14 dan 15 April 2022 mencatatkan ulang tahun ke 110 tahun sempena memperingati peristiwa Titanic. Bayangkan, anda berlayar di dalam sebuah kapal yang mewah yang diibaratkan seperti hotel yang bergerak. Anda disajikan dengan makanan-makanan yang mewah dan tanpa dijangka, itulah makanan terakhir anda sebelum kematian menjemput dalam suasana lyang membeku di dalam malam yang gelap gelita di tengah-tengah lautan yang sepi.
Itulah perasaan yang dialami oleh para penumpang Titanic pada malam yang penuh tragis itu. Siapa sangka, majlis makan malam yang disajikan dengan makanan yang lazat menjadi santapan terakhir sebelum maut menyapa mereka.
Sebagai sebuah kapal yang mewah, Titanic dilengkapi dengan fasiliti kulinari yang penuh lengkap. Titanic dilengkapi dengan ruang makan yang penuh elegan dan sebuah kafe terbuka yang diinspirasikan dari kafe-kafe yang terdapat di jalanan Paris dan London.
Titanic juga turut mempunyai sebuah restoran persendirian yang dinamakan A La Carte Restaurant. A La Carte Restaurant merupakan rangkaian restoran yang dimiliki oleh Luigi Gatti, seorang usahawan restoran. Selain Titanic, Luigi juga memiliki cawangan restorannya di RMS Olympic dan dua buah restoran di London, iaitu Gatti’s Adelphi dan Gatti’s Strand.
Berbeza dengan ruang makan Titanic, para penumpang perlu menempah meja terlebih dahulu untuk menikmati hidangan di restoran ini dan bayarannya juga asing dan tidak termasuk di dalam tiket perjalanan para penumpang.
Di Titanic, seramai 60 chef dan lima orang pembantu bekerja di di seksyen kulinari di atas Titanic. Saban hari, mereka perlu memasak 6000 hidangan setiap hari untuk para penumpang tanpa mengira kelas. Ruang utama dapur Titanic merupakan tempat membuat makanan yang dikhaskan untuk para penumpang kelas pertama dan kedua.
Ruang utama dapur ini juga turut merangkumi tempat membuat manisan, tempat penyimpanan daging, bilik khas untuk menyimpan pinggan mangkuk, bilik sejuk untuk penyimpanan arak, wain dan tiram dan sebuah ruang dandang api yang digunakan untuk 19 ketuhar yang digunakan untuk membakar makanan.
Penumpang pertama mendapat layanan terbaik sewaktu majlis makan mereka. Makan malam mereka sahaja merangkumi 13 jenis makanan dan setiap jenis makanan dihidang dengan wain-wain yang berbeza. Penumpang kedua pula dilayan dengan hampir serupa, cuma perbezaan mereka ialah menu-menu yang disajikan tidaklah sebanyak dihidangkan kepada para penumpang kelas pertama.
Untuk penumpang kelas ketiga, walaupun layanan mereka tidak seperti dua kelas itu tadi, hidangan yang diterima oleh mereka jauh lebih baik dari makanan seharian mereka.
Jadi, pada malam kejadian, alunan bugle The Roast Beef Of Old England akan dimainkan untuk memberi peringatan kepada para penumpang bahawa waktu makan malam hampir tiba. Waktu makan malam kebiasaannya akan bermula pada jam 7 malam.
Pada malam itu, penumpang kelas pertama akan memulakan makan malam dengan hidangan tiram dan beberapa jenis pilihan sup Olga atau sup barli berkrim. Penumpang kemudian akan memulakan hidangan ringan, iaitu ikan salmon separuh masak yag dihias bersama sos mousseline .
Penumpang kemudian dijamu dengan hidagan berat seperti daging lili yang dipotong halus, ayam Lyon yang dimasak secara saute, stik kambing beserta sos pudina, itik panggang bersama sos masam dan daging batang pinang yang dihidang bersama kentang.
Untuk makanan sampingan, penumpang akan dihidang dengan lobak berkrim, nasi dan kacang pis serta kentang rebus.Hidangan sambilan pula dihidang berupa makanan punch romaine yang diperbuat dari rum, wain dan champagne.
Untuk pencuci mulut, penumpang akan disajikan dengan jeli pic, coklat,puding Waldorf dan aiskrim. Tidak dilupakan pelbagai jenis kacang dan keju. Penumpang akan disajikan dengan dendangan para muzik ketika waktu makan.Untuk penumpang kelas ketiga, mereka dijamu dengan nasi, sup, roti dan kentang rebus.
Pada malam itu juga, sekumpulan penumpang kelas pertama mengadakan majlis makan malam bersama Kapten Smith di A La Carte Restaurant yang diketuai oleh Keluarga Widener. Turut hadir di dalam majlis tersebut ialah keluarga Thayer dan Major Archibald Butt.
Selepas majlis makan malam, para penumpang lelaki kebiasaanya akan bersosial di bilik merokok dan pada malam itu tanpa mereka sangka, itulah hidangan terakhir mereka sebelum nyawa mereka ditarik ditengah-tengah malam yang kelam dan sunyi.
RUJUKAN:
Wakeling, A. M. (2021, September 7). A look at the Titanic’s menus. Medium. Retrieved April 19, 2022, from https://historyofyesterday.com/a-look-at-the-titanics-menus-a14e40d953f7?gi=2bb39c8aa00e
Lma. (2020, December 16). Titanic food menus for 1st, 2nd and 3rd class passengers. Bored Panda. Retrieved April 19, 2022, from https://www.boredpanda.com/titanic-food-menu-first-second-third-class-passengers/
Blake, J. (2011). The titanic pocketbook: A passenger’s guide. Naval Institute Press.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih