Bagi yang bermain permainan Mobile Legends, nama Hilda sudah tentu tidak asing lagi kedengaran di telinga. Bersenjatakan kapak besar, Hilda juga dicirikan dengan pakaian bulu serta tengkorak di bahunya, justeru menjadikannya seorang hero yang memiliki daya ketahanan dan keupayaan tempur yang tinggi.

Pada bulan Ogos yang lalu, nama Hilda menjadi sebut-sebutan banyak media antarabangsa. Hal ini berlaku demikian kerana wajah lilin 3D Hilda, seorang wanita Scotland purba berhasil dibina oleh seorang pelajar jurusan MSc Seni Forensik dan Pengenalpastian Wajah di Universiti Dundee, yang bernama Karen Fleming.

Menurut Karen, Hilda merupakan karakter yang menarik untuk dibina semula (wajah lilin 3D-nya). Apa yang paling mengagumkan pada sosok wanita purba berusia hampir 2000 tahun ini adalah usia kematiannya yang dianggarkan sekitar 60 tahun, jauh lebih tua berbanding wanita-wanita sezamannya yang rata-rata meninggal dunia sekitar 30 tahun.

Menerangkan keadaan ini, Karen menyatakan bahawa dalam hampir setiap kebudayaan purba di seluruh dunia, hanya individu daripada golongan elit sahaja dibenarkan untuk mengambil pemakanan yang lebih baik dan lebih sihat justeru memungkinkan mereka untuk hidup lebih lama.

Saintis tidak dapat melakukan ujian pentarikhan karbon ke atas tengkorak tidak bergigi milik Hilda itu, justeru sepertimana yang dimaklumkan oleh Karen kepada media The Scotsman, “Mustahil untuk kita ketahui secara tepat bilakah beliau meninggal dunia.” Namun, menerusi penelitian ke atas sebuah jurnal yang diterbitkan pada tahun 1833, dianggarkan bahawa Hilda yang berasal-usul dari Celtic ini meninggal dunia sekitar tahun 55SM-400M.

Wajah lilin 3D Hilda yang dihasilkan oleh Karen Fleming

Ketika menceritakan tentang projek pembinaan semula wajah lilin 3D Hilda, Karen Fleming berkongsi kepada media BBC berkenaan cabaran yang ditempuhnya. Ujarnya, antara kesukaran yang perlu dilaluinya adalah cuaca musim panas di Eropah itu sendiri, yang dalam banyak keadaan, hampir mencairkan wajah lilin Hilda sebelum bentuknya dapat disiapkan sepenuhnya.

Dalam kesempatan itu, beliau pun berkongsikan bagaimana beliau mengekalkan suhu dan bentuk wajah lilin tersebut, antaranya seperti menyimpan anggota-anggota wajah Hilda seperti telinga dan hidung di dalam peti sejuk sebelum mencantumkannya pada proses terakhir.

Sebelum ini, terdapat seorang figura sejarah dari Scotland yang pernah mendapat liputan meluas berikutan pembinaan semula wajah lilin 3D-nya. Figura tersebut adalah Robert the Bruce, yang ‘dihidupkan semula’ oleh sekumpulan sejarahwan dari Universiti Glasgow yang perlu bekerjasama dengan Liverpool’s John Moores University. Robert the Bruce, seorang raja Scotland yang mungkin paling dikenang sebagai pahlawan juara dalam Pertempuran Bannockburn 1314 menentang Inggeris.

Tidak seperti Robert the Bruce yang jelas identiti dan latar belakangnya, kemisterian yang menyelubungi Hilda membuatkan para penyelidik sukar untuk mengenal pasti peranan yang dimainkan oleh Hilda dalam kalangan masyarakatnya. Selain pengetahuan tentang asal-usulnya menerusi lokasi penemuan tengkorak beliau iaitu di Stornoway, Isle of Lewis, pantai barat Scotland, apa yang diketahui tentang Hilda hanyalah tengkoraknya merupakan salah satu dari enam tengkorak ‘Druids of the Hebrides’ yang diserahkan kepada Phrenological Society of Edinburgh pada tahun 1833.

Namun, bukan Hilda sahaja yang diselubungi misteri. Malah, organisasi yang disebut sebagai druids itu juga tidak lari dari samar kekaburan. Memandangkan maklumat tentang druids hampir kesemuanya berupa sumber sekunder, iaitu bukan catatan daripada organisasi itu sendiri, maka sukar untuk sejarahwan menerangkan secara pasti tentangnya. Kekurangan sumber primer ini adalah sebagaimana yang dijelaskan oleh Ronald Hutton, seorang sejarahwan di Universiti Bristol dan pengarang buku The Druids: A History kepada BBC News.

Sebutan terawal berkenaan druids hadir pada 2400 tahun yang lalu, dan menurut pemerhatian sejarah, organisasi berkenaan perlahan-lahan hilang sekitar 1200 tahun kemudian, menjelang penyebaran agama Kristian. Druids diyakini hidup di Britain, Ireland dan juga Perancis moden. Secara umum, druids diangap sebagai sebuah kumpulan individu dari Celts purba yang mengetuai hal-hal keagamaan dan juga perubatan.

Menurut Owens Jarus dari Live Science, istilah ‘druids’ secara tipikal meliputi sekumpulan individu terpelajar, antaranya termasuklah ahli falsafah, guru, hakim dan bahkan melibatkan skop yang lebih mistik seperti pengantara manusia dan dewa. Mungkin dalam kesempatan yang akan datang, penulis akan berkongsikan satu tajuk khusus yang membicarakan tentang druids.

Apapun, wajah lilin 3D Hilda yang kita sembangkan setakat ini telah pun dipamerkan bersama hasil-hasil seni para siswazah lain pada tanggal 16 sehingga 25 Ogos yang lalu di Pameran Sarjana Universiti Dundee.

Pembinaan semula wajah lilin 3D itu berdasarkan tengkorak Hilda yang ditemui di Stornoway, Scotland

RUJUKAN

Ashley Cowie. (5 Ogos 2019). Hilda, A 2000 Year Old Scottish Female Druid, Rises From The Grave. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/news-history-archaeology/female-druid-0012443

Laura Geggel. (16 Ogos 2019). Toothless Druid Woman’s Face Comes Alive in Wax, Wrinkles and All. Live Science.
https://www.livescience.com/druid-woman-facial-reconstruction.html

Hannah Osborne. (15 Ogos 2019). Revealed: The Face of One of Scotland’s Oldest Druids, Who Lived to Double the Normal Life Expectancy. News Week.
https://www.newsweek.com/face-ancient-female-druid-scotland-1454482

Joe Pinkstone. (14 Ogos 2019). Incredible reconstruction reveals the face of toothless Iron Age elder ‘Hilda the Druid’ who died in Neolithic Scotland 1500 years ago. Daily Mail.
https://www.dailymail.co.uk/sciencetech/article-7355837/Face-toothless-Iron-Age-elder-Hilda-Druid-revealed-stunning-reconstruction.html

Meilan Solly. (19 Ogos 2019). See the Face of Hilda, a Toothless Iron Age Druid Woman. Smithsonianmag.
https://www.smithsonianmag.com/smart-news/see-face-hilda-toothless-iron-age-druid-woman-180972931/


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.