Perintah Kawalan Pergerakan yang dilanjutkan sehingga 28 April sesungguhnya menambah sengsara dalam diri kerana terpaksa dikurung selama 2 minggu lagi. Walaubagaimanapun itulah pengorbanan yang perlu dilakukan demi kelangsungan generasi Malaysia yang akan mendatang.

Wabak yang bermaharajalela sungguh menjadi ujian yang sangat besar buat Umat Islam seluruh dunia.Satu kisah yang persis sebagai tauladan dengan situasi sekarang adalah kisah Nabi Yunus AS yang disebutkan di dalam al-Quran. Firman Allah yang bermaksud:

“Dan (ingatlah kisah) Dzunnun (Yunus), ketika dia pergi dalam keadaan marah, lalu dia menyangka bahawa Kami tidak akan mempersempitnya. maka dia menyeru dalam keadaan sangat gelap bahawa: ‘Tidak ada Tuhan (yang berhak diibadahi) selain Engkau. Mahasuci Engkau, sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang zalim.’ Maka Kami memperkenankan doanya dan menyelamatkannya daripada kedukaan. Dan demikanlah Kami selamatkan orang-orang yang beriman.” (Al-Anbiyaa’: 87-88)

Al Kisah menurut Ibnu Kathir apabila Nabi Yunus atau nama sebenarnya Yunus bin Mata AS diutuskan Allah untuk menuntut penduduk daerah Ninawa iaitu satu daerah di negeri Mousul untuk beriman kepada Allah. Lantas baginda melakukan perintah Allah dengan menyeru umatnya kepada mentauhidkan Allah tanpa mempersekutukan-Nya.

Namun demikian, kata Hamka  dalam tafsir al-Azhar bahawa bilangan penduduk yang mencecah 100,000 itu tidak mahu menerima seruan Nabi Yunus lantas kekal di dalam kekafiran mereka menyebabkan Nabi Yunus menjadi marah. Berlalulah baginda keluar dengan penuh rasa murka serta mengancam mereka dengan azab siksaan setelah tiga hari.

Ibnu Kathir menukilkan bahawa setelah Nabi Yunus meninggalkan mereka dan mendapati bahawa ancaman Nabi Yunus bukanlah suatu olokan maka mereka segera keluar ke lembah-lembah. Mereka membawa anak-anak mereka,binatang ternakan dan haiwan serta memisahkan antara ibu dan anak-anak mereka seraya memohon peliharaan Yang Maha Esa daripada Azab sehinggalah Allah berkenan untuk mengangkat azab itu daripada mereka.

“Dan mengapa tidak ada (penduduk) suatu kota yang beriman, lalu imannya itu bermanfaat kepadanya selain kaum Yunus? Tatkala mereka (kaum Yunus itu), beriman, Kami hilangkan dari mereka azab yang menghinakan dalam kehidupan dunia, dan Kami beri kesenangan kepada mereka sampai kepada waktu yang tertentu.” (Yunus:98)

Walhal Nabi Yunus sudah keluar daripada daerah tersebut dalam perjalanan meninggalkan tugasnya. Hamka menukilkan bahawa disangkakan akan Nabi Yunus bahawa kesalahannya meninggalkan tugas itu tidak akan dipertanggungjawabkan, tidak ada peringatan daripada Tuhan atau disangkanya salahnya itu kecil sahaja.

Maka baginda berpergian untuk meninggalkan negerinya menuju ke Pelabuhan Jafa untuk berlayar menuju ke negeri Terbis. Lantas baginda menaiki sebuah kapal sehingga di tengah pelayaran mereka, kapal tersebut diterpa gelombang yang sangat kuat.

Nakhoda kapal berteriak mencadangkan untuk membuat undian, “Sungguh angin kencang bertiup tidak seperti kebiasaan kerana bersama kita seseorang lelaki yang salah sehingga kerananya angin ini bertiup dengan kencang. Kita akan melakukan undian pada semua. Maka barangsiapa yang namanya keluar kami akan membuangnya ke lautan.” Begitu takdir menentukan undian itu jatuh kepada Yunus lalu mereka mengulangi semula sehingga cukup 3 kali undian tetap juga jatuh undian kepada Yunus AS.

“Sesungguhnya Yunus benar-benar seorang rasul. (Ingatlah) ketika dia lari, ke kapal yang penuh muatan. kemudian dia ikut berundi lalu dia termasuk orang-orang yang kalah dalam undian.” (As-Saffat:139-141).

Kata Ibnu Kathir, tatkala itu Nabi Yunus berdiri dan membuka bajunya lantas terjun ke dalam lautan sehingga Allah menghantar di tengah badai lautan itu seekor ikan Paus. Sayugia ikan itu menelan Nabi Yunus sebaik sahaja baginda melepaskan diri daripada kapal yang dinaikinya. Ibnu Kathir menambah lagi bahawa Allah memberi Ilham kepada ikan tersebut, “Janganlah engkau memakan daging Yunus dan merosakkan tulang-tulangnya kerana Yunus bukanlah rezekimu dan jadilah perutmu sebagai pelindung baginya.”

Hamka menyebut bahawa tidaklah digigit Nabi Yunus oleh ikan tersebut sehingga baginda kekal hidup di dalamnya kerana itulah kekuasaan Tuhan yang dinamakan Mukjizat bagi para Nabi. Tidak mati meskipun di dalam laut yang sangat gelap. Gelap-gelita yang  berlapis-lapis angkara cahaya yang tidak dapat memasuki laut. Kata Ibnu Mas’ud, “kegelapan perut ikan, kegelapan laut dan kegelapan malam”.

Alangkah mulianya Nabi Yunus meski di dalam keadaan sedemikian masih bertasbih kepada Allah sehingga tidak henti-hentinya bertasbih dan tidak henti-hentinya menangis. Baginda tidak makan, tidak minum, dan tidak bergerak malahan berpuasa serta berbuka hanya dengan tasbih. Logik akal manusia sudah pasti menolak sekira-kira ditelan ikan lantas tidak makan dan minum sudah pastilah akan mati. Tetapi begitulah ajaibnya Mukjizat Para Nabi sehingga zikir menjadi makanan baginya.Sebegitu hebat zikir baginda dan senantiasa berdoa dengan doa:

لَا إِلَٰهَ إِلَّا أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنَ الظَّالِمِينَ

Maksudnya: “Tidak ada Tuhan selain Engkau. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim”. (Al-Anbiya:87).

Selama tiga hari tiga malam baginda terkurung di dalam perut ikan paus di tengah lautan dalam maka ikan tersebut menuju ke pantai. Lantas memuntahkan baginda dari perutnya dalam keadaan baginda yang pengsan.

Kata Hamka, sedarlah baginda kemudian itu lalu beransur pulih untuk mengulang kembali tugasnya dengan menyampaikan dakwah kepada penduduk Ninawa. Inilah yang dirakamkan Allah di dalam Al-Quran. Firman-Nya yang bermaksud:

“Maka dia ditelan oleh ikan besar dalam keadaan tercela. Maka kalau sekiranya dia tidak termasuk orang-orang yang banyak mengingat Allah, nescaya dia akan tetap tinggal di perut ikan itu sampai hari kebangkitan. Kemudian Kami lemparkan dia ke daerah yang tandus, sedang dia dalam keadaan sakit. Dan kami tumbuhkan baginya pohon dari jenis labu. Dan Kami utus kepadanya seratus orang atau lebih. Lalu mereka beriman, kerana itu Kami anugerahkan kenikmatan hidup kepada mereka hingga waktu yang tertentu.” ( As-Saffat: 142-148).

Ringkas ibrahnya dalam menempuhi keadaan yang sangat getir ini, adalah menjadi keperluan untuk kita mengadaptasikan kesabaran Nabi Yunus AS dan zikirnya yang tidak putus-putus meskipun ditelan ikan sehingga tidak dapat makan dan minum. Sedangkan kita masih berada dalam keadaan yang agak baik. Seeloknya kita bersyukur dan bertasbih memuji kekuasaan Tuhan di samping berdoa agar diperlepaskan daripada wabak ini agar Kembali hidup normal seperti kebiasaannya.

Dan ingatlah bahawa doa rintihan Nabi Yunus As ini sungguh mujarab kerana Saad Bin Waqqas pernah berkata bahawa baginda ﷺ pernah bersabda:

“Sebaik-baik doa doa Dzunnun adalah ketika berada di dalam perut ikan (Tidak ada Tuhan selain Engkau. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim) maka sesungguhnya tidak ada seorang muslim yang berdoa kepada Tuhannya dengan doa tersebut melainkan akan dimakbulkan”. (HR Tirmizi dan Ahmad).

Meskipun Nabi Yunus dalam keterperangkapan itu mengaku bahawa baginda telah zalim dengan meninggalkan tugasnya. Akan tetapi Allah yang Maha Bijaksana, memperingatkan kepada itu di hujung ayat (Dan demikanlah Kami selamatkan orang-orang yang beriman) bahawa Yunus itu bukanlah orang yang zalim, melainkan orang yang beriman.

Hamka menutup tafsirnya pada ayat ini dengan mengatakan bahawa segala penderitaan yang ditempuh  Nabi Yunus bukanlah azab kerana dia termasuk orang yang zalim sebaliknya adalah Ujian Allah kepada hamba-Nya yang beriman. Sebesar manapun ujian itu sudah pasti Allah akan menyelamatkan hamba-Nya yang beriman.

Maka berdoalah ke hadrat ilahi agar ujian wabak ini adalah ujian kepada kita untuk meneguhkan hati-hati kita bahawa tiada yang berkuasa melainkan Tuhan Yang Maha Kuasa. Moga-moga diselamatkan kita sepertimana hamba-Nya yang beriman.

A.R.KASA
Mahasiswa Jabatan Sejarah Dan Tamadun Islam.
Universiti Malaya.
Instagram: arkasa_philosophia

RUJUKAN:

Abu Fidaʾ Ismail ibn Umar ibn Kaṯhir. Tafsir Ibnu Kathir

Hamka. Tafsir Al-Azhar.

Kisah 25 Para Nabi, e-book.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Mahasiswa Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Universiti Malaya. "Cinta kepada Tamadun diiringi kebenaran Sejarah."

Comments are closed.