Sebenarnya agak kurang tepat untuk menganggap Kesultanan Aceh Darussalam sebagai sebuah kerajaan vassal (pengikut) Uthmaniyyah. Walaupun secara teknikalnya, memang benar, Aceh berada dibawah payung Uthmaniyyah namun ia tidak berlaku secara de facto.
Kesultanan Aceh Darussalam memiliki pusat kekuasaan mereka sendiri di selat Melaka, berkat kedudukan geografinya yang strategik dan menguasai kawalan terhadap penghujung selat.
Dan seperti yang kita ketahui, selat ini adalah salah satu laluan perairan yang terpenting dalam perdagangan rempah-rempah antarabangsa semasa zaman penerokaan.
Tetapi kedudukan strategik ini berada di bawah persaingan dan diancam oleh Portugis, terutamanya setelah Portugis menjadikan diri mereka sebagai musuh utama Aceh dengan menakl*k Kota Melaka sekaligus menjatuhkan Kesultanan Melaka di semenanjung Tanah Melayu.
Kedua-dua kuasa yang saling bersaing ini masing-masing memiliki alasan dari segj ekonomi, politik dan agama yang menjadi punca persaingan sengit ini.
Tetapi kepentingan yang paling penting bagi orang Aceh dan Portugis adalah siapa yang berupaya memegang kuasa kawalan terhadap perdagangan melalui Selat Melaka.
Semasa zaman kegemilangan Empayar Uthmaniyyah, pengaruh khalifah Uthmaniyyah tersebar sejauh ke timur di Asia Tenggara. Terdapat banyak catatan mengenai interaksi antara Kesultanan Melayu dan Empayar Uthmaniyyah, terutamanya yang melibatkan permohonan bantuan ketenteraan dan sokongan politik berbanding aktiviti dakwah atau urusan perdagangan maritim.
Masyarakat di sekitar Kepulauan Melayu umumnya memiliki pandangan yang baik terhadap Empayar Uthmaniyyah, yang mereka gelar sebagai “Rum” (raja-raja dunia yang hebat).
Catatan sejarah Melayu turut menyingkap beberapa peristiwa interaksi Melayu-Turki yang tersohor, termasuk sebuah kisah yang didakwa sebagai kisah Laksamana Hang Tuah, pahlawan Melaka abad kelima belas yang dikirim ke kota “Stambul,” ibu kota Rum, untuk membeli meriam.
Setelah kejatuhan Kesultanan Melaka pada tahun 1511 di tangan Portugis, Kesultanan Aceh (1496-1903) bangkit meneruskan legasi sebagai pusat Islam yang baharu di Asia Tenggara.
TURKI-ACEH SALING MEMERLUKAN
Persahabatan secara tidak rasmi antara Empayar Uthmaniyyah dengan Kesultanan Aceh telah terjalin sekurang-kurangnya sejak tahun 1530-an. Menurut catatan Portugis, ekspedisi dari Turki telah tiba di tanah Aceh pada tahun 1539, dengan membawa muatan sekitar 300 orang Turki, Afrika, Gujarat, dan lebih dua ratus orang pelaut lagi dari Malabar.
Ini adalah zaman dimana seorang putera Aceh, Alauddin Riayat Syah, baru sahaja menaiki takhta sebagai Sultan yang baru. Dia kemudian menyerap barisan kontinjen dari ekspedisi Turki ke dalam angkatan tenteranya sendiri, dan memulakan kempen memer*ngi raja-raja Sumatera yang lain, Portugis-Melaka dan Johor.
Pada masa inilah Alauddin berusaha mengukuhkan hubungannya dengan Empayar Uthmaniyyah. Beberapa kelemahan dalam kempennya menunjukkan ancaman serius yang ditimbulkan oleh Portugis dari kubu kuat mereka di Melaka.
Perkara lain yang perlu dipertimbangkan adalah aktiviti Portugis dari kubu kuat mereka di Goa dan Ceylon menjadikan jalan laut antara Laut Merah dan Melaka secara umumnya menjadi laluan yang berbahaya bagi pedagang rempah Muslim.
