Melihatkan tajuk sahaja, pasti ramai pencinta kucing tertarik. Pembaca yang mempunyai kucing peliharaan di rumah pasti teringat akan kucing kesayangan mereka. Paling-paling pun, pasti ada yang terfikir tentang signifikan kewujudan kucing dan kesannya jika tiada lagi kucing di dunia ini.
Adakah ramai yang akan merasa sunyi setelah ketiadaan kucing? Atau merasa senang kerana tiada lagi kucing liar yang akan ‘membuang’ merata-rata di halaman rumah?
Hakikatnya, If Cats Disappeared From The World ini bukanlah sebuah dokumentari saintifik tentang kucing. Ianya sebuah filem Jepun yang bertajuk “Sekai kara neko ga kietanara” (世界から猫が消えたなら). Filem arahan Akira Nagai ini diadaptasi dari sebuah novel sama tajuk karya Genki Kawamura. Ditayangkan pada tahun 2016, filem yang dikategorikan dalam genre drama ini dibintangi oleh Takeru Satoh dan Aoi Miyazaki.
Jika anda fikir filem ini adalah tentang kucing semata-mata, anda salah. Secara keseluruhannya, filem ini memanglah berkisar sedikit sebanyak tentang kucing tetapi fokus utamanya adalah si pemilik kucing. Filem ini berkisarkan tentang seorang posmen yang hanya mengetahui tentang ketumbuhan (tumor) di otaknya pada saat akhir, di mana dia hanya mempunyai paling-paling pun satu minggu untuk hidup. Namun, dia didatangi oleh makhluk yang mengaku dirinya ‘devil’ yang memberinya peluang untuk hidup sehari lebih lama dengan syarat: setiap satu hari yang ditambah akan ‘dibayar’ dengan melenyapkan sesuatu dari muka bumi.
Melalui filem ini, penonton akan didedahkan dengan kehidupan seorang lelaki yang akan mati dalam masa yang terdekat. Apa yang menarik tentang filem ini adalah ia menyedarkan kita bahawa mati itu adalah satu hakikat yang perlu kita terima. Bila dan bagaimana kita akan mati itu tidak penting. Namun, bagaimana kita hidup bersama orang-orang yang kita sayang dan yang menyayangi kita itu adalah perkara utama yang perlu kita fikirkan.
Justeru, jika kita berada di tempat posmen, apakah yang sanggup kita pilih untuk dilenyapkan dari dunia semata-mata untuk hidup lebih lama? Menerusi filem ini, penonton akan didedahkan dengan 4 jenis keutamaan yang bakal dilenyapkan dari muka bumi, yang bukan sahaja watak posmen, malah kita semua sering terlepas pandang dan mengambil ringan.
Kita dapat lihat bahawa pada era teknologi ini, telefon merupakan salah satu medium perhubungan yang paling utama. Telefon bukan sahaja berfungsi menghubungkan manusia secara atas talian, bahkan juga memudahkan pengguna mendapatkan maklumat di hujung jari.
Menerusi filem If Cats Disappeared From The World, salah satu keutamaan yang ditonjolkan adalah telefon. Hal ini kerana, penonton dapat melihat bahawa telefon itu merupakan medium perhubungan utama di antara posmen dan juga bekas kekasihnya. Mereka pertama kali berkenalan melalui perbualan di dalam telefon. Oleh itu, telefon merupakan salah satu simbol perhubungan yang istimewa buat mereka berdua di mana jika telefon itu tidak wujud, mereka berdua hanyalah bagaikan orang asing yang saling tidak mengenali di antara satu sama lain.
Jadi, posmen memilih untuk berjumpa bekas kekasihnya itu buat kali terakhir. Melalui perjumpaan tersebut, dia menyedari bahawa hakikatnya dia masih lagi menyimpan perasaan pada bekas kekasihnya. Namun, apabila telefon dilenyapkan, segala memori bekas kekasihnya terhadapnya lenyap sama sekali.
Babak ini membuka mata penonton bahawa, walaupun telefon kita sentiasa berada dalam genggaman tidak kira masa, kita sering terlepas pandang tentang kegunaannya yang paling penting, iaitu untuk berhubung. Kita lebih leka melayari Internet dan media sosial berbanding menelefon mereka yang terdekat dan tersayang seperti ahli keluarga dan ibu bapa untuk bertanya khabar dan melepaskan rindu. Pada era teknologi yang semakin membangun ini, yang seharusnya memudahkan segala jenis komunikasi dan perhubungan, nyata lebih melekakan malah lebih berpotensi memutuskan hubungan silaturahim di antara satu sama lain.
Justeru, kehidupan ini tidak bermakna jika kita tidak mampu menjaga dan mengekalkan hubungan yang erat dengan yang tersayang. Gunakanlah telefon itu dengan sewajarnya, untuk menelefon dan bertanya khabar sebelum segala-galanya terlambat.
Posmen merupakan seorang peminat tegar filem. Melalui minat tersebut, dia bertemu dan menjalin hubungan persahabatan dengan peminat filem yang bernama Tsutaya. Hubungan persahabatan mereka bermula sebagai rakan sekelas di Universiti sehinggalah mereka bekerja, di mana Tsutaya, yang kini mengendalikan sebuah kedai DVD filem, tidak pernah gagal mengesyorkan filem-filem yang terbaik buat tatapan posmen. Seperti katanya, ‘Seperti mana filem itu tidak akan mungkin lenyap, persahabatan kita kekal buat selamanya’.
Namun, apabila mengetahui bahawa jangka masa hayatnya tidak panjang, posmen meminta Tsutaya mengesyorkan filem yang terakhir untuk tontonannya.
Kita semua mempunyai minat yang menghubungkan kita dengan yang lain. Seperti mana seorang ulat buku mudah berkawan dengan ulat buku dan juga seorang peminat tegar K-pop mudah berkawan dengan peminat tegar K-pop yang lain. Hal ini kerana, kita saling memahami minat masing-masing di samping mempunyai minat yang sama membolehkan kita berkongsi dengan lebih efektif dan berkomunikasi dengan lebih informatif dan mendalam. Persahabatan yang berpaksikan minat juga merupakan antara hubungan persahabatan yang utuh kerana selagi minat itu wujud, maka persahabatan juga tidak akan putus dengan sewenang-wenangnya.
Dengan jangka hayat yang singkat, posmen meyedari kepentingan minatnya terhadap filem sekali gus satu-satunya hubungan persahabatan yang terjalin di antara dia dengan Tsutaya.
Menerusi filem ini, bapa posmen diperkenalkan sebagai seorang pemilik kedai jam. Namun, karakternya yang sentiasa menghabiskan masa bekerja membaiki jam membuatkan hubungannya dengan posmen renggang sejak kecil lagi.
Selain itu, watak Toumo juga diperkenalkan sebagai seorang pengembara berbangsa Jepun yang ditemui oleh posmen dan bekas kekasihnya di Buenos Aires. Watak Toumo menggambarkan simbol masa, di mana dia mengatakan bahawa dia ingin menggunakan sepenuh hayatnya untuk mengembara ke serata dunia. Dalam erti kata lain, Toumo ingin menjalani kehidupan dengan sepenuhnya atau ‘to live life to the fullest’.
Toumo bagaimanapun terlibat dalam kemalangan dan meninggal dunia, sejurus selepas mengucapkan selamat tinggal kepada posmen dan bekas kekasihnya. Kematian Toumo yang sangat mengejut memberi tamparan hebat pada mereka berdua sekali gus menyedarkan mereka tentang masa yang tidak akan pernah berhenti meninggalkan manusia. Segala impian dan cita-cita juga berlalu selaras dengan masa. Oleh itu, kematian Toumo mempamerkan kepentingan menghargai dan menggunakan masa yang dikurniakan dengan sebaik-baiknya sebelum ajal yang tidak diketahui bila akan tiba.
Menerusi filem ini, watak kucing digambarkan sebagai watak keluarga. Keluarga posmen memelihara 2 ekor kucing. Seekor yang bernama Retasu (baca lettuce) semasa posmen masih kecil dan seekor lagi bernama Kyabetsu (baca cabbage) menggantikan Retasu yang telah mati.
Menurut ibu posmen, ‘Kita tidak boleh hidup tanpa kucing, tetapi kucing boleh hidup tanpa kita’ menggambarkan betapa pentingnya kewujudan kucing dalam keluarga kecil mereka. Hubungan posmen yang rapat dengan ibunya salah satunya berpunca daripada kasih sayang mereka terhadap kucing-kucing peliharaan. Manakala, hubungan posmen dengan bapanya pula, tidak lah begitu baik kerana sikap bapanya yang sering tidak mengendahkannya mahupun ibunya. Namun, walaupun tidak ekspresif, ternyata bapanya menyimpan sifat kasih sayang dan mengambil berat itu di dalam hati.
Sebagaimana mereka yang memelihara kucing menunjukkan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi kepada kucing masing-masing dan sebagaimana kita menerima kucing peliharaan seperti salah satu anggota keluarga, seperti itu juga lah kasih sayang yang seharusnya kita rasa dan kongsi bersama ahli keluarga.
Kesimpulannya, filem If Cats Disappeared From The World ini menggambarkan bahawa kehidupan yang baik itu merupakan kehidupan yang mengutamakan hubungan persahabatan dan kekeluargaan, kasih sayang dan impian. Hal ini kerana, apabila ajal kita tiba, nafas, masa, impian dan hubungan antara manusia, segala-galanya akan terputus dan terhenti. Filem ini memberikan satu gambaran yang cukup jelas dan menyentuh hati serta akal fikiran tentang perkara-perkara yang sepanjang hayat ini menjadi keutamaan kita. Justeru, jika pada hari esok kita meninggalkan dunia, apakah kehidupan kita selama ini bermakna dan siapakah yang akan terkesan sepeninggalan kita?
Hakikat kehidupan di dunia ini ialah ianya pasti berakhir dengan kematian. Sebagai umat Islam, persiapan menghadapi kematian itu seharusnya menjadi salah satu fokus utama dalam kehidupan. Dari Ibnu Umar, dia berkata: Aku bersama Rasulullah, lalu seorang lelaki Anshar datang kepada Baginda, kemudian mengucapkan salam kepada Rasulullah lalu dia bertanya: “Wahai, Rasulullah. Siapakah di antara kaum mukminin yang paling baik?” Baginda menjawab,”Yang paling bagus akhlaknya di antara mereka.” Dia bertanya lagi: “Siapakah di antara kaum mukminin yang paling cerdik?” Baginda menjawab,”Mereka yang paling banyak mengingati kematian, dan yang paling bersedia selepas itu. Mereka itu lah orang-orang yang cerdik.” – [HR Ibnu Majah:4259].
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih