Ignaz Goldziher, dikenali sebagai Goldziher merupakan seorang orientalis dari Hungary, lahir di Szekesfehervar pada tahun 1850 Masihi. Beliau berketurunan Yahudi, nenek dan moyangnya adalah tukang emas di Hamburg pada abad ke-16, ayahnya tinggal di Kopeseny, kemudian berpindah ke Szekesfehervar. (Rohmansyah, 2015)
Pada usia mudanya, beliau bukan sahaja didedahkan dengan pembelajaran sekular di sekolah, beliau juga mempelajari bahasa Ibrani (Hebrew) dan dialektika (pendirian kebenaran dari pandangan yang berbeza) berkenaan agama Yahudi dari kitab Bible dan Talmud. Pada umur tujuh,tahun, setiap Ahad Goldziher dan rakan-rakannya akan menganjurkan upacara agama di mana Goldziher sendiri yang menyampaikan ucapan keagamaan. (Gothhkil, 1922)
Pendidikan Awal
Ketika umurnya lima belas tahun, beliau mula menghadiri kelas bahasa-bahasa klasik, falsafah, sastera Jerman dan Turkologi di Universiti Budapest sebagi pelajar istimewa. Beliau juga amat meminati dan terinspirasi dengan Arminius Vambery, seorang Turkologi (mengkaji berkenaan Turki).
Vambery menjadikan Goldziher sebagai anak murid istimewanya, beliau mengadakan kelas persendirian dengan Goldziher hampir setiap hari dan memberikan anak muridnya itu kajian-kajian dalam Bahasa Turki dan Parsi untuk diterjemah kepada Bahasa Hungary.
Goldziher berkata: “Vambery memberikanku kasih sayang seorang bapa. Aku terhutang budi padanya dengan ilmu yang diberikan dalam bidang Bahasa Turki dan Bahasa Parsi. Hari demi hari, dipenuhi dengan rasa cinta, kesyukuran, dan penghormatan padanya.
“Keinginan peribadinya untuk melihat kejayaanku membuatkannya membantu dalam usahaku dan membantu menyempurnakanku dalam pelajaran yang diajarkannya. Sangatlah biadap jika aku melupakan perkara ini,, bahawasanya kerana Vambery lah menimbulkan kecintaanku terhdap kajian oriental”
Pendedahan dalam bidang Orientalisme
Vambery kemudiannya memperkenalkan Goldziher kepada Baron Joseph Eotvos, menteri pendidikan liberal kerajaan Hungary. Vambery memuji-muji Goldziher kepada menteri itu hingga beliau menawarkan kepada Goldziher untuk menyambung pelajaran ke Jerman dan supaya Goldziher mempersiapkan dirinya untuk jawatan dalam kursus Sastera Semitik yang akan diasaskan oleh Eotvos sendiri.
Ketika mana beliau mempelajari bahasa Semitik beliau berpeluang untuk berdamping dengan pemimpin orientalis terkemuka dari Perancis dan Jerman ketika itu, De Sacy dan Fleischer.Beliau mendapat gelaran Doktor Falsafah (PhD) ketika berumur 19 tahun. Kemudian dia menyambung pelajaran di Leiden. Ketika umurnya 21, beliau dilantik menjadi pensyarah persendirian (jawatan dianugerahkan untuk ilmuwan muda sebagai pensyarah tanpa gaji) di Universiti Budapest.
Beliau juga dilantik menjadi setiausaha Komuniti Yahudi di Hungary dan pensyarah Falsafah Agama di Institusi Yahudi.Ketika itu, beliau telah pun menerbitkan beberapa artikel penting yang terkemuka di Hungary, Jerman dan tempat lain, dan dikenali sebagai orang yang menguasai bidang Bahasa Arab dan Pengajian Islam.
Perjalanan Pengajian Orientalisme Goldziher
Selain itu, beliau juga dihantar oleh Kementerian Kebudayaan Hungary untuk ke Timur Arab untuk mempelajari bahasa Arab pasar dan bahasa Arab formal hasil dari saranan Vambery kepada kerajaan. Ketika itu, dia merasakan bahawa tidak cukup hanya kajian melalui buku. Dia merasakan pentingnya dia mendalami ajaran agama yang dikaji secara langsung.
Ketika itu, beliau meletakkan sasaran: Untuk membiasakan dirinya dengan ilmu Islam dan cabang-cabangnya, untuk menjadi salah seorang yang setaraf dengan ilmuwan Islam, untuk melihat pengaruh sistem Islam terhadap masyarakat, dan sasaran ini tidak dapat dicapai melainkan dengan perhubungan secara langsung dengan ilmuwan dan masyarakat awam di masjid, bazar dan penempatan awam.
Beliau telah mengembara ke Istanbul, Beirut, Damsyik, Jerusalem dan Kaherah dengan dana kerajaan. (Conrad, 1990)Damsyik dianggap beliau ‘bandar yang terindah’, di situ beliau menjalinkan hubungan baik dengan alim ulamak di Madrasah Zahiriya, sebuah insitusi pendidikan Islam yang dibina sejak tahun 1277.
Perjalanan ke Kaherah
Keghairahannya terhadap Islam meningkat ketika dia meluangkan masa beberapa bulan di Kaherah, Mesir. Di situ, dia berkenalan dengan Dr. Stern, pengarah perpustakaan kolej di Kaherah. Stern memperkenalkan Goldziher kepada Dor Bey, seorang pegawai tertinggi berbangsa Sweden di bawah Menteri Pendidikan Kaherah, yang juga merupakan protege (orang kepercayaan) Riyad Pasha, Menteri Pendidikan Kaherah yang berpengaruh.
Dor Bey kemudiannya menerangkan tentang Goldziher kepada tuannya, Riyad.Riyad, mula bersembang dengan Goldziher dengan Bahasa Perancis tetapi sebaliknya Goldziher meminta izin Riyad untuk bercakap dalam bahasa ibundanya. Goldziher ketika itu telahpun menguasai budaya dan bahasa Arab, dan kefasihan serta kecantikan bahasa Goldziher menarik minat Riyad yang kemudiannya menjemput beliau datang ke rumahnya beberapa kali seminggu.
Perhubungan dengan Menteri Pendidikan
Goldziher ketika itu mengambil peluang memohon kepada Riyad sesuatu yang diidamkannya ketika menjejakkan kaki ke Kaherah, iaitu untuk belajar di al-Azhar. Riyad agak terkejut dengan permintaan yang aneh dari seorang berbangsa Eropah, dan menerangkan bahawa agak sukar untuk memenuhi permintaannya kerana tidak pernah orang bukan Islam belajar di al-Azhar.
Goldziher menunjukkan rasa hormatnya kepada Riyad setiap kali berjumpa dengannya. Riyad amat berminat dengan Goldziher hingga ingin melantiknya dalam jawatan penting di bawah Kementerian Pendidikan tetapi Goldziher menolaknya dan mengatakan bahawa ibu bapanya memerlukannya di rumah. Riyad kemudian bertanya jika dia inginkan sesuatu.
Namun, Goldziher dengan keberaniannya meminta dan menerangkan bahawa tiada lagi yang diinginkannya dari Riyad dan kecintaannya dalam Pengajian Islam begitu mendalam hingga boleh dikatakan beliau sebahagian dari mereka. ‘Namun’ Riyad berkata, “Aku tidak boleh mengarahkan mufti untuk menerima kamu”.
Goldziher kemudian meminta Riyad untuk sekurang-kurangnya memberikan rekomendasi kepada mufti dan Goldziher sendiri secara peribadi akan membuat permintaan itu. Riyad bersetuju dan menulis surat rekomendasi yang meminta mufti al-Azhar dengan segera berjumpa dengan pemuda Eropah itu dan memberitahu bahawa dia bernilai untuk belajar di situ.
Temuduga dengan Mufti Al-Azhar
Goldziher dengan menaiki keldai dan sekeping surat di tangannya, kemudia menuju ke rumah tempat mufti al-Azhar ketika itu, Sheikh Abbasi. Beliau terpaksa menunggu beberapa lama di ruang menunggu sebelum dia dibenarkan masuk ke ruang kuliah mufti. Mufti itu sedang duduk di kalangan belasan ulamak lain dan sedang membincangkan topik pewarisan harta.
Goldziher mendengar perbincangan itu beberapa lama sebelum mufti menegurnya dan bertanya: ‘Adakah kamu yang direkomendasikan oleh sahabatku, Riyad Pasha?” dan menambah: “Apakah agamamu?” Goldziher sudah menjangka soalan yang akan ditanyakan lalu menjawab: Riyad Pasha yang mulia telah membantu saya. Nama saya Ignaz al-Majari. Saya dilahirkan di kalangan Ahli Kitab, saya percaya pada Hari Kebangkitan dan pengakuan kepada Yang Satu.”