Oleh sebab itu, pedagang Turki, Arab, Gujarat, dan Aceh telah membangunkan laluan alternatif bagi menghindari laluan yang berhampiran kubu Portugis di Ceylon dan Goa. Oleh itu, Aceh dan Uthmaniyyah saling memiliki kepentingan bersama untuk memer*ngi Portugis di laut.
Alauddin mengirim utusan rasmi kepada Sultan Suleyman Qanuni, kemungkinan besar pada awal tahun 1562, untuk memohon bantuan Uthmaniyyah bagi memperkasakan lagi kemampuan ketenteraannya.
Berdasarkan isi kandungan suratnya kepada Suleyman, Alauddin mengakui akan kedaulatan Suleyman sebagai khalifah dunia Islam – dari sinilah bermulanya Kesultanan Aceh sebagai sebuah kerajaan bawahan Empayar Uthmaniyyah.
Dengan pengiktirafan Alauddin itu, Kesultanan Aceh secara teknikalnya telah berada di bawah payung Daulah Khilafah Uthmaniyyah kerana Khalifah adalah pejabat politik tertinggi dalam struktur politik dunia Islam.
Tetapi secara praktikalnya, sultan-sultan Islam yang lain dan berbeza dari segi geopolitik dan demografi seperti Sultan Aceh adalah seorang pemerintah secara de facto namun memiliki kedaulatannya sendiri di negara mereka.
Setelah kemangkatan Sultan Suleyman, ekspedisi Uthmaniyyah ke Aceh diteruskan dan dilancarkan pada tahun 1566 oleh anaknya, Sultan Selim II, yang memiliki keghairahan dan semangat solidariti yang tinggi terhadap idea untuk menyokong “saudara Islam dari Timur yang berani” ini.
Ekspedisi itu melibatkan sejumlah 15 buah kapal geliung bersenjata yang membawa pasukan tentera yang lengkap dengan jurutera dan tukang senjata serta sejumlah besar bekalan peluru dan senjata. Namun, armada ini terpaksa menukar haluan mereka ke Yaman bagi menghentikan pemberontakan Al Mutahhar.
Hanya dua kapal yang membawa para juruteknik dan bekalan senjata akhirnya mendarat di pantai Aceh. Para jurutera dan tukang senjata Turki ini bertekad untuk meneruskan misi sokongan mereka berbekalkan satu-satunya perkara yang boleh mereka lakukan iaitu peralihan teknologi – mereka mengajarkan ilmu kepada orang Aceh tentang teknik untuk membina senjata dan meriam mereka sendiri.
Berkat ilmu pengetahuan ini, pada awal abad ke-17, Kesultanan Aceh Darussalam berjaya memiliki sejumlah besar meriam sederhana, alat pengisi-ulang amunisi dan arquebus.
Pada tahun 1568 satu lagi ekspedisi Uthmaniyyah dengan 22 buah kapal berlayar di bawah perintah Laksamana Kurtoğlu Hızır Reis dan telah tiba di Aceh pada tahun 1569.
Serentak dengan itu, Empayar Uthmaniyyah memberi peringatan kepada Portugis bahawa Kesultanan Aceh Darussalam bermula dari saat itu adalah wilayah milik kedaulatan Empayar Uthmaniyyah.
Maka dengan itu, setiap provokasi atau tindakan ofensif terhadap sempadan Aceh yang cuba dilakukan Portugis akan dianggap sebagai ser*ngan terhadap Empayar Uthmaniyyah.
Amaran itu berkesan dalam menamatkan terus sebarang kegiatan Portugis di daerah sekitar Aceh. Ini mencipta satu lagi asas teori yang lain tentang definisi Kesultanan Aceh Darussalam sebagai negara vassal dan dibawah naungan Empayar Turki Uthmaniyyah.
Ekspedisi ini menyebabkan peningkatan pertukaran ilmu dan budaya antara Aceh dan Uthmaniyyah memandangkan sultan Aceh yang berikutnya meneruskan budaya pertukaran ini, dan pada waktu ini juga, armada kapal per*ng Aceh telah diberi keizinan khas untuk mengibarkan bendera merah dihiasi bulan sabit dan bintang milik Empayar Uthmaniyyah.
Hubungan Aceh-Uthmaniyyah merupakan satu ancaman besar yang dianggap berjaya menggagalkan agenda Portugis yang berhasrat mahu mewujudkan monopoli perdagangan mereka dibahagian sisi lautan India ini.
Aceh menjadi musuh komersil utama Portugis, terutamanya ketika zaman pemerintahan Sultan Iskandar Muda, yang pada waktu itu telah memiliki sistem persenjataan yang amat lengkap dengan 1200 biji meriam dan 800 senapang isi-ulang dan musket, kekuatan sebegini memungkinkan Aceh memiliki lebih banyak kawalan terhadap perdagangan rempah daripada Portugis.
Apa sebenarnya yang mampu Portugis lakukan adalah usaha mereka dalam mengganggu-gugat pakatan perdagangan Aceh-Uthmaniyyah-Venetia dengan perancangan mereka untuk menyer*ng Laut Merah dan Aceh, tetapi menemui kegagalan berikutan Portugis tidak lagi memiliki tenaga dan kuasa ketenteraan yang mencukupi di lautan India.
FAKTOR BERKONGSI MUSUH YANG SAMA
Selepas pelayaran Vasco da Gama, Portugis secara beransur-ansur mula menguasai Lautan Hindi, Teluk Parsi, dan Laut Merah. Pada tahun 1494, Sepanyol dan Portugis menandatangani Perjanjian Tordesillas di mana mereka membahagikan tanah yang baru ditemui di luar Eropah di sepanjang 370 liga meridian di sebelah barat pulau-pulau Cape Verde, di pantai barat Afrika.
Tanah di sebelah timur akan menjadi milik Portugis dan tanah di sebelah barat diambil pihak Sepanyol. Markas Tentera Laut Portugis didirikan di Goa, sebuah bandar di pantai barat India. Kemudian Portugis memaksa kebanyakan bandar pesisir di Semenanjung Arab untuk tunduk pada kekuasaan mereka.
Sementara itu, penguasaan Uthmaniyyah di Laut Merah bermula pada tahun 1517 ketika Sultan Selim I menyerap Mesir ke dalam pemerintahan Empayar Uthmaniyyah. Maka, setelah penguasaan Uthmaniyyah di Laut Merah semakin meluas, disinilah persaingan Turki-Portugis bermula.
Selim I mengadakan rundingan bersama Sultan Gujarat (sebuah kesultanan di India Barat Laut), mengenai sebarang kemungkinan untuk melancarkan ser*ngan bersama dalam menentang Portugis di Goa.
Namun Selim I meninggal dunia pada tahun 1520. Pada tahun 1534, Sultan Suleyman Qanuni menyerap pula sebahagian besar Iraq sebagai sebahagian wilayah Uthmaniyyah, dan pada tahun 1538 Uthmaniyyah telah tiba di Basra.
Uthmaniyyah menghadapi masalah dengan pesisir pantai yang berada di bawah kawalan Portugis: kebanyakan bandar pesisir di Semenanjung Arab sama ada merupakan pelabuhan milik Portugis atau sebagai kerajaan bawahan Portugis.
Uthmaniyyah mengetuai empat ekspedisi di Lautan Hindi antara tahun 1538 dan 1554, semasa pemerintahan Sultan Suleyman.
Pada tahun 1538 Uthmaniyyah membantu Kesultanan Gujarat dengan armada yang besar untuk mengepung Diu yang telah dibina oleh Portugis pada tahun 1535. Ser*ngan itu tidak menemui kejayaan dan pengepungan Uthmaniyyah dibatalkan.
Pada tahun 1548 armada gabungan Uthmaniyyah-Mesir menawan Aden, dan pada tahun 1552 menj*rah Muscat. Pada tahun 1554, Tentera Laut Portugis mengalahkan armada gabungan Uthmaniyyah-Mesir dalam Pertemp*ran Teluk Oman.
Pada tahun 1559, Uthmaniyyah mengepung Bahrain, yang telah ditakl*ki oleh Portugis pada tahun 1521, tetapi pasukan Uthmaniyyah diasak kembali.
Berulang kali gagal mengalahkan Portugis, Uthmaniyyah menghindarkan diri seketika dari sebarang tindakan besar, malah memilih untuk menyediakan sokongan logistik dan material per*ng kepada musuh Portugis.
Musuh Portugis itu ialah Kesultanan Aceh yang telah mengakui kedaulatan Khilafah Uthmaniyyah sebagai pemimpin tertinggi dunia Islam, ianya demi meraih sokongan Uthmaniyyah dalam menentang ancaman Portugis.
Tidak lama kemudian, Portugis dan Empayar Uthmaniyyah menandatangani perjanjian damai di mana Uthmaniyyah dibenarkan untuk mengawal jalan darat ke Eropah.
Ia sekaligus menjamin keselamatan wilayah Basra yang telah lama diimpikan oleh Portugis, manakala Portugis diizinkan mengawal laluan perdagangan laut ke India dan Afrika Timur.
Uthmaniyyah berterusan mengirim bala bantuan kepada Kesultanan Aceh yang memungkinkan Aceh berjaya menakl*ki sebahagian besar Sumatera pada separuh kedua abad ke-16. Uthmaniyyah mengajar mereka bagaimana mahu membina meriam sendiri dan senjata yang serupa seperti digunakan askar-askar Uthmaniyyah.
Pada awal abad ke-17, Aceh memiliki sekitar 1200 meriam gangsa bersaiz sederhana, dan sekitar 800 senjata lain seperti senapang isi-ulang dan arquebus, yang menjadikan Aceh sebagai musuh komersial utama untuk Portugis.
ACEH BUKAN NEGARA BAWAHAN SECARA RASMI
Kerana itu, meletakkan istilah negara vassal atau kerajaan bawahan terhadap Kesultanan Aceh mungkin hanya sekadar istilah atas kertas sahaja, kecuali jika terdapat sebarang penemuan catatan yang menunjukkan bahawa Kesultanan Aceh membayar wang penghormatan atau ufti kepada Empayar Uthmaniyyah.
Apa yang kita semua tahu ialah ada banyak kerajaan dan kesultanan Muslim di seluruh dunia pada masa itu mengakui akan kedaulatan Empayar Uthmaniyyah dan melihat Turki sebagai payung untuk kerajaan-kerajaan Islam diseluruh dunia bernaung di bawahnya.
Bahkan Kesultanan Melaka juga turut mengiktiraf jangkauan kuasa Uthmaniyyah dan sering mengirim hadiah penghormatan melalui utusan.
Menjelang abad ke-19, Sultan Johor yang baru telah ber*ngkat ke Istanbul sebaik sahaja dinobatkan sebagai Sultan yang baru.
Namun, tiada sedikit pun disebut bagaimana layanan dan sambutan yang diterima di Istanbul berbanding dengan sambutan hangat yang diterima dari Ratu Victoria di England.
Harus diingat bahawa Sultan Johor itu hanya berjaya mendaki hirearki dengan sokongan Sir Stamfford Raffles sebagai galang ganti untuk Singapura, melalui “sokongan” tentera laut Inggeris.
Memandangkan hubungan Uthmaniyyah dengan Inggeris agak dingin, sudah tentu kita boleh menjangka bagaimana reaksi para pegawai Turki Uthmaniyyah.
Pada zaman Kesultanan Aceh, keberadaan Uthmaniyyah masih kuat walaupun berlaku peningkatan persaingan oleh kuasa-kuasa Eropah yang baru muncul.
Menariknya, pada sekitar tahun 1700-an Kerajaan Uthmaniyyah mengirim ekspedisi yang seakan-akan sengaja digagalkan tiba ke Aceh, alasan yang tidak diketahui.
Ketika Aceh diser*ng oleh Belanda pada tahun 1873, yang mencetuskan Per*ng Aceh, pentadbir wilayah tersebut memohon bantuan perlindungan berdasarkan perjanjian mereka sebelum itu dengan Empayar Uthmaniyyah sebagai salah satu penaungnya.
Tuntutan itu ditolak dan dibantah oleh kuasa-kuasa Barat yang bimbang akan kewujudan unsur-unsur preseden (peristiwa atau tindakan terdahulu yang dianggap sebagai contoh atau panduan untuk dipertimbangkan dalam keadaan serupa yang seterusnya).
Sekali lagi Aceh meminta bantuan ketenteraan dari Empayar Uthmaniyyah, tetapi armada per*ng yang pada awalnya disiapkan dan dikirim untuk membantu Aceh telah dilencongkan ke Yaman untuk menghapuskan pemberontakan Zaidi di sana. Uthmaniyyah kemudiannya menawarkan diri mereka sebagai pihak tengah dalam konflik Aceh-Belanda.
PERJUANGAN ACEH MENDIDIK GENERASI BARU
Kesultanan Aceh telah sekian lama diberi layanan yang adil lagi istimewa kerana penentangannya yang konsisten terhadap dominasi kuasa asing.
Ini berdasarkan pada reaksi terhadap pencerobohan Portugis yang besar terhadap Sumatera pada tahun 1510-an, dimana Aceh kekal menjadi penentang tegar Portugis-Melaka secara berterusan untuk abad berikutnya.
Belanda, Inggeris dan Perancis kemudian diberitahu bahawa walaupun mereka dialu-alukan untuk berdagang, mereka tidak akan dibenarkan membina kubu seperti yang telah terbukti ia berjaya menjatuhkan pemerintahan Muslim yang lain di rantau tersebut, antaranya, Kesultanan Melaka. .
Pada abad kesembilan belas, Kesultanan Aceh kembali memberikan penentangan terakhir, terpanjang dan paling sengit terhadap kemaraan Belanda, penentangan paling epik ini kekal diingati dan sangat kuat untuk menjadi pembakar semangat bagi mendorong pemberontakan pada tahun 1942 yang telah mengusir Belanda sebelum kedatangan Jepun.
Pemberontakan terus dilanjutkan terhadap pemerintahan imperialis Jepun, bahkan, penentangan diteruskan terhadap pemerintah Indonesia untuk sebahagian besar tempoh, antaranya pada tahun 1953 dan 2004.
Hubungan lama Aceh dengan Turki Uthmaniyyah, yang secara beransur-ansur muncul dan akhirnya hilang akibat bayang-bayang sejarah Euro-centric, menghasilkan keputusan yang mengejutkan kerana Aceh boleh berbangga dengan semangat mereka untuk berdikari dan tidak redha tanahair mereka dijajah.
Sesungguhnya Gerakan Aceh Merdeka sepanjang tempoh 1976-2005 yang menggunakan bendera yang dimodelkan mengikut bendera Turki bukanlah suatu perkara kebetulan.
Kesediaan sultan Aceh pada abad keenam belas dan kesembilan belas untuk mengisytiharkan diri mereka sebagai rakyat, subjek, bahkan ‘hamba’ kepada sultan Uthmaniyyah adalah taktik untuk menarik perhatian orang Turki dan menghapuskan ancaman Eropah, tetapi ia juga mencerminkan pandangan dunia Islam yang jelas.
Rumah Islam pada dasarnya harus disatukan di bawah khalifah yang benar-benar beriman. Selama mereka bertanggungjawab menjadi penjaga tempat-tempat suci seperti Mekah dan Madinah. Bahkan, Gereja Makam Suci Baitulmaqdis sekalipun, para khalifah Uthmaniyyah telah memberikan alternatif yang lebih baik daripada model-model ketamadunan baharu dunia Eropah yang sombong dan menindas pendokong tradisi.
RUJUKAN:
An Old Ally Revisited: Diplomatic Interactions Between the Ottoman Empire and the Sultanate of Aceh in the Face of Dutch Colonial Expansion: https://www.tandfonline.com/doi/abs/10.1080/07075332.2020.1726433
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih