Diceritakan bahawa pada sekitar abad ke-9 Masihi, seorang anak muda telah dilahirkan di Bukhara, yang kemudiannya akan menggegar persada ilmu untuk beberapa abad lamanya. Menurut alim ulama, ilmuwan dan pendidiknya, anak muda ini dikenali sebagai si genius yang aneh.

Sifat aneh ini dapat dilihat apabila beliau berjaya menghafal serta mengkhatam kitab suci al-Quran dan puisi-puisi Arab. Selepas itu, beliau mempelajari ilmu hisab al-Khawarizmi dan fiqh. Seterusnya, beliau mendalami ilmu falsafah apabila keluarganya diziarahi ahli falsafah Abu Abdullah an-Nateli. Pada usia 13 tahun, beliau mengkhususkan pengajiannya terhadap ilmu perubatan. Nama anak muda ini ialah Abu Ali Al-Husain bin Abdullah bin Hasan bin Ali bin Sina.

Kariernya sebagai seorang tabib bermula semasa beliau berumur 16 tahun. Selang 1-2 tahun, raja Bukhara kerajaan Samaniyyah, Nuh bin Mansur jatuh gering dek penyakit di dalam perut. Tiada siapa pun yang mampu merawat penyakit baginda, termasuk tabib-tabib diraja. Mendengarkan kemahsyuran Ibn Sina kerana memperkenalkan kaedah rawatan yang baru, raja Nuh bin Mansur memanggil tabib muda itu untuk merawatnya. Ibn Sina mengejutkan orang ramai apabila beliau berjaya merawat rajanya yang gering. Sebagai balas budi, Ibn Sina dijadikan tabib diraja dan dibenarkan menggunakan perpustakaan diraja yang dipenuhi 30,000 manuskrip dan buku ilmu.

Selepas kematian ayahnya dan kemangkatan raja Nuh bin Mansur, kerajaan Samaniyyah menjadi kucar kacir kerana pemberontakan. Melihatkan keadaan tersebut, Ibn Sina merantau ke negeri Jurjaniyyah. Di situ, Ibn Sina disambut baik oleh rajanya dan diangkat menjadi ahli akademi ilmu, sekaligus memberikan peluang kepada Ibn Sina untuk terus mencari ilmu. Pada waktu inilah, beliau mula menulis opus magnum-nya, al-Qanun fi al-Tibb. Ibn Sina sekali lagi terpaksa merantau keluar ke negeri lain kerana masalah politik di Jurjaniyyah. Perantauannya itu membawa beliau ke negeri-negeri lain dan akhirnya bermastautin dengan aman di Isfahan (Iran).

Ibn Sina merupakan seorang penulis tegar. Dalam beberapa riwayat, beliau telah menulis lebih kurang 7 buah buku setahun. Beliau juga mempunyai seorang sahabat, ahli fiqh bernama Abu Ubaidah al-Jurjani yang mencatat dan mengimlakkan apa-apa yang terkeluar daripada bibir Ibn Sina berkenaan ilmu seperti perubatan. Dalam riwayat yang lain, sahabatnya ini telah menyalin karangannya semasa beliau dalam peperangan. Bukunya yang pertama ditulis semasa beliau berumur 21 tahun dan jumlah kesemua buku-buku yang ditulisnya ialah 456 buah buku. Hampir kesemuanya ditulis dalam bahasa Arab dan beberapa lagi dalam bahasa Parsi.

Karya agungnya, al-Qanun fi al-Tibb, merupakan buku teks perubatan yang sangat berpengaruh dan dijadikan bahan bacaan sekolah perubatan selama 600 tahun sejak zaman beliau masih hidup. Di negara-negara barat, buku ini dianggap sebagai buku sangat penting, seperti kitab Injil. Qanun ini boleh dibahagikan kepada 5 jilid besar yakni:

  1. Buku yang membicarakan perkara-perkara asas dan umum.
  2. Buku ubat-ubatan ringkas.
  3. Buku penyakit organ-organ.
  4. Buku penyakit yang boleh merebak ke seluruh badan.
  5. Buku ubat-ubatan kompoun.

Gambar 1: Ilustrasi arteri dan viskeral berdasarkan ‘Anatomi Mansur’ di dalam kitab Qanun oleh Ibn Sina.

Apa yang menariknya tentang kaedah rawatan Ibn Sina berdasarkan kitab-kitabnya, beliau tidak terlalu rigid dengan kaedah rawatan teknikal semata-mata. Beliau memasukkan elemen-elemen falsafah dan juga kecenderungannya dalam menggunakan unsur-unsur psikologi bagi merawat penyakit mental. Kaedah ini dikenali sebagai perubatan psikosomatik pada masa sekarang.

Dalam satu kisah Ibn Sina semasa beliau berkhidmat sebagai Perdana Menteri bagi negeri Isfahan, raja ‘Ala’ ad Daulah telah  bersungut kepada beliau tentang ahli kerabat yang sakit gila. Ahli kerabat itu, seorang pemuda, menyangka dirinya seekor lembu. Ibn Sina kemudiannya merangka satu kaedah (baca: helah) dalam merawat kerabat daripada gila. Beliau mengutuskan sepucuk surat yang mengatakan beliau akan menyembelih pemuda tersebut dan menyuruhnya menggemukkan diri dalam masa sebulan seperti hasil gembala yang subur. Oleh kerana masih menyangka dirinya seekor lembu, pemuda itu mula makan dan minum dengan kuantiti yang banyak dalam usaha untuk menggemukkan diri.

Genap sebulan selepas itu, Ibn Sina bertemu dengan pemuda berkenaan. Badan pemuda itu dibaringkan seperti lembu menunggu disembelih dengan pisau di tangan Ibn Sina. Walau bagaimanapun, Ibn Sina membatalkan hasratnya dalam menyembelih pemuda tersebut kerana masih kurus. Disebabkan itu, pemuda itu kembali menggemukkan dirinya supaya dapat disembelih. Sebulan selepas itu, Ibn Sina melawat pemuda berkenaan dan mendapati dia tidak mahu disembelih kerana sudah waras dek pemakanan yang bagus. Di sini, kita dapat lihat perkaitan perubatan psikologi dengan jasmani. Badan sihat menjadikan otak cerdas.

Selain itu, Ibn Sina juga ada menulis perkaitan emosi dengan perubahan sistem badan, fisiologi tidur, pengaruh iklim  terhadap kesihatan dan penyakit, ujian klinikal, dietetik, kepentingan air suci dan analgesik. Perkara ini seterusnya dikembangkan dengan drastik pada zaman-zaman berikutnya, melahirkan pelbagai lagi aliran perubatan moden.

Penyakit-penyakit seperti kancing gigi, pleuritis, tuberkolosis, antraks telah ditulis oleh beliau dengan tepat. Dalam hal lain, beliau membicarakan gambaran klinikal mengenai meningitis, keradangan pada selaput otak dan diagnosisnya. Di sini, saya ingin menekankan Ibn Sina juga telah memberi sumbangan yang besar terhadap bidang farmakologi. Di dalam kitab Qanunnya, beliau ada membincangkan tentang proses persediaan ubat seperti menumbuk. Beliau turut menyenaraikan jenis-jenis bentuk ubat seperti antidot, pes, lozeng, minyak dan infusi. Senarai ini dilengkapi dengan manual seperti nama sebatian, teknik penggunaan dan penyimpanan. Ini secara tak langsung telah menggalakkan pembangunan bidang farmasi.

Umum diketahui bahawa Ibn Sina merupakan seorang polimath, iaitu genius dalam pelbagai bidang seperti Leonardo da Vinci. Beliau merupakan penulis bagi 68 buku teologi dan metafizik, 11 tentang astronomi, falsafah dan fizik dan 4 mengenai sajak. Kepakarannya dalam bidang lain dapat dilihat melalui 10 jilid ensiklopedia bernama ash-Shifa’.Di dalamnya terkandung ilmu mengenai geologi pembentukan gunung-ganang, falsafah sains, logik, fizik pergerakan dan daya projektil, teori cahaya mempunyai kelajuan dan psikologi berdasarkan falsafah Aristotle.

Semasa beliau dipenjarakan dalam satu kemelut politik, beliau telah merangka satu paradoks berkenaan jiwa dan tubuh manusia. Andaikan ada seorang manusia sedang terapung di satu ruang kosong dan kelam. Disebabkan keadaan di sekelilingnya tak mempunyai apa-apa stimulus, deria-deria manusia berkenaan gagal merasai apa-apa pun. Seterusnya, manusia itu mempersoalkan adakah dia masih wujud atau tidak. Paradoks ini membicarakan tentang tubuh dan jiwa manusia itu berlainan. Dualiti. Oleh kerana tubuh tak dapat merasai apa-apa stimulus, maka secara teorinya dia dianggap mati, tapi sebab dia masih berfikir, maka dia wujud. Paradoks ini mempunyai persamaan dengan falsafah Descartes tentang Skeptisisme.

Kisah hidup Ibn Sina ini dipenuhi dengan suka dan duka pengembaraannya dalam mencari ilmu. Namun, apa yang ironi tentang kisah hidup beliau ialah tentang bagaimana tokoh ini meninggal. Semasa dalam ekspedisi ketenteraan, beliau menghidap sakit perut kronik dan mengenakan dirinya dengan suntikan rektal yang berlebihan. Hal ini memberikan kesan terhadap ususnya dan akhirnya meninggal kerana komplikasi usus pada tahun 1037 Masihi.

Rujukan

  1. Ismail bin Saad. (1992). Pengenalan Tamadun Islam dalam Ilmu Perubatan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
  2. Abu-Asab, Mones. Amri, Hakima. Micozzi, Marc S. (2013). Avicenna’s Medicine: A New Translation of the 11th-Century Canon with Practical Application for Integrative Health Care.Vermont: Healing Arts Press.
  3. Fayyad, Sulayman. (2003). Siri Tokoh Cendekiawan Islam 7: Ibn Sina, Pakar Perubatan. Cetakan kedua. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Alkisah diceritakan tentang pemuda, yang berdua tiadalah bertiga, yang berjasad dan bertumbuh, juga mempunyai sahabat dalam tubuh. Sebagai seorang pelajar Bioteknologi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Kuantan, Ammar dan sahabatnya, A sentiasa berganding bahu dalam mencari erti kewujudan alam, cuba mengkagumi ciptaan Tuhan melalui kaca mata sains biologi dan falsafah. Impian terbesar mereka adalah untuk menghampiri Ilmu Mutlak, kerana akal yang tak berisi tiadalah dibau kasturi, melainkan debu nista yang berbau jebat.

Leave A Reply