Kepintaran jawapannya memuaskan hati mufti lalu bertanya Goldziher apa yang difahami mengenai perbincangan yang baru saja berlangsung. Goldziher kemudian menerangkan mengenai apa yang dibincangkan dan pencapaiannya mengejutkan ulamak-ulamak di situ. Beliau kemudian meyakinkan mufti tentang kepercayaannya kepada Tuhan Yang Satu, dan menyatakan sewaktu remajanya dia bermimpi menjadi salah seorang dari mashaikh.
Mufti kemudian memberikan kebenaran dan menyuruh pegawainya untuk menulis surat arahan kepada semua anggota Al-Azhar mengenai penerimaan kemasukannya dan menyatakan perlindungannya kepada Goldziher dan arahan untuk belajar di bawah kendalian Sheikh Ashmawi. Sheikh Ashmawi agak terkejut membaca surat arahan dari mufti dan memperakui bahawa Goldziher merupakan non-muslim yang pertama memasuki al-Azhar.
Beliau belajar dari Sheikh Ashmawi dan Sheikh Mahfuz al-Maghribi, seorang ulamak dari Afrika Utara. Beliau juga menuntut ilmu dari Sheikh Sakka, ilmuwan Mesir yang berumur 100 tahun. Beliau banyak mempelajari mazhab Hanafi dan Maliki dari ulamak-ulamak ini. Dia juga sekali sekala hadir ke majlis ulamak-ulamak lain.Dia mengakui bahawa dia antara pelajar yang disukai di kalangan guru dan pelajar-pelajar lain.
Beliau mengaku bahawa beliau mempunyai kekuatan tersendiri dengan bimbingan ilmuwan-ilmuwan itu malah mengatasi ilmu mereka dalam bidang pengetahuan dan pemahaman kajian-kajian agama Islam yang memberikan suatu kepuasan intelektual dalam dirinya.
Namun, kesan yang paling besar dalam dirinya pada emosinya ialah ketika dia merasai pengalaman Solat Jumaat di salah satu masjid di Kaherah. Beliau menyifatkan pembelajaran beliau di Kaherah sebagai titik permulaaan signifikan dalam perkembangan ilmunya. Kesibukan beliau dalam menghadiri kuliah-kuliah di Al-Azhar menyebabkan beliau tidak sempat untuk mengemas kini diari yang setiap hari ditulisnya.
Dia tinggal disana selama empat bulan sebelum kembali ke Budapest pada empat Mei, beberapa hari sebelum kematian bapanya.Lawatannya ke Kaherah itu lah yang membuatkannya ghairah terhadap Islam sepanjang hidupnya.Beliau kemudian meneruskan kehidupannya di Budapest.
Walaupun kecintaannya begitu mendalam terhadap Islam, Goldziher kekal beragama Yahudi sepanjang hidupnya.Di akhir hidupnya, dia masih menunjukkan minat untuk membaca, belajar dan menuntut ilmu. Beliau kemudian meninggal dunia kerana penyakit pada 13 November 1921. (Patai, 1987)
Karya-Karya Goldziher
Sepanjang hidupnya ia tidak pernah meninggalkan aktiviti menulis karya ilmiah yang membahas masalah-masalah Islam dan banyak dicetak dalam Bahasa Jerman, Inggeris dan Perancis. Bahkan sebahagiannya diterjemahkan dalam Bahasa Arab.
Sebahagian yang paling berpengaruh di antara karya-karyanya ialah buku “Muslim Studies Muhammadaniche Studien” di mana ia menjadi sumber utama dalam penelitian hadith di Barat
Adapun karya-karya lain yang ditulis ialah Die Zahiritin Ihr Lhrsystem und Geschicte, yang membahas perkembangan sejarah aliran Zahiri, Muhammadenishe Studien tentang sejarah agama Islam khususnya tentang Hadith, Vorlesungen den Islam yang membahas tentang pengantar memahami teologi dan hukum Islam, dan karya lain yang merupakan penjelasan lanjut daripada karya di atas. (Rohmansyah, 2015)
RUJUKAN:
Conrad, L. I. (1990). The Near East Study Tour Diary of Ignaz Goldziher. Journal of The Royal Asiatic Society of Great Britain and Ireland, 105-127.
Gothhkil, R. (1922). Ignaz Goldziher. Journal of The American Oriental Society, 189-193.
Patai, R. (1987). Ignaz Goldziher and His Oriental Diary. Detroit, Michigan: Wayne State University Press .
Rohmansyah. (2015). Hadith dan Sunnah dalam Perspektig Ignaz Goldziher. Ulul Albab, 235-248.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih