Bila kita mendengar nama Adolf Hitler, pelbagai label sudah muncul di kepala. Diktator, anti-Semitik, Nazi, Fuhrer dan seumpamanya. Dalam artikel lepas, saudara Zamir Mohyedin menerangkan secara panjang lebar bagaimana beliau boleh menjadi antara orang paling berkuasa di Jerman dan mencetuskan Perang Dunia Kedua. Kali ini, saya akan menerangkan serba sedikit mitos yang menyelubungi lelaki yang paling dibenci dunia ini.

Hitler memandang tinggi kepada agama Islam

Antara mitos yang saya selalu dengar berkaitan Hitler ialah beliau memandang tinggi agama Muhammad dan selalu memujinya. Bagi saya, dakwaan tersebut hanyalah karut semata-mata kerana pada Hitler, Islam dan orang-orang Arab hanyalah alat bagi beliau untuk mengekang dan memerangi kuasa Barat pada ketika itu. Ya, benar beliau memuji Islam secara umum tetapi pada masa sama, beliau menganggap orang Arab sebagai bangsa yang lemah jika dibandingkan dengan kehebatan bangsa Aryan.

Bahkan, dalam satu perbualan peribadi dengan sahabat karibnya merangkap arkitek dan Menteri Persenjataan Nazi Jerman, Albert Speer, apa saja hubungan yang dijalin dengan pemimpin-pemimpin Muslim pada ketika itu lebih bersifat politik daripada bersifat peribadi. Contohnya, hubungan Hitler dengan Mufti Baitulmaqdis, Mohammad Amin al-Huseini hanya berasaskan kepada perkongsian pandangan anti-Semitik mereka. Walaupun al-Huseini mendapat gelaran Mejar Jeneral SS dan mendapat perlindungan Nazi pada 1941, Hitler tetap curiga dengan al-Huseini kerana bimbang ia akan melemahkan hubungan Jerman-Britain terutama selepas Battle of Britain dan persediaan untuk Operasi Barbarossa.

Walaupun Hitler memandang tinggi tokoh seperti Mohammad Amin al-Huseini dan Ikhwanul Muslimin, hakikatnya, orang Islam dan Arab hanyalah alat bagi Hitler untuk memecah-belahkan kuasa-kuasa Barat dan mengekalkan hegemoni Nazi di Eropah.

Hitler terlibat secara langsung dengan kegiatan occultism dan mistik

Satu lagi mitos tersebar luas sehingga ke hari ini ialah Hitler terlibat secara langsung dengan aktiviti pemujaan dan mistik. Ia ditambah lagi dengan elemen-elemen fiksyen yang dipopularkan dalam rancangan televisyen, permainan komputer dan siri komik yang secara tidak langsung mempopularkan mitos ini. Hakikatnya, Hitler langsung tidak menunjukkan minat dalam perkara ini, malah memperlekeh mana-mana individu yang mempraktikkannya walaupun sesetengah daripadanya pegawai tinggi Nazi. Contoh paling mudah, Hitler memerintahkan ketua SS, Heinrich Himmler memutuskan semua bentuk hubungan dengan guru occultnya, Karl Maria Wiligut kerana pendirian occultism Himmler menjadi bahan jenaka pegawai-pegawai Nazi terutama pegawai bawahan dan rekod Wiligut sendiri yang pernah dimasukkan dalam hospital mental.

Figure 2: Himmler dan Rosenberg antara pegawai Nazi yang mengamalkan Occultism sehingga menjadi bahan jenaka pegawai bawahan mereka dan mencetuskan kemarahan Hitler.

Hitler kebal dari segala penyakit.

Sesiapa yang melihat video-video ucapan Hitler pasti akan merasa terpesona dan tertarik dengan aura beliau walaupun isi ucapannya bersifat perkauman dan menyemai benih-benih kebencian dalam kalangan rakyat Jerman. Pasti tanggapan pertama bagi yang melihat ialah Hitler begitu bertenaga dan tidak ada masalah kesihatan langsung. Hakikatnya, sumber kekuatan dan kesihatan Hitler bukan pada kekuatan bangsa Aryan yang dibanggakannya tetapi oleh pelbagai jenis dadah dan vitamin yang diberi oleh doktor peribadi beliau, Theodor Morell terutama pada akhir Perang Dunia Kedua. Malah, Morell turut menyediakan satu larutan mengandungi kokain pada mata Hitler dengan tujuan menampakkan Hitler kelihatan sihat di khalayak umum. Morell turut menyediakan senarai ubat-ubatan yang perlu diambil Fuhrer untuk menjadikannya sihat dan bertenaga untuk bekerja.

Hitler perancang perang yang hebat.

Satu lagi mitos yang memperlihatkan kehebatan personaliti Hitler ialah propaganda-propaganda yang menonjolkan kebijaksanaan beliau sebagai perancang perang. Hakikatnya, kebanyakan strategi yang membawa kepada kemenangan Jerman pada awal Perang Dunia Kedua adalah disebabkan kebijaksanaan pegawai-pegawai tinggi Jerman ketika itu seperti Karl Doenitz, Heinz Guderian, Erich von Manstein dan Erwin Rommel. Strategi-strategi mereka semasa fasa awal perang bukan saja membawa kepada perluasan Empayar Nazi Jerman dari Oslo sampai ke Paris malah menyebabkan Pakatan Bersekutu (Britain dan Perancis) mengalami kekalahan teruk di Eropah dan Afrika Utara. Namun, apabila perang semakin berkecamuk dan hasil tidak lagi memihak Jerman terutama selepas Battle of Moscow pada musim sejuk 1940, Hitler menyalahkan semua dari pihak perisikan Jerman, Abwehr sehinggalah jeneral-jeneral yang memimpin jentera Wehrmacht (Angkatan Tentera Nazi Jerman) termasuk Guderian kecuali diri sendiri.

Rommel antara tokoh kejayaan Nazi pada awal Perang Dunia Kedua. Namun, bila perang tidak lagi memihak kepada Jerman, maka pegawai seperti Rommel dipersalahkan dan dipersoal kesetiaan mereka kerana gagal mempertahankan garisan pertahanan Jerman.
Ramai menganggap Adolf Hitler satu tokoh yang perlu dibanggakan kerana punya pendirian anti-Semitik dan ada aura tersendiri berikutan keupayaan beliau berpidato di khalayak ramai. Hakikatnya, seperti setiap mitos yang menyelubungi mana-mana diktator atau pemerintah, beliau hanyalah manusia biasa saja. Hitler, seperti mitosnya, hanya mahu memastikan impiannya seperti tertulis dalam memoir beliau, Mein Kampf tercapai walaupun selepas beliau tiada. Pada beliau, beliau akan terus hidup selagi mana mitos-mitos ini berterusan bertunas dalam minda orang yang mempercayainya dan merealisasikan impian ngeri beliau itu.

Sumber:

Albert Speer, Inside The Third Reich (1970)
Jean-Michel Angebert, The Occult and The Third Reich (1974)


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply