Rumah Ibadah atau Ibadat Khana ditubuhkan oleh Maharaja Akbar dari Mughal (1541-1605 Masihi) bagi tujuan mengadakan debat-debat dan perbincangan agama dalam kalangan ahli teologi dan cendekia pelbagai agama berbeza.

Abu al-Fath Jalal-ud-din Muhammad Akbar, atau masyhur dikenali sebagai Akbar Agung, merupakan maharaja Mughal ketiga (memerintah 1556-1605 Masihi), yang bertanggungjawab memperluaskan empayar dan memayungi sub-benua India.

Penghikayat-penghikayat kontemporer menggambarkan bahawa selepas mencapai kemenangan muktamad dan perluasan pengaruh dengan jaya, beliau melibatkan diri dalam usaha intelektual dan berinteraksi dengan para ulama’ dan pelajar kepada seorang wali Sufi yang bernama Khwaja Muinuddin Chishti.

PEMBINAAN

Akbar sepertinya meraih inspirasi daripada pemerintah Bengal, Sultan Kirani, yang lazim meluangkan waktu malamnya bersama 150 orang ahli agama bagi mendengarkan syarahan mereka.

Beliau juga menerima kunjungan Mirza Suleiman dari Badakshan, seorang ahli Sufi yang mempunyai nyala rasa yang tinggi dalam perbincangan teologi. Justeru, Akbar bertekad mahu membina sebuah dewan perbincangan yang boleh memuatkan ramai ahli teologi Muslim.

Pembinaan Ibadat Khana dimulakan pada awal tahun 1575 Masihi di Fatehpur Sikri (Kota Kemenangan), ibu kota Empayar Mughal pada waktu itu. Kompleks bangunan ini disiapkan pada tahun 1576 Masihi, dan perbincangan diadakan pada setiap malam Jumaat (hari Khamis, waktu malamnya) yang kadangkala berlangsung sepanjang malam. Abu al-Fazl, penghikayat rasmi Empayar Mughal mencatatkan:

Terdapat sebuah pengisytiharan umum dikeluarkan bahawa pada malam tersebut, kesemua aliran dan sekte manusia – yang mencari kebenaran spiritual dan fizikal, dan mereka dari kalangan orang awam yang mencari kesedaran dan mempunyai pertanyaan tentang setiap sekte – boleh berhimpun di perkarangan bangunan suci dan mengedepankan pengalaman rohani mereka, serta keilmuan mereka yang pelbagai dan berkontradik di kamar penzahiran ini. (Abu al-Fazl, 158).

Perbincangan-perbincangan ini tergendala selama setahun, namun kemudiannya, ia diteruskan pada tahun 1578 Masihi. Dipercayai bahawa semenjak itu, ahli-ahli teologi dan intelek dari pelbagai agama dan sekte seperti Hinduisme, Islam, Kristian, Buddhisme, Jainisme, Zoroastrianisme, dan ateis dijemput untuk berdiskusi di Ibadat Khana.

Perbincangan-perbincangan ini seterusnya mendorong Akbar untuk meyakini bahawa tiada kebenaran yang mutlak sekaligus memuncakkan kepada penciptaan agama barunya, iaitu Din-i-Ilahi (Agama Ketuhanan).

PENYUSUNAN IBADAT KHANA

Gambaran umum tentang struktur Ibadat Khana ini boleh dibina berdasarkan rujukan-rujukan yang terdapat di dalam Muntakhabut Tawarikh (hikayat kontemporer karangan Badaoni). Di tengah-tengah dewan ini terdapat sebuah platform berbentuk oktagon yang merupakan tempat duduk maharaja. Empat orang menterinya, iaitu Abdur Rahim, Birbal, Faizi dan Abu al-Fazl, masing-masing mempunyai tempat duduk yang tersendiri di keempat-empat sudut.

Pelan seni bina Ibadat Khana tidak diperincikan secara teliti oleh mana-mana penghikayat kontemporer. Namun, Nizamuddin Ahmad menyatakan bahawa ia mempunyai empat sayap dan penglibatan awal dalam diskusi yang dilangsungkan dihadkan hanya kepada sekumpulan kecil hadirin.

Bagi merungkai perbalahan berkenaan tempat duduk yang mencerminkan keutamaan seseorang, maharaja sendiri menetapkan peletakannya: di sisi timur adalah tempat para amir (bangsawan berkedudukan tinggi), para Sayyid (keturunan baginda Nabi Muhammad) menempati sayap barat; ulama’ (ilmuwan dalam perundangan Islam) di sebelah selatan dan para Shaikh (cendekia dari aliran tasawuf Muslim) pula di sebelah utara.

BENTUK PERBINCANGAN & KESANNYA

Akbar didedahkan kepada falsafah Yunani oleh Shaikh Mubarak dan anak-anaknya, iaitu Abu al-Fazl dan Faizi pada awal 1570an dan dipengaruhi secara mendalam oleh Sufisme. Susulan daripada peningkatan minat Akbar terhadap falsafah dan persoalannya tentang ajaran agama inilah makanya proses penyemakan-semula aspek-aspek teologi dan hukum-hakam Islam dimulakan di Ibadat Khana.

Ia bermula sebagai sebuah perhimpunan Sunni (aliran utama Islam), yang kemudiannya menjadi perhimpunan pan-Muslim dan seterusnya dibuka kepada agama-agama lain. Antara tema perbincangan di Ibadat Khanah merangkumi sifat Tuhan dalam Katolik dan Islam, vegetarianisme atau layanan terhadap haiwan dalam ajaran Buddhisme dan Jainisme, monogami, falsafah-falsafah Hindu purba hinggalah kepada penyembahan api dalam ajaran Zoroastrianisme.

Pada tahun 1579 Masihi, maharaja buat pertama kalinya menjemput mubaligh Jesuit ke istana Mughal. Ketua mubaligh ini adalah seorang warga Itali yang bernama Father Rudolf Aquaviva, anak kepada Duke of Atri dan anak saudara kepada Father General kelima bagi Society.

Beliau mempunyai dua orang teman, iaitu Father Antonio de Monserrate, seorang warga Catalan yang mencatatkan aktiviti-aktiviti para mubaligh di istana Mughal, dan Francisco Henriques, seorang warga Parsi dari Ormuz yang mahir dalam menterjemah. Mubaligh-mubaligh Jesuit ini menghadiahkan Bible Polyglot yang ditaja oleh Philip II dari Sepanyol kepada maharaja Akbar.

Akbar kemudiannya memerintahkan agar pelukis-pelukis istana menghasilkan potret Isa dan Mariam serta membenarkan para mubaligh ini menyebarkan agamanya di kota. Maharaja juga meluangkan waktu malamnya bagi berbincang tentang agama Kristian dan memakai pakaian serta topi Portugis sebagai simbol terhadap minatnya untuk menggabungkan penglibatan para paderi ke dalam istananya.

Kecenderungan beliau terhadap para paderi dan sifat agama-politik mereka itu menimbulkan kritikan dari penghikayat Badaoni dan ulama-ulama konservatif yang lain di istana Mughal. Memerincikan kesan kehadiran paderi-paderi Jesuit di istana, Badaoni menulis:

“Pendeta-pendeta terpelajar dari Eropah, yang dipanggil sebagai Padre, dan memiliki ketua yang tidak boleh disangkal, iaitu Papa, yang mampu mengubah ketetapan agama sekehendaknya pada masa-masa yang dikiranya perlu, dan yang autoritinya perlu dipatuhi oleh para raja, datang membawa Gospel, dan bukti-bukti lanjut tentang Triniti. Tuanku percaya dengan teguh terhadap kebenaran agama Kristian, dan berhajat untuk menyebarkan doktrin Jesus, memerintahkan Putera Murad agar mempelajari serba-sedikit tentang agama Kristian dan mengarahkan Abu al-Fazl untuk menterjemahkan Gospel. (Badaoni, 267)

Akbar juga mempunyai minat terhadap Zoroastrianisme, agama orang Parsi. Kaitan antara keluarganya dengan Parsi serta kecenderungannya terhadap para pegawai Iran berbanding pegawai Mogul (Uzbeg dan Chagatai) mungkin menjadi faktor yang mendorong kepada minatnya terhadap falsafah agama masyarakat Iran. Pada penghujung tahun 1578 Masihi, beliau menjemput Dastur Meherji Rana, ketua agama Zoroastrian dari Nausari, Gujarat, ke istananya. Dastur mengajarkan Akbar tentang ritual, upacara dan amalan keagamaan Parsi.

Di bawah undang-undang Parsi, sebuah api keramat mula dinyalakan di istana di mana api ini tidak seharusnya dipadam. Pengaruh Zoroastrian pada diri maharaja boleh dilihat menerusi amalan penyembahan matahari dan api. Beliau bahkan menggunakan nama-nama Parsi bagi kalendar hari dan bulan serta meraikan pesta-pesta Parsi. Tambahan, beliau juga pernah menghadap khalayak umum dengan mengenakan tanda aliran Hindu di dahinya.

Pada tahun 1582 Masihi, maharaja menjemput Hirvijaya Suri, seorang ahli falsafah Jain untuk ke istananya. Ahli falsafah itu memujuk maharaja agar mengharamkan pembunuhan haiwan pada hari-hari tertentu. Lantaran terpengaruh dengan prinsip-prinsip ajaran Jainisme, Akbar pun memerintahkan agar penyembelihan pada tempoh tertentu dihentikan dan beliau secara peribadi cenderung terhadap vegetarianisme. Suri dikurniakan gelaran ‘guru alam’ atau ‘Jagad guru’.

Sebilangan sejarahwan berpendapat bahawa pendekatan-pendekatan yang diambil oleh maharaja ini, termasuklah penghapuskan jizyah (cukai ke atas bukan-Muslim) berkemungkinan adalah untuk meraih penerimaan dalam kalangan rakyat bukan-Muslim. Tambahan, perbincangan-perbincangan yang dilakukannya di Ibadat Khana memberikan banyak kesan pertentangan terhadap ortodoksiti Muslim dalam istana Mughal.

KESAN DARIPADA DISKUSI-DISKUSI AGAMA INI

Perbincangan-perbincangan yang dilakukan di Ibadat Khana ini menimbulkan keyakinan dalam diri Akbar bahawa segala agama mempunyai elemen kebenaran dan kesemuanya membawa kepada Hakikat Tertinggi yang sama.

Keyakinan ini merupakan fasa penting dalam pembangunan dasar-dasar keagamaannya, yang memuncak kepada perkembangan konsep sulh-i-kul (keamanan sejagat). Sebahagian sejarahwan juga berpendapat bahawa Akbar memanfaatkan perdebatan-perdebatan di Ibadat Khana ini untuk mendedahkan ketaksuban dan kesempitan pandangan golongan teologi Muslim di istananya.

Hal ini seterusnya memberikan beliau keabsahan untuk melanggari tatanan otodoks Islam di istananya. Dalam sebuah titah yang dikeluarkan pada tahun 1579 Masihi, beliau mengisytiharkan dirinya sebagai Imam-I Adil (pemerintah saksama, sekaligus memindahkan autoriti keagamaan dari tangan ulama’ ke tangannya sendiri.

Dalam erti kata lain, beliau diisytiharkan sebagai pemberi kata putus yang muktamad serta menjadi autoriti perundangan yang tertinggi dalam empayar. Namun, menurut Badaoni, beliau tidak pernah meninggalkan agama Islam. Menjelang tahun 1582 Masihi, perbincangan-perbincangan di Ibadat Khana dihentikan.

LOKASI

Ramai ilmuwan dari pelbagai zaman telah menamakan tujuh hingga lapan buah bangunan berbeza sebagai Ibadat Khana. Salah satu bangunan tersebut ialah sebuah struktur empat segi dengan tiang teratau yang masyhur dikenali sebagai diwan-i-khas. Ekskavasi-ekskavasi paling masyhur yang dijalankan ke atas struktur ini dilakukan di bawah kendalian Profesor R.C. Gaur dan ianya membawa kepada penemuan sejumlah platform, bilik dan dinding yang mempunyai ciri yang sama dengan struktur yang digambarkan dalam lukisan miniatur Mughal berkenaan Ibadat Khana yang kini disimpan di Perpustakaan Chester Beatty.

Lukisan miniatur ini menggambarkan Maharaja Akbar yang sedang duduk di atas sebuah platform tinggi, sambil mengadakan perhimpunan keagamaan bersama beberapa orang ilmuwan. Dua orang paderi Jesuit yang berpakaian jubah hitam, dikenali sebagai Rodolfo Acquaviva dan Francisco Henriques turut dilihat menyertai perhimpunan agama tersebut.

Penemuan-penemuan terkini oleh sejarahwan Rezavi pula mengemukakan bahawa struktur bernama Daftarkhana adalah Ibadat Khana, berdasarkan lokasinya yang hampir dengan Khwabgah (kediaman Akbar), bukti dari ekskavasi-ekskavasi yang pernah dijalankan sebelum ini serta rujukan-rujukan dari sejarahwan kontemporari. Walau bagaimanapun, lokasi tepat Ibadat Khana di Fatehpur Sikri masih lagi diperdebatkan sehingga kini.

TERJEMAHAN:

Manya Rathore. (29 April 2020). Ibadat Khana. Ancient History Encyclopedia.
https://ancient.eu/Ibadat_Khana/


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.