strategik yang sama. Orang Korea (tak kira Korea Selatan atau Korea Utara) juga sangat mementingkan “balance of power” antara kuasa-kuasa besar.
Sementara dunia menanti-nantikan perjumpaan bersejarah antara Kim Jong-un dan Donald Trump pada bulan Mei nanti, Kim juga berjumpa dengan Presiden China, Xi Jinping buat kali pertama sejak dia mewarisi kepimpinan daripada ayahnya, Kim Jong-il pada tahun 2011. Perkembangan di luar jangkaan ramai orang.
Walaupun dunia cenderung untuk melihat Kim Jong-un sebagai seorang diktator yang bermasalah mental, tapi sebenarnya dia ialah seorang pemimpin berfikiran rasional, sama seperti atuknya Kim Il-sung dan ayahnya.
Sejak zaman Kim Il-sung lagi, Korea Utara cuba mengamalkan dasar luar yang bebas daripada pengaruh China dan Soviet, walaupun berkongsi ideologi yang sama (komunisme) dengan dua kuasa besar itu, dan terhutang budi kepada mereka atas bantuan semasa Perang Korea 1950-1953.
Namun dalam sejarah Korea, memori kejatuhan Dinasti Joseon pada akhir abad ke-19 akibat kesilapan dalam memilih antara China, Rusia dan Jepun masih segar di memori ramai intelektual Korea. Jadi Kim Il-sung memperkenalkan konsep “juche” (bergantung pada diri) untuk diterapkan dalam dasar luarnya.
Tapi nak juche pun kena ada kekuatan. Sembang saja tidak cukup. Maka Kim Il-sung mula membangunkan senjata nuklear pada 1980-an untuk melindungi diri daripada China, Soviet (kini Rusia) dan US yang masing-masing merupakan kuasa nuklear. Dengan adanya nuklear, kuasa-kuasa besar ini tak berani untuk mengusik Korea Utara.
Memasuki 1990-an, Kim Jong-il menggunakan nuklear sebagai alat untuk “blackmail” negara-negara jiran. Disebabkan Korea Utara mengalami masalah ekonomi yang kronik, Kim Jong-il mengambil jalan singkat dengan menjalankan ujian senjata nuklear untuk mengancam Korea Selatan dan Jepun, sekutu US.
Setiap kali selepas Korea Utara buat hal, US akan berunding dengannya agar pembangunan senjata nuklear diberhentikan. Sebagai balasan, US, Korea Selatan dan Jepun akan bagi bantuan ekonomi kepada Korea Utara. Kalau Korea Utara buat hal lagi itu tandanya kekurangan sumber lagi. Perangai dah macam kartel kat sekolah.
Strategi “nuclear brinkmanship” ini diteruskan oleh Kim Jong-un. Tapi menjelang hujung tahun 2017, US dan China mula naik bosan dengan perangai Korea Utara, maka berpakat untuk “menyelesaikan” Korea Utara. Trump mengancam untuk menyerang Korea Utara, manakala China mengenakan sekatan ekonomi ke atas Korea Utara.
Mula-mula nampak Kim Jong-un berada dalam bahaya. Namun Kim ni bijak orangnya. Dia cuba mengatasi masalah ini melalui strategi bertahap.
Pertama sekali, Kim mengambil hati Korea Selatan dengan menghantar kontinjen ke Olimpik Musim Sejuk di Pyeongchang, seolah-oleh ingin membuka langkah perdamaian. Melalui Korea Selatan, Kim berjaya mendapatkan peluang untuk berjumpa dengan Trump. Dan sementara semua orang menanti-nantikan perjumpaan Kim dan Trump, tiba-tiba Kim pergi “berbaiah” dengan China.
Cuba tengok turutan langkah “perdamaian” Kim, bermula dengan Korea Selatan, kemudian US, kemudian China. Kenapa tidak bermula dengan China dahulu?
Kalau bermula dengan China, kiranya Korea Utara bertunduk kepada tekanan China. Kalau buat macam itu, maka lepas ni Korea Utara terhutang budi dengan China dan kena jadi budak suruhan China. Ini tak bagus untuk juche.
Kalau Kim berjumpa dengan Trump saja tapi tak jumpa China, ia juga akan menimbulkan persepsi Korea Utara telah beralih khemah. Dan ini tak bagus untuk juche juga. China selama ini menganggap Korea Utara sebagai “buffer state” di sempadan timurnya. Perubahan posisi Korea Utara akan mengancam keselamatan China dan China tak akan biarkan Kim bercomolot dengan Trump, takut mereka buat “secret deal” yang merugikan China. Jika perlu, mungkin China akan menggulingkan Kim Jong-un dan meletakkan seorang yang pro-China (ada ura-ura bahawa Kim Jong-nam dibunuh kerana dia dipilih oleh China jadi pengganti kepada Kim Jong-un).
Jadi apa yang Kim Jong-un buat ialah pergi buat temu janji dengan Trump dahulu, biar China terasa dipinggirkan, biar China terasa “insecure”. Lepas tu baru Kim Jong-un pergi ke Beijing dan berbaiah kepada China. Dengan cara itu Kim menunjukkan Korea Utara tidak pro US, dan pada masa yang sama juga menunjukkan kepada US bahawa Korea Utara masih mempunyai China sebagai “option” untuk meningkatkan “leverage” dalam perundingan dengan Trump.
Dan China pun berpeluang menunjuk jari tengah kat Trump sebagai balasan terhadap tarif import yang mensasarkan China baru-baru ini.
Tapi selepas semua selesai nanti, Korea Utara akan sekali lagi kembali kepada tabiatnya untuk melakukan provokasi. Itulah cara deme nak “survive”.
Dalam banyak-banyak negara yang dilabel sebagai “Axis of Evil” oleh US (termasuk Iraq, Iran, Libya dan Syria), hanya Korea Utara saja yang masih terselamat daripada kekacauan dan subversi luar, dan itu semua kerana 3 generasi pemimpin Korea Utara yang bijak dalam realpolitik.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih