Adolf Hitler (20 April 1889 – 30 April 1945) ialah tokoh propaganda politik di Jerman. Beliau terlibat dalam Perang Dunia Pertama (1914–1918) tetapi memainkan peranan penting dalam Perang Dunia Kedua (1939 – 1945). Sehingga kini beliau dilabel oleh musuh politiknya sebagai orang yang kejam, bengis dan diktator yang gila kuasa.
Ketika berusia 25 tahun, Hitler cukup daif dari segi pendidikan, Hitler masih merupakan lelaki yang diibaratkan hidup berkelana, tanpa apa-apa sokongan keluarga atau kawan, dan tanpa masa depan. Walau bagaimanapun, beliau menimba pengalaman yang berguna ketika Perang Dunia Pertama, berkhidmat dalam tentera Bavaria.
Selepas Perang Dunia Pertama yang menyaksikan kekalahan Jerman, Hitler pulang ke Munich dan meneruskan kerjanya dengan tentera Jerman. Sebagai pegawai perisikan, beliau memantau aktiviti Parti Pekerja Jerman (DAP) dan tertarik terhadap idea anti-Semitik, nasionalis, dan anti-Marxis pengasas parti itu, iaitu Anton Drexler.
Pada Disember 1919, Hitler menyertai DAP, yang mengubah namanya kepada the Nationalsozialistische Deutsche Arbeiterpartei (NSDAP) – yang selalunya diringkaskan kepada Nazi. Hitler secara peribadi mereka bentuk kain rentang parti Nazi, menukar simbol swastika dan menggantikannya dalam lingkaran putih pada latar belakang merah.
Beliau pernah mengetuai bahagian propaganda DAP dan mengadakan beberapa rapat umum. Beliau sering ’menjaja’ kehadiran nama pemimpin terkenal tetapi pada akhirnya hanya beliau seorang yang muncul. Pada tahun 1921, beliau menggantikan Drexler sebagai pengerusi parti.
Hitler dipenjara kerana peristiwa Beer Hall Putsch (rampasan kuasa) dan dijatuhkan hukuman penjara selama 5 tahun. Sewaktu dipenjara beliau menulis buku Mein Kampf (Perjuangan Saya). Jilid pertama buku ini diterbitkan pada tahun 1925 manakala jilid kedua pada 1926.
Tulisan Hitler ini menggabungkan unsur autobiografi dan pembicaraan ideologi politik Nazisme. Ia turut membicarakan tentang konspirasi Yahudi untuk mendapatkan kuasa dunia. Buku ini dikritik hebat kerana bersifat perkauman dan mencetuskan ideologi Nazisme dan juga peristiwa Holocaust.
Buku ini mempunyai bab khusus mengenai propaganda iaitu Bab Enam (Propaganda Perang), jilid satu dan Bab Sebelas (Propaganda dan Organisasi) dan jilid dua.
Hilter cekap menghidu peluang yang ada disekeliling. Disaat rakyat Jerman tertekan akibat dari Persetiaan Versailles, berpunca dari kekalahan Perang Dunia Pertama, Hitler membangkitkan semangat Jerman kembali agar kembali menjadi bangsa terhormat pada masa depan.
Dengan memanipulasi lambang dan berpidato yang penuh emosi, Hitler berjaya mengembangkan rasa identifikasi, komitmen, dan kesetiaan khalayak. Kata-katanya yang sangat popular waktu itu, “ein volk, ein reich, ein fuhrer” (“satu bangsa, satu empayar, satu pemimpin”).
Pada tahun 1933, Hitler menubuhkan Kementerian Propaganda dan Penerangan yang diketuai oleh Joseph Goebbels. Penggunaan pendidikan, filem, media, dan radio oleh pihak Nazi secara berkesan untuk membentuk pendapat dan kelakuan awam merupakan salah satu contoh propaganda yang paling terkenal dalam dunia moden.
Pelantikan Goebbels itu menjadikan propaganda semakin popular dan semakin menjadi negatif imejnya. Bagi beliau, propaganda mempunyai dua prinsip: menyebarluaskan perkara yang tidak diketahui kebenarannya, dan “penipuan besar yang diulang berkali-kali akan menyebabkan orang ramai mempercayainya sebagai suatu ‘kebenaran’.” Ini menjadi ungkapan beliau yang terkenal.
Sementara itu, teori Argentum ad nausem (The Big Lie), muncul daripada buku ini menjadi teknik propaganda diulas oleh Hitler. Menurut Hitler, pembohongan melampau tidak akan mendatangkan hasil kerana perbuatan ini tidak dipercayai oleh orang lain. Walau bagaimanapun, jika kena caranya, pembohongan itu akan dapat mengubah kebenaran secara besar-besaran. Beliau menggambarkan pembohongan besar ini dalam kes yang dilakukan oleh bangsa Yahudi, apabila mereka menyalahkan tentera Jerman dipimpin oleh Jeneral Erich Ludendorf sebagai punca kekalahan Jerman dalam Perang Dunia Pertama.
Pembohongan itu kemudiannya mempengaruhi banyak pendapat sehingga semua pihak meletakkan kesalahan terhadap Ludendorf. Perubahan pandangan masyarakat berkenaan disebut sebagai Seni Pendustaan (Art of Lying) oleh Hitler.
Meskipun pada mulanya Hitler menyalahkan Yahudi kerana melakukan pembohongan besar, The Big Lie kemudiannya digunakan juga oleh beliau, Goebbels, Nazi, dan Jerman sendiri, terutamanya bagi memainkan sentimen anti-Semitisme yang kemudiannya bertukar menjadi punca terkorbannya jutaan jiwa.
Goebbels melakukan pembohongan dengan mendakwa bahawa Yahudi sudah memulakan perang terhadap Jerman dan memiliki bala tentera yang kuat, yang akan menguasai England, Rusia, dan Amerika Syarikat. Kesan pembohongan itu rakyat Jerman khususnya dan masyarakat dunia umumnya berasa takut. Masing-masing merasakan perlu memiliki kepentingan untuk bertahan. Pada masa yang sama, akibat pembohongan itu, bangsa Yahudi dilihat sebagai berbahaya dan wajib dicurigai.
Hitler meneruskan propaganda menerusi tulisan yang dimasukkan pada setem, akhbar, buku, iklan, poster, dan sepanduk. Propaganda lisan juga terkandung dalam propaganda, iaitu perbincangan bersama-sama mahasiswa, anggota parti atau organisasi, kelompok profesional, dan kelompok masyarakat. Turut dilakukan ialah propaganda massa meliputi demonstrasi atau rapat umum. Ini bertujuan membuahkan rasa simpati bagi mendapatkan sokongan yang lebih meluas daripada rakyat. Hitler juga mengadakan pertemuan budaya melalui teater dan filem dapat menyampaikan pengaruh kepada masyarakat.
Perang Dunia Kedua berakhir pada tahun 1945 dengan kekalahan Jerman. Mungkin ada yang berhujah bagaimana hebatnya propaganda Hitler, tercatat dalam sejarah bahawa Jerman kalah dalam Perang Dunia Kedua. Bagi penulis Hilter adalah ikon propaganda politik, konsisten memahami propaganda bukanlah tujuan tetapi alat dan berjayanya propaganda apabila berjaya menggerakkan massa.
Budiman Mohd Zohdi, penyelidik komunikasi dan politik berpusat di Jakarta, Indonesia
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih