Kisah wanita jelita ini begitu terkenal, bukan sahaja dalam kalangan masyarakat Korea, malah hampir di seluruh dunia. Ceritanya dipaparkan lewat melalui filem, drama dan novel. Kisahnya sebagai seorang gisaeng, dan cintanya terhadap seorang kerabat diraja. Namun, tak ramai yang mengetahui bahawa wanita ini bukanlah hanya seorang gisaeng, tetapi seorang pemuisi dan penyair berbakat, yang meluahkan setiap rasa hatinya melalui puisi yang dikarangnya. Artikel ini akan membawa anda mengenali Hwang Jini, seorang gisaeng dan pemuisi yang hidup pada sekitar abad ke-16 dalam Dinasti Joseon.

Sejarah awal

Hwang Jini, atau disebut juga sebagai Hwang Jin-Yi dikatakan lahir pada sekitar tahun 1506 di bandar Kaesong (kini terletak di Korea Utara) dan telah hidup pada zaman pemerintahan Raja Jungjong. Hwang Jini turut dikenali dengan gelaran Myeongwol (“bright moon” atau bulan terang, 명월), kerana dia merupakan salah seorang gisaeng yang sangat terkenal dalam sejarah Dinasti Joseon.

Siapakah Hwang Jini ini yang sebenarnya? Berdasarkan sejarah, dia merupakan anak tidak sah taraf kepada seorang ahli politik (aristokrat), manakala ibunya berasal daripada golongan bawahan yang bekerja sebagai penulis jalanan. Ibu dan bapanya bertemu ketika ibunya sedang mencuci pakaian, namun kerana perbezaan status, maka pasangan ini tidak dapat berkahwin dan Hwang Jini akhirnya lahir sebagai seorang gadis daripada kelas bawahan, sama seperti ibunya.

Kehidupan sebagai gisaeng

Gisaeng, atau ginyeo adalah istilah yang diberikan buat perempuan yang menjadi penghibur, dan sejarahnya dikatakan telah bermula sejak zaman Dinasti Silla. Gisaeng berasal daripada kelas cheonmin, iaitu status paling bawah dalam Dinasti Joseon. Meskipun berasal daripada kelas bawahan, namun kebanyakan gadis yang bekerja sebagai gisaeng ini masih berpeluang untuk mengekspresikan emosi dan pendapat mereka dengan bebas.

Gadis-gadis gisaeng ini juga dibenarkan untuk mempelajari seni puisi, tarian dan musik, yang mana tidak dibenarkan untuk perempuan lain dalam kasta yang lebih tinggi pada zaman Dinasti Joseon. Melalui puisi, tarian dan persembahan musik inilah mereka menyampaikan emosi yang mereka alami. Malah, hampir kesemua puisi yang dihasilkan oleh gadis gisaeng ini sebenarnya banyak menghuraikan mengenai cinta serta segala emosi sedih yang mereka hadapi.

Kehidupan seorang gisaeng sebenarnya boleh disamakan dengan kehidupan seorang pelacur. Mereka bekerja melayani lelaki berbeza yang boleh berubah sama ada sekali dalam setahun, mahupun setiap hari. Pada waktu itu, takdir hidup seorang gisaeng adalah seolah-olah seperti bahan permainan, yang hanya berperanan untuk keseronokan semata-mata. Dan, seorang gisaeng tidak akan pernah berpeluang untuk menjadi isteri yang sah kepada mana-mana lelaki.

Meskipun melalui kehidupan yang menyedihkan, namun seorang gisaeng tidak harus menunjukkan perasaan mereka yang sebenarnya kerana tujuan kewujudan mereka hanyalah untuk menghiburkan orang lain. Dan, kerana itulah, musik dan puisi menjadi cara untuk mereka melepaskan apa yang terbuku dan terpendam di hati.

Kehidupan seorang gisaeng pada zaman Dinasti Joseon ini boleh dipecahkan kepada empat kelas atau strata berbeza dalam kalangan golongan gisaeng itu sendiri. Kelas pertama dan kedua dipanggil sebagai gisaeng tahap tinggi (high level gisaengs) yang mempunyai kebolehan dalam menghasilkan puisi serta lagu yang berkualiti. Manakala kelas ketiga dan keempat pula adalah gisaeng tahap rendah (low level gisaengs) yang tidak mempunyai kebolehan dalam berpuisi mahupun menghasilkan lagu, jadi tugas mereka hanya perlu melayan lelaki sepanjang hidup mereka. Gisaeng kelas pertama inilah yang akan melayan lelaki berstatus tinggi daripada golongan aristokrat (yangban) dan mereka jugalah yang menghasilkan puisi serta lagu-lagu indah yang dipanggil sebagai sijo dan hansis yang masih wujud sehingga ke hari ini.

Hwang Jini, yang merupakan anak tidak sah taraf kepada seorang yangban, dikenali ramai kerana kecantikannya yang luar biasa serta kebolehannya dalam menghasilkan puisi dan lagu. Sejak kecil lagi Hwang Jini dikatakan telah mempunyai keistimewaan yang tersendiri dan kerana itulah, apabila meningkat remaja, dia telah meninggalkan rumah untuk mempergunakan kebolehan yang dimilikinya itu. Selepas meninggalkan rumah, Hwang Jini dikatakan telah memasuki gyobang, sebuah tempat seumpama institut latihan buat gadis yang ingin menjadi gisaeng.

Di sinilah Hwang Jini telah mengasah bakatnya dalam bidang musik, tarian dan puisi, malah turut mempelajari instrumen klasik seperti geomungo. Apa yang paling penting, dia juga telah mempelajari sijo, malah menjadi salah seorang ahli sijo yang paling terkenal dalam sejarah Dinasti Joseon. Sijo adalah puisi dalam tiga baris yang masih lagi wujud sehingga ke hari ini. Sijo ini telah diperturunkan secara verbal dan berkait rapat dengan musik. Kebanyakan gisaeng menulis sijo dengan adunan unik yang menunjukkan emosi mereka yang inginkan kebebasan, perspektif secara ironik serta aspek teknikal yang menjadikan puisi berkenaan begitu klasik.

Hwang Jini dan kisah cintanya

Nama rasmi Hwang Jini sebagai seorang gisaeng adalah Myeongwol (bright moon), dan nama ini diberikan agar dirinya sentiasa bersinar cerah seperti sinaran bulan penuh pada waktu malam. Berdasarkan sejarah, Hwang Jini dikatakan telah menggunakan sijo ini untuk mengumpan Lee Changgon, seorang aristokrat muda dan kerabat diraja, untuk datang ke rumah gisaeng dan berhibur. Hwang Jini mahukan lelaki muda itu untuk menghabiskan masanya dengan hiburan dan tidak hanya belajar.

Lee Changgon akhirnya jatuh hati kepada Hwang Jini, tetapi masih dingin terhadapnya sehinggalah Hwang Jini membacakan puisi (sijo) yang dihasilkannya khusus buat Lee Changgon. Puisi sijo ini yang bertajuk Blue Stream sebenarnya mewakili seorang lelaki yang hadir dalam hidup Hwang Jini. Dalam bahasa Korea, Blue Stream ini boleh diertikan sebagai air yang jernih. Dan ia juga merupakan alias kepada Lee Changgon. Hwang Jini telah menggambarkan Lee Changgon seumpama air jernih di dalam puisi yang dihasilkannya ini. Lee Changgon dikatakan telah jatuh daripada kuda yang ditungganginya apabila Hwang Jini membacakan puisi ini buat dirinya.

Puisi yang dihasilkan oleh Hwang Jini ini sebenarnya menggambarkan emosi cintanya serta perpisahan antara mereka berdua. Hwang Jini mahu merasai cinta seperti air jernih yang mengalir, namun dia tahu bahawa cinta ini adalah sementara dan tidak mampu untuk bertahan selama-lamanya. Lee Changgon berdarah diraja dan Hwang Jini hanya mahu merasai sebentar pengalaman cinta bersama seseorang yang berstatus tinggi seperti Lee Changgon. Status bawahan yang dimilikinya tidak memungkinkan Hwang Jini untuk bersama dengan lelaki seperti Lee Changgon.

Kesimpulan

Hwang Jini dikatakan telah meninggal dunia pada sekitar tahun 1560, dan diingati sebagai salah seorang gisaeng jelita serta berbakat besar dalam seni puisi dan musik. Kisah cintanya yang tidak kesampaian dengan Lee Changgon adalah penggerak utama yang membawa kepada karya terbaiknya dalam puisi, yang dihasilkan untuk melahirkan rasa cintanya. Hwang Jini sebenarnya tidak harus dikenang hanya sebagai seorang gisaeng jelita, tetapi seorang ahli puisi yang banyak menghasilkan puisi indah, dan melalui penulisan puisi inilah dia mengekspresikan seluruh kehidupannya.

Rujukan

Cho, Sung Won. 2004. “Renaissance Nun vs. Korean Gisaeng: Chastity and Female Celibacy in Measure for Measure and ‘Chun-Hyang Jeon.’” Comparative Literature Studies 41 (4): 565–83.

Edgin, Kayley. 2013. “Hwang Jini : An Examination of Life as a Joseon Kisaeng.” History 1501: East Asia 1: 1–20.

Maynes, K. 2012. “Korean Perceptions of Chastity, Gender Roles, and Libido; From Kisaengs to the Twenty First Century.” Grand Valley Journal of History 1 (1–19).

Theresia, Margareth, and An Younghoon. 2015. “Gisaeng Life Portrayed on `Blue Stream’Sijo by Hwang Jini.” Seoul, South Korea.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Anak Terengganu yang bercita-cita untuk menjadi food historian, dan memasang impian untuk mengeluarkan buku mengenai kesemua makanan warisan di Malaysia. Telah selesai viva untuk Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pemakanan dan bakal bergraduat pada akhir tahun nanti. Sukakan muzik, drama dan filem, tetapi nyata rasanya lebih kepada penulisan. Seorang ghostwriter, penyunting dan penterjemah sambilan. Bidang penulisan yang diminati; pemakanan, sains makanan, gastronomi, sejarah dan eksplorasi karya (drama dan filem).

Comments are closed.