Beliau antara guru wanita yang menjadi pelopor serta pendorong kepada pendidikan wanita Melayu pada era 1900-an. Inilah kisah Ibu Zain yang menjadi lambang kegigihan guru yang tidak jemu memandaikan anak bangsanya.
Nama sebenar beliau ialah Tan Sri Hajjah Zainun binti Munshi Sulaiman, dan dilahirkan di Kampung Nyalas, Melaka pada 22 Januari 1903. Ketika itu, pendidikan bukanlah kepentingan bagi golongan wanita dan kebanyakannya hanya menimba ilmu tak formal di rumah.
Tapi, berbeza dengan wanita ini, kerana telah mendapat peluang seluasnya dalam bidang pendidikan. Anak kepada pasangan guru ini telah mendapat pendidikan awalnya di Sekolah Rendah Perempuan Methodist Kampung Belanda, Tengkera, Melaka.
Khidmatnya kepada masyarakat bermula apabila beliau membuka Sekolah di Pasoh Jaya Waras, Negeri Sembilan untuk kanak-kanak lelaki dan perempuan di atas perbelanjaannya sendiri. Sejak hari itu, beliau telah berpindah ke Muar.
Beliau telah melibatkan diri sepenuhnya di dalam hal-hal pendidikan dan pelajaran dan telah bertugas sebagai pendidik di pelbagai Sekolah Perempuan Kerajaan di negeri Johor.
Berkat ketekunan Hajjah Zainun dalam memperkasakan bidang pendidikan, beliau telah dinaikkan pangkat dari semasa ke semasa hinggalah menjadi Penyelia Sekolah-sekolah Perempuan di Negeri Johor dalam tahun 1927. Semenjak dari itu, di atas usaha-usaha beliau, lebih banyak lagi Sekolah Perempuan ditubuhkan di Negeri Johor.
Jiwa seorang pendidik yang membara dalam dirinya menjadikan beliau bukan sahaja berjuang dalam meningkatkan taraf pendidikan anak bangsa tetapi juga giat dalam pertubuhan sukarela dengan menubuhkan Persatuan Guru-Guru Perempuan Melayu dan memimpin pertubuhan tersebut selama 19 tahun.
Usahanya dalam persatuan ini turut membawa kepada penerbitan majalah bulanan “Bulan Melayu” yang mengandungi makalah-makalah khas untuk wanita. Di dalam kesibukan ini, beliau dapat juga mencari masa untuk menceburkan diri di dalam Pertubuhan Pandu Puteri dan merupakan wanita Melayu pertama yang memasuki pertubuhan tersebut.
Paling utama, Hajjah Zainun juga berusaha menganjurkan satu tabung derma Pelajaran Tinggi untuk Anak-anak Perempuan Melayu Semenanjung dengan tujuan supaya kolej bagi Perempuan Melayu dapat ditubuhkan. Akhirnya beliau berjaya menubuhkan Kolej Puteri Tunku Ampuan Mariam dalam tahun 1948 dan beliau sendiri menjadi pengetuanya.
Hajjah Zainun telah dijemput Ilahi pada April 1989 akibat barah. Namun, wanita berjiwa besar ini telah meninggalkan banyak impak dalam membantu mengembangkan pendidikan kepada anak-anak muda, khususnya kepada remaja perempuan.




No comments yet