Tahun Baru Cina adalah sambutan perayaan yang terpenting bagi menyambut tahun baru mengikut kalendar qamari Cina, di mana kalendar ini terbahagi kepada kitaran 12 tahun dan dinamakan sempena nama haiwan. Sambutan Tahun Baru Cina ini diraikan di negara-negara serta kawasan-kawasan yang mempunyai ramai bangsa Cina, seperti di Tanah Besar China, Taiwan, Hong Kong, Malaysia, Indonesia, Singapura, Filipina dan Thailand.
Malah, Tahun Baru Cina juga turut disambut oleh masyarakat dan bangsa-bangsa lain yang dipengaruhi kuat dengan budaya Cina (termasuklah memakai kalendar qamari Cina) seperti di Korea, di mana ia dikenali sebagai Seollal, Tibet dan Bhutan (sambutan Losar), Mongolia (sambutan Tsaagan Sar) dan Vietnam (sambutan Tết).
Tahun Baru Cina ini merupakan sebuah perayaan yang melambangkan suatu permulaan yang mana ia meliputi permulaan bagi nasib atau takdir yang baru serta permulaan bagi kehidupan. Sambutan perayaan Tahun Baru Cina ini mempunyai pelbagai amalan tertentu yang menjadi identiti serta menjadikannya antara perayaan yang unik di dunia.
Malah, setiap jenis hidangan makanan yang disajikan ketika upacara sambutan Tahun Baru Cina ini juga mempunyai maksud yang tersirat di sebaliknya. Artikel ini akan mengupas serba sedikit mengenai pelbagai jenis hidangan serta juadah bagi Tahun Baru Cina di negara-negara yang turut sama meraikannya.
China (Tanah Besar
China)
Makanan merupakan antara perkara yang menjadi
kebanggaan bagi rakyat di negara China. Dan sudah pasti, apabila menjelangnya
sambutan perayaan Tahun Baru Cina, setiap makanan akan disiapkan melalui
persediaan yang rapi, dan menggunakan bahan-bahan yang terbaik dari segi
kualitinya. Setiap wilayah dan daerah mempunyai juadah istimewa mereka yang
tersendiri dan semua makanan ini turut memiliki simbolik yang tersendiri di
sebalik penyediaannya. Berikut ialah antara contoh hidangan Tahun Baru Cina
yang menjadi kebanggaan mereka:
- Spring roll (popia)
Hidangan ini biasanya disediakan oleh masyarakat di bahagian Selatan China
dan ia dimakan bagi menyambut kedatangan hari pertama bagi musim bunga. Hidangan
ini boleh menjadi juadah makan malam, sebagai pembuka selera (appetizer)
atau snek. Ramai dalam kalangan kita yang sudah terbiasa melihat spring roll
yang digoreng, namun bagi kawasan di seluruh China, juadah ini juga boleh
dikukus atau dibakar. Bentuknya juga pelbagai mengikut setiap wilayah yang
menyediakannya, iaitu daripada bentuk empat segi kecil kepada bentuk bulat atau
gulungan.
Kulit spring roll ini diperbuat daripada campuran tepung, air dan sedikit
garam. Intinya pula adalah terpulang kepada citarasa masing-masing, namun
secara tradisinya, di China, intinya terdiri daripada daging khinzir, kobis
cina, shiitake, lobak merah dan serbuk perasa. Mengikut sejarah, pada zaman
Dinasti Jin, masyarakat pada waktu itu akan menyusun juadah ini bersama dengan
sayur-sayuran di dalam sebuah pinggan yang sama, yang mana ia dikenali sebagai Spring
Platter. Sewaktu sambutan festival musim bunga, maharaja akan
menganugerahkan spring platter ini kepada para pegawai kerajaannya.
Hidangan spring roll
Hidangan spring roll
- Dumpling
Hidangan ini juga sangat signifikan dalam kalangan masyarakat di China, dan
ia adalah sama penting dengan juadah spring roll. Dumpling ini biasanya
akan disediakan pada setiap acara atau sambutan istimewa di China, namun ia
akan disediakan dalam jumlah yang lebih banyak ketika sambutan Tahun Baru Cina.
Dalam bahasa Cina, dumpling ini dikenali sebagai jiǎo zi, di mana jiǎo
bermaksud pertukaran, manakala zi pula bermakna waktu tengah malam. Secara
asasnya, juadah ini disediakan sebagai satu simbolik kepada pertukaran di
antara tahun yang lalu dengan tahun baru. Dengan memakan dumpling ini, maka
seseorang itu dianggap sebagai telah menyingkirkan segala perkara lama dan
menyambut kedatangan perkara yang baru.
Terdapat pelbagai jenis
inti yang disediakan untuk dumpling ini. Asasnya, inti dumpling ini terdiri
daripada kobis cina, daun bawang, daging khinzir dan udang. Di wilayah Suzhou
contohnya, inti telur adalah suatu kemestian bagi dumpling yang mereka sediakan.
Hidangan dumpling
- Nian gao
Nian gao, atau dikenali juga sebagai kek beras atau kek tahun baru,
merupakan suatu juadah yang menjadi kemestian dalam sambutan Tahun Baru Cina. Pada
zaman purba, hidangan ini disediakan khusus buat para dewa dan tuhan mereka. Namun, lama-kelamaan hidangan ini telah
menjadi suatu hidangan tradisi tiap kali menjelangnya festival musim bunga. Perkataan
nian gao ini membawa maksud
Nian gao ini diperbuat daripada beras pulut atau beras kuning, dan ia
memberikan suatu tekstur dan warna yang berbeza mengikut jenis beras yang
digunakan. Hidangan ini adalah berbeza mengikut wilayah di China, di mana nian
gao di bahagian utara mempunyai rupa dan tekstur yang sangat lain dengan nian
gao di bahagian selatan China. Di bahagian utara, nian gao ini biasanya manis
dengan gula yang ditambah ke dalam tepung beras pulut, manakala di selatan
pula, nian gao yang dihasilkan adalah savory.
Hidangan nian gao
- Mi (noodles)
Di sesetengah tempat di China, ia adalah suatu tradisi untuk memasak
dumpling bersama-sama dengan mi. Ia dimasak bersama sebagai suatu simbolik yang
menunjukkan harapan masyarakat untuk terus meraih kemakmuran pada tahun baru.
Untuk sambutan Tahun Baru Cina, kebanyakan masyarakat akan memilih hidangan
mi panjang (long noodles) yang membawa simbol panjang umur dan
kemakmuran yang berterusan. Sewaktu makan, seseorang itu dilarang untuk
memotong mi tersebut dan juga harus mengelak daripada mengunyahnya terlalu
lama. Lebih panjang sesuatu mi itu, maka lebih panjanglah hidup dan jangka
hayat yang akan dilalui oleh seseorang itu. Selain daripada mi panjang, ramuan
lain yang terdapat di dalam mi tersebut juga turut mempunyai simbolik dan makna
yang tersendiri. Contohnya seperti udang yang bererti kekayaan dan kemewahan,
daging itik yang bermaksud kesetiaan dan telur yang bererti keluarga besar dan
sihat.
Hidangan mi
Korea Selatan
Sambutan Tahun Baru Cina di negara ini
dikenali sebagai Seollal atau Korean Lunar New Year. Seollal merupakan
antara sambutan perayaan yang paling ditunggu-tunggu oleh masyarakat di Korea
di mana ia bukan sahaja menjadi suatu permulaan kepada tahun baru, malah ia
juga adalah waku berkumpulnya seluruh ahli keluarga. Sambutan Seollal di Korea
berlangsung selama tiga hari, bermula dari satu hari sebelum tahun baru dan
berakhir pada satu hari selepas tahun baru. Bahagian paling menarik dan
terbesar dalam sambutan Seollal ini adalah penyediaan pelbagai juadah
makanannya. Berikut merupakan antara juadah yang menjadi pilihan masyarakat
Korea ketika sambutan Seollal.
- Tteokguk
Tteok ialah sejenis kek beras yang diperbuat daripada tepung beras pulut. Manakala
tteokguk ini pula ialah sup yang mengandungi kek beras yang dihiris nipis
(guk=sup). Hidangan tteokguk ini juga biasanya mengandungi daging yang diperap,
gim (seaweed) dan telur dadar yang dihiris nipis.
Ia adalah suatu tradisi untuk menjamah hidangan tteokguk ini pada tahun
baru di mana ia membawa simbolik tersendiri iaitu seiring dengan pertambahan
umur, maka diharapkan juga seseorang itu turut dikurniakan kesihatan yang baik
dan umur yang panjang dalam hidupnya. Disebabkan inilah masyarakat di Korea
sering berjenaka tentang berapa mangkuk tteokguk yang telah mereka makan. Ia
adalah cara yang menarik untuk meneka umur seseorang dan menilai harapan mereka
terhadap kehidupan di tahun baru.
Hidangan tteokguk
- Manduguk
Mandu ialah nama lain untuk dumpling bagi masyarakat di Korea. Manduguk ini
merupakan suatu hidangan sup dumpling yang menjadi alternatif kepada tteokguk
pada tahun baru. Kebiasaannya, masyarakat di Korea Utara akan menyediakan
manduguk sebagai hidangan tahun baru mereka, manakala di Korea Selatan, mereka
lebih memilih tteokguk. Namun, pada hari ini, masyarakat di Korea Selatan juga
turut memilih hidangan manduguk ini dengan mencampurkan sedikit kek beras ke
dalamnya (tteok manduguk).
- Japchae
Japchae ini merupakan sejenis glass noodles (dangmyeon) yang
diperbuat daripada tepung ubi keledek yang digoreng (stir fry) bersama
bahan-bahan lain seperti sayur-sayuran dan daging. Pada zaman dahulu, hidangan
japchae ini merupakan suatu hidangan diraja, namun pada hari ini japchae
merupakan hidangan istimewa yang akan disediakan untuk sambutan acara-acara
tertentu seperti Seollal.
- Jeon (pancakes)
Hidangan jeon ini merupakan sejenis hidangan yang digoreng, di mana ia
boleh terdiri daripada pelbagai jenis jeon bergantung kepada bahan-bahan yang
digunakan. Jeon boleh terdiri daripada hirisan daging, ayam, isi ikan, atau
makanan laut yang lain seperti udang dan sotong, bersama sayur-sayuran dan akan
dibancuh bersama tepung dan air sebelum disalutkan dengan telur dan digoreng.
Hidangan jeon ini juga pada suatu ketika dahulu merupakan hidangan diraja dan
kini dianggap sebagai hidangan istimewa untuk acara tertentu seperti Seollal,
perkahwinan dan majlis ulang tahun.
Filipina
Filipina merupakan sebuah negara yang turut
sama meraikan sambutan Tahun Baru Cina pada setiap tahun. Malah, masyarakat
Cina di Filipina ini juga masih mengamalkan budaya mereka sama seperti apa yang
berlaku dalam kalangan masyarakat Cina di Malaysia, Indonesia dan Singapura.
Berikut merupakan antara hidangan makanan yang menjadi pilihan bagi sambutan
Tahun Baru Cina di Filipina.
- Tikoy
Tikoy merupakan hidangan yang paling terkenal di negara ini tiap kali
menjelangnya sambutan Tahun Baru Cina. Tikoy di Filipina boleh dianggap sebagai
nian gao yang disediakan di negara China. Hidangan ini diperbuat daripada beras
pulut yang diproses menjadi tepung dan seterusnya dibancuh bersama gula, air
dan lemak khinzir. Bagi menghasilkan tikoy yang putih, gula putih akan
digunakan, manakala bagi tikoy yang berwarna coklat, maka gula perang akan
digunakan dalam penyediaannya.
Hidangan tikoy
- Pancit
Pancit ini merupakan sejenis hidangan mi panjang, sama seperti long
noodles yang terdapat di China. Malah, simbolik di sebalik menjamah
hidangan pancit ini juga adalah sama, iaitu memastikan kehidupan individu yang
panjang dan bahagia menjelang tahun baru. Hidangan pancit yang terkenal di
Filipina setiap kali sambutan Tahun Baru Cina ialah pancit bihon dan pancit
canton.
- Hopia
Hopia merupakan sejenis hidangan pencuci mulut, iaitu pastri yang berinti
pes kacang mung. Hopia ini biasanya berbentuk bulat dan ia dianggap sebagai
satu simbol kekayaan dalam kalangan masyarakat Cina. Hidangan hopia ini boleh
dianggap sebagai versi lain bagi kuih bulan yang biasanya dihidangkan ketika
festival mid-autumn. Menariknya, versi hopia ini dikenali sebagai bakpia
di Indonesia, di mana ia sangat terkenal di daerah Jogjakarta.
Hidangan hopia
Kesimpulan
Hidangan yang disediakan di tiga buah negara
ini merupakan antara contoh hidangan yang sering disediakan pada setiap kali
Tahun Baru Cina. Setiap hidangan yang disediakan pada sambutan Tahun Baru Cina
ini mempunyai keistimewaan yang tersendiri, sama ada dari segi bahan-bahan yang
digunakan serta kaedah penyediaannya. Namun, semua hidangan ini sebenarnya
berkongsi suatu simbolik yang sama, iaitu untuk memperoleh kesejahteraan,
kesihatan, kemakmuran dan kekayaan bagi setiap individu yang menjamahnya.
Setiap perbezaan dalam rupa dan tekstur makanan ini diraikan kerana semuanya
berkongsi sebuah matlamat dan tujuan yang sama setiap kali menjelangnya
sambutan Tahun Baru Cina.
Rujukan
Anon. (2019). Chinese
New Year Food in the Philippines. Retrieved February 2, 2019, from
https://www.tagaloglang.com/filipino-food-chinese-new-year-philippines/
Chung, Y.-S. (2013).
Meals in Medieval Korea. Food & History, 11(1), 1–18.
Lee, C. H., Kim, Y.,
Kim, Y. S., & Yun, Y. (2018). Ancestral ritual food of Korean jongka :
Historical changes of the table setting. Journal of Ethnic Foods.
Ma, G. (2015). Food,
eating behavior, and culture in Chinese society. Journal of Ethnic Foods,
2(4), 195–199. https://doi.org/10.1016/j.jef.2015.11.004
Wolfe, D. (2016).
Seollal: Korean Lunar New Year Traditions and Food. Retrieved February 1, 2019,
from
http://crazykoreancooking.com/foodandculture/seollal-korean-lunar-new-year-traditions-and-food




No comments yet